Pada Mei 2025, Presiden Donald Trump mengumumkan tarif ke atas import dari China dikekalkan pada kadar luar biasa tinggi: 145%. Rundingan perdagangan yang dijadualkan di Switzerland minggu ini dijangka berlangsung dalam suasana tegang. China mendesak konsesi, Trump tetap berkeras. Dunia menahan nafas, menunggu apa kesudahannya.
Di China, protes pekerja mula meletus di kawasan-kawasan perindustrian. Kilang memperlahankan operasi, tekanan sosial semakin membuak, dan kerajaan China kini mempergiatkan usaha mengukuhkan jaringan dagangannya dengan negara lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada Amerika.
Langkah Trump ini bukan kejutan bagi mereka yang faham corak kepimpinannya. Ini kesinambungan dasar proteksionis era pertama beliau, kini dihidupkan kembali dengan lebih keras dan meluas. Trump tidak mahu sekadar berunding, beliau mahu mendominasi.
Mac lalu, tarif tambahan 10% dikenakan terhadap semua produk China, selain mengenakan tarif ke atas produk Mexico dan Kanada. Ini membuktikan pendekatan Trump lebih meluas daripada sekadar menekan Beijing.
Kesan langsungnya: harga barang di Amerika melonjak. Syarikat teknologi AS tersepit. Kos pengeluaran melambung. Wall Street mula bergolak, memaparkan tanda-tanda ketidaktentuan yang membimbangkan.
Di pihak China, tekanan ini hanya membuka ruang untuk membalas. Beijing mengenakan tarif ke atas produk pertanian dan teknologi Amerika. Lebih strategik lagi, China terus menguasai pasaran logistik nadir bumi dunia. Ia satu tamparan hebat kepada keperluan teknologi tinggi Amerika.
Dalam masa sama, China memperhebat hubungan mereka dengan Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin melalui inisiatif Belt and Road. Beijing juga mempercepatkan usaha penyahdolarisasi dengan mempromosikan yuan dalam lebih banyak transaksi global.
Realitinya, dunia kini melihat dua kuasa besar bertembung secara ekonomi. Tetapi impaknya menjalar kepada seluruh dunia. Negara-negara kecil, termasuk Malaysia, mula terasa bahangnya.
Eksport Malaysia ke China mungkin terjejas jika Beijing mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar. Namun dalam masa sama, peluang muncul. Pelaburan dari China ke negara ASEAN — termasuk Malaysia dijangka meningkat apabila syarikat China mencari jalan memintas tarif AS.
Tetapi tidak semua berita itu manis. Ketidakstabilan rantaian bekalan global boleh menggugat ekonomi Malaysia, terutama dalam sektor elektronik dan pembuatan.
Trump bukan hanya keras di medan ekonomi. Beliau juga mencetuskan ketegangan diplomatik, menuntut kapal Amerika mendapat laluan bebas di Terusan Panama dan Suez. Namun, dunia sudah berubah. Panama dan Mesir hari ini bukan lagi negara kecil yang mudah tunduk kepada tekanan kuasa besar.
Semakin jelas, dunia berpecah kepada dua blok besar: satu pro-Amerika, satu lagi pro-China. Tetapi ramai negara memilih jalan tengah, bijak memanfaatkan kedua-dua pihak untuk kelangsungan sendiri.
Lebih membimbangkan, proteksionisme melampau ini mengingatkan dunia kepada era 1930-an. Proteksionisme berlebihan pada masa itu membawa kepada Kemelesetan Besar. Adakah sejarah bakal berulang?
Dalam Amerika sendiri, bantahan terhadap dasar tarif Trump semakin kuat. California, sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, telah mengemukakan saman terhadap pentadbiran Trump atas alasan melanggar Perlembagaan.
Industri hiburan turut terkena bahangnya selepas tarif 100% dikenakan ke atas filem asing. Ini bukan sekadar perang dagang, tetapi juga perang budaya yang mempamerkan Amerika yang semakin tertutup.
Apa sebenarnya yang Trump takutkan?
Beliau melihat dominasi Amerika semakin rapuh. China bukan lagi kuasa yang mudah ditekan. Dunia berubah. Perdagangan, diplomasi, dan teknologi tidak lagi berpusat pada satu kuasa sahaja.
Tarif 145% ke atas China bukan semata-mata langkah ekonomi. Ia strategi politik. Trump mahu menuduh China sebagai kambing hitam untuk semua masalah ekonomi domestik, demi mengekalkan sokongan politik.
Tetapi dunia luar melihat sesuatu yang lebih dalam. Amerika kini bergelut mempertahankan kedudukannya.
Pakar geopolitik menyifatkan pendekatan Trump sebagai “serangan defensif” iaitu tanda ketakutan, bukan kekuatan.
Tambahan pula, perang tarif ini mula membunuh industri domestik sendiri. Lombong nadir bumi AS seperti MP Materials kini tersepit akibat kos melambung dan kekurangan fasiliti pemprosesan.
Jika perang tarif berlarutan, rantaian bekalan global akan terus terganggu. Negara seperti Malaysia perlu memperkukuh perdagangan serantau segera, mengurangkan ketergantungan kepada kuasa besar.
Dalam dunia hari ini, satu tindakan melulu di Washington boleh mengheret dunia ke dalam kegelapan ekonomi bertahun-tahun lamanya.
Trump mungkin mendapat tepukan nasionalis jangka pendek. Tetapi dalam gambaran lebih besar, beliau sedang menolak Amerika ke jalan “America Alone”.
Dunia tidak menunggu sesiapa.
China semakin memperkukuh kedudukannya.
Negara-negara kecil pula belajar untuk bertahan, melangkah lebih berhati-hati dalam dunia yang semakin berbahaya
.
Kini, persoalannya bukan lagi siapa paling kuat.
Tetapi siapa yang paling bijak membaca masa depan dan bertindak sebelum semuanya terlambat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.