Cop! Soalan pertama: Apakah itu keadilan? Soalan kedua: Apakah mekanisme ekonomi? Soalan ketiga: Bagaimana ekonomi dan keadilan mampu bersatu? Saya menggaru-garu kepala saya yang tak gatal, barangkali kerana hendak acah-acah intelektual gitu.

Segala persoalan ini bermula semasa saya sedang menunggu rakan saya sedang membuka akaun Maybank di Kuantan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya mendapat hidayah untuk membelek dan membaca buku The Communist Manifesto oleh Karl Marx dan F. Engel (sekali lagi, percubaan acah-acah intelektual) dek kebosanan yang melampau kerana menunggu urusan bank.

Idea di dalam buku tersebut membawa saya menerawang kembali ke alam selepas habis SPM, sewaktu saya membaca buku falsafah pertama saya yakni The Road to Serfdom oleh F.A Hayek. Kedua-dua buku ini membawa falsafah ekonomi dengan tujuan yang sama, tapi berlainan arah. Karl Marx dan Engel membawa idea ultra sosialisme, manakala F.A Hayek, walaupun tak membawa idea ultra kapitalisme, beliau membawa idea kapitalisme yang menegah campur tangan kerajaan.

Sebelum kita bermula dengan lebih lanjut, saya perlu menegaskan apakah mekanisme ekonomi, apakah itu ultra sosialisme dan apakah itu ultra kapitalisme. Ekonomi secara dasarnya mengenai sistem penawaran-peniaga dan permintaan-pengguna (supply and demand). Peniaga menawarkan barang yang dimintai pengguna. Tanpa sistem ini, perkataan ‘ekonomi’ tak membawa makna. Imbangan supply dan demand ini akan mewujudkan ‘means of production’.

Sebagai contoh, lambakan ‘demand’ terhadap ‘supply’ yang sedikit akan menyebabkan harga barang menjadi mahal. Oleh itu, peniaga akan mencuba untuk meningkatkan ‘means of production’ demi mengimbangi ‘demand’ berkenaan. Perkara ni kita boleh lihat pada zaman Revolusi Industri. Demi meningkatkan penjualan arang batu, peniaga dengan usahasama jurutera mewujudkan mesin gali stim yang lebih efisien berbanding tenaga manusia.

Kapitalisme membawa maksud kepada kapital, yakni harta benda peribadi seorang inividu. Dalam kapitalisme, idea liberalisme atau hak kebebasan sangat diutamakan oleh pemikir-pemikir mereka. Dalam sistem ekonomi, seseorang itu bebas membuat pilihan dalam menawar dan memilih harta benda. Katakanlah, ada sebuah pasar yang dihuni 5 peniaga ayam dan seorang pembeli ayam. Peniaga-peniaga ini bebas menawarkan harga ayam dan pembeli tersebut bebas memilih harga ayam yang menarik.

Inilah konsep pasaran bebas dalam kapitalisme. Berkenaan ultra kapitalisme, ia adalah mengenai konsep laissez faire, yakni bebas sebebas-bebasnya. Berbalik kepada pasar tersebut, harga ayam oleh peniaga-peniaga tak patut dikawal dan diganggu supaya imbangan pasaran bebas ini tak terganggu.

Sosialisme membawa maksud kepada sosial, yakni kemasyarakatan. Dalam konteks ekonomi, sosialisme merujuk kepada pemilikan harta oleh masyarakat secara menyeluruh. Ini bermakna, kebebasan sistem ekonomi hendaklah diterhadkan dan dikawal. Berbanding kapitalisme, harga ayam dalam sistem ekonomi sosialisme perlu dikawal oleh kerajaan supaya harga pasaran sentiasa stabil dan tak terganggu teruk. Ultra sosialisme pula merujuk kepada komunisme, pemilikan harta benda oleh komuniti sejagat melalui campur tangan penuh oleh kerajaan.

Sebagaimana analogi pasar ayam, harga ayam di negara komunis sentiasa dikawal supaya tak melonjak. Namun, ingin saya tegaskan dalam komunisme, seseorang itu masih boleh mempunyai harta benda peribadi, tapi tak boleh melebih-lebih. Kamu hanya boleh mempunyai satu rumah sahaja, bukan 5 biji rumah terus.

Anda semua mungkin akan beranggapan sistem laissez faire ini lebih teruk berbanding komunisme (melalui penerangan saya di atas), tapi kalau ikutkan sebenarnya, pandangan laissez faire ini ada merit tersendiri. Tujuan utama kapitalisme/laissez faire bukanlah untuk menjadikan orang kaya lebih kaya dan orang miskin lebih miskin, tapi untuk meningkatkan produktiviti dan hak kebebasan manusia. Dua perkara ini akan membawa kepada satu benda: daya saing. Melalui daya saing para peniaga, harga barangan sepatutnya menjadi terkawal dan boleh jadi rendah kerana peniaga akan sentiasa cuba untuk menawarkan harga terbaik buat pembeli. Kira macam sale hari raya lah.

Semua benda nak diskaun macam tu kerana hendak menarik pembeli. Produktiviti yang tinggi juga akan membawa kesan limpah kepada teknologi sains kerana daya saing akan sentiasa memerlukan khidmat intelektual bagi meningkatkan tahap efisien. Tiada siapa pun sangka konvoi peniaga yang dahulu mencapai masa berbulan-bulan, sekarang hanya memakan masa kurang daripada sehari melalui kapal terbang.

Begitu juga dengan komunisme. Sistem ini tetap mempunyai merit. Sewaktu zaman Revolusi Industri yang Pertama, situasi masyarakat pada zaman tersebut adalah menyedihkan. Sistem kapitalisme telah melahirkan peniaga-peniaga yang lebih berkuasa daripada kerajaan, membolehkan mereka mencapai keuntungan yang lebih besar dengan kos yang amat sedikit. Secara mudahnya, sistem kapitalisme mewujudkan hamba moden. Contohnya pada zaman tersebut, kanak-kanak dan wanita bekerja dengan gaji yang sedikit dengan persekitaran yang berbahaya. Bukankah ini satu bentuk penindasan? Adakah ini adil? Adakah hak individu perlu dinafikan demi produktiviti yang tinggi?

Perkara ini menyebabkan peniaga yang bersimpati terhadap pekerja seperti Robert Owen untuk mewujudkan komuniti pekerja dengan persekitaran yang lebih elok. Sepatutnya, harta kapital perlulah dikongsi oleh orang ramai demi kebaikan bersama. Karl Marx kemudiannya datang dengan idea yang radikal, menggesa pekerja serata dunia supaya menggulingkan kapitalis-kapitalis tamak dan seluruh sistem ekonomi dikawal oleh para pekerja yang bertindak sebagai kerajaan. Melalui komunisme, harta dan komoditi negara mampu dikongsi secara menyeluruh dan harga pasaran kekal rendah. Kemuncak kepada komunisme adalah untuk menghasilkan pekerja yang mampu mencari kebahagian tanpa menjadi hamba abdi kepada ekonomi, bebas daripada kerisauan terhadap ancaman kemiskinan

Walau bagaimanapun, komunisme dan laissez faire ini bagi saya hanyalah mimpi basah semata-mata. Dalam komunisme, kerajaan mengawal sepenuhnya sistem negara. Kebebasan tak membawa kepada keadilan, tapi keadilan semestinya membawa tema kebebasan. Jadi, apakah hak kerajaan komunis untuk mengawal hak kebebasan manusia? Katakanlah Fatimah suka mengumpul komoditi seperti beg Hermes, jadi apakah kerajaan mempunyai hak untuk menegah Fatimah daripada mengumpul beg Hermes? Bukankah itu hak Fatimah? Sifat authoritarian kerajaan komusime hanya akan melahirkan spesis-spesis Big Brother yang mengawal segala aspek kehidupan rakyatnya, termasuk hak ilmu dan privasi.

Bayangkan kalau kerajaan bertindak menukar sejarah dan ilmu supaya masyarakat terpedaya, bukankah itu berbahaya? Selain itu, bukankah sepatutnya negara itu dibina oleh rakyat dan kerajaan, bukan kerajaan semata-mata? Dengan pengawalan harga barang secara menyeluruh, bukankah ini bermakna negara terpaksa menanggung beban ekonomi yang berat? Tengok sahajalah Kesatuan Soviet dan Venezuela, kedua-duanya punah dek beban ekonomi dan harga minyak yang menjadi murah. Utopia yang cuba dibawa oleh pihak komunis, akhirnya tersembam mencium lantai.

Laissez faire tak kurang juga dikutuk oleh pakar ekonomi. Sekalipun F.A Hayek menyokong tindakan campur tangan minimum oleh kerajaan, beliau menolak idea laissez faire kerana terlampau destruktif. Adakah anda boleh jamin bahawa semua peniaga ini tak tamak? Adakah anda berani jamin semua peniaga ni baik hati seperti Robert Owen dan Henry Ford? Atas sebab apakah kita perlu menidakkan hak pekerja demi produktiviti yang tinggi? Katakanlah sekiranya negara pengamal laissez faire dilanda kemarau teruk, hal ini akan menyebabkan harga gandum/padi terganggu.

Hasil yang kurang akan menyebabkan harga naik mendadak dan seterusnya mencetuskan kebuluran kerana harga tak mampu beli. Sepatutnya, kerajaan perlu campur tangan bagi menangani masalah ini tapi disebabkan konsep laissez faire, kerajaan tak boleh dan tak patut campur tangan atas sebab ekonomi. Adakah ini adil? Bagaimana pula dengan keadaan peniaga yang memonopoli gandum sewaktu kemarau tersebut. Bukankah secara tidak langsung ini memberikan mereka peluang untuk memanipulasi pasaran?

Sebagai contoh di Malaysia, kenaikan harga minyak membolehkan peniaga menaikkan harga barang atas sebab tanggung rugi, tapi adakah mereka menurunkan harga barang selepas harga minyak turun? Malah, ada juga peniaga yang menyorok barang runcit mereka demi mewujudkan kekurangan ‘supply’ palsu, sekaligus menyebabkan harga barang naik mendadak.

Menurut pandangan saya sebagai seorang liberal konservatif, sistem ekonomi sesebuah negara seharusnya mencampurkan konsep kapitalisme dan sosialisme dengan kadar kapitalisme lebih banyak berbanding sosialisme. Ekonomi campuran. Kerajaan perlu mengekalkan konsep pasaran bebas tapi pada masa yang sama memerhati dan mengawal pasaran supaya masyarakat dapat berdaya saing dengan sihat. Sistem percukaian perlu dicekapkan supaya para kapitalis tak mampu lari dan sumber cukai dapat digunakan untuk kemaslahatan sosial seperti subsidi kesihatan yang sedia ada. Dengan mengekalkan pasaran bebas, rakyat bebas memilih komoditi demi kebahagiaan masing-masing. Saya nak tanya kepada anda semua…mampukah anda hidup tanpa rempah ratus?

Huh, saya tak boleh hidup tanpa kari! Itu baru rempah ratus, belum garam, cili dan pelbagai lagi komoditi yang dipandang enteng, tapi sebenarnya besar penting. Mungkin anda akan tanya, kenapa saya memberatkan polisi kapitalisme berbanding sosialisme. Puncanya ialah untuk mengurangkan beban ekonomi negara seperti inflasi dan ketidak seimbangan ekonomi. Oleh sebab itulah, saya menolak polisi gaji minimum swasta yang tinggi seperti RM 1500 contohnya, kerana kerajaan tak mempunyai hak untuk mengawal perniagaan swasta dan juga akan membawa lebih banyak keburukan.

Dengan kenaikan gaji mendadak, korporat swasta akan mempuyai kecenderungan untuk menutup bisnes kerana beban rugi dan kenaikan gaji juga memberi peluang kepada peniaga-peniaga lain untuk menaikkan barang. Akhirnya, semua benda tak jadi apa, balik-balik ulang di situ sahaja. After all, too much sweets will only give you diabetes.

Laissez faire dan komunisme kedua-duanya berbeza, namun sama tujuan dan sama kelemahan. Tujuan mereka ialah untuk membawa keadilan. Kelemahan mereka ialah kenaifan dalam memahami tindak tanduk manusia yang berbeza antara satu sama lain.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply