Setiap negara dan bangsa mempunyai adat perkahwinan masing-masing. Bagi orang Palestin, walau sejauh mana mereka dari tanah air yang masih dijajah, aspek adat terutama dari segi perkahwinan sentiasa dipelihara bagi tatapan generasi seterusnya. Berikut beberapa adat perkahwinan orang Palestin untuk tatapan para pembaca.
- Tulbeh
Tulbeh atau bertanya sebenarnya mirip kepada adat meminang. Biasanya, keluarga pengantin lelaki akan mengunjungi keluarga pengantin perempuan untuk lamaran formal bagi pihak pengantin lelaki. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum perkahwinan diadakan dan dianggap langkah pertama untuk perkahwinan.
Peranan si pelamar (keluarga pengantin lelaki) dan penerima lamaran (keluarga pengantin perempuan) biasanya diisi oleh ahli keluarga yang lebih tua atau terhormat dalam kalangan keluarga kedua-dua mempelai. Upacara ringkas tetapi intim ini selalunya diadakan di rumah dengan rombongan kedua-dua pihak dijamu dengan teh, kopi dan manisan.
- Sahra
Sahra atau parti malam biasanya diadakan sebelum hari perkahwinan. Sahra biasanya dianjurkan oleh keluarga kedua-dua mempelai tetapi ada juga memilih mengadakannya secara berasingan. Yang pasti, parti yang boleh berlanjutan sehingga lewat malam ini mengandungi tiga elemen tetap: makanan, muzik dan tarian.
Satu perkara yang sentiasa dinantikan semasa sahra ialah upacara mencukur bulu muka pengantin lelaki. Muka si polan akan disapu dengan air sabun sebelum bulu mukanya dicukur. Sebaik saja selesai, tetamu akan bersorak dan menyanyi lagu bersama. Tujuan upacara ini dibuat ialah bagi menampakkan wajah si polan berseri-seri pada hari pernikahannya.
- Inai
Majlis berinai biasanya dikhususkan untuk kaum Hawa Palestin. Ia boleh saja diadakan semasa sahra atau hari khusus untuk berinai. Dahulu, ia diadakan sebagai cara mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan pengantin perempuan.
Hari ini, hari berinai digabungkan sebagai hari keraian untuk pengantin wanita. Pada hari itu, wanita-wanita Palestin berkumpul dan menyanyikan lagu-lagu Arab tradisional yang bertemakan cinta, kegembiraan dan keraian.
Pes inai dibuat bersama-sama sebelum ia dikumpul dalam satu dulang dan dihias dengan bunga-bungaan. Dari situ, pes akan diambil dan diletakkan pada tangan pengantin. Para wanita akan berkumpul dan menghias tangan, lengan dan kaki mereka dengan inai sebelum membiarkannya kering. Inai dianggap mewakili hubungan manusia dengan tanah dan keraian bersifat kegembiraan.
Sebelum pasangan mempelai memasuki rumah baru mereka, sesetengah akan meletakkan inai pada jenambang pintu. Kononnya dengan berbuat begitu, ia dapat mengundang nasib baik kepada mempelai sebelum mereka masuk ke rumah baru.
- Makanan
Tak sah jika menghadiri majlis perkahwinan orang Palestin, jamuan makannya b0leh menjamu populasi sebuah negara kecil. Di Tebing Barat, mansaf dihidangkan untuk semua bentuk majlis, baik bersifat keraian atau berkabung. Di setiap wilayah, mansaf disediakan mengikut cara berbeza-beza. Tetapi biasanya mansaf terdiri daripada potongan daging kibas di atas kubah nasi dan roti pada bahagian bawahnya.
Satu lagi hidangan istimewa ialah qidra atau periuk yang terkenal sekitar Hebron. Komposisi qidra ialah nasi, kibas dan kacang kuda serta diperisakan dengan pelbagai jenis bahan seperti kayu manis, bawang putih dan serbuk buah pala. Ia dibuat dalam kuantiti besar menggunakan periuk tanah liat dan dimasak menggunakan dapur kayu api.
Dan bagi meraikan hari gembira mempelai, periuk qidra yang dimasak akan dibuka secara dramatik. Ini membenarkan aroma makanan dapat dihidu oleh hadirin dan dikongsi dengan semua.
- Tatreez
Jubah atau gaun bercorak sulaman dianggap teras utama perkahwinan orang Palestin. Ini kerana ia mewakili warisan budaya pengantin perempuan melalui sulaman yang dijahit dengan teliti.
Sulaman bukan perkara baru dari segi kesenian dan pakaian Palestin. Tetapi untuk sulaman bercorak indah, ia disimpan khusus untuk upacara perkahwinan. Sesetengah rekaan sulaman dibuat sebagai tanda penghormatan kepada bandar kelahiran pengantin perempuan. Tetapi ada juga sulaman mempunyai makna istimewa buat si pengantin atau keluarga.
Kebiasaannya, ia dijahit tangan oleh ahli keluarga pengantin wanita. Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan sebelum hari perkahwinan si pengantin wanita.
- Muzik, zaffe dan dabke
Satu ciri penting perkahwinan orang Palestin ialah zaffe atau perarakan mempelai. Mempelai akan berarak sambil diiringi penyanyi, pemuzik, penari dan tetamu perkahwinan sama ada ke rumah pengantin perempuan atau ke masjid/gereja. Bagi upacara perkahwinan moden, zaffe menandakan kemasukan pasangan mempelai ke majlis perkahwinan.
Sepanjang upacara perkahwinan, lagu-lagu dimainkan bagi meraikan pengantin perempuan dan menyatakan kegembiraan kepada pasangan mempelai. Kebanyakan lagu turut meraikan warisan kebudayaan Palestin.
Sahijh pula ialah satu tarian yang popular dalam kalangan lelaki. Semasa tarian dimulakan, si penyanyi akan menyanyi satu baris lagu yang menyanjung pengantin lelaki sebelum lirik sama disambut oleh tetamu dan penari.
Sementara dabke pula merupakan tarian yang berlatarbelakangkan lagu rakyat Palestin. Sahijh dan dabke berbeza-beza mengikut wilayah dan memerlukan langkah kaki yang cekap untuk kedua-dua tarian.
Di sesetengah tempat, ada wanita menyertai upacara tarian lilin. Para wanita akan menari tarian khas dengan lilin sebelum lilin diberi sesama penari secara bergilir. Ia melambangkan kegembiraan pengantin wanita dikongsi oleh tetamu perkahwinan.
- Frad
Selepas majlis berakhir, pasangan mempelai akan kembali ke rumah baru mereka. Tetapi seminggu selepas itu, pengantin perempuan dan ahli keluarganya akan bertandang ke rumah keluarga pengantin lelaki untuk majlis makan malam yang dipanggil frad. Frad memberi peluang kepada besan kedua-dua keluarga untuk mengeratkan silaturahim sesama mereka.
RUJUKAN
Muaddi Darraj, S. (2022, 24 Mac). Henna wa zaffe: An inside look at Palestinian wedding traditions. Middle East Eye.
Sumber gambar: Hosam Salem
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih