Kira-kira 2632 tahun lalu, metropolis purba Nineveh tumbang. ‘ABC 3’ merupakan sebuah teks historiografi dari Babylonia yang mencatatkan tanggal 10 Ogos 612SM sebagai tarikh berlakunya peristiwa bersejarah ini. Ketika itu, Nineveh merupakan kota terbesar di dunia dan ia berfungsi sebagai ibu kota Assyria.
Kesemua kegemilangannya itu berakhir secara mendadak apabila Nabopolassar si raja Babylonia dari Kaldan dan seorang figura utama dalam kejatuhan Empayar Neo-Assyria, bertindak men4kluki Nineveh.
Kejatuhan Nineveh ini disebutkan oleh sejarahwan sebagai salah sebuah peristiwa paling menggemparkan dunia purba: Kejatuhan ‘Pertama’ Nineveh. Kejatuhannya yang kedua berlaku pada tahun 2015, dengan kerosakan yang lebih dahsyat menimpa dek ulah militan ISIS.
NINEVEH: PENEMUAN ARKEOLOGI YANG TIADA TOLOK BANDINGAN
Mesopotamia di zaman purba merupakan tempat lahirnya tamadun di Hilal Subur, yang pada hari ini meliputi Iraq, Kuwait, timur Syria, tenggara Turki dan kawasan di sempadan Turki-Syria dan Iran-Iraq. Pada tahun 1839, Paul-Emile Botta dari Perancis menjalankan ekskavasi di gundukan-gundukan yang terdapat di gurun Iraq, dan ianya membawa kepada penemuan Nineveh, kota Assyria purba yang terletak di pinggir bandar Mosul, Iraq.
Penemuan tersebut amat signifikan memandangkan ia memberi maksud sebuah kota dan tamadun purba yang disebutkan di dalam Bible (bagi penganut Kristian, dan hadis baginda Nabi bagi Muslim) dapat ditunjukkan bukti kewujudannya.
Bagi penganut Kristian, penemuan ini memberi nafas baru buat mereka lantaran zaman tersebut dicirikan oleh golongan saintis yang lazim menuntut bukti empirikal tentang sebarang doktrin agama, di mana tradisi sebegini secara efektif menggantikan ajaran-ajaran agama dengan logika dan nalar. Justeru, penemuan kota Nineveh mengubah segalanya.
KOTA DIRAJA NINEVEH
Empayar Assyria mula goyah selepas kemangkatan Raja Assurbanipal pada tahun 631SM, tahun di mana warga Babylon memerdekakan diri. Sekitar tahun 627SM, Nabopolassar dari Babylon menewaskan Assyria dalam sebuah pertempuran yang meletus berhampiran Babylon lalu diangkat sebagai raja. Peristiwa ini menandakan bermulanya sejarah Empayar Babylon yang berpanjangan hingga ke tahun ketumbangan Nineveh di tangan Cyrus Agung dari Parsi pada Oktober 539SM.
Walaupun beliau sudah pun berjaya memerdekakan warga Babylon, Nabopolassar tetap jua bertekad mahu menghapuskan kota-kota penting seterunya, termasuklah pusat keagamaannya di Assur dan pusat pentadbirannya di Nineveh. Bagi menghindarkan perkara tersebut berlaku lantaran ia bakal mengakibatkan perubahan kuasa secara ketara di Timur Dekat, maka Mesir menawarkan bantuan ketenteraan kepada Assyria.
Kronikel Kejatuhan Nineveh mencatatkan bahawa pada 25 Julai 616SM, Nabopolassar menewaskan pasukan Assyria di tebing Sungai Furat di selatan Harran. Namun tidak lama kemudian, beliau mengundurkan pasukannya sebaik sahaja pasukan Mesir kian menghampiri kedudukannya. Menjelang lewat tahun berikutnya, Medes, iaitu sebuah federasi kesukuan yang menetap di Iran moden, memanfaatkan kesempatan atas segala kekacauan tersebut untuk menguasai Nineveh.
Nabopolassar dengan bijaksana memeterai sebuah perjanjian dengan raja Medes, Umakistar (Cyaxares). Putera mahkota Babylon, iaitu Nabu-kudurru-usur (Nebuchadnezzar) dikahwinkan dengan Amytis, yang diandaikan oleh sejarahwan sebagai puteri kepada Cyaxares dari Astyages. Pasukan gabungan Medes-Babylon lalu menyerang Nineveh pada Mei 612SM dan kota tersebut tumbang pada bulan Julai.
Menurut sebuah artikel yang disiarkan di Livius, selepas Raja Sin sar-Iskun terbvnuh, “penjarahan Nineveh berlanjutan hingga ke tanggal 10 Ogos, di mana Medes akhirnya pulang jua pada hari tersebut”. Tambahnya lagi, ketumbangan Nineveh “benar-benar menggemparkan dunia purba”. Di Yunani yang jauh sekalipun, seorang penyair yang bernama Phocylides dari Miletus menghikayatkan kehancuran kota purba itu dalam karyanya.
2015: KEJATUHAN NINEVEH KALI KEDUA DI TANGAN ISIS
Tidak cukup hancur pada 2500 tahun yang lalu, Nineveh sekali lagi ditimpa malang pada tahun 2015 apabila sebuah patung kerbau bersayap Assyria dihancurkan oleh ISIS. Sebuah artikel di The Guardian menyifatkan kehancuran warisan budaya di Iraq itu sebagai ‘jenayah per4ng’. Pada waktu yang sama, kumpulan pengganas tersebut dengan muka temboknya melakukan cubaan untuk mendapatkan rekrut baru di sana.
Sebuah video Aljazeera yang dikeluarkan pada tahun 2015 memaparkan bagaimana sejumlah artifak Nineveh dari kurun ke-7SM dihancurkan pada tanggal 26 Februari 2015 dalam sebuah ser4ngan ISIS ke atas Muzium Mosul. Banyak juga artifak yang dicuri dan dijual dalam pasaran asing.
Namun pada tahun 2019, BBC mengumumkan bahawa setelah tentera Iraq berhasil merebut semula Mosul pada 2017, sebahagian Muzium Mosul dibaikpulih dan dibuka semula untuk mempamerkan hasil-hasil seni kontemporari.
Sambil itu, bahagian-bahagian yang lain terus ditutup bagi ‘melindungi artifak yang masih tersisa’. Sekiranya kejatuhan pertama Nineveh disifatkan oleh rekod sejarah sebagai suatu peristiwa yang menggemparkan dunia purba, kejatuhan keduanya pula diratapi oleh setiap pelusuk buana.
TERJEMAHAN:
Ashley Cowie. (10 Ogos 2020). August 10 612 BC: Nineveh, the Largest City in the World, Fell. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/fall-nineveh-0014103
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih