Pada penghujung bulan Oktober 1951, Usman Awang bersama Jamil Sulong telah membuat keputusan berhijrah ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Usman Awang mengenali Jamil Sulong ketika mereka sama-sama menceburkan diri dalam sebuah persatuan penulis iaitu Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) sekitar awal tahun 1950-an.
Usman Awang sebelum itu bertugas sebagai anggota polis di Rumah Pasung Batang Tiga, kira-kira tujuh kilometer ke utara Melaka. Di sinilah Usman Awang mula menulis sajak dengan menggunakan nama pena “Tongkat Warrant”. Semasa bertugas sebagai polis, beliau beranggapan bahawa pekerjaan itu tidak sesuai dengan dirinya. “Saya tak dapat menangkap orang, saya cepat kasihan, saya tak dapat menjadi polis yang baik. Saya rasa berat untuk mengangkat tangan memberi tabik pada pegawai atasan saya di khayalak ramai, apa lagi saya tahu pegawai atasan itu memang mengharapkan salut saya untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai” kata Usman Awang.
Jamil Sulong pula selain menjadi penulis ketika itu, beliau juga sering melukis komik dan menghantarnya ke majalah Hiburan di Singapura yang dikelolai oleh Hamzah Hussin. Melalui ruangan “Sahabat Pena” majalah itulah Jamil Sulong berkenalan dengan Jaafar Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Jymy Asmara. Ketika itu Jymy Asmara bekerja sebagai pembaca pruf sambilan.
Hamzah Hussin telah memberi perkhabaran kepada Jamil Sulong bahawa pihak studio Malay Film Productions (MFP) sedang mencari seorang penulis yang boleh menterjemahkan skrip dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu (penolong pengarah). Jamil Sulong dengan segera memohon kekosongan jawatan tersebut dan seterusnya mendapat panggilan temu duga daripada pihak MFP.
Usman Awang juga bercadang untuk berhijrah mencari pekerjaan di Singapura. Pada masa itu akhbar Melayu Raya baru diterbitkan dan memerlukan tenaga kerja. Usman Awang bersama Jamil Sulong kemudiannya menghubungi Jymy Asmara untuk mengatakan bahawa mereka akan datang ke Singapura dan ingin menumpang tinggal di tempatnya buat sementara.
Setelah meletakkan jawatan sebagai polis pada awal tahun 1951, Usman Awang yang bersahabat baik dengan Jamil Sulong telah meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk mengejar cita-cita di Singapura. Kata Usman Awang, “Saya bersahabat baik dengan Jamil Sulong dan dia mengajak saya ke Singapura sebab di sana bukan saja pusat politik dan ekonomi tetapi juga pusat kebudayaan.”
Mereka berdua menumpang tinggal di rumah kotak Jymy Asmara yang terletak di Kampung Batak, Jalan Eunos, Kampung Melayu. Menurut kata Jamil Sulong, “Bilik itu sungguh kecil, bahkan pernah kami gelarkan bilik sarang tikus,”. Usman Awang pula berkata semasa tidur, tikus akan merayap di atas badan dan di celah-celah ‘benda’ mereka.
Ketika itu juga pihak MFP sedang mencari bakat-bakat baharu untuk diberi peranan di dalam filem-filem terbitannya. Oleh sebab itulah juga Jamil Sulong telah mengaturkan sesi uji lakon (screen test) untuk Usman Awang di studio berkenaan. Usman Awang dipanggil oleh pihak MFP untuk menjalani screen test pada hari yang sama Jamil Sulong dipanggil temu duga sebagai penolong pengarah.
Sementara menunggu hari yang ditetapkan, Usman Awang dan Jamil Sulong telah berkenalan dengan seniman popular P. Ramlee dan H.M Rohaizad (salah seorang penolong pengarah di MFP). Ketika itulah P. Ramlee menggalakkan supaya Usman Awang pergi menghadiri screen test untuk menjadi pelakon filem. Akan tetapi, sehari sebelum hari yang ditetapkan untuk screen test, Jymy Asmara telah memberitahu Usman Awang bahawa ada jawatan kosong sebagai pembaca pruf di akhbar Melayu Raya. Beliau mencadangkan supaya Usman Awang memohon jawatan itu.
Cadangan Jymy Asmara itu dipersetujui oleh Usman Awang. Beliau merasakan bahawa dirinya lebih sesuai dengan pekerjaan di surat khabar dan sememangnya itulah tujuan asalnya berhijrah ke Singapura – untuk mencari kerja di syarikat-syarikat percetakan.
Usman Awang telah memutuskan untuk tidak menghadiri screen test yang telah diaturkan oleh Jamil Sulong. Keesokan harinya, Jamil Sulong terpaksa pergi ke Jalan Ampas bersendirian untuk menghadiri sesi temu duga sebagai penolong pengarah. Usman Awang dengan bantuan Jymy Asmara kemudiannya menghadiri sesi temuduga sebagai pembaca pruf di Melayu Raya dan beliau lulus serta diterima bekerja di sana.
Walaupun Usman Awang merasakan bahawa dirinya tidak sesuai menjadi seorang bintang filem, beliau akhirnya berada di layar perak juga hampir 39 tahun kemudian. Usman Awang telah diundang untuk berlakon di dalam filem MAT SOM (1990) arahan Hatta Azad Khan. Di dalam filem tersebut, beliau membacakan sebaris puisi ciptaannya iaitu “Bagaimana Kalau…” di dalam sebuah babak malam baca puisi.
Antara bait-bait puisi yang dibacakan dalam babak tersebut ialah:
“Bagaimana kalau pada suatu saat
ketika menjalankan tugas yang maha berat
untuk segala keturunan dan zuriat
Pak Mudim tersilap meletakkan mata pisau
terpangkas sampai ke pangkal…
Tercapaikah impian Perdana Menteri meningkatkan
penduduk Malaysia sebanyak 70 juta?”
Sumber:
Buku
- Sasterawan Negara Usman Awang oleh Zurinah Hassan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990)
- Biografi Usman Awang: Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006)
- Warisan dan Wawasan oleh Jamil Sulong (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007)
- Kekasih oleh Sasterawan Negara Usman Awang (UA Enterprises, 2013)
Foto:
- Yayasan Usman Awang
- Warisan dan Wawasan oleh Jamil Sulong
- Filem MAT SOM (1990) arahan Hatta Azad Khan. Diterbitkan oleh Strawberry FTV Sdn. Bhd.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih