Pada awal Disember lepas, kerajaan Britain mengumumkan kelonggaran pelbagai aktiviti sosial selaras dengan penurunan kes Covid-19. Ini termasuklah membenarkan penyokong-penyokong kelab bola sepak datang ke stadium. Tetapi baru-baru ini, Boris Johnson mengumumkan perlaksanaan perintah berkurung tahap empat di London dan tenggara England selepas jenis baru Covid-19 dikesan dan penularannya tidak boleh dikawal.
Bersesuaian dengan perintah berkurung tahap empat itu, semua bentuk pergaulan sosial membabitkan isi rumah berbeza dilarang sama sekali. Bagi kawasan yang tidak dikenakan perintah berkurung sebegitu rupa, pergaulan sosial isi rumah berbeza hanya dibenarkan berbuat demikian pada Hari Krismas. Tambah Setiausaha Kesihatan Matt Hancock, perintah berkurung ini dijangka berkuatkuasa selama berbulan-bulan sebelum vaksin Covid-19 mula dilaksanakan.
Pada Sabtu lepas, Ketua Pegawai Perubatan Chris Whitty memberitahu jenis baru Covid-19 bertanggungjawab mencetuskan 60% kes jangkitan baru di London dengan angka kes baru bertambah sejak dua minggu lepas. Seperti mana jenis Covid-19 yang lain, jenis baru ini turut mengandungi penanda genetik yang memudahkannya dikesan.
Begitupun, ini bukan bermakna mutasi telah menjadikannya lebih cepat tersebar atau jenis ini jauh lebih merbah-aya. Kebanyakan pakar genetik dan jangkitan penyakit percaya jenis baru Covid-19 ini diperkuatkan melalui peristiwa penyebar super di mana ia bermutasi. Hasil mutasi tersebut menyaksikan jenis Covid-19 ini mudah berjangkit tanpa mengakibatkan penyakit yang lebih serius.
Bagaimanapun, kumpulan penasihat saintifik kerajaan untuk Covid-19 menyifatkan jenis baru ini sebagai sesuatu yang patut dibimbangkan dan tindakan segera harus diambil. Salah seorang ahli kumpulan, Sir Jeremy Farrar menggesa tindakan segera diambil untuk mengelak situasi Covid-19 bertukar menjadi lebih buruk.
Pakar-pakar kesihatan sudah mengadu mereka merasa tertekan menguruskan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat jenis baru Covid-19 ini. Pengerusi majlis Persatuan Perubatan Britain (BMA) Dr Chaand Nagpaul melaporkan satu daripada tiga orang doktor melihat lebih ramai pesakit berbanding gelombang pertama ditambah dengan pertambahan pesakit bukan Covid.
Pertambahan pesakit untuk dua kategori itu menyebabkan mereka bergelut menguruskan pesakit. Dr Nagpaul menambah salah satu halangan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mengatasi masalah ini ialah kekurangan tenaga kerja. “Malangnya, kita menghadapi pandemik dengan bilangan doktor dan jururawat yang sedikit,” tambahnya. Selain London dan tenggara England, Wales dan Scotland turut dikenakan perintah berkurung sama.
Situasi ini menekan pemain pelbagai sektor ekonomi terutama peruncitan dan jualan kerana mereka mengharapkan jualan pra-Krismas untuk mendapatkan sedikit keuntungan dan menutup babak paling buruk dalam tahun perniagaan mereka. Lantaran situasi Covid-19, bukan sekali mereka diarah tutup atau beroperasi mengikut waktu terhad.
Situasi ini turut mengundang kemarahan daripada ahli-ahli parlimen dari Parti Konservatif. Bukan satu rahsia ramai naik berang dengan Johnson kerana meneruskan langkah yang disifatkan terlalu keras dan langsung tidak memikirkan soal kebajikan dan ekonomi rakyat. Mark Harper daripada Kumpulan Pemulihan Covid Konservatif menggesa sidang parlimen diadakan dengan segera bagi membolehkan mereka berbahas isu perubahan di negara itu.
Sementara Sir Keir Stamer dari Parti Buruh pula menyifatkan pentadbiran Johnson sebagai cuai dalam mengendalikan cabaran terbaru pandemik Covid-19. Walaupun pada dasarnya menyokong perlaksanaan perintah berkurung tahap empat itu, beliau menyifatkan Perdana Menteri Britain itu seharusnya mengambil berat pelbagai amaran yang dibunyikan termasuk pertambahan kes dan had kapasiti NHS daripada melakukan kerja saat akhir.
Yang pasti, pengumuman mengejut Johnson pada Sabtu lepas mendorong ramai penduduk London berpusu-pusu keluar dari ibu negara Britain itu. Antara pengangkutan yang dipilih ialah kereta api bagi membolehkan mereka terlepas daripada mengharungi perintah ketat sebegitu rupa. Anda boleh lihat video di bawah:
Stesen keretapi St Pancras, London dipenuhi penumpang yang mahu melarikan diri daripada perintah berkurung tahap empat:
Sebagai langkah berjaga-jaga, Belanda dan Belgium mengumumkan penggantungan penerbangan ke Britain berkuatkuasa Ahad ini. Belgium turut mengumumkan larangan kemasukan pengembara dari Britain selama 24 jam berkuatkuasa Isnin ini. Dan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo menambah sekatan kemasukan akan dilanjutkan sekiranya perlu bagi memastikan jenis baru Covid-19 tidak memasuki negara itu.
RUJUKAN:
Woodyatt, A et al. (2020). Flights to UK canceled as health minister says new coronavirus variant is ‘out of control’. CNN.
Syal, R. (2020). England’s new Covid restrictions likely to stay ‘for months’ until vaccine rollout. The Guardian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih