Antara tokoh politik yang sangat ‘underrated’ adalah Tun Ghafar Baba. Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri antara tahun 1986-1993 di bawah PM ke 4, Dr Mahathir Mohamad.

Jasanya pada Dr Mahathir dan UMNO sangat besar. Pada tahun 1976, beliau memberikan laluan kepada Dr Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri sedangkan beliau ketika itu adalah Naib Presiden UMNO ke 2 dan Dr Mahathir hanyalah Naib Presiden ke 3.

Beliau adalah antara tokoh awal yang menyertai UMNO Melaka pada tahun 1955 sehinggakan ditukar tempat kerja sebanyak 4 kali oleh Pengarah Pendidikan Melaka, Encik Henry Gurney

Beliau juga acap kali menolak jawatan utama dalam kerajaan. Pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman telah meminta beliau menjadi Ketua Menteri Melaka. Beliau menolak dan memilih untuk kekal sebagai seorang guru. Pada tahun 1959, Tunku menawarkan lagi jawatan tersebut kepada beliau. Sekali lagi beliau menolak. Tunku kemudiannya ‘mengugut’ bahawa jika Tun Ghafar masih menolak, Melaka akan dibiarkan tanpa Ketua Menteri. Tun Ghafar kemudiannya menerima jawatan tersebut dan berkhidmat sehingga meletak jawatan pada tahun 1967

Pada tahun 1968, Tunku yang mahukan Tun Ghafar terus berkhidmat kepada negara telah melantik beliau sebagai Senator dan Menteri tanpa portfolio. Tun Ghafar tidak mengetahui perancangan Tunku kerana beliau sedang berada di Rusia. Hanya apabila pesawat terbang sampai di Bangkok, barulah beliau dimaklumkan berkenaan keputusan Tunku.

Pada tahun 1983, Dr Mahathir bermasalah dengan Majlis Raja-Raja apabila beliau mahu meminda Perkara 66 perlembagaan. Pindaan tersebut menyatakan bahawa sebarang undang-undang yang diluluskan oleh parlimen akan berkuatkuasa 15 hari selepas dimaklumkan kepada YDPA walaupun baginda tidak berkenan. Majlis Raja-Raja menolak pindaan ini dan kemudiannya mencetuskan krisis antara Raja dan Umno. Tun Ghafar telah menjadi ketua perunding dan kedua dua pihak berkompromi dengan syarat tempoh tersebut dilanjutkan kepada 60 hari.

Pada tahun 1985, beliau diminta menjadi Presiden de facto MCA bagi menyelesaikan masalah kepimpinan parti tersebut. Beliau berkhidmat selama 10 bulan sehinggalah pertembungan antara dua kem dalam MCA selesai. Tun Ghafar ialah satu-satunya individu bukan Cina yang pernah mengemudi MCA.

Pada tahun 1987, apabila berlakunya cabaran daripada team B (Ku Li – Musa Hitam) ke atas kepimpinan Dr Mahathir, Tun Ghafarlah yang menunjukkan kesetiaan menyokong Perdana Menteri ketika itu. Akhirnya Dr Mahathir menang tipis jawatan Presiden Umno dengan majoriti 47 undi. Tun Ghafar pula menang dengan majoriti 40 undi ke atas Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden

Pada tahun 1992, bagi menghapuskan imuniti Raja-Raja atas kesalahan peribadi, maka Tun Ghafar sekali lagi diminta membentangkan usul bagi meminda perlembagaan. Usul tersebut disokong penuh parlimen. Majlis Raja-Raja akhirnya memperkenankan pindaan perlembagaan bagi mewujudkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja Melayu yang melakukan kesalahan atas kapasiti peribadi.

Pada tahun 1993, beliau dicabar oleh DSAI bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Adalah menjadi rahsia umum bahawa DSAI adalah anak emas Dr Mahathir dan pencalonan beliau juga direstui Dr M. Walhal sebelum itu DSAI berkali kali menafikan mahu mencabar jawatan Timbalan Presiden.

Tun Ghafar akhirnya menarik diri dengan hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri. Beliau menulis surat perletakan jawatannya ketika berada di lapangan terbang. DSAI menang tanpa bertanding dan ketika keputusan diumumkan, semua perwakilan Umno di PWTC bangun memberikan tepukan gemuruh kepada gandingan Mahathir-Anwar.

Sehari selepas kemenangan DSAI, Tun Ghafar sekali lagi dilihat di lapangan terbang Subang; kali ini sambil menjinjing sebuah beg plastik tanpa ditemani sesiapa ketika menunggu penerbangan ke Indonesia. Di bawah adalah gambar tersebut.

Tun Ghafar menolak sebarang anugerah bergelar semasa berkhidmat dalam kerajaan. Beliau hanya memakai nama YAB En Ghafar Baba walaupun anggota kabinet dan exconya sudah bergelar Dato Seri, Tan Sri atau Datuk. Beliau hanya menerima gelaran Tun pada 1995; 2 tahun selepas meletak jawatan sebagai TPM

Begitulah kisah ringkas seorang pemimpin negara. Beliau begitu setia walaupun disingkirkan dengan cara seolah olah beliau tidak pernah ada jasa. Beliau konsisten menolak sebarang gelaran daripada Raja-Raja untuk dirinya. Beliau menunjukkan teladan dengan mengambil jawatan apabila tiada lagi yang lebih layak daripadanya. Beliau membuktikan bagaimana seorang Melayu boleh bergerak atas politik demokrasi dalam keadaan menjaga daulat dan kehormatan Raja-raja.

Maka apabila ada zuriat keturunannya yang bermulut cabul menghina raja, memanggil mereka sebagai lanun Bugis dan penumpang lupa daratan hanya kerana baginda memulakan usaha agar Majlis Raja-Raja menolak satu perjanjian antarabangsa, maka saya fikir benarlah panggang tersebut jauh benar daripada apinya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Kejuruteraan Elektrik Kuasa daripada Universiti Tenaga Nasional. Berpengalaman hampir 10 tahun di alam pekerjaan termasuk dalam bidang pengurusan kontrak, pentadbiran korporat dan pengurusan jabatan. Beriltizam melihat perpaduan negara melalui amalan politik yang sihat dan sejahtera. Melihat fitnah dan adu domba sebagai ancaman sebenar negara yang perlu dilawan semua.

Comments are closed.