Demi kepentingan cita-cita politik, nyawa manusia menjadi korban”.

Tahun 1968M, telah berlaku peristiwa berdarah yang sangat tragis. Pada tahun itu, Seramai 180 orang pemuda beragama Islam yang berusia di antara 18 hingga 30 tahun telah dibunuh secara beramai-ramai di Pulau Corregidor, Filipina. Ia berlaku pada 18 mac 1968. Peristiwa berdarah itu dikenali Pembataian Jabidah. Pemuda Moro yang terbunuh dan kuburnya tidak bertanda itu, dibakar dan sisanya dicampakkan ke laut. 

Saya mula mendengar tragedi ketika permusafiran di Mindanao termasuk di Kepulauan Sulu.di sana, saya mendengar cerita mulut ke mulut telah berlaku pembunuhan beramai-ramai para pemuda Tausuq atau Suluk dan Bajau sekitar 1960an. Saya sekadar mendengar ketika itu, tanpa mencatat secara serius. Beberapa hari ini, saya beranggapan, sudah sampai masa untuk saya berkongsi pengalaman, sketsa umat Islam di Selatan Filipina yang pada saya, kurang pendedahan. Sebut sahaja Mindanao, orang terbayangkan keganasan, radikal, MNLF, penculikan tanpa mengetahui warna warni sebenar sejarah dan keindahan wilayah di sana.

Penulis di Jeti Jolo, Kepulauan Sulu

Sebelum saya melanjutkan penulisan tentang peristiwa tersebut, sebaiknya kita sedikit berundur ke belakang untuk memahami apa yang menatijahkan peristiwa itu berlaku.

Sabah Dibawah Bayu Dan Filipina

Sabah, sebuah negeri yang terletak di Pulau Borneo. Sabah mempunyai sempadan dengan Sarawak dan Brunei di bahagian Barat, Kalimantan di Selatan serta Filipina yang dipisahkan laut Sulu dan Sulawesi yang dipisahkan laut Sulawesi. Sementara Filipina adalah negara yang memiliki 7,107 buah pulau bersempadan dengan Sabah. Mempunyai lebih 103 juta penduduk (tahun 2016) dan sebahagian besar iaitu 90% beragama Kristian Katolik.

Sebagaimana Thailand dan Indonesia, Filipina juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sejak kejatuhan Rejim Marcos pada tahun 1986 di tangan Corazon Aquino. Walaupun telah mengamalkan demokrasi, namun Filipina masih belum betul-betul stabil kerana masalah rasuah dan kemiskinan menyebabkan sistem demokrasi Filipina sangat lemah. Malah pembunuhan politik merupakan sesuatu yang masih berterusan lantaran pihak tentera juga telah beberapa kali mencuba untuk merampas kuasa.

Tahun 1963M, Sabah telah bergabung dengan Tanah Melayu membentuk Malaysia yang sebelum ini dibawah pengaruh kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu serta Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).

Walaupun Sabah sudah menjadi sebahagian Malaysia, hingga kini Sabah masih lagi dituntut oleh Filipina atau dalam erti kata lain Sabah masih lagi dianggap sebahagian daripada Filipina meskipun Presiden Marcos telah berjanji untuk tidak lagi menuntut Sabah tetapi hasrat beliau ini telah digagalkan oleh Kongres Filipina. Mengapakah Kongres tidak mahu ataupun tidak bersetuju melupuskan tuntutan lagi ke atas Sabah?, ini kerana Sabah boleh menjadi isu kepada ahli politik Filipina untuk melonjakkan populariti melalui sentimen-sentimen rakyat kepada mereka. Presiden Duterte ketika kempen politiknya dahulu pernah menyebut beliau akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Filipina menyatakan bahawa Sabah adalah sebahagian dari Filipina berdasarkan tuntutan warisan melalui pertalian tradisi Sabah dengan Kesultanan Sulu. Tuntutan ini adalah sebuah tuntutan yang kurang berasas. Ya, Sabah pernah menjadi sebahagian dari Kesultanan Sulu. Walaubagaimanapun, senario politik Sabah dan Filipina telah berubah sejak penjajah Sepanyol, British dan Amerika menjejakkan kaki mereka ke rantau ini.

Untuk pengetahuan para pembaca yang dihormati, sehingga sekarang, Filipina masih belum mempunyai Konsulat di Sabah bagi menangani pelbagai isu mengenai rakyat mereka di Sabah. Hal ini kerana, sekiranya Filipina membuka konsulat di Sabah, ia bermakna Filipina telah mengiktiraf Sabah sebahagian daripada Malaysia. Malaysia sebagai negara yang terkenal dengan diplomasi yang tinggi sebaliknya pula membuka konsulat di Davao City sejak 1990. Tidak seperti Indonesia, negara jiran itu juga telah membuka Konsulat di Kota Kinabalu Sabah dan telah banyak memudahkan urusan warganegara Indonesia yang bermasalah.

Tragedi Jabidah 1968

Peristiwa itu dipanggil Peristiwa Jabidah. Ia adalah projek rahsia kerajaan Filipina. Ia bermula pada tahun 1967 apabila seramai 180 pemuda tausug dan samal yang direkerut dari Sulu dan Tawi-Tawi berumur antara 18 hingga 30 tahun telah dilatih khas oleh pihak tentera Republik Filipina (AFP) di Pulau Simunul di kepulauan Sulu. Kemudian mereka dipindahkan ke Corregidor atas alasan akan menjalani latihan Komando. Operasi sulit ini dinamakan Freedom Operation (Operasi Merdeka). Kumpulan Jabidah ditubuhkan bertujuan menyusup dan menyahstabilkan Sabah. Mereka dijadualkan menyerang Sabah atas nama Kesultanan Sulu, dan apabila konflik dan perang tercetus di Sabah, Regim Marcos mempunyai alasan mengambil alih Sabah. Walaubagaimanapun, rancangan ini telah gagal kerana timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemuda-pemuda tersebut yang merasa tertipu dan berakhir dengan pembunuhan mereka yang terlibat. Pemuda Moro yang terbunuh dan kuburnya tidak bertanda itu, dibakar dan sisanya dicampakkan ke laut. Marcos pula menafikan pembabitannya dalam perancangan ini.

Peringatan Peristiwa Jabidah 1968

Oleh kerana geografi Selatan Filipina dan Sabah sangat dekat, maka hubungan kekeluargaan telah berlaku sejak sekian lama. Disebabkan itu, untuk menyerang Sabah, ia merupakan suatu perkara yang sangat sukar untuk dilakukan oleh para pemuda tausug tersebut. Pada awalnya, mereka itu dijanjikan masa depan yang cerah dengan gaji dan kerjaya dalam pasukan tentera. Janji itu bagaimanapun tidak ditepati. Selepas empat minggu berpindah dari Pulau Simunul, tempat latihan pertama ke Corregidor, Mereka tidak menyangka rupa-rupanya mereka ditugaskan untuk menyerang Sabah. Mereka juga tidak dibayar gaji yang mencukupi dan sering kelewatan serta tidak dilayan dengan baik sebagai manusia.

Pada akhir tahun 1960an juga, berlaku persaingan parti politik yang berpengaruh ketika itu iaitu Parti Liberal (LP) dan Parti Nacionalista (NP) dengan Presiden Ferdinand Marcos bersedia untuk pemilihan semula pada tahun 1969.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini telah disaksikan oleh seorang pemuda yang terselamat yang bernama Jibin Arula. Beliau merupakan saksi tunggal sempat melarikan diri terjun ke dalam laut. Beberapa jam kemudian, Jibin Arula telah diselamatkan oleh seorang nelayan dan nelayan tersebut telah membawa beliau ke Bandar Cavite yang ditadbir oleh seorang Gabenor LP yang merupakan sahabat rapat Aquino. Maklumat daripada Jibin telah sampai kepada ahli politik muslim dari parti LP dan termasuk Aquino. Aquino telah menemubual orang yang terselamat itu dan telah menggunakan isu ini untuk menyerang Marcos. Khabar angin pembunuhan itu memberi peluang kepada pemimpin parti liberal pembangkang, Benigno Aquino Jr membocorkan kepada Media.

Liputan awal media massa melaporkan bahawa Marcos bertanggungjawab untuk melatih dan merekrut satu kumpulan orang Islam bagi melancarkan serangan gerila. Para mahasiswa Muslim Moro telah turun mengadakan protes dan tunjuk perasaan selama berminggu-minggu di Manila termasuk yang terlibat ialah Prof Nur Misuari (pengasas MNLF). Marcos mengambil tindakan dan berlaku penangkapan tahanan ahli politik dan orang tertentu pada akhir 1960an.

Ahli politik Islam seperti Haroun Al-Rachid Lucman, Salipada Pendatun dan Salih Ututalum berpendapat bahawa Operasi Merdeka adalah contoh tindakan melulu Ferdinand Marcos yang boleh mengakibatkan perang terhadap Malaysia. Mereka juga mengadu bahawa umat Islam dari Selatan dieksploitasi demi cita-cita politik Marcos. Operasi Merdeka, akhirnya berakhir dengan tragis dalam Pembunuhan Jabidah.

Presiden Marcos terus menafikan pembabitan beliau. Sambil itu, ada siasatan menyebutkan tidak ada bukti jelas mereka dibunuh. Kematian beramai-ramai itu berpunca dari perselisihan faham antara pegawai dan para pemuda yang direkrut tersebut. Bermula tembakan yang tidak sengaja akhirnya mencetus tembakan sesama sendiri. Ada pendapat lain, persitiwa Jabidah itu adalah konspirasi dan rancangan jahat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) bertujuan menjatuhkan Marcos. Kendatipun tiada siapa dapat membuktikan kebenaran Jabidah, realitinya Marcos memang pernah mempunyai hasrat menggunakan kekerasan bagi mengambil Sabah dari Malaysia.

Bukan Kali Pertama

Pembunuhan yang brutal bukan kali pertama melibatkan umat Islam di Selatan Filipina. Telah tercatat dalam sejarah pembunuhan Buq dato pada tahun 1906 dan pembunuhan Buq Basak pada tahun 1911 dan 1913 dan peristiwa-peristiwa lain. Walaupun peristiwa Jabidah bukanlah peristiwa keganasan pertama ke atas umat Islam dan hanya melibatkan jumlah yang kecil tetapi ia merupakan suatu memori hitam umat Islam di sana. Akibatnya, Ia telah menjadi pemangkin kebangkitan semangat pemuda muslim di Mindanao bangkit memperjuangkan hak mereka. Memori peristiwa ini telah menjadi modal emosi sebahagian pemuda muslim dari Mindanao menubuhkan Moro National Liberation Front (MNLF) atau dalam bahasa melayu Barisan Pembebasan kebangsaan Moro. Setahun kemudian, meletuslah perang membebaskan wilayah selatan yang menuntut kemerdekaan Bangsa Moro, perang yang sehingga kini memakan korban lebih 120,000 nyawa. 

Bukan kali pertama juga, umat Islam dari Selatan Filipina dijadikan alat demi hasrat dan cita-cita sebahagian ahli politik yang jahat termasuk ahli politik beragama Islam. Skrip itu berlangsung sampai sekarang. Peristiwa Lahad Datu adalah termasuk perancangan sebahagian pihak tertentu mempergunakan pemuda tausuq menyerang Sabah dibalik nama Kesultanan Sulu. ‘Sultan’ yang mendakwa Sultan Sulu itu sebenarnya bukan mewakili Kesultanan Sulu kerana terlalu banyak pendakwaan dan pengakuan dari individu-individu mengaku sebagai Sultan. Mereka dipercayai dipergunakan untuk mewujudkan ‘chaos’ sebelum pihak ketiga menuntut dan masuk atas nama penyelesaian.

Acquino Dan Usaha Keamanan

Beningo Aquino III, mantan Presiden Filipina ke-15 (2010-2016), anak kepada Aquino Jr yang bertanggungjawab membocorkan peristiwa ini pada tahun 1968 pernah mengingatkan rakyat tentang sejarah hitam yang merupakan sebahagian daripada naratif nasional sebuah negara.

“Saya ada tanggungjawab untuk meneliti sejarah itu demi mencari kebenaran,” katanya semasa berucap pada majlis mengenang 45 tahun peristiwa Pembantaian Jabidah pada tahun 2013.

Aquino III yang meneruskan perjuangan ayahnya adalah presiden yang pertama menganjurkan sebuah majlis mengenang peristiwa itu. Beliau telah mengisytiharkan Taman Keamanan Mindanao sebagai tapak sejarah negara. Taman itu diharapkan akan jadi batu tanda bahawa masyarakat Muslim dan Kristian di Mindanao cintakan keamanan. Presiden Aquino III menyebut,

In March of 1968, my father exposed the Jabidah Massacre, while holding firm to the basic principle that the life of each Filipino is invaluable. In his speech, he said: “The life of a Filipino, no matter how lowly he is… is as important as the life of a high official, as important as the life of a President.”

Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan,

Today, we are here in Corregidor, recalling our past in all humility, as we recognize this truth with our heads held high: whether you are Moro or Christian; Bisaya or Tagalog; Agta, or Ilokano, or Ilonggo; Tausug, Yakan, Maranao, whatever corner of the Philippines you come from, under the flag of a united Philippines, the lives of each and every Filipino have equal worth. I say again: we cannot change the past. We have, however, a responsibility to the present—an obligation to bequeath a much better future to the next generation of Filipinos”

Ada nada ikhlas dalam ucapan Aquino apabila beliau mengatakan mengenang Jabidah akan mengukuhkan lagi usaha kerajaannya untuk menangani masalah di Mindanao.

Peristiwa tersebut sudah memahat sejarah yang hitam. Ia hadir untuk memberi pengajaran kepada generasi selepas. Tidak pernah ada istilah “terlambat” dalam meluruskan sejarah. Sejarah yang tertinggal atau ditinggalkan, tercicir atau dicicirkan tidak dapat tidak harus dikutip semula. Yang baik di jadikan sempadan, sejarah yang baik dibuat tauladan.

Titipan doa kepada mereka yang terkorban, moga ditempatkan bersama para syuhada. Amin

Belajar dari Sejarah, bersatu demi Keamanan”

Sekian,

Angah Sunan, LFO Movement

Rujukan,

  1. Syed Muhammad Khairuddin al Junid, Social memory and state−civil society relations in the Philippines: Forgetting and remembering the Jabidah ‘massacre, Sage Publication (2013)

  2. Wan Shawaluddin Wan Hassan, Zaini Othman, Ketidakstabilan Negara Jiran dan Kesannya kepada Keselamatan Malaysia, Sosiohumanika (2009)

  3. http://www.officialgazette.gov.ph/2013/03/18/speech-of-president-aquino-at-the-45th-anniversary-of-jabidah-massacre-march-18-2013-english/

  4. http://www.astroawani.com/perspektif/jabidah-sabah-dan-pelurusan-sejarah-10400

  5. Kembara Penulis di Mindanao


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.