“Tidaklah dua orang muslim yang berjumpa, lalu kedua-duanya berjabat tangan kecuali diampunkan dosa mereka sebelum berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Mari kita hayati kisah pendek yang diriwayatkan oleh Imam Malik RA di dalam kitab al-Muwatha’, daripada Abi Idris al-Khaulani RA, ia berkata,
“Aku pernah masuk ke salah sebuah masjid di Damaskus. Tiba-tiba aku terjumpa seorang pemuda yang murah dengan senyuman dan dikerumuni oleh begitu ramai orang. Andai ada perselisihan faham dalam kalangan mereka, maka akan dikembalikan permasalahan itu tadi kepada pemuda tersebut untuk diminta kata-kata mutiara daripadanya. Aku bertanyakan perihal pemuda tersebut. Lalu orang-orang di sana menjawab bahawa dia ialah Muaz bin Jabal.
Pada keesokan harinya, awal pagi lagi aku sudah datang ke masjid dan kudapati dia sudah berada di sana dan sedang menunaikan solat. Kubiar dia hanyut dalam solatnya sehingga dia selesai lantas aku temui dan kuucapkan salam kepadanya. Kukatakan bahawa dengan nama Allah kucintainya ; pemuda itu. Seraya memegang pundakku, dia pun menjawab, bergembiralah kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman, cinta-Ku pasti akan mereka diperoleh bagi orang-orang yang saling memadu kasih kerana Aku, saling menziarahi dan memberi kerana Aku.”
APA ITU UKHUWAH?
Ramai dalam kalangan kita yang berkemampuan untuk menyebut frasa ini. Tetapi sayangnya tidak membenam di kebun hati lalu mekar menjadi pohon yang ranum dengan buah-buah ukhuwah yang manis. Ramai dalam kalangan kita yang pandai memberikan hujah-hujah berkenaan perihal ukhuwah ini, tetapi sayang tidak ramai yang mampu menggalas atau merealisasikan manhaj ukhuwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Takrif ukhuwah menurut as-Syahid Imam Hassan al-Banna ialah keterikatan hati dan jiwa antara satu sama lain bertautkan dengan benang akidah yang kukuh. Melalui definisi ini, maka lahirlah frasa ukhuwah Islamiyah. Ada beberapa hakikat ukhuwah Islamiyah yang digariskan oleh beliau. Antaranya merupakan salah satu nikmat pemberian Allah SWT, ditamsilkan sebagai tali tasbih, sebagai salah satu arahan yang bersifat Rabbani dan menjadi cermin kepada kekuatan iman.
Ukhuwah Islamiyah bersifat abadi dan universal kerana diikat oleh benang akidah dan ditenun oleh jarum syariat Islam. Oleh hal yang demikian, maka hilanglah sebarang bentuk ikatan yang bersifat temporari seperti ikatan kerana keturunan, harta atau kerja. Silih berganti sahabat yang singgah pada pondok usang kehidupan kita dan itu ialah lumrah dalam kehidupan. Kerana hidup di dunia itu sendiri merupakan satu persinggahan yang sementara.
Ada yang singgah kerana ingin membangkitkan nostalgia lama (tarikhan), ada yang datang atas dasar keperluan kerja atau usaha (tijaratun), ada juga yang bertentang empat mata atas urusan atau kepentingan politik (siyasiyan) dan bahkan tidak sedikit pula yang berjumpa dalam kesukaan atau minat yang sama (hubban).
Akhirnya, ukhuwah sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ialah ukhuwah fillah iaitu hubungan persahabatan semata-mata kerana Allah SWT. Saling mencintai dan dicintai atas akidah yang sama dan semata-mata ingin mendapatlan keredaan daripada Maha Pencipta.
Sentiasa bergumul dalam majlis ilmu, majlis zikir dan majlis bersama-sama para alim ulama. Subhanallah! Persahabatan yang terikat kerana ingin merebut cinta Allah dan rasul-Nya ialah ikatan yang tidak hanya dinikmati ketika di dunia, malah dinikmati di syurga nanti.
TANGGA-TANGGA UKHUWAH.
Ukhuwah merupakan satu perkara yang bersifat praktikal dan bukan teori semata-mata. Justeru, ada beberapa tangga atau peringkat-peringkat dalam ukhuwah yang kita semua harus ambil cakna.
- Ta’aruf : Bermaksud saling mengenal antara satu sama lain. Tidak kenal, maka tidak tahu. Tidak tahu, maka tiadalah lahirnya cinta yang ditunjangkan kepada Allah SWT semata-mata. Ini merupakan batu asas yang harus dititikberatkan. Wujud dalil berkenaan saling mengenal ini melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-13,
یا أُّ َیهَا َّ الناسُ إَِّ نا خَلقَْناكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَُأنْثى وَجَعَلَْناكُمْ شُعُوًبا وَقََباِئلَ لَتعَارَفُوا إَِّ ن أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ َّ اﷲِ أَتْقَاكُمْ إَِّ ن َّ اﷲَ عَِلیمٌ خَِبیرٌالحجرات
“Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
- Tafahum : Kalau tadi kita sudah mengenal sahabat kita, kenal akan budi bicaranya, kenal akan keluarga dan latar belakangnya, maka tingkatan atau tangga yang seterusnya ialah tafahum, atau dapat didefiniskan sebagai saling memahami. Hendaknya seseorang muslim yang mukmin itu memerhatikan keadaan saudaranya agar dapat bersegera dalam menghulurkan tangan pada saat-saat yang diperlukan sebelum saudaranya meminta. Kerana menghulurkan bantuan merupakan salah satu hak saudaranya yang harus ditunaikan.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,
“Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan daripada seorang muslim, nescaya Allah SWT akan menghilangkan satu kesusahan daripadanya pada hari kiamat kelak.
Barangsiapa yang menutupi aib saudaranya, nescaya Allah SWT akan menutupi
aibnya pada hari kiamat kelak. Allah SWT sentiasa menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)
- Ta’awun : Tangga atau tingkatan yang ketiga ini lahirnya daripada proses yang kedua tadi, tafahum. Ta’awun bermaksud saling membantu dan dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya dengan hati iaitu saling mendoakan, pemikiran iaitu saling berdiskusi dan bertukar pendapat serta melalui perbuatan iaitu menghulurkan bantuan ketika diperlukan.
Saling membantu dalam menjalankan kebaikan adalah sebaik-baik pertolongan dan nikmatnya iman dan ukhuwah akan dapat dirasai pada ketika itu. Hal ini kerana, fitrah manusia itu lemah dan suka akan kebaikan. Jadi, dengan memberikan bantuan ke arah kebaikan, perkara ini secara langsung dapat memenuhi fitrah kita sebagai seorang insan yang lemah. Subhanallah!
- Takaful : Jangan salah faham ya. Ini bukanlah skim takaful nasional seperti yang ada di bank-bank Malaysia. Adapun takaful di sini membawa erti saling menanggung. Menanggung apa?
Menanggung rasa sedih dan susah bersama. Jika ada permasalahan, akan diselesaikan dengan berunding dan saksama. Jika peha kanan dicubit, maka peha kiri pun turut terasa jua sakitnya. Menjadi bahu dan telinga kepada saudara kita sekiranya ada masalah yang ingin diluahkan. Andai saudara itu mempunyai masalah dalam aspek kewangan, maka kita dengan besar hati menghulurkan bantuan kepadanya.
- Itsar : Ini merupakan tangga yang tertinggi dalam ukhuwah. Ini merupakan tingkatan iman para sahabat Nabi Muhammad SAW. Itsar membawa maksud mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Dalam erti kata lain, kita tidak ego dan kedekut dalam memberi. Seseorang itu mungkin ada banyak masalah sedia ada yang ditanggungnya.
Dalam masa yang sama, rakannya sedang mengalami kesempitan ekonomi dan gagal dalam peperiksaan. Tetapi atas dasar pemahaman ukhuwahnya yang tinggi dan didasari dengan cinta kepada Allah SWT dan rasul-Nya, dengan besar hati dia membantu sahabatnya tadi tanpa mengambil kira keadaan diri sendiri yang telah pun mengalami kesukaran.
عَنْ أَِبي حَمْزَةَ أََنس بْنِ مَاِلكٍ رَضِيَ اﷲُ عَنْهُ، خَادِمِ رَسُوْلِ اﷲِ صََّ لى اﷲُ عََلیْهِ وَسََّ لمَ عَنِ َّ النِب ِّ ي صََّ لى اﷲُ عََلیْهِ وَسََّ لمَ قَالَ : لاَ
یؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حََّ تى یحِ َّ ب لأَخِیْهِ مَا یحِ ُّ ب لنفْسِهِ
“Tidak beriman seseorang antara kamu sehingga kamu mencintai saudaramu seperti mencintai dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari-Muslim)
BAGAIMANA NAK RASA NIKMAT UKHUWAH INI?
Seperti yang telah dikatakan sebelum ini, ukhuwah bukanlah satu perkara yang bersandarkan teori semata-mata. Bahkan dalam berukhuwah, kita harus mempunyai skil dan kebolehan untuk mengadaptasikan dalam keadaan yang pelbagai. Ringkasnya, ukhuwah merupakan satu konsep yang mementingkan praktikal di samping pengukuhan teori.
Katanya nak masuk syurga sama-sama, jadi adakah wajar kita bersahabat atas urusan ‘game’ semata-mata? Sudah tentu tidak. Kita sewajarnya bergerak seiring dengan perkara yang kita dan sahabat kita cita-citakan ; berkawan sampai syurga!
Jadi, dengan keterbatasan ilmu dan kebolehan yang begitu cetek, saya akan cuba senaraikan beberapa garis panduan untuk kita merasakan nikmat iman dalam berukhuwah.
- “Aku cinta kamu!” : Jangan malu untuk mengatakan bahawa kita sangat sayang dan cinta kepada saudara kita. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda maksudnya,
“Apabila seseorang mencintai saudaranya, hendaklah dia mengatakan cinta kepadanya.” (Hadis riwayat Abu Daud-Tirmidzi)
- “Doakan aku!” : Sesetengah daripada kita pasti akan menangis pada saat berpisah dengan sahabat kita. Mari kita cantikkan lagi keadaan kita. Mohonlah doa kepada sahabat kita yang akan pergi. Doakan supaya diberikan rezeki dan umur yang panjang untuk bersua lagi dan bercerita tentang hal-hal kebesaran Allah SWT.
Umar al-Khattab pernah berkata,
“Aku meminta izin kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan umrah. Lalu baginda mengizinkan aku. Beliau bersabda, “Jangan lupakan kami dalam doamu wahai saudaraku.” Kemudian baginda mengeluarkan satu kalimat yang sangat menggembirakan bahawa aku mempunyai keberuntungan dengan kalimat itu di dunia.” (Hadis riwayat Abu Daud-Tirmidzi)
- Senyuman itu sedekah : Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apa pun, walau sekadar bertemu saudaramu dengan wajah ceria.” (Hadis riwayat Muslim).
- Amalkan sunah berziarah : Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman,
“Pasti akan mendapat cinta-Ku pasti akan mereka diperoleh bagi orang-orang yang saling memadu kasih kerana Aku, saling menziarahi dan memberi kerana Aku.” (Imam Malik dalam al-Muwatha’)
- Berjabat tangan dengan mesra : Jangan lupa untuk berjabat tangan sewaktu berjumpa. Berjabatlah dengan mesra dan menunjukkan kita suka kepada sahabat kita. Janganlah sekadar hangat-hangat tahi sayam sahaja. Kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda maksudnya,
“Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan dosa mereka diampuni sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)
KESIMPULANNYA.
Ulama pernah berkata bahawa mempunyai sahabat yang baik dan beriman merupakan nikmat terbesar setelah iman dan Islam. Memang benar. Sahabat yang baik dan beriman ialah mereka yang sentiasa menegur apabila kita ada kesalahan, sentiasa menarik tangan dan kaki kita untuk berada pada landasan Allah SWT dan mereka yang sentiasa ada sewaktu suka dan duka.
Antara tunjang utama dalam ukhuwah ialah cinta. Tingkatan cinta yang paling rendah ialah husnudzon iaitu bersangka baik. Perasaan ini menggambarkan seseorang itu mempunyai hati yang bersih daripada sifat hasad, benci dan dengki.
Malah, perasaan ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu jauh sekali suka akan permusuhan tetapi lebih cinta akan kedamaian.
Islam menginginkan agar cinta dan persaudaraan sesama manusia mampu untuk menjalar dalam setiap lapisan masyarakat dan bangsa, lalu mekar dalam sanubari menjadi pohon yang mampu memberikan teduhan kepada semua. Buah cinta dapat dinikmati bersama sambil bersama-sama menceritakan dengan hebat dan sayangnya Allah SWT kepada kita. Hakikatnya, Islam itu sendiri bersifat holistik dan menyeluruh. Tidak dapat dipisahkan daripada setiap perkara dalam kehidupan kerana Islam melengkapi fitrah manusia yang lemah dan cinta akan kebaikan.
Moga-moga dengan usaha kita menerapkan cinta dan reda Allah SWT dalam bersaudara, kita akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang yang kita cinta. Dan sebesar-besar cinta kita serahkan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
Semoga kita berjumpa di syurga!
Sumber rujukan :
- Al-Quran Terjemahan al-Haramain, Karya Bestari sdn. bhd.
- 7 Pilar Kehidupan, Dr. M. Ratib an-Nabulsi, cetakat pertama Februari 2010, Gema Insani.
- Million Dollar Habits, Stellan Moreira, 2017, Stellan Moreira Publishing.
- The 5 Second Rule, Mel Robbins, 2017, Savio Republic.
- Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Risalah Ikhlas dan Ukhuwan, Badiuzzaman Said Nursi, Suzler Publications.
- Sirah Nabi Muhammad SAW, Pengajaran dan Pedoman, Dr. Mustafa as-Syibaie (PDF).
- https://www.islampos.com/sahabat-sampai-ke-surga-12076/
- https://rayditch.wordpress.com/2009/12/29/5-tingkatan-ukhuwah/
- com/blog/ukhuwah-islamiyah-persaudaraan-islam/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih