“Time, time, time
See what’s become of me
While I looked around
For my possibilities”

Begitulah lirik lagu Hazy Shade of Winter yang dinyanyikan semula oleh Gerard Way sebagai penutup kepada The Umbrella Academy. Lirik dan penyanyinya saya rasa cukup sesuai sekali mengiringi siri yang hebat ini. Sesuai kerana pencipta siri ini adalah Gerard Way sendiri, dan lirik lagu ini menggambarkan dengan tepat apa yang dialami oleh adiwira kita di akhir pengembaraan mereka.

Bagi yang belum menonton siri ini, ataupun secara amnya siapa yang tak faham apa yang saya coretkan di sini, eloklah saya terangkan dengan lebih lanjut. The Umbrella Academy adalah sebuah drama bersiri yang diterbitkan eksklusif untuk Netflix. Ianya diadaptasi dari komik dengan nama yang sama hasil karya Gerard Way dan Gabriel Ba.

Ya, Gerard Way yang saya sebutkan di sini adalah penyanyi utama kumpulan My Chemical Romance yang pernah mewarnai dunia remaja kebanyakan daripada kita. Siapa sangka penyanyi kumpulan rock ini mampu menghasilkan komik yang bukan sahaja mendapat sambutan yang memberansangkan, malah turut menerima anugerah siri komik terhad terbaik dari Eisner Award.

The Umbrella Academy adalah pada dasarnya sebuah kisah adiwira. Sama seperti X-men, Avengers dan juga Justice League, ia menceritakan tentang sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa hebat dan mereka menggunakannya untuk membantu orang dalam kesusahan. Nampak seperti biasa dengar kan premis seperti ini?

Tapi sebenarnya Umbrella Academy lebih dari itu lagi. Ianya “bukan biasa-biasa”. Untuk memahami kenapa kisah ini lain dari yang lain, eloklah saya ceritakan lebih mendalam tentang Umbrella Academy. Bagi mereka yang masih lagi belum menonton (ataupun membaca) kisah kumpulan adiwira yang hebat ini, eloklah anda elakkan diri dari meneruskan bacaan. “Spoiler alert” bak kata orang putih.

7 Orang Anak Yatim

Segalanya bermula pada 1 Oktober 1989, apabila 43 orang perempuan melahirkan anak serentak pada masa yang sama. Jika dilihat sekali lalu, tiada apa yang pelik pun jika 43 orang perempuan tersebut beranak pada saat yang sama sekalipun. Tetapi yang peliknya adalah, kesemua perempuan ini tidak mempunyai tanda-tanda mengandung pun pada mereka.

Seorang billionair, Sir Reginald Hargreeves mencari dan mengumpul 7 daripada anak-anak bertuah ini dan mengambil mereka sebagai anak angkat. Bermula daripada satu itu, kesemua anak-anak ini tidur di bawah satu bumbung dengan ehsan dari Sir Reginald Hargreeves. Sir Reginald juga membina sebuah android sebagai ibu dan juga “mengupah” seekor beruk sebagai penjaga rumah bagi membantu beliau untuk membesarkan 7 orang anak bertuah ini.

Seperti cerita adiwira yang lain, setiap dari 7 anak bertuah ini mempunyai kuasa mereka yang tersendiri. Yang pertama adalah Luther yang mempunyai kekuatan yang dasyat mengatasi manusia biasa. Yang kedua adalah Diego yang mampu melontarkan sebarang objek tepat pada pasaran.

Yang ketiga adalah seorang perempuan, Allison, di mana apa yang dibisiknya mampu menjadi kenyataan. Yang keempat, Klaus mempunyai kuasa untuk berkomunikasi dengan orang yang sudah mati. Yang kelima, dipanggil sebagai Five mempunyai kuasa untuk melompat melepasi ruang dan masa.

Yang keenam adalah Ben, yang mampu menyeru makhluk dari dimensi yang berbeza. Yang ketujuh pula, adalah Vanya, yang pada asalnya diberitahu tidak mempunyai sebarang kuasa istimewa. Namun begitu, Vanya sebenarnya adalah yang paling berkuasa diantara mereka bertujuh dan mampu memanipulasi bunyi sebagai tenaga.

Kesemua mereka dibesarkan dan dilatih oleh Sir Reginald Hargreeves dengan satu tujuan sahaja, untuk menjadi adiwira. Dan kuasa mereka digunakan sejak di usia persekolahan lagi bagi membantu mereka yang dalam kesusahan seperti menggagalkan rompakan bank, menyelamatkan orang dalam kebakaran dan memburu penyangak yang dikehendaki. Secara tidak lansungnya mereka diperkenalkan kepada dunia sebagai “Umbrella Academy”

Membesar Bagai Juara?

Membesar dalam Umbrella Academy bukanlah satu pengalaman yang indah bagi mereka bertujuh. Sir Reginald Hargreeves lebih suka menganggap mereka bertujuh sebagai rekrut adiwiranya berbanding sebagai anak yang perlu dicurahkan kasih sayang. Ketujuh beradik (izinkan saya menggunakan istilah beradik) ini tidak dapat mengenal erti kasih sayang dari ibu bapa.

Disebabkan itulah seorang demi seorang ahli Umbrella Academy meninggalkan tempat itu apabila mereka semakin menginjak dewasa. Bermula dengan Five yang lesap secara tiba-tiba setelah bertengkar dengan “ayahnya” Sir Reginald Hargreeves. Diikuti pula oleh Ben yang mati ketika menjalankan misi. Kemudian yang lain mula merasakan tinggal di situ bukanlah lagi satu kemestian.

Akhirnya yang tinggal hanyalah Luther, si nombor satu yang masih setia menjalankan misi dan mengikut kehendak “ayahnya”. Tetapi,Luther pun dihantar oleh Sir Reginald Hargreeves ke bulan selepas kemalangan ketika misi. Tinggallah Sir Reginald Hargreeves berseorangan di rumah agamnya di New York bersama android dan beruk penjaga rumah.

Anak-anaknya? Terus membesar tanpa pengaruh Sir Reginald Hargreeves. Allison menggunakan kuasanya bagi mendapat tempat sebagai pelakon dan selebriti popular Hollywood. Diego menggunakan kuasanya menjadi “vigilante” pada waktu malam. Klaus pula membesar menjadi penagih dadah yang tegar.

Vanya yang dihantui hidupnya dengan kepercayaan bahawa beliau seorang sahaja di antara adik-beradiknya yang tidak mempunyai kuasa mengalami kemurungan. Beliau menulis buku autobiografinya menceritakan hidupnya sebagai nombor 7 didalam Umbrella Academy dan secara tidak lansung mendedahkan rahsia keluarga. Jelasnya 5 beradik ini hidup berasingan buat satu tempoh masa.

Tetapi mereka akhirnya kembali bersama apabila tragedi menimpa The Umbrella Academy. Sir Reginald Hargreeves akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya membuatkan ahli Umbrella Academy berkumpul semula bagi memberi penghormatan terakhir. Pada masa yang sama juga Five muncul kembali dengan mesej yang dunia akan berakhir dalam masa 8 hari.

Selamatkan Dunia ataupun Keluarga?

Selepas itu apa yang terjadi? Sudah tentulah ahli Umbrella Academy berkumpul bersama, menggembleng tenaga bagi menyelamatkan dunia dari ambang kemusnahan. Mungkin pada mereka yang dah bosan menonton cerita adiwira, jalan cerita seperti ini nampak membosankan. Tapi sebenarnya Umbrella Academy lebih dari itu dimana ianya bukan sahaja satu cerita tentang menyelamatkan dunia, tapi juga menyelamatkan keluarga.

Disfungsi. Itulah satu perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keluarga Umbrella Academy. Kalau tengok pada maksudnya melalui laman sesawang DBP, keluarga disfungsi membawa maksud keluarga yang tidak memainkan peranan seperti yang diharapkan oleh masyarakat.

Yelah, yang si ayah membesarkan anak bagaikan rekrut tentera. Yang si anak sorang jadi penagih dadah. Seorang lagi, jadi artis, tapi hidup bercerai-berai. Yang sorang malam-malam mencederakan orang lain. Walaupun Umbrella Academy adalah keluarga adiwira, tapi mereka tetap tidak terlepas dari masalah sama yang membelenggui keluarga yang normal.

Serba tidak kena setiap ahli keluarga Umbrella Academy. Namun itulah yang menjadikan mereka unik dan berbeza berbanding siri adiwira yang lain. Umbrella Academy bukan sahaja sebuah cerita adiwira, itu hanyalah sisipan dalam karya ini. Umbrella Academy yang utamanya adalah sebuah drama keluarga.

Setiap dari ahli keluarga Umbrella Academy mempunyai hubungan yang unik dengan adik beradik mereka yang lain. Dan dengan perhubungan yang unik itu datangnya konflik dan perbalahan. Kadang-kadang bila menonton terasa macam tengok adik-beradik sedang bergaduh, tapi yang berbezanya masing-masing mempunyai kuasa.

Seperti yang saya tulis di atas tadi, Umbrella Academy adalah sebuah drama keluarga. Yang membawa satu mesej yang jelas, “air yang dicincang tidak akan putus”. Walaupun mereka bertujuh ini bukanlah adik beradik kandung, tetapi perhubungan yang mereka wujudkan adalah tulus ikhlas dari hati dan dibina dengan kasih sayang.

Mesej ini diperkuatkan lagi di akhir siri ini, apabila walaupun dengan usaha hampir kesemua ahli Umbrella Academy, mereka tetap tidak dapat menghalang kemusnahan bumi daripada berlaku. Tetapi, yang penting di saat akhir itu mereka akhirnya berkumpul bersama.

Keluarga adalah segalanya.

Rujukan dan Bacaan Lanjut

 Mancuso,Vinnie (Februari, 2019), “‘The Umbrella Academy’: How the Ending Improves on Gerard Way’s Comic” Collider

Machkovech,Sam (Februari, 2019), “Umbrella Academy’s Netflix series plays like a long-winded “X-Men-llennials” Ars Technica

Nelson,Samantha (Februari, 2019), “Netflix’s The Umbrella Academy feels like a bleak X-Men story” The Verge

Carian Umum DBP “disfungsi” .
http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=dysfunctional&d=69812&#LIHATSINI


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.