Arrival – aku harus berterima kasih kepada presiden TP iaitu JB dan juga admin KAM yang mencadangkan filem yang memang sesuai untuk pencinta sejarah dan liguistik seperti aku. Tanpa membuang masa, waktu filem ini ditayangkan, aku habiskan dalam sekitar RM 15 bersama sahabat aku. Apa-apa pun, nasihat aku, kalau anda jenis yang datang ke panggung dan tidak mahu berfikir untuk menghayati sebuah filem, dan lebih menantikan aksi lawan-lawan tempur atau bom meletup, ini bukan filem anda.

Buktinya, aku dipandang seperti alien oleh satu pasangan yang menonton disebelah aku. Ketika wayang baru sahaja habis, aku ada berbual dengan penuh teruja tentang mesej-mesej yang disampaikan dalam Arrival, pasangan tadi memandang aku seperti aku adalah alien dalam Arrival lalu si gadis itu bercakap dengan pasangan lelakinya dalam nada kuat yang menyindir.

“Rasa mengantuk betul filem ni. Menyesal beli tiket.”

Baik, cukup untuk aku berbasa-basi di sini. Apa yang aku nak ulas mengenai plot ini ialah gaya penceritaan Palindrome. Arrival tidak disusun untuk anda menghayati kronologi secara urutan biasa. Anda akan diajak untuk terjun ke dalam sebuah filem yang menghadapkan kepada anda dua buah garis masa yang berbeza. Dan garis masa itu juga tidak disusun ikut kronologi. Garisan pertama ialah pada masa kini, iaitu pada semasa si watak utamanya pakar linguistik yang cuba menyahkodkan bahasa dan sistem tulisan si alien.

Garis masa kedua pula ialah garis masa hadapan yang disusun secara terbalik. Anda akan dimulakan pada garis masa kedua menonton penghujung hidup si watak utama, dan kemudian anda akan menonton garis masa pertama yang melibatkan permulaan drama dalam hidup watak utama. Lalu, dua timeline ini akan bercantum pada penghujung filem melengkapkan sebuah jalan cerita. Pengarah kemudian memberikan analogi yang sesuai untuk mengambarkan bagaimana plot ini disusun.

Perhatikan babak yang melibatkan apabila si anak kepada watak utama iaitu Dr Louise Banks bertanyakan kepada ibunya kenapa menamakan dirinya sebagai Hannah. Yang menjadikan nama Hannah sebagai Palindrome ialah apabila dieja secara bermula atau terbalik, tetap membawa maksudnya sama. Maka jawab Louise, kerana namanya unik berasaskan sistem palindrome itu sendiri. Menariknya, plot filem ini disusun melalui gaya palindrome juga. Seolah-olah seperti babak ini diciptakan, atau memang diciptakan untuk memberitahu tentang keunikan filem ini, seunik nama Hannah itu sendiri.

Seterusnya, aku suka untuk bercakap tentang mesej yang diselitkan dalam filem ini. Tentang bagaimana pentingnya sebuah komunikasi. Betapa pentingnya bahasa dalam hidup kita sendiri dan bagaimana bahasa ditentukan oleh perbezaan budaya. Setiap bahasa dipengaruhi oleh kebudayaan yang berbeza penuturnya. Sebagai contoh, dalam filem ini akibat perbezaan budaya manusia dan alien berkaki tujuh dalam filem ini, maka komunikasi secara berhati-hati harus dijalankan. Sebab itu juga, wujud sebuah hipotesis Sapir-Whorf tentang bagaimana setiap komuniti yang bertutur dalam bahasa yang berbeza, mempunyai persepktif yang berbeza tentang dunia. Aku akan ulas lebih lanjut apabila kita mengembara dalam membedah Arrival.

Akibat salah faham yang wujud antara manusia dan Hetrapod, maka perang dunia ketiga hampir sahaja berlaku. Sebab itu di awal filem ini, ketika Dr Louise ditanyakan oleh watak lelaki iaitu seorang pakar fizik bernama Dr Ian ketika mengulas mengenai sama ada tesis atau jurnal yang pernah ditulis oleh Dr Louise. Ada sebuah frasa yang sangat memberatkan peranan bahasa dalam pembinaan sebuah tamadun. Aku terjemahkan: ke dalam bahasa Melayu:

“Bahasa ialah asas tamadun. Senjata pertama dalam peperangan ialah bahasa.”

Premise ini kemudian dibuktikan pada perkembangan filem. Akibat salah faham perbezaan budaya dan bahasa, China, Russia dan beberapa negara lain tempat kapal angkasa makhluk asing berkaki tujuh ini mendarat, hampir sahaja berlaku perang dunia. Mujurlah sempat diselamatkan oleh watak utama yang memahami perspektif berbeza makhluk asing. Semuanya gara-gara salah faham akan maksud senjata yang cuba disampaikan oleh si makhluk asing.

Dan apa yang cuba nak disampaikan oleh makhluk asing ini berkait rapat dengan hipotesis Sapir-Whorf bahawa manusia yang memiliki pengetahuan bahasa yang berbeza, melihat dan berfikir dengan cara yang lebih luas. Meskipun hipotesis ini masih didebatkan oleh para linguistik, namun filem ini berandaikan bahawa hipotesis itu sangatlah benar.

Ini dapat dibuktikan apabila watak utama mampu mendalami bahasa dan sistem tulisan yang digunakan oleh para alien yang berkunjung ke bumi ini, barulah perspektif watak utama jadi lebih luas. Rupa-rupanya yang dikatakan senjata itu adalah kerana apabila anda memahami bahasa dan sistem tulisan mereka, maka perspektif anda akan mampu melihat masa hadapan.

Sebab itu garis masa kedua akan jadi lebih relevan pada jalan cerita selepas anda memahami apa yang terjadi. Sebab jawapan kepada apa yang berlaku pada garis masa pertama dijelaskan dalam garis masa kedua. Anda yang pada awal akan menjangkakan bahawa ianya adalah sebuah imbas kembali akan tercenggang, rupa-rupanya babak ini merupakan imbasan masa hadapan yang mula menerjah minda Dr Louise sebaik sahaja dia mula belajar tentang sistem tulisan dan bahasa alien ini. Perspektif yang dimiliki oleh Dr Louise sempurna apabila dia benar-benar mahir secara keseluruhan bahasa dan sistem tulisan itu. Sebab itu pada babak terakhir Arrival ini, Dr Louise bertanyakan kepada Dr Ian. Dialognya lebih kurang sebegini:

“Apa rasanya bila kita mengetahui tentang keseluruhan masa depan? Apakah kita akan mengubahnya?”

Nasihat aku juga, perhatikan dengan mendalam babak Jeneral Shang berjumpa dengan Dr Louise sebab babak ini sangatlah kuat untuk menjelaskan lebih mendalam puzzle yang dibentangkan kepada para penonton filem ini.

Bercakap juga tentang sistem tulisan yang berbentuk logogram yang dipakaikan oleh makhluk asing ini, tentu ramai tertanya-tanya kenapa China menjadi kuasa besar dunia pertama yang berjaya menterjemahkan sistem tulisan bangsa asing ini? Mereka bangsa pertama yang memahami apa yang cuba di sampaikan oleh makhluk asing meskipun salah faham tentang konotasi penyampaian mereka.

Jawapan dia senang, kerana sistem tulisan USA iaitu berdasarkan tulisan rumi yang kita pakaikan hari ini adalah bersifat phonetic. Hari ini, apabila anda membaca apa yang aku tulis, setiap huruf mengambarkan sebutan yang dilafazkan dari mulut anda. Tetapi tidak sistem logogram. Kebanyakan huruf-huruf Cina adalah berasaskan logo. Setiap huruf menggambarkan sebuah benda, bukannya sebutan walaupun masih ada huruf yang berasaskan phonetic. Anda tidak mengeja sebuah logogram seperti mana anda mengeja sebuah phonetic. Seperti mana yang dikatakan oleh salah seorang pakar linguistik yang menjadi tulang belakang pengkajian ini, iaitu Dr Coon.

“A heptapod might wonder why did we waste this medium just writing down the same thing that we would say.”

Sebab itu setiap tulisan bangsa heptapod ini berlandaskan logo yang mengambarkan kepada setiap tulisan. Anda tidak perlu memahami bahasa mereka untuk memahami sistem tulisan yang dipahat oleh mereka. Anda hanya perlu tahu tentang makna setiap logo mengambarkan sesuatu. Sebab itu juga, sistem tulisan cina turut dipakai oleh bangsa Korea dan Jepun, meskipun kalau setiap bangsa ini bertemu antara mereka dan cuba bertutur antara satu sama lain, maka mereka tidak akan memahaminya.

Bercakap juga tentang bagaimana mereka cuba memahami bagaimana bangsa alien ini berkomunikasi, dari sudut linguistik, cara yang diamalkan oleh kedua-dua watak utama ini adalah tidak salah daripada disipilin linguistik. Sebagai contoh, Dr Louise mengajar sistem tulisan dan bahasa manusia kepada para alien ini, dengan memulakan dengan benda yang lebih mudah, dan dari persoalan yang mudah ini akan berkembang kepada persoalan yang lebih kompleks. Kefahaman dibentuk dari benda mudah, lalu snowball effect itu akan mengambil alih apabila semakin berkembang proses pembelajaran.

Daripada sistem pembelajaran ini juga, mereka belajar untuk menyahkodkan sistem tulisan bangsa alien ini. Sebagai contoh, si alien akan menulis di cermin kacanya tulisan yang merujuk kepada berjalan. Biasanya Dr Louise akan menunjukkan tulisan manusia merujuk kepada berjalan, lalu bertanyakan kepada alien tadi apakah sistem tulisan yang sesuai yang berkaitan dengan manusia berjalan dalam bahasa mereka.

Dari situ, mereka mencipta kamus mereka tersendiri, juga dengan bantuan dari negara-negara asing yang dilawat oleh makhluk asing ini. Mereka saling berkongsi penemuan mereka sehinggalah selepas beberapa bulan, mereka semua memahami bahasa yang dituturkan oleh alien ini berdasarkan sistem tulisan. Dari situlah, perspektif Dr Louise Banks terus berubah sehingga mengalterkan otaknya sendiri!

Sungguh, Arrival ialah sebuah filem yang provok setiap minda cerdas yang melayan filem ini. Tatkala ada orang yang tertidur di dalam panggung, aku pula berdiri tegak sambil menongkat dagu, cuba memahami apa yang dilontarkan dalam setiap babak yang dimainkan. Sungguh, sebagai peminat sejarah dan linguistik, aku jadi tenggelam menghayati keindahan filem ini.

Berapa bintang aku boleh bagi? 5 daripada 5 bintang!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply