Pada tahun 1929, pejuang revolusi dan pemimpin Persekutuan Republik Sosialis Soviet, Mikhail Kalinin mengemukakan idea untuk membentuk wawasan baru bagi wilayah-wilayah di Asia Tengah iaitu mendidik suku-suku Kyrgiz nomad, petani-petani Uzbek dan Turkmen tentang ideologi dan visi golongan pekerja yang bertunjangkan fahaman Leningrad.

Rancangan itu merupakan perintah yang paling tinggi, terutamanya kerana apabila ia melibatkan soal agama. Tahukah anda, pada awal abad ke-20, Kira-kira 90 peratus penduduk Asia Tengah adalah beragama Islam, dan ia kekal begitu walaupun beberapa dekad kemudian fahaman Atheist menjadi pegangan pemerintah negara yang kemudian dikenali sebagai Kesatuan Republik Sosialis Soviet.

Stalin, Lenin dan Kalinin

Maka, pada awal tahun 1920-an, pemerintah Soviet secara efektif bertindak mengharamkan Islam di Asia Tengah. Sebarang buku dan kitab yang ditulis dalam bahasa atau tulisan Arab akan dibakar, dan orang Islam tidak dibenarkan memegang jawatan di peringkat pentadbiran yang tinggi.

Mahkamah syariah dan pusat pengajian Islam atau madrasah ditutup, ketika itu, hendak melaksanakan kewajipan ibadat sebagai seorang Muslim di bawah pemerintahan komunis adalah hampir mustahil. Pada tahun 1912, terdapat kira-kira 26,000 buah masjid di seluruh Asia Tengah. Namun, menjelang tahun 1941, hanya ada 1,000 yang dicatatkan dan kebanyakannya sudah tidak beroperasi sebagai pusat ibadat.

Semua usaha itu dilaksanakan demi melenyapkan terus kepercayaan penduduk Asia Tengah terhadap Islam, sebagaimana Soviet cuba untuk memisahkan bangsa-bangsa Turk di Asia Tengah dengan kerajaan Turki pasca Uthmaniyyah di Anatolia, walaupun usaha itu berjaya namun Russia (sebelum Soviet) gagal dalam usaha menggantikan bahasa-bahasa Turkik yang ditutur oleh seluruh bangsa Turk.

Ia kerana tindakan Mustafa Kemal Ataturk melaksanakan reformasi bahasa dan sistem tulisan di Turki selepas berjaya menuntut kemerdekaan bangsa Turki di Anatolia yang kemudiannya mempengaruhi hampir seluruh masyarakat Turk sejauh dari Asia Kecil hingga ke Asia Tengah dan Parsi.

CUBAAN MENGHAPUSKAN BUDAYA DAN AGAMA OLEH SOVIET

Soviet kemudian mengalihkan fokus kepada usaha untuk menghapuskan pegangan agama Islam Asia Tengah, namun usaha itu hanya memburukkan keadaan dengan menyebabkan bermulanya kebangkitan semangat “jihad” kaum Muslim yang dianggap sebagai “radikal” oleh dunia.

Inilah trend melenyapkan identiti yang sering dimainkan oleh penjajah-penjajah secara berulang-ulang sejak beberapa abad yang lalu di setiap sudut dunia ini, hinggalah salah satu trend itu dilaksanakan Russia hingga mencetuskan kesan konflik yang buruk, bahkan ia berterusan hingga ke hari ini, namun mereka terus berselindung di sebalik retorik per*ng melawan keganasan.

Stalin, Lenin dan Kalinin

Namun tidak dinafikan, hari ini budaya radikalisasi umat Islam di Asia Tengah berada pada tahap yang membimbangkan berikutan kemunculan kumpulan IS suatu ketika dahulu.

Ribuan orang dari pelbagai negara menyertai perjuangan ekstrim gerakan IS, pada tahun 2017, media Turki melaporkan 39 orang dibun*h dalam sebuah ser*ngan terhadap kelab malam di Istanbul dan ia dilakukan oleh kumpulan dari etnik Uyghur yang berasal dari Kyrgyzstan.

Pada tahun 1930-an, tindakan Soviet dalam gerakan menentang Islam secara kekerasan telah membuatkan para imam dan pemimpin Islam moderat tidak berani lagi mengeluarkan suara.

Tetapi para pemimpin fundamentalis bergerak secara senyap dalam usaha mengumpulkan para pengikut mereka. Salah seorang yang paling terkenal adalah Shami-damulla, seorang tokoh berbangsa Uzbek dengan pandangan Islam yang sangat konservatif.

Dia telah disumbat ke dalam penjara pada tahun 1932, namun dia berjaya meninggalkan gerombolan para pelajarnya yang meneruskan dakwah secara “berani m*ti” di masjid-masjid samaran (masjid sementara) dan di pusat-pusat pendidikan Islam yang beroperasi secara rahsia.

KEBANGKITAN KEMBALI ISLAM ASIA TENGAH

Akhirnya, menjelang era pemerintahan Joseph Stalin, Stalin telah “melembutkan” sedikit pandangan Kesatuan Republik Sosialis Soviet mengenai kepercayaan agama dan prinsip Atheist pada tahun 1940-an, kumpulan pendakwah ini bersedia untuk mendominasi sektor pentadbiran awam di bawah kerajaan. Secara peribadi, penulis berpandangan ia dilakukan bagi meraih sokongan pejuang-pejuang Muslim bagi menghadapi Jerman dalam Per*ng Dunia Kedua.

Mereka berjaya melakukannya, kemudian pada tahun 1970-an budaya dan amalan ibadat Islam mula kembali disuburkan di sebahagian besar Asia Tengah. Mereka meraikan kembali bulan Ramadan, bercuti pada hari perayaan seperti Aidilfitrii dan Tahun Baru musim bunga Novruz (perayaan tradisi bangsa Turki kuno yang masih disambut umat Islam hari ini) disambut secara terbuka, masjid-masjid semakin banyak dibina.

Pada tahun 1980-an, Soviet tersilap langkah apabila memicu kemarahan golongan Muslim fundamentalis ke tahap maksimum gara-gara pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan, tindakan ini menyebabkan semakin ramai orang Asia Tengah bangkit menentang Uni Soviet. Lebih-lebih lagi ketika beberapa tahun sebelum itu Revolusi Islam di Iran baru saja berjaya dilaksana.

Ditambah pula dengan butanya pemerintah Soviet terhadap salah satu kelemahan mereka sendiri yang dipandang remeh, ketika itu Soviet benar-benar gagal mengawal isu pintu sempadan mereka yang kurang efektif menguatkuasakan sekatan perjalanan keluar masuk sempadan, ia meghasilkan aliran maklumat dalaman dapat dibawa keluar dengan lebih cepat secara bebas dan memudahkan kemasukan orang-orang dari Timur Tengah.

Ketika kerajaan Kesatuan Soviet di ambang kejatuhan, gerakan Islamis yang radikal telah pun membentuk rangkaian yang besar dan sangat kuat hampir di seluruh benua, kekuatan ini menjadi penyumbang untuk mereka mengambil alih pemerintahan negara-negara yang dihuni majoriti bangsa Turk dan Parsi.

Namun ia mewujudkan sempadan-sempadan baharu yang memisahkan bangsa Turk seperti Turkmenistan, Azerbaijan, Kazakhstan dan lain-lain, namun Turkistan Timur kekal berada dibawah kedaulatan kerajaan Republik Rakyat China.

PERANAN GERAKAN RADIKAL ISLAM SEBELUM DAN SELEPAS SOVIET JATUH

Salah satu sumbangan gerakan Islam yang radikal dalam pembentukan negara-negara ini adalah pada tahun 1991 di mana sekumpulan militan menawan bangunan yang pernah menjadi ibu pejabat Parti Komunis di sebuah kota di Uzbekistan, mereka menuntut penubuhan sebuah negara beragama secara sah di mana undang-undang syariah dilaksanakan dan anak-anak dipisahkan mengikut jantina di sekolah.

Pada tahun 1992 pula, kumpulan militan yang sama pernah menjadikan pegawai dan ketua pihak berkuasa tempatan sebagai tebusan dengan tuntutan yang sama.

Di sudut yang lain dalam negara yang sama, Presiden Republik Sosialis Soviet Uzbekistan mer*ngkap setiausaha pertama Parti Komunis Soviet Uzbekistan, Islam Abdugʻaniyevich Karimov telah didesak oleh ribuan penunjuk perasaan Islam yang menuntut pemerintah yang lebih bertanggungjawab atas beberapa isu politik semasa termasuklah tindakan autokratik nya dalam pilihanraya.

Islam Karimov

Karimov dan pemimpin lain di wilayah itu dengan segara memutuskan untuk mengambil tindakan yang keras. Umat ​​Islam dengan pegangan keimanan yang tinggi menjadi ancaman terhadap rejim mereka, dan golongan autokrat ini akhirnya melaksanakan tindakan tipikal gaya Soviet era pra-Stalin demi memastikan agama itu berada di bawah kawalan kuasa politik pemerintah.

Namun, dalam satu kejadian, seramai lebih kurang 400 daripada lebih 500 orang penunjuk perasaan terbun*h dalam satu peristiwa pembantaian yang masih menjadi kontroversi, ia berikutan pihak kerajaan menuduh pembun*han itu dilakukan oleh kumpulan pelampau Islam.

Namun menurut kenyataan Ikrom Yakubov, seorang bekas pegawai perkhidmatan rahsia Uzbekistan yang berpaling tadah dan lari ke Britain pada tahun 2007, ser*ngan itu diarahkan sendiri oleh presiden Karimov kepada tent*ra kerajaan, ia dikatakan sebagai salah satu langkah Karimov untuk mengekalkan kestabilan kuasa politiknya dengan memutarbelitkan kejadian itu lalu menuduh kumpulan Islam sebagai bertanggungjawab.

Pihak kerajaan Uzbekistan Soviet sebenarnya telah membun*h karekter ideologi komunisme itu sendiri apabila kembali menindas golongan penganut beragama Islam, melarang sebarang bentuk aktiviti ibadah, bahkan aktiviti sastera keagamaan di tempat awam juga tidak dibenarkan dan mereka melarang kegiatan sebarang kumpulan politik Islam yang tidak sesuai dengan selera mereka.

ISLAM ASIA TENGAH TERUS DITEKAN

Umat ​​Islam di Asia Tengah pada era Soviet boleh dihukum jika berbincang soal agama di luar masjid atau membawa Al-Quran yang telah diisytiharkan sebagai “barang terlarang”. Menurut laporan Human Rights Watch, ribuan umat Islam telah diseksa dan dipenjarakan di wilayah itu kerana terus mengamalkan kebebasan beragama walau dilarang.

Di Kyrgyzstan, teks ucapan khutbah Solat Jumaat atau apa sahaja teks berbentuk ucapan awam yang akan disampaikan oleh golongan pendakwah wajib diperiksa dan ditapis terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Uzbekistan bahkan pernah melarang kaum lelaki menyimpan janggut, menjadikan pemakaian pakaian Islamik sebagai salah satu bentuk kesalahan sivil, dan restoran halal tidak dibenarkan beroperasi namun sebenarnya ia kekal beroperasi secara rahsia.

Penindasan terhadap hak beribadat sebegini sekali lagi mendorong umat Islam yang mainstream kembali bergerak secara bawah tanah hingga melahirkan kembali gerakan yang radikal.

Hari ini, International Crisis Group, sebuah NGO yang memantau konflik-konfli antarabangsa telah menganggarkan sekitar 2,000 hingga 4,000 masyarakat di Asia Tengah telah terlibat dalam gerakan radikal.

Beberapa tahun yang lepas, Gerakan Islamik Uzbekistan pernah bekerjasama dengan kumpulan Taliban dan beberapa kumpulan lain, mereka pernah berper*ng melawan tent*ra pakatan dan kerajaan di Afghanistan serta melakukan ser*ngan di Pakistan.

Sekitar tahun 2017, pihak polis di Bishkek, ibukota Kyrgyzstan, telah berbalas tembakan dengan anggota militan pengganas IS di tempat awam, kejadian itu membun*h enam dan mencederakan tujuh yang lain.

Bahkan para pemimpin politik dan jabatan sebuah kerajaan sendiri pun adakalanya terpikat dengan perjuangan IS. Pada tahun 2016, seorang ketua polis elit Tajikistan berpaling tadah dengan menyertai pasukan IS. Dalam sebuah video yang disiarkan di YouTube, dia menggelar pemerintah Tajikistan sebagai “anjing” dan bersumpah akan menyebarkan seruan ‘jihad’ ke Rusia dan Amerika Syarikat.

Tapi perlu diingat, penyertaan beliau ke dalam IS dan retorik seruan jihad itu tidak semestinya demi Islam, tetapi ia adakalanya kerana kegagalan pemerintah kerajaan sendiri dalam meraikan kepercayaan beragama, jika di negara China sekitar era Rev*lusi Budaya, pemimpin-pemimpin parti Komunis China menjadikan Maoisme sebagai “panduan negara” yang diwarisi dari idea asal Komunis iaitu Marxisme.

Mereka pernah melakukan penindasan yang keras terhadap populasi yang beragama, bukan Islam sahaja tetapi bahkan Kristian, Buddha dan Hindu turut sama ditindas, bahkan hingga hari ini masih wujud sentimen sedemikian namun melalui pendekatan yang lebih halus iaitu institusi keagamaan haruslah dikawal oleh kuasa politik Parti Komunis China sendiri.

Upacara simbolik membakar hijab di Andijan pada Hari Wanita Antarabangsa pada tahun 1927.

Namun ketika itu boleh dikatakan amat kecil peratusan kebangkitan perjuangan berasaskan agama, mungkin ia kerana penindasan tersebut ‘tidak bersikap bias’, tidak memilih kaum dan berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Soviet yang lebih cenderung melipat gandakan kempen menindas penganut agama Islam.

Sepanjang tahun 1932 hingga 1937, satu perancangan kempen oleh kerajaan Soviet yang dikenali sebagai “Lima Tahun Tanpa Tuhan,” dengan tujuan untuk membuat golongan beragama melupakan nama Tuhan sedang berjalan seawal 1 Mei 1937.

Bahkan para aktivis politik sosialis/komunis turut bersaing secara pertaruhan dalam kempen tersebut, mereka akan menilai siapa yang paling cepat berjaya melakukan propaganda hingga menutup lebih banyak masjid dan madrasah.

Hari ini, penduduk Muslim ramai yang mula menyertai gerakan dan parti-parti Komunis dan Sosialis yang tumbuh bagaikan cendawan di negara-negara majoriti Muslim sekitar Asia Barat seperti Popular Front for Liberation of Palestine, Syrian Communist Party, atau Communist Party Of Afghanistan.

Mungkinkah Asia Barat akan menjadi pioneer kepada ideologi “komunisme yang beragama?”

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.