Sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk terus berbakti kepada ibu bapa sehingga mencecah usia warga emas. Tanpa kasih dan restu mereka, kita tidak akan menjadi orang yang berguna hari ini. Tetapi pada masa silam di Jepun, wujud satu tradisi dalam cerita rakyat mereka di mana keluarga menyingkirkan orang tua mereka di tempat terpencil dan dibiarkan untuk mati. Tradisi kejam dan menakutkan ini digelar ubasute atau oyasute (mengabaikan orang tua).
Legenda ubasute
Ubasute ini sebenarnya hanyalah satu lagi nama untuk senicide (pembunuhan orang tua) dan selalunya membabitkan urusan meninggalkan orang tua di tempat-tempat terpencil seperti gunung-ganang atau hutan belantara sebagai tempat untuk mati. Walaupun ramai menganggap legenda ini sebagai sesuatu yang mengarut, tidak mustahil ia turut menyumbang kepada mitos yang menyelubungi Hutan Aokigahara yang dikenali sebagai antara tempat popular bagi warga Jepun membunuh diri.
Tetapi jika legenda sebegini dianggap benar, ubasute boleh terjadi atas beberapa sebab. Amalan kejam ini sentiasa berkait dengan keadaan kehidupan secara makro di sesebuah wilayah. Sekiranya sesebuah wilayah mengalami masalah bencana alam yang dahsyat sehingga memberi kesan kepada penghasilan makanan bagi populasi wilayah tersebut. Dan bila keadaan ini berlaku seperti letusan Gunung Berapi Asama pada tahun 1783 yang memulakan tempoh kebuluran Tenmei, ia mengakibatkan penderitaan yang dahsyat dalam kalangan penduduk.
Kisah Ubasuteyama
Menurut cerita rakyat Jepun, keadaan sebegini memaksa perlaksanaan catuan makanan untuk membantu sesebuah keluarga terus hidup dari hari ke hari. Tetapi dengan bilangan mulut yang perlu diberi makan, mereka memilih pilihan yang bersifat radikal bagi membantu keluarga mereka hidup.
Dan bagi warga emas yang sudah tidak larat untuk bekerja atau memerlukan penjagaan, mereka merupakan pilihan terbaik untuk disingkirkan. Tetapi dalam kisah sebegini, kisah ini turut menginspirasikan rasa kasih kepada ibu bapa dan tidak menggalakkan anak-anak dari menyingkirkan mereka atas sebab-sebab bersifat duniawi.
Contohnya dalam satu kisah ubasute ini, si anak berhasrat untuk membuang ibunya di atas sebuah gunung. Apabila dua beranak ini memulakan perjalanan ke sana, si ibu tahu hasrat sebenar si anak tetapi masih menunjukkan kasih yang mendalam terhadapnya dan meninggalkan ranting-ranting kayu sepanjang perjalanan bagi membolehkan si anak dapat pulang dengan selamat.
Apabila si anak mahu meninggalkan ibunya di atas gunung, si ibu berkata, “Tidak lama lagi, malam akan menjelang. Sepanjang kamu membawaku ke sini, anakku. Bergeraklah sekarang dan pulang dengan selamat.” Si anak dengan berat hati meninggalkan ibunya di situ tetapi sukar mencari jalan pulang kerana keadaan gelap. Tetapi bila si anak terpijak ranting-ranting kayu yang ditinggalkan ibunya, ia menyedarkan dirinya bahawa sang ibu tidak pernah mengabaikannya tatkala dia cuba mengabaikan orang yang melahirkannya ke dunia. Si anak bergegas kembali ke gunung dan membawa pulang si ibu ke rumah.
Untuk mengelak kehadiran ibunya disedari penduduk tempatan, si anak menyembunyikan si ibu dalam satu bangsal. Pada satu hari, seorang daimyo mencabar penduduk untuk menyelesaikan beberapa teka-teki: menghasilkan tali daripada abu, menentukan hujung dan pangkal sebatang ranting serta bagaimana sebuah gendang boleh berbunyi tanpa dipalu seorang manusia.
Teka-teki ini nyata menggusarkan penduduk kerana jika ia gagal diselesaikan, mereka perlu membayar lebih banyak cukai terhadap daimyo itu. Dan dilema ini juga diajukan si anak kepada ibunya kerana tidak tahu jawapan yang diberi.
Si ibu menggunakan pengalaman usianya untuk membantu si anak menjawab semua soalan teka-teki itu. Selepas berjaya menyelesaikan teka-teki itu, daimyo itu bertanya apakah penyelesaian itu difikirkannya sendiri. Lantas, si anak menjawab, “Tuanku, maafkan aku kerana menipu. Sebenarnya, bukan aku yang menyelesaikan semua teka-teki itu tetapi ibuku sendiri.
Aku tahu Tuanku telah memberi arahan untuk menghalau keluar orang tua dari perkampungan ini. Tetapi aku tidak mampu melakukan perkara keji itu terhadap orang yang menyayangiku melebihi dirinya sendiri. Selepas aku meninggalkan dia di atas gunung, aku menjumpai ranting-ranting kayu yang ditinggalkannya untuk memanduku pulang.
Jadi, aku kembali kepada ibuku, membawanya pulang dan menyembunyikannya dalam bangsal. Dia jugalah yang menyelesaikan semua teka-teki yang diberi Tuanku kepadaku. Walaupun orang tua tidak boleh bekerja kuat tetapi mereka lebih arif dalam banyak perkara berbanding orang muda.” Mendengar jawapan itu, daimyo tersebut memutuskan untuk menghentikan amalan kejam itu dan menggesa orang ramai menjaga ibu bapa mereka.
Tetapi jangan sangka senicide ini tidak berlaku dalam tamadun-tamadun lain. Ia banyak wujud dalam pelbagai jenis budaya dan tamadun dari Rom hingga India. Di India misalnya, mereka dihantui oleh tradisi thalaikoothal yang menyaksikan golongan warga emas diberi pelbagai kaedah yang mengakibatkan kematian dari ‘terapi susu’ hinggalah diberi racun.
Walaupun amalan ini diharamkan oleh kerajaan, ia masih bertahan sehingga hari ini berikutan kedudukan ekonomi setempat yang masih rendah.
Sementara tamadun Rom pula menyaksikan warga emas berusia 60 tahun ke atas dibunuh dengan dicampak ke dalam air dari sebuah jambatan. Walaupun perbuatan sebegini diragui kesahihannya, ia dikatakan bermotif membantu golongan muda naik dan menyingkirkan golongan tua yang dianggap halangan kepada mereka mencapai cita-cita mereka.
Ubasute era moden
Walaupun ubasute diceritakan dengan penuh terperinci, hakikatnya kewujudan ubasute dianggap sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku. Tetapi sejak beberapa tahun ini, tradisi ubasute kembali menjadi bualan tetapi dalam bentuk lain. Pada zaman moden ini, keluarga-keluarga yang tidak berkemampuan menghantar golongan warga emas ke hospital-hospital atau pejabat kebajikan untuk diberi penjagaan.
Ini didedahkan pekerja Takanori Fujita kepada akhbar Times of London. Dia berkata, “Ramai orang mempunyai pendapatan tertentu tetapi masih bergelut dengan kemiskinan dan sukar menjaga saudara-mara yang tidak boleh menjaga diri mereka. Mereka keberatan meminta bantuan kerana merasakan ia sesuatu yang memalukan.”
Satu kes yang menaikkan kembali tradisi cerita rakyat ini ialah kes seorang lelaki bernama Katsuo Kurokawa. Pada tahun 2011, lelaki berusia 63 tahun ini meninggalkan dan mengabaikan kakak perempuannya, Sachiko di satu kawasan terpencil dan bergunung-ganang di Chiba, timur Tokyo dengan sedikit makanan.
Bila ditanya motif mengapa dia berbuat demikian, dia melakukannya kerana merasakan Sachiko sudah menjadi beban kepada dirinya selepas tragedi gempa bumi 9.0 Richter melanda Jepun yang memusnahkan bandar kediaman mereka. Sachiko kemudiannya dijumpai mati lemas dalam Sungai Obitsu. Kurokawa kemudiannya ditahan pihak berkuasa tiga tahun kemudian kerana cuba memecah kotak derma di sebuah kuil di Chiba.
Selain kes Kurokawa, satu lagi kes turut mencuri perhatian membabitkan Ritsuko Tanaka. Penganggur wanita berusia 46 tahun ini ditahan pihak berkuasa di Otsu, Chiga kerana mengabaikan bapanya yang juga seorang pesakit Alzheimer di sebuah perhentian di Lebuhraya Chungoku. Bila ditanya motif dia berbuat demikian, Tanaka mengakui apa yang dilakukannya dan berkata, “Saya fikir lebih baik jika dia dimasukkan ke kemudahan penjagaan selepas diletakkan dalam jagaan perlindungan polis berbanding di bawah jagaan saya.”
Memang senang hendak menyalahkan semua ini kepada generasi baru Jepun. Tetapi isu ini sebenarnya lebih mendalam daripada itu kerana ia sebenarnya indikator bom jangka populasi yang melanda Jepun hari ini. Pada tahun 2016 sahaja, bilangan warga emas membentuk 26.7% daripada 127.11 juta penduduk Jepun. Dan isu ini menjadi keutamaan kerajaan Jepun hari ini.
Jika ia tidak ditangani dengan segera, ia boleh mengakibatkan masalah besar kepada negara Matahari Terbit itu terutama dari segi ekonomi dan sumber manusia. Atas sebab itulah, pelbagai reformasi dilancarkan Tokyo untuk menjadikan kehidupan berkeluarga sesuatu yang menarik seperti mengajar lelaki bagaimana hendak menjadi seorang ayah, menganjurkan acara berjanji temu pantas dan mencadangkan waktu kerja yang lebih pendek.
Di sebalik usaha ini, agak sukar untuk menghentikan trend ubasute ini dari terus berlaku. Untuk mengelakkan lebih ramai warga emas mati atau terbiar begitu sahaja, pertubuhan-pertubuhan kebajikan mula melakukan langkah proaktif termasuk membentuk peti surat warga emas (pejabat bagi keluarga meninggalkan warga emas) bagi membolehkan ia bersifat perikemanusiaan dan memastikan kebajikan warga emas terbela.
Dari situ, mereka akan pindahkan ke rumah penjagaan tempatan bagi membolehkan mereka dapat hak penjagaan yang sepatutnya. Trend ubasute ini turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai dari peranan pihak berkuasa hinggalah sebarang bentuk bantuan yang dihulur untuk meringankan beban ahli keluarga yang menjaga warga emas.
SUMBER
1. Weller, Chris. (2017). Japanese people who can’t afford elder care are reviving a practice known as ‘granny dumping’. Business Insider. https://www.businessinsider.my/japanese-people-reviving-granny-dumping-practice-2017-1/?r=US&IR=T
2. DHWTY. (2019). Ubasute: Is the Ancient Tradition of Dumping the Elderly in a Forest Encouraging Modern Murder? Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/ubasute-0011538
3. Ryall, Julian. (2018). Japanese woman dumps dad with Alzheimer’s. He remembers, she’s arrested. South China Morning Post. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/2175611/japanese-woman-dumps-dad-alzheimers-he-remembers-shes-arrested
4. Howard, Krissy. (2016). Inside Ubasute, The Legend Of Abandoning Elderly In The Woods. AllThatsInteresting.com. https://allthatsinteresting.com/ubasute
5. Subramaniam, Lakshmi. (2015). Old-age poison. The Week. https://www.theweek.in/theweek/statescan/traditional-form-of-senicide-in-tamil-nadu.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih