Pada tahun 1821, kerajaan Siam telah melakukan serangan mengejut ke atas Kesultanan Kedah sekaligus mencetuskan Perang Kedah-Siam yang berlangsung dari 1821 hingga 1842. Penaklukan yang digerakkan oleh Raja Ligor ini dianggap satu tempoh getir bagi rakyat Kedah yang menyaksikan kedaulatan mereka direntap dari kuasa asing selama 20 tahun. Tetapi berkat kesungguhan dan kesabaran pejuang Kedah seperti Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad, kedaulatan tersebut dapat dikembalikan walaupun mengambil masa bertahun-tahun.
Pada hari Ahad 12 November 1821, perahu-perahu Siam yang berlepas dari Trang tiba di Kuala Kedah dan selanjutnya melancarkan serangan dan berjaya menawan Kedah. Pasukan Siam dengan kekuatan 7,000 orang tentera di bawah arahan Raja Ligor berlepas dari Trang ke Kedah, dengan alasan untuk mendapatkan bekalan beras diperlukan mereka bagi melancarkan serangan balas ke atas Burma.
Hakikatnya, ia sekadar helah untuk menawan Kedah dan menangkap Sultan Ahmad Tajuddin. Justeru, apabila pasukan tentera Siam tiba di Kedah pada 12 November 1821, niat mereka tidak disedari Datuk Bendahara yang menjadi wakil Sultan Kedah ketika itu.
Sultan Ahmad Tajuddin tiada di situ ketika serangan dilancarkan kerana sedang bersemayam di Pulau Tiga untuk memantau projek menggali terusan dari Kuala Muda. Baginda dan segala isi istana sempat berundur ke Seberang Perai sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang bagi mendapat perlindungan British.
Dalam pertempuran di Kota Kuala Kedah, ramai pembesar negeri seperti Dato Syahbandar, Dato Temenggung dan Dato Laksamana gugur syahid di tangan tentera Siam. Sementara Dato Bendahara, putera Sultan Ahmad Tajuddin iaitu Tunku Yaakob dan Tunku Jam Jam dapat ditawan oleh tentera Siam.
Namun semasa dalam perjalanan ke Singgora, Dato Bendahara diracun oleh pihak musuh selepas gagal membunuhnya dengan senjata tajam. Serangan tersebut menyaksikan seribu rakyat Kedah ditawan dan dibawa ke Bangkok untuk dijadikan hamba kepada Raja, Pemangku Raja (Wangna) dan para pembesar Siam.
Setelah berjaya menguasai Kedah, Raja Ligor telah meletakkan dua orang puteranya iaitu Phya Buri Saknuton sebagai Gabenor dan Phya Sina Nunchit sebagai Timbalan Gabenor. Pentadbiran Siam di Kedah juga turut dibantu oleh pihak tentera sekaligus membawa kepada perlaksanaan undang-undang tentera. Semasa era inilah, ramai rakyat Kedah dib*n*h dengan kejam.
Mana-mana rakyat Kedah yang cuba melarikan diri akan ditangkap dan diikat sebelum badannya akan dib3l4h dua dengan menggunakan parang besar. Bukan sedikit kaum wanita pula ramai yang menjadi mangsa kerakusan nafsu tentera Siam. Banyak rumah penduduk musnah dib4k4r dengan sawah ladang terbiar begitu saja. Mana-mana penduduk yang melarikan diri terpaksa mendirikan petempatan di kawasan bukit-bukau atau berhijrah ke negeri-negeri berjiran seperti Seberang Perai, Perak dan Pulau Pinang.
Bukan sekali Sultan Ahmad Tajuddin menghantar wakilnya bersama pihak British ke Siam bagi merundingkan perjanjian damai dan mendapatkan kembali Kedah tetapi tidak membuahkan sebarang hasil. Pada tahun 1822, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) menghantar wakil yang diketuai oleh John Crawfurd dengan tujuan mengembalikan semula kedudukan Sultan Ahmad Tajuddin.
Begitu juga dengan usaha rundingan yang digerakkan Kapten Henry Burney ke Bangkok pada tahun 1825. Salah satu sebab Burney dihantar ke Bangkok ialah mengembalikan kuasa baginda. Bagaimanapun, kedua-dua utusan ini gagal berbuat demikian. Namun begitu, Burney berjaya memeterai perjanjian dengan kerajaan Siam pada tahun 1826 dengan salah satu syarat ialah British mengakui kedaulatan Siam ke atas Kedah dan British tidak akan membenarkan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, keluarganya atau pengikutnya menyerang Kedah.
Perjanjian yang bersifat berat sebelah ini telah menyebabkan Sultan Kedah murka dengan rakyat Kedah merasakan maruah mereka ibarat tiada nilai. Oleh kerana itu bagi memulihkan semula maruah dan kedaulatan Kedah pada tahun 1826, Syed Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Tunku Kudin yang juga anak saudara kepada Sultan Ahmad Tajuddin telah melancarkan satu kempen ketenteraan bagi merebut Kedah semula. Siam mempunyai sebab memusuhi baginda kerana Tunku Kudin mempunyai daya kepimpinan yang luar biasa sekaligus berpotensi menjadi ancaman kepada kerajaan berkenaan.
Justeru, tidak hairanlah mengapa Siam pernah mengarahkan beberapa orang tentera upahan meletupkan rumah Tunku Kudin pada waktu malam sebagai sebahagian daripada cubaan bunuhnya. Walaupun berjaya diselamatkan oleh penduduk tempatan tetapi seluruh keluarga tercinta baginda m4t1 dalam serangan berkenaan.
Peristiwa itu menguatkan tekad Tunku Kudin untuk menghalau Siam keluar dari bumi Kedah. Beliau bersama Tunku Long Putih, saudara ipar kepada Sultan Ahmad Tajuddin dan Tunku Sulaiman berserta para pengikut mereka telah membuat serangan mengejut ke atas kubu Siam di Kota Kuala Kedah. Namun demikian serangan kali pertama ini berakhir dengan kegagalan.
Pada tahun 1829, Tunku Kudin sekali lagi bangkit memimpin kebangkitan rakyat Kedah untuk mengusir pihak Siam. Gerakan kali ini turut disertai oleh Tunku Long Puteh, Tunku Jaafar dan Tunku Dagang serta beberapa lagi panglima-panglima Melayu Kedah. Namun demikian, nasib masih tidak menyebelahi Tunku Kudin dan pejuang-pejuang Kedah kerana masih gagal mengusir Siam keluar dari bumi Kedah.
Menjelang bulan Januari 1830, Tunku Kudin berjaya mengumpul kekuatan orang-orang Melayu untuk berjuang menentang Siam. Beliau berjaya mengumpulkan kekuatan angkatan perang seramai 5,000 orang Melayu termasuk 80 askar Sepoi untuk menyerang Kedah melalui Perai.
Jumlah angkatan ini semakin bertambah di Kedah berikutan keinginan membara rakyat yang mahu bebas dari belenggu penjajahan. Serangan tersebut yang turut dibantu angkatan perang Sultan Ahmad Tajuddin berjaya mengusir Siam dan Kota Kuala Kedah kembali di tangan pejuang Kedah pada 24 April 1831.
Sebagai tindak balas terhadap layanan kejam tentera Siam terhadap rakyat Kedah, 30 tawanan perang Siam diseksa sehingga m4t1. Perkara sama turut menimpa orang Cina yang bersubahat membantu kekejaman Siam ke atas rakyat Kedah. Semua orang Cina yang membantu tentera Siam telah dib*n*h dengan cara dijahit hidup-hidup di dalam kulit kerbau yang baru dis3mb3l1h dan dibiarkan di tengah panas hingga m4t1.
Kejayaan Tunku Kudin mengambil balik Kota Kuala Kedah dan berjaya memaksa tentera Siam berundur diketahui oleh Chao Phya Ligor. Sebagai tindak balas, baginda telah mengumpulkan 7,500 orang dengan 3,000 ekor gajah dan mara ke Kedah. Angkatan ini bergerak ke Trang sebelum memasuki Kedah dan bergabung dengan angkatan mereka yang berkubu di Alor Ganu.
Angkatan Siam telah melancarkan serangan ke atas pasukan Tunku Kudin di Kota Kuala Kedah. Dalam p3rt3mpuran ini, pihak British telah memberi bantuan kepada tentera Siam dan mengisytiharkan sesiapa yang ditangkap membantu pasukan Kedah akan dianggap lanun dan akan dikenakan hukuman.
British turut memberi bantuan senjata dan ubat bedil kepada Siam. Kapal-kapal p3r4ng British telah diarah bergerak ke Sungai Kedah dan Sungai Merbok bagi menyekat dan memintas pasukan Tunku Kudin dan Tunku Long Puteh yang dipercayai akan cuba berundur melalui jalan laut. Perairan Kedah juga turut dikawal ketat oleh kapal-kapal p3r4ng British agar tiada bantuan daripada orang-orang Melayu dari luar Kedah boleh masuk.
Walaupun Tunku Kudin dan pasukannya cuba mempertahankan kedudukannya tetapi akhirnya dapat juga dikalahkan oleh pasukan Siam. Tentera Siam berjaya memasuki kota berkenaan dengan 50 orang pejuang Kedah termasuk Tunku Kudin syahid. Menurut catatan British, dalam peristiwa kebangkitan Tunku Kudin ini, semua pengikut baginda termasuk kaum Hawa mengangkat senjata untuk mempertahankan Kota Kuala Kedah dari jatuh ke tangan Siam.
Selepas mayatnya dijumpai oleh pihak musuh, pihak Siam memenggal kepala baginda dan dibawa ke Bangkok sebagai tatapan kepada Raja Rama III (dalam satu jalur Raja Ligor). Tetapi alangkah terkejutnya baginda apabila melihat riak wajahnya masih lagi kelihatan bengis dan garang, seolah-olah menyatakan Tunku Kudin tidak redha dengan penjajahan Siam di bumi Kedah.
Peristiwa ini tidak ubah seperti peristiwa William Wallace, seorang pahlawan Scotland yang menentang penjajahan Inggeris di mana kepalanya turut dip4ncung dan dipersembahkan kepada Raja England. Walaupun dikatakan syahid, wujud laporan bahawa baginda terselamat dan berjaya melepaskan diri dari kepungan pihak musuh.
Dalam pertempuran yang berlangsung selama lima bulan itu, 700 orang tentera Siam telah terb*n*h dengan 1,500 orang pejuang Kedah gugur syahid. Setelah Kota Kuala Kedah jatuh kembali ke tangan Siam, kira-kira 4,000 hingga 5,000 keluarga telah ditawan dan dibawa ke Bangkok. Syahidnya Tunku Kudin di Kota Kuala Kedah telah sampai ke telinga seluruh rakyat Kedah. Keperwiraan baginda dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa Melayu dikenang oleh orang-orang Melayu Kedah sehinga sekarang. Kegagalan gerakan Tunku Kudin ini langsung tidak meruntuhkan semangat orang-orang Kedah untuk menentang Siam.
Sebaliknya, wujud beberapa lagi siri peristiwa gerakan penentangan berlaku di Kedah termasuk yang dirancang oleh Sultan Ahmad Tajuddin sendiri pada 27 Mac 1837. Walaupun rancangan baginda gagal kerana dihalang oleh British, namun nyalaan api perjuangan untuk membebaskan Kedah daripada cengkaman Siam terus menyala dan diteruskan oleh pejuang Kedah lain seperti Tunku Muhammad Saad, Dato Wan Muhammad Ali, Tok Mo Ris dan Tunku Muhammad Akib. Perjuangan mereka berterusan sehinggalah Kedah berjaya bebas sepenuhnya daripada penjajahan Siam pada tahun 1842 menerusi helah diplomatik yang dimainkan oleh Tunku Anum.
RUJUKAN
1. Abdullah Zakaria, Peribumi dan Penjajah: Gerakan Tentangan di Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia.
2. Abdullah Zakaria Ghazali, Sejarah Malaysia: Sorotan Masa Lalu, Iktibar Hari Ini Dan Akan Datang. Persatuan Sejarah Malaysia. 2008.
3. Abdullah Zakaria Ghazali. SEJARAH GERAKAN POLITIK AWAL DI KEDAH. Sabrizain. http://www.sabrizain.org/malaya/library/gerakankedah.pdf
4. Haji Buyung Adil, Sejarah Kedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980.
5. J. T. Thomson, Some Glimpses into Life In The Far East, London.1865.
6. Kingsley Bolton, Christopher Hutton, Triad Societies Volume 5, Canada and UK. 1941.
7. Sherard Osborn, The blockade of Kedah in 1838: a midshipman’s exploits in Malayan waters, Oxford University Press.
8. The Asiatic Journal and Monthly Register, British and Foreign India, China and Australasia. London. 1832.
9. Thomas John Newbold, Political and Statistical Account of the British Settlements in The States of Malacca, London. 1839.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih