Era Perlembagaan Kedua adalah tonggak pencapaian penting dalam sejarah Turki tetapi anggota İttihad ve Terakki Cemiyeti (Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan) atau C.U.P. gagal mengikutinya dan bertukar menjadi lebih diktator dan zalim di sebalik topeng pejuang kebebasan.
Sultan Abdülhamid II menggantung Parlimen pada tahun 1878 selepas Pe.rang Rusia-Turki, tapi bukanlah bermakna menghapuskannya secara mutlak. Sultan tak mengganggu perlembagaan secara tidak rasmi. Walaupun perlembagaan tak pernah dipraktikkan setelah penggantungan Parlimen, perlembagaan itu masih disebut pada halaman pertama buku tahunan rasmi kerajaan.
Kanûn-u Esâsî, atau Perlembagaan Uthmaniyah tahun 1876, perlembagaan pertama empayar, dilihat sebagai simbol kebebasan oleh kaum Turki Muda walaupun lemah dari segi liberalisasi. Penyokong sistem raja berperlembagaan yang berjuang untuk membuka Parlimen sekali lagi telah menukar rejim pentadbiran Abdülhamid II selepas tahun 1878.
Apabila mereka mendapati mereka tak mampu bergerak aktif di tanah air sendiri, mereka meneruskan kempen mereka di luar negara. Penentangan oleh orang-orang Turki Muda mula meningkat pada tahun 1895. Para ulama dan sarjana-sarjana Islam menyokong orang-orang Turki Muda dan menganjurkan sistem raja berperlembagaan diselaraskan dengan hukum Syariah.
Penyokong raja berperlembagaan berusaha meningkatkan bilangan ahli mereka dengan menyebarkan manifesto dalam kempen bahawa Perlembagaan Uthmaniyah tahun 1876 harus dikuatkuasakan sekali lagi kerana raja berperlembagaan adalah sesuai dengan Islam dan perlembagaan ini tak menghalang undang-undang Syariah dilaksanakan.
Benih pertama İttihad ve Terakki Cemiyeti disemai pada tahun 1889. Kelompok ini berkembang, menyatukan kumpulan pembangkang yang lain tepat pada waktunya dan semakin berkesan apabila pihak tentera mula melibatkan diri.
Selepas Persidangan Reval, anggota CUP percaya negara mereka telah berpecah belah dan sedang dikongsi bersama antara pihak-pihak yang berkuasa, lalu mereka mula melancarkan kempen sengit, menyeru agar sesuatu harus dilakukan dengan segera.
Sultan Abdülhamid II mengambil tindakan untuk mengenal pasti dan mengesan penggerak CUP yang sedang merosakkan integriti negara. Enver Pasha melarikan diri ke kawasan pergunungan meninggalkan Thessaloniki pada 25 Jun 1908 sebaik saja dia mendapat tahu bahawa dirinya sedang diburu. Beberapa hari kemudian, Ahmed Niyazi Bey (Resneli Niyazi) pergi ke gunung di Resen bersama 150 orang askarnya.
Sementara itu, Enver Pasha yang berada di gunung menyampaikan pidato propaganda yang berapi-api mengenai pelaksanaan semula perlembagaan dan mengatur upacara mengangkat sumpah dan majlis melintas gerbang masyarakat.
Telegraf tiba dari empat penjuru di Rumelia ke Istanbul untuk memaksa Sultan menggunakan autoritinya bagi menguatkuasakan perlembagaan.
Walaupun sebahagian besar isi kandungan telegraf-telegraf ini membuat tuntutan dengan penuh berhemah mengikut protokol dan tatatertib, namun yang lain ditulis penuh dengan unsur ancaman dan ugutan, dengan menyatakan, “Jika tuntutan ini tak dipenuhi, tentera yang patuh pada orang lain akan datang ke Istanbul.”
Pembu.nuhan secara berterusan terhadap para pegawai yang mewakili sultan dan kejadian penem.bakan Şemsi Pasha membuka jalan bagi pihak CUP.
Setelah menghabiskan masa di gunung, Enver Pasha mengambil alih Köprülü yang terletak di Macedonia moden pada malam 22 Julai. Dalam pertemuan yang diadakan di sana, dia berjanji bahawa kebebasan akan diisytihar pada keesokan harinya.
Pada 23 Julai, sistem raja berpelembagaan diisytiharkan dengan tem.bakan meriam simbolik oleh tentera CUP dengan laungan “Hidup negara! Raja Berperlembagaan! Kebebasan!” Kemudian Enver Pasha mengirim telegraf ke Istanbul dengan mengatakan: “Kami sedang merawat pesakit (Empayar Uthmaniyah). Warga Bulgaria kita bersama kami. Tolong, renung-renungkan lah agar kehendak kami yang sah dapat dilaksanakan.”
Satu lagi deklarasi kebebasan adalah di Bitola, Macedonia. Apabila Sultan Abdülhamid II mengumumkan bahawa Parlimen akan dibuka berdasarkan perkembangan ini, Era Perlembagaan Kedua pun bermula.
Kereta api yang dinaiki pejuang kebebasan, Enver Pasha, menghala ke Thessaloniki setelah berhenti di beberapa lokasi untuk meraikan kejayaannya. Taalat Pasha memberikan naskah Perlembagaan Uthmaniyah 1876 berwarna merah sebagai hadiah kepada Enver Pasha yang sedang disambut oleh orang ramai.
Namun, para penggerak CUP yang ingin membawa kebebasan yang dicanangkan mereka ke dalam empayar akan melahirkan satu pentadbiran yang tak akan membiarkan rakyat bernafas dengan bebas dan akan ‘memadamkan’ pengkritik mereka melalui cara kekerasan.
Apa yang lebih menarik adalah rata-rata anggota İttihad ve Terakki Cemiyeti sendiri bahkan tak pernah membaca perlembagaan, sangat ironi di mana kerana perlembagaan itulah mereka telah berjuang menentang pemerintahan Sultan Abdülhamid II bertahun-tahun lamanya.
Majoriti anggota CUP tak pernah membaca Perlembagaan Uthmaniyah 1876, jadi, sudah tentulah mereka tak akan pernah memahami isi kandungan perlembagaan tersebut.
Malahan, semasa Dr. Nazım Bey yang ultra nasionalis Turki dan sangat prejudis terhadap etnik minoriti, dan salah seorang tokoh terpenting di kalangan anggota CUP telah kehilangan kuasa, dia membuat pengakuan bahawa dia juga tak pernah membaca perlembagaan tapi hanya sekadar mendengar sekali saja dari rakan-rakannya bahawa perlembagaan itu adalah sesuatu yang baik dalam satu perbualan di Moscow.
Dan perkara ini juga didedahkan sendiri oleh Dr. Nazin Bey sebelum beliau ditangkap dan dihukum bu.nuh atas arahan Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1926 kerana menjadi salah seorang pegawai Turki Muda dan CUP yang bertanggungjawab di atas pemban.taian etnik Armenia dan pengusiran etnik Yunani.
Perkataan “meşrutiyyet” yang berasal dari bahasa Arab digunakan untuk menggambarkan tempoh ini dalam kesusasteraan Uthmaniyah yang membawa maksud raja berperlembagaan dengan sistem berparlimen.
Jangka waktu antara 23 Desember 1876 ketika perlembagaan pertama diisytiharkan dan 13 Januari 1878 ketika Dewan Timbalan ditutup sementara, disebut sebagai “Era Perlembagaan Pertama.” Era Perlembagaan Kedua adalah antara 23 Julai 1908, ketika dewan dihimpunkan kembali, dan 30 Oktober 1918 ketika Gencatan Senjata Mudros.
Dalam tempoh Era Perlembagaan Kedua, Perlembagaan Uthmaniyah pada tahun 1876 digunakan dalam pelbagai susunan. Pada tahun 1909, undang-undang diperkuatkan dan penguatkuasaan dilemahkan dengan perubahan dalam perlembagaan, dan penstrukturannya serupa dengan yang dipraktikkan di Eropah.
Perlembagaan Turki pertama dipraktikkan oleh Majlis Kebangsaan Tertinggi Turki dengan beberapa perubahan dan penambahan peraturan semasa masih dalam tempoh berlangsungnya Pe.rang Kemerdekaan Turki.
RUJUKAN:
Davison, Roderic (1973). Reform in the Ottoman Empire, 1856-1876 (2, reprint ed.). Gordian Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih