Semalam 26 Februari, pada tahun 1616, gereja Itali telah mengeluarkan dekri yang diterajui oleh Kardinal Bellarmine memberi amaran keras kepada Galileo untuk tidak mengajar, tidak menyebar, tidak mempertahankan, tidak menyokong, tidak memperkuatkan dan sama sekali tidak berpegang kepada Teori Copernicus ciptaan Nicolaus Copernicus, seorang ahli astronomi pada tahun 1543.

Teori ini dianggap pihak gereja sebagai menyalahi ayat-ayat Tuhan kerana ia membuktikan tentang Teori Heliosentrik, teori di mana matahari adalah pusat kepada sistem suria, dan bumi adalah sebahagian dari jasad yang mengelilingi matahari.

Ini bercanggah dengan pihak gereja kerana agama Kristian ketika itu percaya bahawa bumi merupakan pusat kepada alam semesta, dan semua yang lain beredar mengelilingi bumi. Pegangan gereja ini pula bersandarkan teori yang dibawa oleh Ptolemy atau ‘Ptolemaic System’ yang mengesyorkan bahawa bumi adalah jasad yang tidak bergerak dan semua elemen lain di alam semesta memusatkan bumi dan berpusing mengelilinginya.

Pertembungan teori dan ideologi antara Galileo dan gereja ini tidak berhenti di situ sahaja. Selepas larangan ini, Galileo tidaklah pula berhenti membuat kajian demi kajian bagi membuktikan pegangannya.

Akibatnya, pada 12 April 1633, Galileo sekali lagi dipanggil menghadap majlis agama untuk diadili atas keenganannya untuk melepaskan pembuktian Teori Copernicus. Sebenarnya di dalam sesi pengadilan tersebut, Galileo tidaklah secara terus mengisytiharkan bahawa beliau berpegang kepada Teori Copernicus malah menafikan bahawa beliau berkiblatkan pegangan teori tersebut yang sebenarnya asas kepada kefahaman moden tentang sifat bumi dan sistem suria hari ini.

Sebaliknya, beliau membentangkan hasil kajian demi kajian yang telah dilaksanakannya bagi menyokong fahaman bahawa bumi beredar mengelilingi matahari sebagai pusat sistem suria dan bukan sebaliknya.

Kajiannya itu pula bukanlah menolak secara mutlak Teori Ptolemy dan menyokong terus Teori Copernicus, namun beliau membentangkannya untuk membuka kepada lebih banyak kemungkinan dan ruang perbincangan demi mencapai sepakat antara beliau dan gereja.

Namun Galileo gagal mempertahankan pembuktiannya. Hasilnya, beliau dihukum sebagai tahanan dalam rumah kerana kepercayaannya terhadap sifat bumi dan sistem suria serta fahaman heliosentriknya.

Teori Copernicus atau fahaman heliosentrik sebenarnya sudah mula dibuktikan kajian seawal kurun ke-3 oleh Aristarchus lagi. Untuk makluman, Aristarchus bersama Eratosthenes sekaligus membuktikan bahawa bumi berbentuk sfera oleh Phytagoras sekitar 500 SM dan Aristotle 350 SM.

Malah Copernicus yang dirujukkan oleh Galileo itu sebenarnya telah lama turut merujuk pula perbahasan yang jauh lebih awal lagi oleh ahli astronomi Islam seperti Ibnu Shatir, Al-Battani, Al-Biruni, Ibnu Rushd dan Thabit Ibnu Qurra tentang pemahaman manusia tentang sifat bumi dan sistem suria, antara fahaman heliosentrik melawan fahaman awal geosentrik.

Malang sekali akibat pertembungan dengan fahaman kolot gereja, Galileo selepas itu terpaksa bersetuju untuk tidak mengajar dan menyebarkan fahaman heliosentrik tersebut. 

Gereja dan masyarakat awam hidup dalam penafian tentang sifat bumi dan menganggap bumi sebagai pusat alam semesta sehinggalah 300 tahun kemudian apabila pihak gereja sendiri menerima pembuktian Galileo dan membersihkan namanya dari kesalahan sebelum itu.

Jika diteliti, ironi sekali apabila krisis seumpama ini melibatkan golongan yang mendabik dada kononnya mewakili agamawan melawan ilmuwan dan ahli astronomi seolah berulang lagi di zaman moden hari ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.