Kota Tyre ditubuhkan pada tahun 2750 Sebelum Masehi, justeru ia dianggap sebagai salah sebuah metropolis tertua di dunia. Dalam hampir keseluruhan sejarahnya, Tyre berdiri sebagai kota penting di rantau Mediterranean.

Penghuninya terkenal sebagai pelaut dan peneroka yang unggul. Mereka kerapkali mengharungi Mediterranean, berinteraksi dengan tamadun-tamadun di sekelilingnya, dan menubuhkan sejumlah koloni di sana.  Oleh kerana itulah, kota Tyre menjadi jantung hati kebanyakan masyarakat di Mediterranean.

Menurut mitologi Yunani, Europa, puteri Empayar Phoenicia yang memberi namanya kepada benua Eropah sebenarnya berasal dari kota Tyre. Kononnya, beliau dicu-lik oleh Zeus yang menjelma sebagai seekor kerbau lalu dilarikan ke Pulau Crete.

Setelah berada di pulau tersebut, barulah Zeus mendedahkan identitinya dan Europa pula dijadikan sebagai ratu Crete yang pertama. Europa mempunyai seorang saudara bernama Cadmus. Menurut legenda, Cadmus inilah yang bertanggungjawab memperkenalkan abjad ke tanah besar Yunani. Sememangnya, abjad atau alfabet ABC yang kita gunakan pada hari ini berasal dari tamadun Phoenicia.

Ukiran kapal Phoenicia, tamadun yang mentadbir kota Tyre

Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, warga kota Tyre merupakan pelaut dan peneroka yang unggul. Justeru, mereka menubuhkan banyak koloni di sekitar Mediterranean. Antara koloni mereka yang paling tersohor ialah Carthage, mu-suh tradisi tamadun Rom.

Menurut legenda, kota tersebut ditubuhkan oleh seorang putero Tyre yang bernama Dido. Dido meninggalkan Tyre bagi menyelamatkan dirinya dari porak-peranda yang menimpa kota tersebut. Setibanya di Afrika Utara, Dido membeli sebidang tanah dari Raja Iarbas lalu menubuhkan kota Carthage. Kisah penubuhan kota Carthage ini tercantum dalam Aenid yang dikarang oleh Virgil.

Dido, pengasas kota Carthage, sedang mendengar hikayat Pe-rang Trojan dari Aeneas. Lukisan oleh Pierre-Narcisse Guérin, 1815, yang diilhami dari karya klasik, Aeneid

Sementara itu, di dalam Kitab Perjanjian Lama, kota Tyre disifatkan sebagai rakan sekutu Kerajaan Israel sewaktu era pemerintahan Raja Daud dan Raja Sulaiman (alaihuma salam). Menerusi hubungan yang terjalin antara kedua-dua kerajaan tersebut, warga Tyre dapat memanfaatkan laluan-laluan perdagangan ke Mesir, Tanah Arab, dan Mesopotamia. Raja Hiram I dari Tyre juga pernah mengutus beberapa orang jurutera dan karyawan, serta sejumlah kayu cedar dan emas untuk membantu Kerajaan Israel membina Haikal Sulaiman.

Bagaimanapun, keunggulan kota Tyre sebagai pusat perdagangan menjadikannya sasaran utama bagi kuasa-kuasa serantau lain, seperti Mesir, Assyria, Babylon, Parsi, dan Macedonia, khususnya pada era Alexander Agung.

Kisah penak-lukan Tyre itu sendiri membentuk bahagian penting dalam riwayat hidup Alexander. Dicatatkan pada mulanya, Alexander berhajat mahu memberi sembah korban kepada Melqart (atau Heracles dalam sebutan Yunani), dewa pelindung kota Tyre. Namun, warga Tyre enggan memenuhi hasrat tersebut.

Selepas kali kedua permintaannya ditolak, Alexander pun menge-pung dan menak-luki kota tersebut. Penguasaan Tyre secara tidak langsung menyumbang kepada perjalanan kempen-kempen keten-teraan Alexander di timur, memandangkan ia menyekat akses Parsi ke laut Mediterranean  sekali gus menghalang mereka dari melakukan se-rangan  ke atas Macedonia sewaktu ketiadaan Alexander.

Pertem-puran laut sewaktu penge-pungan kota Tyre oleh Alexander Agung. Lukisan oleh André Castaigne, 1898

Kemudian pada tahun 68 Sebelum Masehi, kota Tyre diserap ke dalam Republik Rom selepas ia lama diperintah oleh Empayar Ptolemaik dan Empayar Seleucid. Sepanjang berada di bawah telunjuk kedua-dua empayar tersebut, Tyre tidak berpeluang menghirup udara kegemilangan. Ia hanya kembali mekar sewaktu era Kristian dan seterusnya, era Khulafa’ ar-Rashidin pada tahun 636 Masehi. Lima abad kemudian, iaitu sekitar tahun 1124 Masehi, kota Tyre direbut semula oleh Ten-tera Salib dan dijadikan sebagai salah sebuah kubu kuat mereka di Levant, sehinggalah ia tumbang pada lewat kurun ke-13.

Pada hari ini, Tyre diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO berikutan kekayaannya  dari sudut arkeologi. Walaupun kota Tyre dihuni oleh pelbagai tamadun sepanjang zaman, kebanyakan tinggalan arkeologinya datang dari era Rom dan Ten-tera Salib. Hal ini kurang menghairankan kerana ia beberapa kali dijilati api.

Selain runtuhan kota, antara kawasan yang turut menjadi perhatian pihak penyelidik ialah kawasan pesisiran pantai yang banyak menemukan khazanah yang telah lama terpendam dan tenggelam. Kehadiran harta-karun bawah laut sebegini bukan hanya berharga kerana berupaya menambah pengetahuan kita perihal kota lama tersebut, akan tetapi ia turut berpotensi untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan, khusus buat penggemar sejarah.

Tiang-tiang Rom di tapak ekskavasi Al-Mina, Tyre

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (26 Januari 2015). The Phoenician city of Tyre – A rich history of industry, mythology and conflict. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.