Dunia bola sepak sentiasa diselubungi dengan insiden-insiden kontroversi membabitkan kejohanan antarabangsa, kejohanan peringkat benua atau liga domestik. Dari insiden Tangan Tuhan Maradona sampailah gol yang tidak dikira pengadil, sesetengah daripadanya kadang-kadang tidak disedari pengadil. Atas sebab itu untuk memastikan bola sepak mengikut perkembangan semasa, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Badan Persatuan Bola Sepak (IFAB) memperkenalkan teknologi pembantu pengadil video (VAR) sempena Piala Dunia 2018 di Rusia. Bagaimanapun teknologi ini ada pro dan kontranya yang kadang-kadang bikin pengurus dan pemain menggeleng kepala dan pengadil sukar membuat keputusan tepat.
VAR ini hanya boleh digunakan untuk melihat gol atau tidak (dengan bantuan teknologi garisan gol) atau sebarang kekasaran yang membawa kepada gol, keputusan penalti, keputusan kad merah dan mengenalpasti pelaku sebenar kekasaran yang patut dilayangkan kad. Tujuannya ialah mengubah keputusan awal pengadil sekiranya wujud kesilapan jelas dan kelihatan pada keputusan awal. Pembantu pengadil video dan pembantunya akan melihat insiden di monitor-monitor disediakan di bilik operasi video (VOR) dengan bantuan seorang operator main semula (RO). Khidmat mereka akan digunakan sekiranya pengadil meminta atau VAR melihat ada insiden yang patut dilihat semula. Jika tiada kesilapan, tiada komunikasi dengan pengadil tetapi jika sebaliknya, VAR akan berhubung terus dengan pengadil perlawanan. Dari situ, pengadil boleh mengubah keputusan perlawanan atas nasihat VAR atau semakan atas padang (OFR) dengan memanggil pengadil penyemak kawasan (RRA) untuk melihat video bersama pembantu penyemak atau kekal dengan keputusan asal dan tidak memerlukan bantuan OFR. Tiada masalah bagi mereka menghentikan permainan untuk mengubah keputusan atau melihat OFR tetapi tidak sepatutnya berbuat demikian sekiranya mana-mana pasukan dalam kedudukan baik menjaringkan gol.
Sekiranya pengadil mahukan semakan video, beliau boleh membuat garisan segi empat tepat menggunakan jari telunjuk sebagai petunjuk skrin video. Ini mendahului kedua-dua sistem OFR dan juga sebarang perubahan dalam keputusan awal. Jika ada pemain mengada-ada minta semakan video dengan membuat garisan sama, pemain itu akan dilayangkan kad kuning. Begitu juga sekiranya mereka atau pegawai pasukan cuba masuk ke kawasan OFR ketika pengadil menggunakan OFR di mana pemain tersebut dilayangkan kad kuning dan pegawai berkenaan dihalau ke bangku penonton. Semasa melihat, ada beberapa peraturan yang perlu diketahui pengadil. Pertama untuk kesalahan fizikal seperti terjahan keras atau bola terkena tangan, hanya gerak perlahan saja akan digunakan. Video akan dimainkan seperti biasa untuk melihat kekerasan terjahan atau melihat sama ada bola terkena tangan pemain bersifat sengaja atau tidak. Sementara semakan berkenaan gol, penalti dan kad merah kerana menafikan peluang menjaringkan gol pula bermula dari fasa penguasaan bola semasa menyerang (APP) di mana pasukan mneyerang berjaya mendapat bola atau memulakan semula permainan. Sementara semakan lain hanya melibatkan insiden itu saja seperti keputusan ofsaid. VAR ini terdiri daripada bekas atau pengadil bola sepak sekarang.
Bagi David Elleray, pengarah teknikal IFAB merangkap bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (PL) melihat VAR akan mengubah rupa permainan bola sepak terutama dari segi kelakuan pemain. Ini kerana pemain akan berfikir berkali-kali sebelum mahu menjatuhkan diri secara sengaja dalam kotak penalti atau melakukan terjahan kasar. Dan sekiranya ia dapat ditambahbaik, maka ia dapat membantu pengadil membuat keputusan tepat yang memuaskan hati semua pihak dan menambahbaik mutu pengadilan. Dari segi kebaikan, ia membantu pengadil membuat keputusan tepat berkenaan gol dan mengurangkan tekanan kepada pengadil kerana mendapat sokongan dari segi teknologi dan kepakaran. Namun dari segi keburukannya, VAR boleh menyebabkan pengadil lambat membuat keputusan, membuat penyokong keresahan dengan apa yang berlaku, terlalu banyak bergantung kepada semua keputusan atau dalam sesetengah kes, tiada akses kepada rakaman ulang tayang dan berlaku masalah pada perisian atau teknologi.
VAR mula diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2016 pada satu perlawanan simpanan dua pasukan Major League Soccer (MLS) iaitu New York Red Bull II dan Orlando City B. Dalam perlawanan tersebut, pengadil melayangkan kad merah kepada seorang pemain atas kekasaran yang dibuatnya selepas merujuk kepada VAR dan kad kuning kepada separuh masa kedua atas kekasaran yang tidak disedari beberapa minit sebelumnya. Dan sejak itu ia mula digunakan di beberapa kejohanan besar dan liga domestik seluruh dunia seperti Piala Konfederasi 2017, Piala Kelab Dunia FIFA, MLS, Liga Australia (A-League) dan kebanyakan liga Eropah kecuali PL. Di England, Persatuan Bola Sepak (FA) menggunakannya untuk Piala FA dan Piala Carabao musim 2017-2018.
Bagaimanapun, VAR boleh dianggap banyak mencetuskan kontroversi dan menimbulkan kemarahan ramai pemain, pengurus dan penganalisis bola sepak. Misalnya pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA musim lepas membabitkan Chelsea dan Norwich City menyaksikan rayuan penalti Willian ditolak pengadil walaupun video jelas menunjukkan kekasaran dibuat pemain Norwich ke atas pemain Brazil itu. Pengurus Chelsea, Antonio Conte yang berang dengan keputusan pengadil enggan menggunakan VAR berkata, “Saya rasa kita perlu menambahbaik sekiranya mahu menggunakan sistem baru ini. Hari ini, dalam perlawanan ini, sudah jelas apa berlaku ke atas Willian pada permulaan babak pertama masa tambahan. Saya rasa situasi itu sudah jelas. Saya sudah menontonnya dan itu memang sepatutnya penalti. Amat jelas. Kita sudah menggunakannya di Itali selama enam bulan dan anda boleh membantu mengurangkan banyak kesilapan pengadil.”
Dan siapa tidak boleh lupa perlawanan persahabatan antara Itali dan England awal tahun ini yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. Selepas mendahului menerusi jaringan penyerang Leicester City, Jamie Vardy pada separuh masa pertama, England dirobek peluang memalukan Azzurri apabila pengadil Deniz Aytekin merujuk VAR dan menganggap pemain Burnley, James Tarkowski dikatakan memijak kaki pemain sayap Fiorentina, Federico Chiesa dalam kotak penalti tetapi mengikut ulang tayang, ia tidak berlaku. Selepas Lorenzo Insigne menjaringkan gol penyamaan dan sekaligus menyelamatkan maruah Itali, sudah timbul kemarahan dalam kalangan legenda dan bekas pemain bola sepak. Bekas penyerang England, Alan Shearer menyifatkan VAR sesuatu yang memalukan sementara bekas pemenang Kasut Emas Piala Dunia 1986, Gary Lineker menyindir VAR sebagai sesuatu yang menyeronokkan pada Piala Dunia nanti. Bagaimanapun dengan nada serius, beliau mahu ia ditambahbaik menjelang Piala Dunia 2018 kerana tidak mahu ia menjadi punca perbalahan pemain dan pengurusan pasukan yang bertanding.
Dan apa yang diperkatakan Lineker itu menjadi kenyataan apabila VAR sekali lagi menjadi tumpuan semasa Perancis menang 2-1 ke atas Australia dalam peringkat kumpulan C. Perancis menjadi pasukan pertama menjaringkan gol melalui VAR apabila dihadiahkan sepakan penalti Antoine Griezmann selepas VAR melihat pemain pertahanan Socceroos, Josh Ridson mengasari bintang Atletico Madrid, Griezmann dalam kotak penalti. Dan pada perlawanan Argentina-Iceland pula yang berkesudahan 1-1, dua insiden penalti La Albiceleste yang dibangkitkan VAR dinafikan pengadil Poland, Szymon Marciniak. Marciniak juga enggan menggunakan VAR untuk menentukan sama ada Cristian Pavon dijatuhkan atau sengaja menjatuhkan diri 13 minit sebelum perlawanan berakhir walaupun ulang tayang video menunjukkan Birkir Saevarsson dilihat menjatuhkan pemain gantian Argentina itu. Dan situasi ini menggusarkan legenda Manchester United, Gary Neville yang menyifatkan VAR tidak mempunyai kemahiran teknikal untuk membuat keputusan tepat dengan pantas, sekaligus menambah lagi tekanan kepada pengadil.
Mungkin atas sebab inilah, PL memutuskan untuk tidak menggunakan VAR untuk musim baru 2018-2019, sebaliknya digunakan untuk Piala Carabao dan Piala FA musim hadapan. Alasan kebanyakan kelab enggan menggunakan VAR kerana terlalu banyak masalah membabitkan VAR semasa perlawanan Piala FA musim lepas. Antara masalah yang dibangkitkan ialah masalah teknikal dan kurangnya komunikasi antara pengadil dengan VAR sehingga menimbulkan kemarahan ramai. Selain itu, kelab-kelab PL mahu melihat sejauh mana VAR digunakan semasa Piala Dunia dan kempen liga domestik Eropah musim hadapan serta mahu semua pengadil Inggeris mendapat pendedahan mencukupi berkenaan teknologi ini. Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut mengumumkan tidak menggunakan VAR untuk musim terbaru Liga Juara-Juara Eropah.
Kerisauan PL dan UEFA ada benarnya kerana pada musim lepas, Bundesliga (Divisyen Satu Jerman) sentiasa terganggu dengan masalah teknikal VAR sehinggakan 47% pemain mahukan sistem tersebut dimansuhkan berdasarkan satu kaji selidik oleh majalah sukan Kicker. Pemenang Piala Dunia 1990 merangkap pengarah teknikal Bayer Leverkusen, Rudi Voller memberi komen berkenaan VAR pada Disember tahun lepas, “Saya merasa ingin tahu berkenaan VAR pada awal musim. Tetapi selepas separuh musim, bagi saya ia tidak bagus. Dan saya ragui ianya akan bertambah baik.” Sementara penjaga gol legenda Juventus Gianluigi Buffon menyifatkan VAR digunakan sepanjang masa pada awal musim Serie A sebagai pembunuh keseronokan bola sepak. Jika ia digunakan sekali-sekala, ia pasti memberi keputusan baik kepada bola sepak dan pasukan-pasukan liga. Atas sebab itu, pihak berkuasa bola sepak Itali dan Jerman berusaha menambahbaik kualiti VAR termasuk menambah seorang lagi pembantu untuk menganalisis keputusan dan mempercepat keputusan VAR.
Buat masa ini di atas kertas, VAR merupakan sesuatu yang baik. Tetapi jika ianya gagal diperkemaskan untuk baki saingan Piala Dunia dan saingan liga domestik yang menggunakannya, maka ulangan kecaman dan sindiran berkenaan VAR akan kembali dan lebih keras tonanya lebih-lebih lagi membabitkan perlawanan penting. Dan silap haribulan, apa yang disangka sebagai penamat konflik dan perdebatan mengenai insiden kontroversi sebaliknya menjadi penambah kepada perdebatan yang tidak akan berakhir dan memeningkan kepala pengurusan persatuan, pengurus/jurulatih, pemain dan penyokong.
SUMBER
- Alvarez, Liana. (2016). Sports Illustrated. MLS makes soccer history with debut of video assistant referees. https://www.si.com/tech-media/2016/08/19/mls-virtual-assistant-referees-debut
- Aarons, Ed. (2017). The Guardian. No more blunders? Video assistant referees ‘could change football forever’. https://www.theguardian.com/football/2017/mar/09/video-assistant-referee-stamp-out-match-fixing
- Cross, John. (2018). Daily Mirror. VAR experiment in a no-win situation — complained about when it is used AND if not available. https://www.mirror.co.uk/sport/football/news/var-experiment-no-win-situation-11929899
- BBC. (2018). VAR: Uefa will not use system in next season’s Champions League. https://www.bbc.com/sport/football/43202295
- Murhpy, Ronan. (2018). Goal.com. ‘VAR has ruined association football’ – Video assistant referee causes more controversy in England draw. http://www.goal.com/en-my/news/var-has-ruined-association-football-video-assistant-referee/94jbbz2hcdx816ot80j3t04hk
- Platt, Oli. (2018). Goal.com. What is VAR? The video assistant referee system’s World Cup & Premier League future. http://www.goal.com/en/news/what-is-var-the-video-assistant-referee-systems-world-cup/19m696jq7onm618n3v9oqs02ab
- BBC. (2018). Video assistant referee: Premier League clubs vote against VAR for 2018-19. https://www.bbc.com/sport/football/43755203
- Sky Sports. (2018). France 2-1 Australia: VAR to the fore as Paul Pogba decides World Cup Group C clash. http://www.skysports.com/football/france-vs-australia/385169
- Morgan, Richard. Sky Sports. (2018). Argentina 1-1 Iceland: Lionel Messi misses second-half penalty. http://www.skysports.com/football/argentina-vs-iceland/report/385171
- Sky Sports. (2018). Gary Neville: VAR officials struggle to make quick calls at World Cup. http://www.skysports.com/football/news/12098/11406956/gary-neville-var-officials-struggle-to-make-quick-calls-at-world-cup
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih