Selepas berjaya sampai ke bulan, manusia pastinya teringin untuk menjelajah angkasa lepas. Filem-filem fiksyen seperti Interstellar dan The Martian merupakan manifestasi impian berkenaan. Impian itu semakin hampir jadi realiti selepas biji benih yang disemai dalam tanah bulan tumbuh buat kali pertama – satu perkara yang mengejutkan saintis yang terlibat dalam eksperimen berkenaan.
Sebelum eksperimen dijalankan, sepasukan saintis dari Institut Makanan dan Sains Pertanian, Universiti Florida tidak meletakkan sebarang harapan sama ada ia menjadi atau tidak. Tetapi jika berjaya, para saintis berharap ia dapat digunakan untuk penghasilan makanan oleh generasi penjelajah bulan seterusnya.
Bagi menguji teori ini, sejenis bunga bernama thale cress ditanam dalam sampel-sampel tanah bulan yang diambil dari ekspedisi Apollo 11, 12 dan 17. Sebagai perbandingan, satu thale cress ditanam dengan tanah yang menyerupai ciri tanah bulan.
Dan hasilnya, ia bercambah dalam sampel tanah bulan sebenar. Tetapi para saintis perasan disebabkan ciri tanah bulan yang berbeza dengan tanah bumi termasuk kasar mengakibatkan biji benih bercambah lebih perlahan berbanding biji benih yang ditanam dalam sampel tanah bulan palsu. Ini mengakibatkan pertumbuhan benih thale cress pada sampel tanah tersebut terbantut.
Perkara ini terjadi kepada sampel tanah yang lebih lama terdedah kepada radiasi kosmik dan angin solar di bulan. Lebih lama pendedahan kepada dua elemen berkenaan, pertumbuhan thale cress juga terjejas teruk.
Pemerhatian saintis juga mendapati sampel tanah yang diambil dari kawasan Sea of Tranquility sebagai sampel paling kurang sesuai untuk tumbuhan bercambah. Ini kerana kawasan tersebut terdedah kepada radiasi kosmik dan angin solar beberapa bilion lebih lama berbanding sampel-sampel tanah lain.
Di sebalik semua ini, ia masih membuktikan bahawa mengusahakan tanaman di bulan bukan sesuatu yang mustahil. Bagi meningkatkan peluang tanaman berjaya di bulan, saintis perlu menilai kaedah penanaman yang paling sesuai dan bagaimana mengurangkan kesan reaksi ekstrem yang dialami tumbuhan.
Antara solusi yang dicadangkan ialah memilih kawasan geologi bulan yang lebih muda. Ini termasuk memilih kawasan laluan lava sebagai tapak semaian. Selain itu, persekitaran kawasan semaian boleh saja diubahsuai seperti mengubah komposisi nutrien tanah atau menentukan pencahayaan tiruan yang sesuai untuk tanaman.
Tetapi untuk menjayakan eksperimen ini bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana terdapat 842 paun sampel tanah bulan yang diambil dari enam ekspedisi Apollo. Selepas dibawa pulang ke bumi, semua sampel ini disimpan oleh Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.
Namun begitu, ia mula menjadi realiti selepas NASA bersetuju membenarkan saintis menggunakan sampel tanah bulan dalam simpanan mereka. Sebanyak 12 gram tanah diserahkan kepada para saintis eksperimen di Florida pada awal tahun lepas sebelum penanaman dibuat empat bulan kemudian.
Bagi NASA, perkembangan eksperimen ini dilihat batu asas terbaik untuk merencana misi kembali ke bulan dan seterusnya penjelajahan ke planet lain seperti Marikh. NASA berharap dapat membawa manusia kembali ke bulan buat kali pertama sejak 1972 dengan sasaran direalisasikan pada 2025.
Bagaimanapun, tahun sasaran misi dijangka sukar dicapai lebih-lebih lagi selepas NASA bergelut menyelesaikan isu pra-pelancaran mereka sejak beberapa bulan sebelumnya. Sekiranya isu ini gagal diselesaikan segera, NASA bakal berdepan risiko dipintas China dan Rusia selepas kedua-dua negara mengumumkan misi bulan mereka awal tahun ini.
Para saintis yang terlibat dalam eksperimen ini berharap dapat mengulangi kitaran penanaman dengan tanah bulan akhir tahun ini. Mereka akan menanam lebih banyak thale cress sebelum beralih kepada tumbuhan-tumbuhan lain.
RUJUKAN
Associated Press. (2022, 12 Mei). ‘Holy cow’: scientists successfully grow plants in moon soil for the first time.
BBC News. (2022, 14 Mei). Moon soil used to grow plants for first time in breakthrough test.
Salisbury, J. (2022, 14 Mei). Scientists grow plants in moon soil for the first time in long-awaited NASA study. London Evening Standard.
Torchinsky, R. (2022, 14 Mei). Scientists successfully grow plants in soil from the moon. NPR.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih