Di Eropah pada abad ke-18, terutamanya ketika ketibaan duta Uthmaniyah ke istana diraja, pengaruh Turki yang mencetuskan fenomena budaya ‘Turquerie’ muncul menggegarkan dunia Eropah melalui fesyen, sastera, muzik, seni halus, seni bina dan kulinari.
Keluarga diraja dan bangsawan pada abad ke-15 dan ke-16 di Eropah – era ketika Perancis dan Inggeris saling berwaspada terhadap Empayar Uthmaniyah – tidak banyak mengetahui tentang hiasan dan satu-satunya hiasan tambahan yang akan mereka gunakan ialah permaidani.
Sebagai contoh, Henry VIII dari England merasa sangat bangga kerana memiliki ratusan permaidani di dalam istananya selama bertahun-tahun.
Fenomena Turquerie sebenarnya yang meninggalkan kesan di seluruh Eropah meneruskan pengaruhnya antara akhir abad ke-17 hingga akhir abad ke-18.
Antara pengaruh yang telah menyumbang kepada penyebaran trend Turquerie adalah makanan Turki, paip air taman, paip tembakau, rumah mandi Turki, tuala, sapu tangan, serban, tudung, delima, motif tulip, sherbet (minuman manis) yang masih disebut orang Eropah sebagai “sorbet” hari ini, sofa, divan, klip dan kepala tali pinggang perak, pembuatan potret miniatur, seramik Nicea, kiosk gaya Uthmaniyah dan air pancut, karya seni Edirne, motif bunga oriental dalam bahan sutera dari Bursa, dan hiasan marmar.
Item-item kebudayaan Uthmaniyah yang datang dari dunia timur yang penuh eksotik dan misteri telah membentuk aura, rasa ingin tahu dan kekaguman yang baru di Eropah.
Kopi dan rempah-rempah yang diperoleh dari Istanbul yang berkedudukan strategik dengan Jalan Sutera juga telah memberikan sumbangan besar terhadap fesyen Turquerie.
Ungkapan “Café Turc”, yang berasal dari budaya kopi Turki, membuktikan bahawa orang Turki telah memperkenalkan kopi kepada orang Eropah, yang ketika itu masih belum terbiasa dengan pengambilan kopi.
Minat dunia Barat terhadap dunia Timur bukanlah sesuatu yang baru. Sejak siri Pe.rang Salib, pengembaraan para perajurit, pedagang dan peziarah ke kota-kota yang diperintah oleh orang Turki membantu mengekalkan minat ini secara perlahan tetapi rasional.
Pada abad ke-14, permaidani yang ditenun di Anatolia Timur dianggap sebagai produk mewah di Perancis, negara di mana permaidani Turki dieksport dan menghias indah istana Perancis. Karya-karya lukisan oleh pelukis abad ke-16 seperti Hans Holbein, Lorenzo Lotto, Bernardino di Betto dan Sebastiano del Piombo sudah cukup untuk membuktikan seberapa besar nilai permaidani ini.
Ketika duta besar Uthmaniyah yang dikirim ke Perancis pada tahun 1607 mengunjungi Istana Fontainebleau di selatan Paris, kehadirannya menimbulkan minat dan rasa ingin tahu di kalangan para bangsawan.
Bahkan beberapa tahun selepas kunjungan ini, para pemuzik yang memakai persalinan ala Turki Uthmaniyah telah mendominasi pentas di setiap persembahan balet Perancis.
Babak menarik juga berlaku ketika Raja Louis XIV dari Perancis menerima kunjungan delegasi Uthmaniyah, Suleiman Agha. Raja cuba berlagak megah untuk mempengaruhi delegasi tersebut. Suleiman Agha adalah pegawai Uthmaniyah yang berpangkat rendah; dia secara ironi mencerminkan pandangan Istanbul tentang Raja.
Sebenarnya, delegasi itu tidak begitu kagum kerana dia sudah biasa melihat kemegahan yang lebih luar biasa di Istanbul. Namun, para bangsawan mula meniru kemegahan dan warna-warni penampilan delegasi Uthmaniyah itu.
Fesyen Turki mendapat permintaan tinggi terutama untuk acara masquerade balls (sejenis acara tarian Eropah dengan mengenakan topeng). Dalam drama “Le Bourgeois Gentilhomme” hasil karya Moliere yang dipentaskan pada tahun 1702, adegan majlis keraian Turki di mana para pelakon memakai pakaian gaya Turki telah menarik perhatian ramai orang.
Ada masanya seniman Perancis yang paling terkenal pada abad ke-18 sangat berhajat untuk menjadi pelukis Turki. Tak hairanlah apabila artis Flemish bernama Jean-Baptiste van Mour yang menghabiskan 30 tahun hidupnya di Istanbul, menggambarkan pemandangan oriental di dalam lukisannya.
Walau bagaimanapun, tema Turki dalam lukisan oleh pelukis seperti Parrocel, Latour, Cochin, Lancret dan van Loo yang tak pernah menjejakkan kaki di timur adalah lebih menarik. Pelukis-pelukis ini memilih para delegasi Uthmaniyah yang mengunjungi Perancis semasa pemerintahan Louis XV sebagai model mereka memandangkan duta-duta ini telah menarik minat pihak istana serta orang-orang Paris.
Jalinan persahabatan Uthmaniyah dengan Perancis bermula pada abad ke-16 antara Sultan Suleiman al Qanuni dan Raja Francis I. Walau bagaimanapun, pertembungan budaya kedua-dua bangsa bermula pada awal abad ke-18.
Duta Uthmaniyah, Yirmisekiz Mehmed Celebi, yang dihantar ke Perancis pada tahun 1721 semasa Era Tulip, ketika kebudayaan Uthmaniyah sedang mencapai kemuncak estetika yang tertinggi dan halus, mencetuskan fenomena di Paris hingga akhbar Paris menampilkan duta besar dan rombongan eksentriknya sebagai tajuk utama berita selama berhari-hari.
Raja Perancis amat teruja dan gemar melihat orang asing ini. Penampilan dan cara pemakaian duta Uthmaniyah dengan adab tertibnya sangat berbeza dengan mana-mana para bangsawan yang pernah diperkenankan menghadap raja Perancis.
Mehmed Celebi yang juga merupakan seorang intelektual Uthmaniyah layak menerima sambutan sebegini, berikutan layanannya yang ramah dan baik terhadap wanita-wanita bangsawan Paris yang mengerumuni istana hanya kerana ingin melihat dia dari dekat.
Bahkan, Duchess d’Orleans menyatakan, “Dia adalah lelaki yang paling baik dan paling memahami yang pernah aku kenali di sepanjang hidupku.”
Menyusul Mehmed Celebi, kesemua duta besar Uthmaniyah akan meninggalkan kesan dan karisma yang sama terhadap warga Paris. Kehadiran mereka ke Paris seumpama kehadiran selebriti Korea di Kuala Lumpur pada hari ini.
Majlis menyambut duta Uthmaniyah ke Paris pada tahun 1721 bertukar menjadi ‘pertunjukan fesyen’. Di satu sudut, rombongan Uthmaniyah tampil dengan pakaian yang berwarna-warni dan elegan dan di sudut lain penampilan para pengawal, pegawai dan panglima menawarkan pemandangan yang indah bagi para pelukis.
Pelukis sejarah Antoine Coypel melukis pemandangan upacara raja menyambut duta dan menyampaikan lukisan itu kepada pemangku raja Philippe d’Orleans. Lukisan ini diikuti oleh yang lain dengan tema yang sama oleh pelukis lain. Ia dijual dengan harga yang sangat tinggi memandangkan bangsawan Perancis amat suka menghiasi dinding rumah dengan lukisan-lukisan ini.
Pelukis seperti Parrocel pula sebaliknya menggambarkan pemandangan yang indah ini secara berperingkat dan beberapa lukisannya disimpan di Muzium Versailles. Kunjungan delegasi Uthmaniyah di Paris amat menarik tumpuan ramai sehingga lawatan itu tidak hanya memberikan ilham pada lukisan tetapi juga tenunan permaidani yang dimodelkan dari lukisan tersebut.
Rondo Alla Turca
Paris selalu terpengaruh dengan orang asing. Untuk menggambarkan pentadbiran mereka, mereka membawa pergerakan fesyen baru dalam gaya rambut dan juga pakaian mereka. Kesan fesyen “Ala Turque” tidak hilang dengan mudah walau bertahun-tahun lamanya setelah delegasi Sultan Uthmaniyah kembali ke tanah air.
Oleh itu, kekaguman dunia barat terhadap budaya Turki dari timur yang bermula sejak era pemerintahan Sultan Mehmet al Fateh ini dikenali dengan pelbagai nama, seperti “Turquerie,” “Turkomanie,” dan “Alla Turca”, fenomena ini semakin berlanjutan. Efek oriental ini mempengaruhi sebahagian besar sosio-budaya dan kehidupan harian baik dari seni halus hingga seni bina, fesyen hingga makanan.
Sesetengah keluarga Perancis di Istanbul akan membawa pulang cenderamata tradisional apabila mereka pulang ke tanah air dan ada yang dihadiahkan kepada raja Perancis. Manakala, ada yang memukau warga Paris dengan jubah tebal dan kostum hiasan dengan menjadi model untuk pelukis. Serban menjadi aksesori paling popular dalam fesyen wanita.
Para bangsawan pada abad ke-18 Eropah mula mengenakan pakaian Uthmaniyah dalam acara rasmi, perayaan dan upacara perkahwinan mereka. Mereka menyimpan permaidani, tulip, kopi, dan sherbet Turki di istana dan kediaman mereka.
Tema Turki juga diminati dalam berbagai bidang lain seperti sastera, lukisan, seni persembahan dan hiasan. Terutamanya novel, balet dan opera yang menampilkan watak-watak Turki adalah perkara biasa ketika itu.
Memakai kostum Turki di acara balet dan bergaya untuk pelukis dengan pakaian Turki menjadi kebiasaan bagi orang Eropah. Diplomat Perancis, Harbette berkata: “Paris hampir menjadi seperti salah satu daerah kejiranan di Istanbul,” bagi menggambarkan tempoh Turqueie di Perancis.
Pengaruh Turki dalam kehidupan sosial Eropah pada mulanya muncul sebagai rasa ketakutan kemudian diteruskan sebagai rasa ingin tahu, serapan pengaruh, dan akhirnya melahirkan budaya Orientalisme di Eropah.
De Jardin Turc (Taman Turki), lokasi yang pernah menjadi taman yang paling terkenal di Paris ternyata menjadi latar belakang lukisan yang digemari ramai. Madame de Pompadur dan Madame du Barry, dua sosialita terkenal di Perancis memerintahkan pelukis Charles-Andre van Loo untuk menggambarkan mereka dengan pakaian ala Turki dalam potret.
Dalam bidang muzik, komposer yang terinspirasi dari muzik kumpulan pancaragam tentera janissari Uthmaniyah (Mehter) mula memainkan muzik Turki dalam acara keramaian. Mozart, Haydn dan Beethoven mencipta gubahan gaya “Alla Turca” masing-masing.
Satu lagi kisah menarik ialah semasa perkahwinan puteri Austria, Maria Josepha dan Putera Saxonia Friedrich pada Ogos tahun 1719, sekumpulan pemuda dengan seragam janissari dan bermisai gaya Turki membuat persembahan.
Kapal yang membawa pengantin perempuan dan tempat perkahwinan juga diilhamkan dari gaya Uthmaniyah. Pe.rang Uthmaniyah-Austria menjadikan kopi tradisional Turki (Türkentrank) popular di Eropah, terutamanya di Paris. Ia diperkenalkan melalui tawanan pe.rang.
Kebanyakan kafe yang diilhamkan dari gaya Turki menjadikan tempat pertemuan para intelektual dan sosialis, dan bahkan menjadi simbol kota Paris.
Secara keseluruhan, seni bina Eropah, reka bentuk dan juga barang-barang harian Eropah pasti ada sejarah tersendiri yang terkait dengan fenomena Turquerie.
Kubah sisi Istana Belvedere kelihatan seolah-olah dilitupi oleh khemah berumbai atau Karlskirche, yang memiliki menara-menara yang mengingatkan pada minaret Turki adalah satu lagi contoh trend ini.
Pada tahun 1785, sebuah masjid yang dibina di taman Istana Scwetzinger adalah satu lagi gambaran penting yang membuktikan minat dunia Barat terhadap Timur.
RUJUKAN:
Grabar, Oleg (1989). “An Exhibition of High Ottoman Art”. Muqarnas.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih