Sesiapa saja yang melihat kelibat seorang pemuda berpakaian baju Melayu tradisional lengkap dengan samping pelbagai warna dan corak berjalan di ibu kota menyangka dia seorang pahlawan Melayu yang mengembara masa ke dunia hari ini.
Kadang-kadang, dia turut berkongsi cara ikatan samping di laman media sosial. Bagi rakan-rakan penulis The Patriots, lelaki ini juga merupakan penulis kami iaitu saudara Mohammad Faeez Harith Khairil Anuar.
Bila ditanya tentang pakaian tradisi yang dipakainya itu, pemuda yang mesra disapa Faeez itu memberitahu dia sebenarnya gemar mendalami seni budaya Melayu terutama busana Melayu tradisional. Pemuda berusia 30 tahun itu mendedahkan teknik ikatan samping itu dipelajarinya selepas mengikuti sebuah bengkel di Akademi Seni Warisan Tradisional Melayu di Subang, Selangor.
“Saya rakam sebab saya takut lupa. Pada masa sama, saya nak berkongsi setiap ikatan samping kepada mereka yang berminat untuk mempelajari seni budaya Melayu. Sebab saya tengok segelintir orang sekarang suka memakai samping yang pelik-pelik, merapu atau tak kemas. Jadi, saya sekadar berkongsi ilmu yang saya belajar,” katanya selepas ditemubual mStar.
Tambahnya, tidak ramai tahu maksud di sebalik setiap ikatan samping kerana setiap ikatan membawa maksud berbeza. Misalnya, ikatan bunga samping kanan untuk lelaki, ikatan bunga samping kiri untuk wanita dan ikatan bunga di tengah bermaksud duda. Begitu juga dengan labuh kain samping membawa maksud lain seperti labuh kain atas samping atas lutut untuk orang bujang dan labuh kain atas samping bawah lutut merujuk kepada orang yang sudah berkahwin.
Terdapat 11 ikatan samping yang dipelajari Faeez iaitu Janda Berhias, Sila, Teruna Mencari Jodoh, Dendang Perantau, P4ncvng, Bunga Tanjung, Laksamana Melamar, Asas Sisip Bunga Tanjung, Selit Pahang, Teruna atau Dara dan Fajar Menyingsing. Dan satu ikatan samping yang menjadi kegemarannya ialah Teruna Mencari Jodoh.
“Saya suka ikatan Teruna Mencari Jodoh kerana ‘kepala’ kain iaitu bahagian corak yang besar diletakkan di depan sebagai bukti status si pemakai masih lagi bujang. Memang saya bujang tapi saya suka ikatan ini bukan sebab nak cari jodoh, cuma lebih suka corak yang cantik ditonjolkan di depan,”ujarnya sambil berseloroh.
Mungkin ada menyangka Faeez hanya memakai pakaian Melayu tradisional ini pada majlis-majlis tertentu sahaja. Hakikatnya, pemuda yang bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan di sebuah gimnasium di Petaling Jaya, Selangor menggunakannya sebagai pakaian seharian. Tambahnya, dia mula memberanikan diri memakai baju Melayu lengkap dengan samping bila keluar secara kasual bersama rakan-rakan atau keluarga.
“Kebanyakan kisa biasanya pakai baju Melayu dan samping pada Hari Raya, majlis perkahwinan atau solat Jumaat tapi saya selesa memakainya di mana-mana di luar waktu kerja dan selain berada di rumah. Ya, ke mana saja. Dari beli barang dapur tolak troli di pasar raya hinggalah lepak bersama kawan-kawan di kedai mamak atau kafe, saya tetap selesa memakai baju Melayu, samping dan tanjak,” katanya.
Selepas memakai busana ini sejak dua tahun lepas, tidak sah jika ada pertanyaan dalam kalangan orang ramai setiap kali melihat Faeez segak memakai pakaian Melayu tradisional berjalan di tempat awam. Tambahnya, “Ada yang tanya saya, baru balik dari show ke? Mereka ingat saya baru selesai persembahan budaya. Saya jawab bukan, saya keluar jalan-jalan saja.”
Untuk membaca koleksi artikel beliau dengan kami, bolehlah ke pautan: https://thepatriots.asia/author/faeez/
Follow Twitter beliau: https://twitter.com/H_Bakkaniy
FB beliau: https://www.facebook.com/HarithAlBakkaniy
RUJUKAN:
Shu-Aswad Shuaib, I. (2020). “Ya, ke mana saja… beli barang, tengok wayang” – Lelaki ini bangga pakai baju ala hulubalang tengah bandar, dedah ramai tersalah pilih teknik ikat samping. mStar.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih