Dunia geopolitik Asia baru sahaja dikejutkan dengan satu berita yang cukup panas semalam apabila Washington secara rasminya meluluskan satu pakej penjualan senjata kepada Taiwan yang nilainya bukan sikit-sikit, mencecah USD 11.1 Bilion atau sekitar RM 49 Bilion.

Ini bukan pembelian runcit, sebaliknya ia adalah pembelian borong terbesar dalam sejarah hubungan ketenteraan kedua-dua pihak yang jelas memberi isyarat bahawa Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump kini mengubah gear dalam strategi Indo-Pasifik mereka.

Kenapa China sangat “panas punggung” dengan berita ini? Bukan kerana nilai dolar yang besar itu, tetapi lebih kepada jenis “mainan” yang bakal mendarat di Taipei.

Jika kita bedah senarai senjata yang dibeli, kita akan nampak satu perubahan strategi ketenteraan yang sangat drastik daripada pihak Taiwan yang tidak lagi obses membeli jet pejuang mahal atau kapal perang gergasi yang mudah ditembak jatuh.

Sebaliknya, Taiwan kini beralih sepenuhnya kepada strategi yang dipanggil “Porcupine” atau Strategi Landak dengan matlamat menjadikan pulau kecil itu “berduri” dan sangat menyakitkan jika cuba ditelan oleh naga China.

Lihat sahaja senarai barang yang diluluskan seperti 82 unit sistem roket HIMARS, 60 unit meriam bergerak Howitzer M109A7, dron “Kamikaze” Altius dan ribuan peluru berpandu anti-kereta kebal Javelin serta TOW.

Pemilihan senjata ini bukan dibuat secara rawak kerana HIMARS misalnya, sudah terbukti “lethal” di medan perang Ukraine dengan kemampuannya membedil sasaran jauh dengan ketepatan tinggi kemudian bergerak pantas (shoot and scoot) sebelum musuh sempat membalas.

Bagi perancang tentera di Beijing, kehadiran 82 unit HIMARS bermakna sebarang cubaan pendaratan amfibia di pantai Taiwan akan disambut dengan hujan roket yang mampu menghancurkan armada pendarat sebelum sempat askar China memijak pasir pantai.

Dalam masa yang sama, isu ini mendedahkan realiti geopolitik yang lebih licik di mana AS sebenarnya sedang bermain serampang dua mata. Di satu sudut, mereka menghantar mesej kepada China bahawa kos untuk menyerang Taiwan kini menjadi terlalu mahal, satu konsep yang dipanggil Deterrence.

AS mahu China berfikir sepuluh kali sebelum menekan butang perang kerana risiko kegagalan operasi menjadi sangat tinggi apabila berdepan dengan “landak” yang bersenjata lengkap.

Namun di sudut yang lain, terdapat tekanan ekonomi yang dikenakan ke atas Taiwan sendiri. Naratif dari Washington kini jelas bahawa “tiada perlindungan percuma” apabila Taiwan didesak hebat untuk menaikkan bajet pertahanan mereka sehingga mencecah 3% malah mungkin 5% daripada KDNK menjelang 2030.

Ini bermakna duit rakyat Taiwan yang sepatutnya digunakan untuk membina sekolah dan hospital, kini terpaksa “dibakar” untuk membeli besi-besi perang buatan Amerika demi kelangsungan hidup negara tersebut.

China pula tidak duduk diam dan terus bermain taktik “Grey-zone Operations” dengan menghantar jet dan kapal perang bagi tujuan mengepung serta menceroboh zon pertahanan udara Taiwan hampir setiap hari.

Tujuannya adalah untuk meletihkan mental tentera dan rakyat Taiwan tanpa perlu melepaskan satu das tembakan pun, seolah-olah ular yang membelit mangsanya perlahan-lahan sehingga lemas.

Kini papan catur di Selat Taiwan sudah berubah wajah dengan Taiwan bersiap sedia menjadi kubu landak yang penuh duri, manakala China terus mengetatkan lilitan mereka.

Persoalannya sekarang, sampai bila permainan tarik tali yang berbahaya ini boleh bertahan sebelum salah satu pihak tersalah langkah? Apa yang pasti, dengan ketibaan senjata bernilai berbilion dolar ini, Selat Taiwan kini akan secara rasminya bakal menjadi titik paling panas dan paling mahal di muka bumi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.