Tradisi ‘Penyemadian Langit’ kebiasaannya dikaitkan dengan masyarakat Tibet, walau pada hakikatnya ia turut diamalkan oleh beberapa tamadun lain di dunia seperti Australia Utara dan Amerika Utara. Bagi kita, tradisi sedemikian kelihatan agak aneh.
Bagaimanapun jika diselusuri, nilai dan falsafah di sebaliknya tidak kurang menarik dan murni. Mereka memilih untuk mengikuti kaedah ‘Penyemadian Langit’ supaya dapat menyatu dengan alam, memberi makan kepada burung hering (disebut dakini, ‘penari di langit’) yang dianggap suci, dan memberi peluang kepada haiwan lain (mang-sa hering) untuk hidup sehari lebih lama di muka bumi.
Dalam amalan ‘Penyemadian Langit’, ma-yat mendiang akan dila-pah menjadi cebisan-cebisan kecil oleh seorang individu yang disebut sebagai rogyapa. Rogyapa turut dipertanggungjawabkan untuk menghan-cur dan melumatkan tulang-belulang mendiang.
Cebisan-cebisan daging yang telah dila-pah itu kemudian diletakkan di lapangan terbuka yang lokasinya telah terlebih dahulu dipilih oleh keluarga mendiang – untuk dira-tah dan dimamah oleh kawanan burung hering. Bagi masyarakat Tibet, amalan sebegini merupakan bakti terakhir yang dapat dilakukan oleh jasad manusiawi mereka di muka bumi.
Kebiasaannya, ‘Penyemadian Langit’ dilakukan di kawasan tanah tinggi. Hal ini berlaku setidak-tidaknya kerana dua faktor. Pertama, kerana mereka mahu memberi makan kepada burung hering. Kedua, kerana mereka tidak mempunyai ruangan yang mencukupi untuk dikhususkan sebagai tanah perkuburan. Tambahan, permukaan tanah mereka selalu membeku sekali gus menyukarkan kerja-kerja penggalian. Justeru, ‘Penyemadian Langit’ dipilih sebagai norma dalam pengurusan jasad mendiang di Tibet.
Kepercayaan tradisi masyarakat Tibet berkaitan kematian dan penyemadian banyak berkisar seputar konsep reinkarnasi dan transmigrasi dalam ajaran Buddha. Mereka juga meyakini yang roh meninggalkan tubuh sejurus selepas nyawa dicabut. Oleh kerana itu, jasad mendiang yang tidak lagi mempunyai sebarang fungsi diserahkan kepada burung hering yang suci sebagai bukti amal bakti terakhir mereka.
Seandainya burung hering tidak sudi menjamah daging yang disuakan, ia dianggap sebagai petanda buruk. Kononnya, daging tersebut terlampau kotor – kotor secara majazi, yakni dinodai dosa mendiang. Kalau tidak pun, ia menandakan yang keluarga mendiang tidak melaksanakan istiadat penyemadian dengan sebaiknya. Jika situasi sebegini terjadi, jasad mendiang akan diberikan kepada haiwan lain; antaranya anjing liar.
Tradisi ‘Penyemadian Langit’ tidak hanya membabitkan aktiviti mela-pah dan melumatkan jasad mendiang. Akan tetapi, ia turut merangkumi ritual membalut jasad dengan kain putih. Kemudian, jasad tersebut ditempatkan di hujung rumah selama tiga hingga lima hari. Keadaan di rumah juga perlu dielakkan dari riuh-rendah.
Sepanjang tempoh tersebut, kesemua ahli keluarga mendiang diminta menangguhkan sebarang aktiviti lain. Sami atau lama juga perlu membacakan kitab tertentu dengan tujuan roh dapat bebas, lepas, atau setidak-tidaknya, dipermudahkan mengharungi proses penyucian atau proses pra-kelahiran semula.
Usai ritual berkenaan, hari dan lokasi khusus perlu ditentukan bagi menjalankan upacara penyemadian langit. Upacara ini dianggap penting kerana roh mendiang kononnya akan dibawa oleh dakini (atau burung hering) naik ke langit. Di sana, roh akan menanti waktu untuk dilahirkan semula.
Jika dilihat daripada sudut sejarah, amalan ‘Penyemadian Langit’ dipercayai wujud sejak 11,000 tahun lampau sebagaimana yang dibuktikan menerusi hasil ekskavasi arkeologi di Göbekli Tepe, selatan Turki. Bagaimanapun, sejarahwan masih kekurangan rekod yang tepat untuk mendokong kesahihan dakwaan tersebut.
Di Tibet sendiri, kita tidak mempunyai bukti untuk menentukan pada tahun bilakah tradisi tersebut mula diamalkan. Ia berlaku sedemikian bukan hanya kerana tiada jejak tinggalan yang dapat dikesan oleh lingkungan arkeologi, malahan pemerincian berkaitan amalan ini cuma menyentuh perihal penyemadian golongan diraja dan elit, bukannya masyarakat umum. Justeru, kita masih ketiadaan sumber sejarah yang mampu memberikan gambaran menyeluruh berkaitan amalan Penyemadian Langit di zaman silam.
TERJEMAHAN
Marina Sohma. (15 November 2016). Sky Burial: Tibet’s Ancient Tradition for Honoring the Dead. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih