Apa yang membezakan manusia dengan haiwan? Ciri-ciri fizikal antara manusia dan beruk jelas sekali sama. Masing-masing berwajah, berlengan dan berkaki. Namun perbezaan paling jelas terletak pada kerohanian sebuah spesis itu sendiri, atau dengan kata lain kewujudan akal. Benar apa yang dipercayai ramai – akal meletakkan tanda aras kemanusiaan bagi seorang manusia. Disebabkan itulah haiwan tidak berupaya untuk menjadi manusia.
Daripada akal datangnya pelbagai jenis manfaat. Manusia boleh berfikir secara kritikal dan empirikal, membolehkan penulisan, pemahaman dan pertuturan. Kebebasan berkarya yang dinikmati manusia pula mencetuskan pembangunan kebudayaan pula, apabila seni dijadikan dorongan. Selain daripada agama, kegiatan seni pun antara warisan tertua manusia juga.
Hari ini lukisan dan tulisan tertentu memajukan sebuah budaya. Contohnya Claude Monet, Edgar Degas dan Georges Seurat membuatkan Perancis dipandang tinggi kerana lukisan. J.D. Salinger, Margaret Mitchell dan Mark Twain pula mengharumkan nama Amerika Syarikat dalam dunia penulisan. James Cameron, Martin Scorsese dan Steven Spielberg pula meletakkan definisi sendiri dalam bidang berkaitan filem.
Namun berpuluh-puluh ribu tahun dahulu, manusia prasejarah pun bergiat aktif dalam dunia kesenian. Cuma masalah dengan zaman prasejarah ialah ketandusan bahan bukti empirikal yang membolehkan kesimpulan. Sungguhpun begitu, seni seperti ukiran, arca (sculpting) dan lukisan gua memainkan peranan penting dalam evolusi kemanusiaan. Idea dan emosi zaman itu masih berkekalan untuk tatapan sekarang (dan masa depan).
Pada tahun 2008, sepasukan saintis diketuai Nicholas J. Conard daripada Universiti Tubingen menemui suatu ukiran diperbuat daripada gading. Kalau dilihat dengan mata kasar pun, jelas sekali ada bentuk kewanitaan pada gading ini. Dan apabila dikaji, mereka mengenalpasti bahawa ukiran tersebut berusia sekurang-kurangnya 38,000 tahun.
Dalam garisan masa yang sama, juga di Tanah Jerman, pakar arkeologi Robert Wetzel menemui sebuah ukiran kayu berbentuk haiwan. Saiznya hanya 11 inci, tetapi ukiran melibatkan batu pada kayu menunjukkan Wetzel tentang teknik yang pernah masyhur pada zaman tersebut.
Sesuatu kesenian daripada 40,000 tahun yang lalu jelas sekali menimbulkan persoalan besar tentang peradaban manusia pada zaman itu. Persoalan-persoalan yang bermain dalam fikiran ialah: (1) apakah ukiran-ukiran ini berkait (keagamaan)? (2) dari manakah asalnya ilmu ukiran ini? (3) untuk apa ukiran ini dibuat? (4) apakah hanya bangsa tempatan itu sahaja pandai mengukir? (5) wujudkah elemen-elemen kenabian yang memainkan peranan?
Dua penemuan di benua berbeza menafikan soalan keempat. Sekitar 37,900 S.M., sebuah komuniti telah meninggalkan lukisan gua bagaikan seekor kerbau di Sulawesi, Indonesia (BBC, 2019). Ataupun itu yang difahami manusia, kerana lukisan tersebut bagaikan terpecah.
Pengkaji Adam Brumm daripada Universiti Griffith berpendapat lukisan ini boleh berusia 40,900 tahun pun. Dan konteks keseluruhan menunjukkan seolah-olah seekor kerbau gergasi dicvcvk manusia (lihat bahagian kiri sebelum kepala kerbau). Dan lukisan satu lagi ialah seekor babi besar yang mungkin dilukis 43,9000 tahun lalu.
Walaubagaimanapun, lukisan-lukisan ini jauh sekali tertua dunia. Kerana setahun sebelumnya, pasukan sains yang diketuai Christopher Henshilwood menemui sebuah batu bersejarah di Afrika Selatan. Apabila dikaji, batu ini mempunyai lukisan tanah liat yang berusia 73,000 tahun. Tanah liat yang digunakan pula ialah ochre yang berwarna seakan-akan merah. Dan Henshilwood juga berpendapat bahawa batu ini ialah cebisan daripada suatu permukaan lebih besar kerana garisan-garisan sedia ada nampak seolah-olah terhenti atau berakhir begitu sahaja (BBC, 2018).
Sekali lagi ini pun bukan bahan kesenian tertua dunia. Di wilayah Madhya Pradesh, suatu ukiran pada permukaan batu ditemui berasal sekitar tahun 290,000 S.M (Bednarik, 2009). Penemuan begitu mengejut ini mencungkil keluar budaya Acheulea yang telah lama terbenam dek zaman. Tidak banyak yang diketahui tentangnya, melainkan kebarangkalian tinggi bahawa ia diukir 700,000 tahun yang lalu pun (berdasarkan jangkaan teknologi moden).
Sekitar zaman itu juga (290,000-700,000 tahun dulu), manusia telah terbukti secara saintifik berupaya untuk menguasai api. Bukti paling awal mendapati bahawa 700,000 tahun yang lalu, manusia telah menggunakan api untuk memasak dan memanaskan badan, sekaligus menghalang peny4kit dan pem4ngsa.
Memandangkan manusia sudah wujud sekitar ini dengan akal yang cerdik lagi kreatif, suatu lagi persoalan boleh diajukan: bilakah titik paling awal dalam garisan masa manusia?
RUJUKAN:
Bednarik, R.G. (2009, January). The Global Context of Lower Paleolithic Indian Paleoart. Hebei Normal University. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/280624214_The_Global_Context_of_Lower_Palaeolithic_Indian_Palaeoart
BBC. (2018, September 12). ‘Oldest known drawing’ found on tiny rock in South Africa. Retrieved from https://www.bbc.com/news/science-environment-45501205
BBC. (2019, December 12). Sulawesi art: Animal painting found in cave is 44,000 years old. Retrieved from https://www.bbc.com/news/world-asia-50754303
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih