Perang Dunia Kedua (WWII) sudah diketahui sebagai antara medan peperangan paling berdarah dalam sejarah manusia. 60 juta tentera dan orang awam terbunuh dalam peperangan tersebut atau 3% daripada populasi dunia ketika itu berjumlah 2.3 bilion orang. Dalam semua teater peperangan WWII, teater peperangan paling panjang ialah Teater Pasifik memandangkan Jepun menyerang Manchuria pada tahun 1931 dan berperang dengan China pada tahun 1937. Dan antara bentuk kekejaman paling dahsyat pernah digunakan Jepun terhadap musuh-musuh mereka melalui unit perang biologi dikenali sebagai Unit 731.
Pada mulanya unit ini dikenali sebagai agensi penyelidikan dan kesihatan awam menerusi pengenalan ini, Jabatan Penyulingan Air dan Pencegahan Epidemik, Tentera Kwantung. Unit ini diletakkan di bawah seliaan Gestapo versi Jepun, Kempeitai pada awalnya tetapi diambil alih oleh Jeneral Shiro Ishii, seorang pegawai perubatan tentera dalam Tentera Kwantung. Mereka berpangkalan di daerah Pingfang, wilayah Harbin, Manchuria. Kemudahan senjata biologi yang dibangunkan unit ini dibina antara 1934 hingga 1939 dan mula dikenali sebagai Unit 731 secara rasmi pada tahun 1941.
Kebanyakan pembangunan senjata berbahaya ini menggunakan tahanan perang (POW) yang dipaksa menjadi tikus makmal kajian mereka. Jika tidak menjadi bahan ujikaji, mereka dijadikan bom biologi dengan menyuntik virus penyakit merbahaya dan melepaskan mereka kembali kepada populasi awam. Eksperimen kejam ini berterusan sehinggalah Unit 731 dibubarkan pada akhir WWII. Berikut antara eksperimen yang dijalankan terhadap POW dan orang awam:
Yoshimura Hisato, seorang ahli fisiologi Unit 731 amat berminat dengan hipotermia. Dan tidaklah mengejutkan sebahagian daripada kajiannya, rutin Hisato ialah menenggelamkan anggota badan POW dalam tab air dipenuhi dengan ais dan memaksa mereka berada di situ sehinggalah anggota tubuh mereka itu sejuk beku dan lapisan ais terbentuk pada kulit. Menurut keterangan seorang saksi, apabila anggota badan yang sejuk ini dipukul dengan tongkat, ia akan menghasilkan bunyi seperti sebatang kayu.
Jika itu saja tidak mencukupi, Hisato turut menggunakan kaedah lain iaitu memanaskan semula dengan pantas bahagian anggota badan yang kesejukan. Cara yang digunakan berbeza-beza di mana pada sesetengah masa, anggota kaki dan tangan ini akan disimbah dengan air panas. Ada tahanan dipaksa duduk berhampiran unggun api atau paling teruk, dibiarkan tanpa rawatan sepanjang malam. Saintis gila ini mahu melihat tempoh masa diperlukan bagi darah manusia untuk memanaskan kembali anggota tubuh yang kesejukan.
Memandangkan Unit 731 bermula sebagai unit penyelidikan, antara perkara yang diselidiki mereka ialah kecederaan yang dialami tentera semasa bertempur. Salah satu bahagian unit yang dipanggil Maruta melanggar etika perubatan dengan memerhati kecederaan dan penyakit pada pesakit yang masih hidup. Pada mulanya kebanyakan sukarelawan yang terlibat dengan eksperimen ini ialah anggota tentera. Tetapi apabila mereka sudah mencapai had eksperimen dibenarkan dan kehabisan sukarelawan, mereka mula memaksa POW dan orang awam sebagai bahan kajian mereka.
Memandangkan konsep keizinan tidak lagi terpakai, para penyelidik juga tidak lagi mengendahkan etika perubatan dan nilai kemanusiaan. Pada masa inilah, mereka yang terseksa ini dipanggil kayu balak atau Maruta dalam Bahasa Jepun. Kebanyakan eksperimen dijalankan bersifat zalim. Salah satunya ialah mereka dibedah tanpa disuntik dengan ubat bius dengan tujuan mengkaji sistem organ manusia. Ribuan tahanan tanpa mengira umur atau status seperti pemberontak komunis, petani berumur dan kanak-kanak akan disuntik dengan virus-virus seperti kolera dan wabak. Kemudian, organ mereka akan diambil untuk pemeriksaan sebelum mereka mati untuk mengkaji kesan penyakit tanpa proses pereputan yang berlaku selepas kematian.
Ada mangsa yang dipotong anggota tubuh mereka sebelum ianya disambung semula pada bahagian berbeza. Ada juga mangsa diseksa apabila anggota tubuh mereka dihancurkan, dibekukan atau saluran darah dipotong untuk mengkaji perkembangan gangren. Selepas mereka tidak lagi berguna pada unit tersebut, tahanan-tahanan ini dibunuh sama ada ditembak atau diberi suntikan maut. Dalam sesetengah kes, ada juga yang ditanam hidup-hidup Kebanyakan tahanan yang diserahkan kepada Unit 731 dari China, Mongolia, Korea dan Rusia mati dalam tahanan.
Semua tahu untuk menguji keberkesanan sesebuah senjata, pencipta senjata akan menggunakan bahan-bahan tertentu untuk menguji keberkesanan dari segi ketepatan atau pembunuhan. Bagi tentera Jepun, POW merupakan bahan terbaik untuk menguji senjata api mereka. Unit 731 akan membawa sekumpulan tahanan ke lapang sasar dan menembak mereka dari jarak berbeza-beza dengan senjata seperti pistol Nanbu, raifal, mesingan dan bom tangan. Corak kecederaan dan kedalaman penembusan akibat senjata ini akan dibandingkan dengan luka pada mayat dan tahanan yang terselamat.
Bagi menguji ketajaman pisau, bayonet dan pedang katana pula, kebanyakan tahanan ditikam atau dikelar dalam keadaan berikat. Penyembur api pula akan disembur pada kulit yang terdedah atau ditutup dengan kain. Dan seperti apa yang dilakukan Schutzstaffen (SS) di kem-kem tahanan Nazi Jerman di Eropah, Unit 731 turut membina kebuk gas dan menguji gas beracun dan ejen saraf pada POW. Objek berat dijatuhkan pada tahanan yang diikat untuk mengkaji impak kecederaan akibat objek berat. Ada sesetengah tahanan dipenjarakan dan tidak diberi makan dan minum untuk mengkaji bagaimana manusia boleh hidup tanpa dua keperluan ini. Tahanan ini hanya dibenarkan minum air laut atau diberi suntikan campuran darah manusia dan haiwan.
Ada juga tahanan didedahkan dengan sinaran X berpanjangan sehingga mengakibatkan kemandulan, kematian atau melecur teruk apabila plat sinaran tidak diberi kadar sebaiknya atau diletakkan di bahagian puting, kemaluan atau muka. Untuk mengkaji kesan tekanan graviti tinggi pada juruterbang dan askar-askar payung terjun, tahanan akan diletakkan dalam penggempar dan dipusing pada kelajuan tinggi sehingga tahanan tidak sedarkan diri atau mati, biasanya antara 10 hingga 15G.
Penyakit seksual merupakan satu ancaman kepada mana-mana kerajaan sejak zaman purba lagi. Maka tidak hairanlah, Unit 731 melakukan pelbagai kajian berkenaan penyakit sifilis. Unit ini menjangkiti tahanan dengan sifilis dan tidak memberi sebarang rawatan perubatan untuk melihat perkembangan penyakit tersebut. Ada ketikanya, pesakit diberi rawatan ejen kimoterapi primitif Salvarsan yang diberi selama beberapa bulan untuk melihat kesan sampingan rawatan. Untuk memastikan sifilis berleluasa dalam kalangan tahanan, tahanan yang sudah dijangkiti dengan penyakit ini akan dipaksa merogol tahanan wanita dan meliwat tahanan lelaki. Selepas itu, mereka akan diperhatikan untuk melihat simptom awal penyakit. Jika itu tidak berkesan, tahanan-tahanan ini akan terus dirogol atau diliwat sehingga kelihatan tanda penyakit sifilis.
Ibu-ibu mengandung mendapat layanan tidak berperikemanusiaan oleh Unit 731. Mana-mana tahanan perempuan yang dianggap boleh melahirkan anak akan dirogol dan dipaksa mengandung bagi membolehkan mereka menjalankan eksperimen senjata dan trauma. Selepas dijangkiti dengan penyakit merbahaya, didedahkan dengan gas beracun atau mengalami kecederaan akibat ujian senjata dan objek berat, kandungan mereka akan dibedah untuk melihat kesan ujian kepada fetus.
Antara tujuan pembangunan kemudahan senjata biologi pada tahun 1939 ialah membangunkan senjata biologi besar-besaran ke atas populasi China dan jika perlu, tentera Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Untuk mencapai agenda tersebut, unit tersebut mengekori pergerakan tentera Jepun ke bandar-bandar yang dijajah. Tahanan yang dikumpulkan pihak tentera akan dijangkiti wabak bubonik dan pneumonia serta tifus di mana ia disebarkan dari seorang ke seorang selepas ditahan dan dilepaskan kembali ke populasi.
Untuk memastikan virus yang dihasilkan lebih merbahaya, doktor-doktor dari unit ini akan memantau para pesakit untuk melihat tanda awal penyakit dan bagaimana ia berkembang cepat. Tahanan-tahanan yang terselamat akan ditembak mati sementara tahanan-tahanan yang mengalami simptom pantas akan diletakkan di meja rumah mayat dan dikeluarkan semua darah mereka sampai habis. Ada yang sampai tahap radikal dengan memijak sangkar rusuk tahanan yang terlalu sakit untuk mengeluarkan setiap titisan darah.
Tahanan-tahanan yang dijangkiti ini akan didedahkan kepada kutu, pembawa pilihan untuk virus wabak sebelum ia diletakkan bekas bom tanah liat dan digugurkan oleh pesawat pengebom ke atas populasi awam. Pada 4 Oktober 1940, 30,000 ribu kutu dilepaskan dari pesawat pengebom ke atas penduduk di perkampungan Quzhou. Akibat serangan tersebut, lebih 2,000 penduduk mati akibat wabak sementara 1,000 lagi mati akibat berjangkit dengan pekerja-pekerja keretapi yang sakit. Sementara serangan menggunakan antraks pula mengakibatkan 6,000 mati.
Semua eksperimen gila Unit 731 berakhir selepas kekalahan Jepun akibat serangan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima serta ancaman tentera Soviet. Kebanyakan rekod eksperimen dibakar dan dimusnahkan dan anggota unit terlibat kembali semula menjalani kehidupan seperti biasa, ada yang menjadi pensyarah terkemuka di universiti seperti Hisato. Kebanyakan anggota ini diberi imuniti seperti Ishii diberi imuniti oleh pihak Amerika Syarikat sebagai tukaran kepada maklumat senjata biologi yang dibangunkan. Bagi Soviet pula, 11 saintis terlibat dibicarakan dan dikenakan hukuman buruh paksa antara dua hingga 25 tahun di kem buruh Soviet. Jika anda merasakan penjenayah-penjenayah kejam ini terlepas dari undang-undang dunia, hukum Tuhan kembali menghantui mereka. Ishii mati di Tokyo pada usia 67 tahun akibat penyakit kanser tekak.
Sehingga ke hari ini, Jepun masih enggan mengakui dan mengiktiraf kewujudan unit 731 sehingga tahun 1990 tetapi masih enggan mendedahkan aktiviti mereka. Dan jika ada merasakan eksperimen ini hanya terhad di Manchuria dan China, anda salah. Pada tahun 2006, seorang doktor bernama Akira Makino menceritakan beliau diarah melakukan eksperimen ke atas POW semasa bertugas di Pulau Mindanao, Filipina.
Bulan lepas, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Shiga diketuai Profesor Emiritus Katsuo Nishiyama mendedahkan lebih 3,000 anggota unit 731 terdiri daripada nama, pangkat dan maklumat peribadi termasuk alamat dan ahli keluarga membabitkan 52 pakar bedah, 49 jurutera, 38 jururawat dan 1,117 anggota perubatan tentera. Kebanyakan yang disebut ini terikat dengan pangkalan utama unit tersebut di Harbin. Dan akibat daripada pendedahan ini, kumpulan ini mendesak Universiti Kyoto mengkaji semula penganugerahan ijazah kepada salah seorang anggota berkenaan kerana percaya kajiannya berdasarkan kajian unit kejam tersebut.
SUMBER
- Stockton, Richard. (2017). All Thats Interesting. Inside Unit 731, World War II Japan’s Sickening Human Experiments Program. http://allthatsinteresting.com/unit-731
- The Japan Times. (2018). Names of 3,607 members of Imperial Japanese Army’s notorious Unit 731 released by national archives. https://www.japantimes.co.jp/news/2018/04/16/national/history/names-3607-members-imperial-japanese-armys-unit-731-released/#.WvOvd1Xhi1t
- McCurry, Justin. (2018). The Guardian. Unit 731: Japan discloses details of notorious chemical warfare division. https://www.theguardian.com/world/2018/apr/17/japan-unit-731-imperial-army-second-world-war
- Malm, Sara. (2018). Daily Mail. The horrors of Japan’s WWII ‘human experiments unit’: disturbing images show how Chinese civilians and Allied POWs were dissected ALIVE and infected with the PLAGUE. http://www.dailymail.co.uk/news/article-5703193/True-story-Japans-WWII-human-experiments-Unit-731.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih