Tun Dr Mahathir, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam dunia sepak terajang politik tanah air. Sebagai anak kelahiran Alor Setar yang mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Iskandar dan Sultan Abdul Hamid College iaitu dua buah institusi pendidikan yang sangat berkait rapat dengan Tun Dr Mahathir, sudah pasti penulis memiliki kekaguman yang tinggi terhadap beliau.
Tun Dr Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat, 10 Julai 1925 dari pasangan Mohamed bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanapi. Namun, tarikh lahir beliau didaftarkan pada 20 Disember 1925. Oleh kerana itulah, beliau dikatakan akan menyambut ulang tahun kelahiran sebanyak dua kali setahun.
Sebelum berkecimpung dalam bidang kedoktoran, Tun Dr Mahathir mendapat pendidikan di Goverment English School (GES), Alor Setar pada tahun 1932. GES adalah “Boys’ School” dan merupakan antara sekolah yang tertua di Malaysia di belakang MCKK dan Penang Free School. Pengetua pertama GES ialah bapa beliau sendiri iaitu Mohammed Iskandar.
Kini, institusi tersebut telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu Sultan Abdul Hamid College bersempena nama Sultan Kedah ke-25 bagi peringkat menengah dan Sekolah Kebangsaan Iskandar bersempena nama datuk Tun Dr Mahathir bagi peringkat rendah. Sekolah ini kekal sebagai sekolah elit di Kedah di mana para bangsawan seperti Kerabat DiRaja, para pemimpin politik, para intelektual dan ahli sukan ternama ramai lahir di situ.
Tun Dr Mahathir mula aktif dalam berpolitik sejak tahun 1945 selepas tamatnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Selepas liku-liku panjang dalam medan politik, akhirnya Tun Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 menggantikan Tun Hussein Onn pada 16 Julai 1981 ketika berusia 56 tahun. Beliau melantik sekutu rapatnya, Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sepanjang pemerintahan beliau yang berusia sekitar 2 dekad, Tun Dr Mahathir memiliki seramai empat orang Timbalan Perdana Menteri yang silih berganti. Selain Musa Hitam (1981-1986), TPM sepanjang era pemerintahan Tun Dr Mahathir ialah Ghafar Baba (1986-1993), Anwar Ibrahim (1993-1998) dan Abdullah Ahmad Badawi (1998-2003). Pada setiap penggantian jawatan TPM ini memiliki kisah kontroversinya yang tersendiri jika diulas dari kaca mata percaturan politik.
Ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2002, secara tidak dijangka, tiba-tiba Dr Mahathir mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan sekaligus Perdana Menteri Malaysia. Hal ini membuatkan seisi dewan terkejut dan tidak semena-mena beberapa pemimpin parti itu celapak menuju ke arah Dr Mahathir bagi memujuk beliau menarik semula keputusan tersebut. Ketika itu kedengaran Dr Mahathir berkata, “Saya dah lama buat keputusan…dah lama dah…”
Dalam keadaan kecoh itu di mana Dr Mahathir tidak dapat menahan perasaannya dan menangis terisak, diikuti oleh pemimpin yang lain, Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah, yang juga kelihatan terperanjat dengan pengumuman itu, kemudiannya meminta para perwakilan supaya bertenang. Perhimpunan ditangguhkan selama beberapa minit setelah kejadian itu.
Malam itu, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan perjumpaan tergempar bagi membincangkan perkara tersebut. Atas nasihat DS Abdullah Badawi, Dr Mahathir menarik semula keputusan itu walau pada awalnya beliau bertegas untuk membuat keputusan. Hal ini adalah bagi memastikan peralihan kuasa dapat dilaksanakan dengan teratur. Beliau bersara secara rasminya hanya pada 31 Oktober 2003. Beliau diganti oleh DS Abdullah bin Ahmad al-Badawi sebagai PM Malaysia ke-5. DS Abdullah Badawi mengangkat sumpah sebagai PM ke-5 dihadapan YDP Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Negara.
Istiadat bermula pada 3.05 petang di Balairong Seri. Kemudian, lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang. Seterusnya, DS Abdullah Badawi dijemput menghadap bagi menerima kurnia surat cara pelantikannya daripada YDP Agong. Diiringi oleh Datuk Paduka Maharajalela, DS Abdullah Badawi mendekati takhta untuk menerima dan mengangkat sumpah jawatan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia.
Beliau kemudian pergi ke meja untuk menandatangani 4 dokumen cara perlantikan jawatan, disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman. Dokumen tersebut kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara. Akhir sekali, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Mohammed Yusoff Hussain membacakan doa selamat dan upacara itu selesai pada kira-kira pukul 3.15 petang.
Antara yang hadir untuk menyaksikan peristiwa bersejarah ialah isteri beliau, Datin Paduka Seri Endon Mahmood, mantan perdana menteri Dr Mahathir dan isteri, serta Menteri Kabinet dan para pembesar asing. Setelah istiadat angkat sumpah tersebut, disusuli pula penganugerahan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara kepada Dr Mahathir yang membawa gelaran Tun dimana ia dihadkan kepada 25 orang pada satu-satu masa. Upacara berakhir pada jam 3.30 petang selepas lagu kebangsaan dimainkan sekali lagi.
YDP Agong dan Permaisuri kemudian meninggalkan Balairong Seri disertai oleh DS Abdullah Badawi dan isteri serta diikuti oleh Tun Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah. Kemudian di Putrajaya, Dr Mahathir secara rasmi menyerahkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan kepada DS Abdullah Badawi. Majlis penyerahan tugas dan tanggungjawab itu diadakan di tingkat lima Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra. Dr Mahathir menyerahkan fail meja untuk menandakan peralihan kuasa kepada DS Abdullah Badawi di hadapan Ketua Setiausaha Negara.
Setelah itu, DS Abdullah Badawi yang juga bertindak sebagai presiden Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan Tun Dr Mahathir sekitar 30 minit. Di luar, menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta ramai kakitangan kementerian dan beratus-ratus penduduk Putrajaya menunggu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir turun ke tingkat 1 bagi merakam waktu keluar pejabat pada pukul 5.09 petang. Tun Dr Mahathir kemudiannya berjalan ke ruang legar, disaksikan oleh kakitangan Jabatan Perdana Menteri. DS Abdullah Badawi kemudian berjalan bersama Tun Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah ke kereta mereka.
Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira 20 minit berjabat tangan dengan pegawai dan kakitangan semasa dia berjalan ke arah kereta. Selepas melihat Tun Dr Mahathir, DS Abdullah Badawi iaitu Perdana Menteri Malaysia yang baharu melambaikan tangan kepada orang yang hadir dan kemudian masuk ke kereta rasminya.
Sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau sebagai Ketua Kerajaan, Tun Dr Mahathir berkhidmat kepada 6 orang Ketua Negara iaitu YDP Agong. Monarki yang memayungi negara pada era tersebut ialah Sultan Ahmad Shah (1979-1984), Sultan Iskandar (1984-1989), Sultan Azlan Shah (1989 – 1994), Tuanku Ja’afar (1994 – 1999), Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (1999-2001) dan Tuanku Syed Sirajuddin (2001-2006).
Beliau turut dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”. Tempoh 22 tahun sebagai PM menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai pemimpin ketiga paling lama di Asia Tenggara memegang jawatan di belakang Lee Kuan Yew (PM Singapura) dan Suharto (Presiden Indonesia).
Pemilihan Tun Abdullah Badawi sebagai PM adalah selepas Tun Dr Mahathir menyingkirkan DS Anwar Ibrahim pada 1998 atas alasan skandal moral yang dilakukan oleh mantan Timbalan Perdana Menterinya itu. Tun Dr Mahathir menyifatkan DS Anwar Ibrahim sebagai orang yang tidak sesuai memimpin negara.
Beliau juga mendakwa DS Anwar sebagai terburu-buru dan sangat tergilakan untuk menjadi Perdana Menteri apabila merancang untuk menggulingkan Tun Dr Mahathir. Tun Abdullah Badawi yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 1999, akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr Mahathir pada tahun 2003.
Setelah Abdullah Badawi dipilih sebagai PM, Barisan Nasional kembali menguasai majoriti dalam Parlimen pada PRU 2004. Ini adalah kerana keperibadian Abdullah Badawi yang disenangi ramai beliau kurang berkonfrontasi dalam politik. Namun, kedudukan Barisan Nasional goyah semula pada PRU 2008 apabila Tun Dr Mahathir bertindak menyerang kepimpinan Tun Abdullah Badawi kerana tidak puas hati dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh PM Ke-5 itu.
Selain terkenal sebagai tokoh politik yang sering berkonflik dengan pemimpin politik sejak era Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir juga sering bertelingkah dengan Timbalan Perdana Menterinya. Bahkan, beliau juga bertelingkah dengan Perdana Menteri selepas zamannya.
Beliau mengaku sering tersilap dalam membuat keputusan tentang penggantinya. Hal ini merujuk kepada perlantikan Tun Musa Hitam dan DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Tun Abdullah Badawi dan DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Bahkan Tun Dr Mahathir juga dikaitkan dengan perseteruan terhadap beberapa kerabat DiRaja.
Tun Dr Mahathir bersungguh-sungguh menyatakan bahawa beliau tidak ingin lagi untuk kembali ke pentas politik setelah meletak jawatan. Walaubagaimanapun, tiba-tiba Tun Dr Mahathir telah diumumkan sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang pada 8 Januari 2018. Pada PRU 2018, kali pertama pihak pembangkang memenangi pilihan raya lalu membentuk kerajaan.
Ini menjadikan Tun Dr Mahathir buat kali keduanya menjadi Perdana Menteri, namun kali ini sebagai mewakili parti pembangkang. Apabila mengangkat sumpah jawatan selaku Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei 2018, ini menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai antara ketua kerajaan yang tertua di dunia iaitu ketika berusia 92 tahun.
Namun pemerintahan beliau buat kali kedua ini tidak sama lagi dengan zaman pemerintahannya yang dahulu. Di era penyebaran maklumat yang serba pantas dan media yang amat terbuka ini, pentadbiran beliau tidak lagi sekukuh dahulu. Ura-ura kerapuhan rakan seperjuangan dalam pakatan kerajaan turut menjadi faktor utama. Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan yang hanya menguasai beberapa belas kerusi parlimen dalam komponen kerajaan membuatkan tindakan beliau dilihat tidak setajam dahulu.
Namun, didoakan semoga Tun Dr Mahathir mampu memimpin negara dengan baik walau terpaksa melalui zaman yang sukar ini. Semoga Tun Dr Mahathir terus fokus dalam memimpin dan dapat membuat keputusan yang tepat tentang masa depan negara agar beliau tidak berasa tersilap lagi buat kesekian kalinya dalam memilih pengganti. Ini semua adalah bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara dari segala unsur-unsur sketsa politik yang tidak menentu.
* Untuk sebarang soal jawab dan perkongsian, sila follow penulis di : https://instagram.com/khairiasyraf_17
RUJUKAN
– Doktor Umum : Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad, Mahathir Mohamad ; April 2012, MPH Group Publishing Sdn Bhd ISBN 9674150250
– Tun Abdullah Ahmad Badawi – Full Biography
– Gallery Sultan Abdul Hamid College
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih