Sekitar tahun 1855, sebuah pekan baru dibangunkan di Daerah Levy, Florida. Pekan ini diberi nama Rosewood, bersempena pokok aras merah (red cedar) yang banyak tumbuh di situ. Pokok ini memang mahal, justeru ia menjadi sumber pendapatan buat penduduk.

Tambahan, Florida Railroad ketika itu baru sahaja membina sebuah stesen kecil bagi tujuan logistik. Jadi, kayu-kayan dari Rosewood boleh diangkut ke kilang pensil di Cedar Key (berjarak 14 km) – bersama beberapa barang lain seperti turpentin, sitrus, sayuran, dan kapas. Kilang itu bahkan menjadi punca rezeki bagi sebilangan penduduk Rosewood.

Walaupun pada amnya segregasi masih berlaku – persis tempat-tempat lain di Amerika Syarikat pada awal kurun ke-20 – komuniti berkulit hitam dan putih di Rosewood relatifnya masih hidup dengan makmur.

Mereka memiliki tiga buah gereja, sebuah sekolah, sebuah pejabat pos, sebuah kilang turpentin dan tebu, sebuah pasukan besbol (Rosewood Stars), dan dua buah kedai serbaneka. Belasan rumahnya juga adalah dua tingkat. Menukil salah seorang penduduknya, “Rumah-rumah di Rosewood semuanya bercat. Dan di mana-mana jalan pun ada bunga ros. Memang indah.”

Cuma, itulah. Sejarah sentiasa mengajar yang keindahan tidak akan berkekalan. Menjelang 1890-an, keadaan di Rosewood kian merudum. Kerisauan paling utama adalah berkait bekalan kayu. Ia mulai habis. Kilang pensil lantas ditutup. Ramai kehilangan kerja.

Ekoran itu, rata-rata penduduk berkulit putih pun berpindah. Antaranya ke Sumner (berjarak  1.6 km) yang memiliki kilang papan (Cummer & Sons). Rosewood lantas didominasi oleh populasi berkulit hitam. Semenjak itu, krisis demi krisis kaum mula timbul.

Lokasi pekan Rosewood

Pada penghujung 1922 misalnya, seorang guru sekolah berkulit putih mati dibunμh. Sekitar masa yang sama juga ada sebuah perhimpunan Ku Klux Klan diadakan di Gainesville (berjarak sekitar 78 km). Semua ini mendorong kepada ketegangan yang akhirnya meledak secara tuntas pada awal Januari 1923 di Sumner.

Ia bermula pada pagi tahun baru, di rumah pasangan James dan Fannie Taylor. Pagi itu, James keluar bekerja ke kilang seperti biasa. Isterinya pula duduk di rumah, bersama orang gaji yang menguruskan apa-apa yang perlu.

Sekilas, suara jeritan kedengaran. Jiran di kiri-kanan pun tergamit untuk datang jenguk. Dilihat wajah Fannie lebam teruk. Katanya, dia ditumbuk oleh seorang lelaki berkulit hitam yang tak dikenali. Masing-masing pun pantas saja percaya.

Walaupun sebenarnya, ia agak pelik. Sebab pekan Sumner dan Rosewood bukanlah besar mana. Jumlah penduduk jika kedua-duanya dicampurkan baru seramai 638 orang (344 berkulit hitam dan 394 berkulit putih). Jadi, hampir semua mengenali nama dan wajah satu sama lain.

Lagipun menurut pembantu rumah Fannie sendiri (bernama Sarah Carrier), tiada lelaki berkulit hitam yang singgah pada hari itu. Yang ada cuma seorang lelaki berkulit putih – dipercayai kekasih sulitnya. Tetapi lumrah ketika itu, kenyataan dari orang seperti Sarah (dia berkulit hitam) cenderung dikesampingkan.

Lantas, khabar pun meniti dari bibir ke bibir. Sampailah muncul satu nama sebagai suspek, iaitu Jesse Hunter. Jesse ialah banduan berkulit hitam yang terlepas dari penjara. Justeru, ramai yang mengesyakinya.

Hinggakan sherrif Robert Walker sendiri bersetuju untuk bentuk sekumpulan sukarelawan bagi menyiasat perkara ini. Salah seorang yang dilantik ialah James, suami Sarah. Untuk menjejaki Jesse, mereka pinjam beberapa ekor anjing bloodhound dari penjara.

Berdasarkan cakap-cakap yang didengar, Jesse konon bersembunyi di rumah Sam Carter – seorang tukang besi. Semua memang kenal siapa Sam dan di mana rumahnya. Jadi, mereka pun menuju ke situ.

Pintunya dirempuh. Sam dijerkah. Lantaran tiada pengakuan, dia lantas didera – dipukul lalu diheret keluar. Badannya kemudian digantung di sebatang pokok, setelah ditembak mati. Dengan demikian, bermulalah episod tragedi.

Satu-satunya rumah yang tersisa di Rosewood, dan gambar salah seorang mangsa rμsuhan

Khabar angin lantas tersebar. Kononnya, orang berkulit hitam melawan ‘polis lantikan sheriff’ sampai kekerasan perlu digunakan. Jadi, makin ramai ikut memberi bantuan – yang sebenarnya, ikut membuat rμsuhan. Keadaan jadi tidak terkawal terutama pada malam 4 Januari.

Saat itu, penduduk Rosewood memang ketakutan habis. Mereka berkumpul ramai-ramai dalam rumah. Dan perμsuh mengesyaki Jesse berada di salah sebuah rumah tersebut. Rumah paling disasarkan ialah rumah Sarah, orang gaji Fannie.

Ikutkan, rumah itu memang menjadi rumah perlindungan. Tetapi bukan untuk Jesse. Sebaliknya untuk kira-kira 25 orang kanak-kanak. Ini kerana rumah Sarah terletak berhampiran dengan paya, justeru sesuai untuk melarikan diri jika terjadi apa-apa.

Sebaik tiba di sana, dua orang perμsuh – Henry Andrews dan Poly Wilkerson – menendang jatuh pintu. Kedua-duanya lantas ditembak mati oleh Sylvester, anak Sarah. Ekoran itu, adegan tembak-menembak pun berlaku antara Sylvester dan 20-30 orang perμsuh. Dia dan ibunya terbμnuh di situ. Kanak-kanak yang bersembunyi mujur sempat melarikan diri ke paya.

Sarah Carrier (kiri) dan Sylvester (tengah)

Kejadian di rumah Sarah ini memarakkan lagi rμsuhan. Kira-kira 200 orang dari pekan lain sertai penduduk Sumner pada keesokan hari (5 Januari). Gereja dan rumah dibakar. Mana-mana yang terserempak habis ditembak. Antaranya Lexie Gordon yang menerima tembakan di kepala ketika rumahnya terbakar.

Keesokan pagi, keadaan sedikit reda. Bantuan pun mula tiba. Ia dihulurkan oleh dua beradik Bryce – John dan William Bryce. Dengan kerjasama sheriff, mereka memandu keretapi ke Rosewood dan membantu penduduk untuk keluar dari pekan itu. Ada yang lari ke Gainesville, ada yang lari lebih jauh ke utara. Apa yang pasti, Rosewood ditinggalkan sepenuhnya.

Saat itu, gabenor Florida memang ingin hantar National Guard bagi meleraikan keadaan. Tetapi tawaran itu ditolak oleh sheriff lantaran percaya yang ia masih terkawal. Hakikatnya adalah sebaliknya. Perμsuh kembali semula pada 7 Januari untuk memusnahkan apa-apa yang masih berbaki.

Sehingga kini, laporan rasmi merakamkan 8 kematian – enam individu berkulit hitam dan dua berkulit putih. Namun angka sebenar mungkin lebih tinggi. Bangunan yang masih berdiri pun hanya tinggal dua sahaja – sebuah rumah dan sebuah kedai serbaneka. Kedua-duanya milik John Wright, penduduk Rosewood yang selamat kerana dia berkulit putih. Itu pun mujur perμsuh tidak tahu yang dia sembunyikan ramai penduduk. Kalau tidak, mungkin ia pun turut musnah.

Insiden tersebut kemudian dibawa ke mahkamah pada 12 Februari. Menerusi kenyataan yang diambil dari 25 orang lelaki berkulit putih dan 8 orang berkulit hitam, mahkamah memutuskan tiada bukti untuk sabitkan hukuman.

Sekali gus, tiada pembelaan dan pampasan diberikan. Kesemua mangsa memulakan kehidupan baru di tempat baru, bersama trauma yang terus-menerus memburu. Hatta ketika tiada siapa mengingati kejadian itu.

Filem tahun 1997 yang menceritakan semula kejadian di Rosewood

Kejadian ini hanya digali kembali 60 tahun kemudian (1982), oleh seorang jurnalis bernama Gary Moore dari St. Petersburg Times. Itu pun secara tidak sengaja. Ketika berborak dengan penduduk tempatan, ada yang berkata kepadanya, “Kami tahu kenapa kamu datang ke sini. Kamu mahu kami buka mulut fasal rμsuhan itu kan?”

Moore yang tidak tahu-menahu, terus sahaja bertanya lanjut. Laporan demi laporan akhbar turut dikeluarkan. Sampaikan pada 1993, Lembaga Perwakilan Florida menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memeriksa perkara tersebut.

Ini kemudian membawa kepada pemberian pampasan bernilai $2.1 juta, yang diagihkan kepada sembilan orang mangsa. Itu tidak termasuk biasiswa pendidikan bernilai $6,100 yang sehingga hari ini telah memanfaatkan 290 orang penerima dalam kalangan keluarga mangsa tragedi Rosewood.

RUJUKAN:

Banks, Adelle M. (2020, 25 December). Reparations after Rosewood Massacre a model, descendants say. Tampa Bay Times.

Goodloe, Trevor. (2008, 23 March). Rosewood Massacre. Black Past.

History. (2021, 20 April). Rosewood Massacre.

Lakshmi, Shenbaga. (2021, 20 September). The Tragic Black Massacre Our History Books Don’t Talk About. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply