Siri hit Netflix, Trauma Code: Heroes on Call ini adalah siri Kdrama popular yang ditayangkan baru-baru ini. Siri ini menjadi rancangan TV bukan Inggeris yang paling banyak ditonton di Netflix pada 5 Februari, manakala “Squid Game: Season 2” jatuh ke tempat kelima dalam kategori yang sama.
Kisah dalam drama ini dikatakan diinspirasikan daripada watak sebenar yang wujud dalam realiti, iaitu seorang pakar bedah trauma yang menyelamatkan seorang kapten tentera. Tapi, tahukah anda bahawa penulis asal kepada siri drama popular ini juga seorang doktor dalam dunia realiti?
Ini adalah cerita tentang seorang doktor perubatan yang menjadi penulis novel web yang kemudiannya berubah sekelip mata selepas novelnya diadaptasikan menjadi drama. Tajuk asal novel web berkenaan ialah ‘Trauma Code: Golden Hour’ yang ditulis oleh Han San Yi, nama sebenarnya Lee Nak Joon, seorang doktor pakar otolaringologi (ENT).
Novel web itu juga diadaptasi menjadi webtoon dan kemudiannya dihasilkan sebagai drama. Han San Yi telah melakar kisahnya dalam persekitaran yang sibuk di pusat trauma, di mana hidup dan mati menjadi pertaruhan para doktor.
Beliau menulis watak protagonis dengan kemahiran yang tiada tandingan, malah beliau turut menyampaikan kritikan pedas terhadap sistem perubatan dunia sebenar. Sebagai seorang penulis, Lee Nak Joon mahu menunjukkan kepada masyarakat tentang realiti serta pandangannya terhadap dunia perubatan yang dijalaninya.
Beliau juga memberi penjelasan tentang sebab Baek Kang Hyuk digambarkan sebagai watak yang hampir fantastik dan bukannya watak yang berakar umbi dalam realiti. Walau bagaimanapun, Lee Nak Joon turut mendapat inspirasi watak Dr Baek ini daripada pencapaian Profesor Lee Guk Jong, yang mengetuai Pusat Trauma di Hospital Universiti Ajou dan kini bekerja di Hospital Angkatan Tentera Daejeon.
Menurut Lee, “Saya bukan sahaja merujuk Golden Hour (esei Profesor Lee Guk Jong), tetapi saya juga bertanya kepada kenalan saya dalam pembedahan, pembedahan saraf, dan pembedahan toraks tentang aspek tertentu yang saya ingin tahu dan mula menulis berdasarkan cerita mereka. Saya terfikir, betapa hebatnya jika isu-isu ini dapat diselesaikan, walaupun ia dalam novel. Saya juga berharap agar lebih ramai orang akan bersimpati dengan saya, kerana saya percaya ini bukan hanya keinginan saya.”
Kdrama Trauma Code: Heroes On Call ini sebenarnya telah memberi penerangan rinci tentang isu-isu yang berlaku dalam sistem perubatan hari ini. Gambaran kesukaran di Pusat Trauma serta perjuangan Dr Baek Kang Hyuk dalam melawan halangan pembiayaan dan tenaga kerja adalah realiti pahit yang berlaku dalam senario kehidupan sebenar para doktor kini.




No comments yet