Rumah tangga didirikan untuk bertahan selamanya. Tiada siapa inginkannya tamat separuh jalan. Namun, kehidupan adakalanya enggan penuhi apa yang kita rencanakan. Dalam beberapa keadaan, perceraian bukan lagi sekadar pilihan tetapi satu keperluan. Cuma, apa yang menentukan baik buruknya adalah cara ia dilaksanakan.

Di United Kingdom pada dua kurun kebelakangan, perceraian bagaikan satu kekhususan buat golongan hartawan. Semenjak Akta Perkahwinan Sulit 1753 (turut disebut sebagai Akta Perkahwinan Lord Hardwicke) dipinda, proses perkahwinan dan perceraian menjadi semakin ketat.

Pada satu sisi, akta ini bertujuan mengurangkan kes perkahwinan bawah umur dan perkahwinan secara sulit. Namun pada sisi lain, ia menyulitkan proses mendiri dan meleraikan rumah tangga itu sendiri – khususnya buat mereka yang kurang berpendapatan.

Hal ini kerana ia melibatkan birokrasi yang merenyahkan (untuk mereka pada zaman itu); mereka perlu dapatkan restu dari paderi dan gereja, perlu dapatkan dokumen dari kerajaan (Act of Parliament), dan perlu membayar sejumlah wang.

Untuk bercerai sahaja, belanja keseluruhannya boleh mencecah sehingga £3,000 (Blazeski, 2016). Jumlah tersebut bersamaan £15,000 atau RM87,848 bagi nilai matawang hari ini.

Jika ditinjau pendapatan tahunan rakyat UK pada kurun ke-18, kos perceraian di atas sememangnya mustahil untuk dijangkau oleh kelas bawahan. Pendapatan orang gaji dan pembawa kereta kuda masing-masing hanyalah £2-8 dan £12-26 setahun. Sementara gaji 1st Lord of the Treasury pula mencecah £4,000 setahun (Hayward, n.d).

Keadaan ini justeru mendorong marhaen untuk mengamalkan satu kaedah perceraian yang tersendiri, iaitu menjual isteri. Sepanjang tempoh 1780 hingga 1850, terdapat kira-kira 300 kes penjualan isteri berlaku di England. (Blazesky, 2016)

Kes terawal yang dilaporkan adalah pada 1692, melibatkan John Whitehouse yang menjual isterinya kepada Bracegirdle. Kes serupa berlaku empat tahun kemudian. Cuma kali ini, si pembeli yang bernama Thomas Heath Maultster dikenakan denda kerana menggauli isteri orang sekali gus mencerminkan betapa amalan sebegitu pada peringkat awalnya mendapat bantahan masyarakat tempatan.

Sikap yang sama turut ditunjukkan oleh pengamal media. Contohnya, akhbar The Times edisi Julai 1797 melaporkan, “Pada Jumaat, seorang penjual daging melelong isterinya di Pasar Smithfield, berhampiran Ram Inn, dengan belenggu diikat pada leher dan pinggang si isteri. Bidaan dimenangi seorang penternak babi, dengan harga tiga ekor babi guinea. Sayang seribu kali sayang, tiada siapa tampil menghentikan perilaku jelek yang dilakukan di tengah-tengah awam itu. (Hiskey, 2019)

Reaksi sebegini bagaimana pun hanya suara terpencil dan sama sekali tidak menggugah kejelekan amalan tersebut. Misalnya pada tahun 1766 di Southwark, berlaku kes di mana seorang suami yang sedang mabuk bertindak menjual isterinya – hanya untuk kesal setelah kembali sedar. Lantaran gagal mendapatkan semula isterinya, si suami lantas membunuh diri.

Pada 1790 pula, seorang lelaki di Ninfield menjual isterinya ketika sedang melepak di sebuah rumah rehat – semata-mata untuk mendapatkan setengah gelas arak. Namun dek menyesali perbuatan itu, dia lantas menebus semula isterinya dengan harga yang tidak dinyatakan.

Sejarah juga ada merekodkan ungkapan seorang lelaki ketika melelong pasangan sendiri. Kes ini melibatkan Joseph Thomson yang menjual isterinya, Mary Anne, di pasar Carlisle pada tanggal 24 April 1832. Katanya:

“Hai semua! Saya mahu tawarkan isteri saya, Mary Anne, kepada pembida tertinggi antara kalian. Memang kami berdua sepakat untuk berpisah buat selamanya. Sebelum ini, saya kahwini dia dengan harapan dia dapat jadi tempat saya berehat; tapi dia cuma buat saya sengsara… Semoga Tuhan jauhkan kita dari isteri yang menyusahkan…

Saya dah ceritakan keburukan dia, sekarang biar saya ceritakan pula kebaikan dia. Dia boleh membaca novel dan memerah susu; dia boleh bergelak ketawa dan menangis semudah kita minum arak bila haus. Dia ingatkan saya pada satu pepatah; “Tuhan memberi kurnia khusus kepada wanita; untuk ketawa, menangis, dan memperdaya manusia.” Maka dengan segala kesempurnaan dan kejelekan dia, saya tawarkan isteri saya pada harga 50 keping syiling.” (Extra, 2012)

Bercerai dengan cara menjual isteri sememangnya tidak sah di sisi undang-undang. Namun rentetan ramai yang mengamalkannya, pihak gereja dan kerajaan pun memilih untuk membiarkannya sahaja kecuali dalam beberapa kes.

Contohnya di Ashburn pada 1818, di mana majistret tempatan menghantar beberapa orang pegawai polis untuk meleraikan acara lelongan yang dilakukan. Mereka bagaimana pun dilempar lumpur dan batu oleh orang ramai.

Bagi masyarakat awam, penjualan isteri harus dilakukan seterbuka mungkin – bahkan perlu diwarwarkan dalam akhbar tempatan. Ini supaya masyarakat dapat mengetahui yang si suami tidak lagi bertanggungjawab ke atas bekas isterinya (baik dalam soal hutang mahupun keperluan) dan hak yang dimiliki ke atasnya (seperti harta) telah pun digugurkan serta diserahkan kepada si pembeli.

Keratan akhbar tentang penjualan isteri di Stockport, England

Sebagai hitam putih persetujuan, ada yang bahkan menyediakan kontrak jual-beli seperti kes yang berlaku pada 24 Oktober 1766 di mana kontraknya berbunyi:

“Pada hari ini, telah dipersetujui antara John Parson dari Midsummer Norton dan John Tooker dari tempat sama, bahawa John Parson menerusi bayaran berjumlah 6 pound dan 6 keping syiling, telah menjual dan menyerahkan isterinya, Ann Parson, kepada John Tooker; bersama dengan segala hak, harta, tuntutan, layanan, dan apa sahaja hutang yang ditanggungnya, yang sebelum ini dipikul oleh John Parson ke atas Ann Parson. Saksi, William Chivers.” (Hiskey, 2019)

Walaupun amalan ini mengandungi konotasi pemaksaan dan penindasan ke atas isteri, kebanyakan kes berlaku dengan kerelaan dan persetujuan antara suami isteri itu sendiri.

Bahkan, ada kes di mana si isteri membeli dirinya sendiri dengan harga lima pound sepertimana yang berlaku di Plymouth pada 1822. Pada asalnya, dia diaturkan untuk dijual kepada seorang lelaki (merangkap kekasihnya). Tetapi pada hari yang ditetapkan, lelaki tersebut tidak hadir. Jadi, si isteri terpaksa membeli dirinya sendiri sebagai cara untuk keluar dari rumah tangga lamanya.

Sememangnya dalam kebanyakan kes penjualan isteri ini, pembelinya sudah pun diaturkan lebih awal – biasanya dia adalah kekasih sulit isteri itu sendiri. Jadi, segala proses lelongan dan pembelian (termasuklah harga yang ditetapkan) hanyalah simbolik bagi menandakan perceraian. Justeru, banyak catatan yang menceritakan betapa selepas selesai sahaja proses jual-beli tersebut, mereka (suami, isteri, dan pembeli) akan adakan sedikit majlis minum-minum di bir berhampiran sebagai satu bentuk keraian.

Bagi kes-kes yang pembelinya tidak diaturkan pula, ada isteri yang diberi kebebasan untuk memilih siapa pembelinya. Contohnya seperti yang berlaku di Manchester pada 1824; si isteri dibida dengan harga tertinggi iaitu 5 pound namun menolaknya dan memilih pembida lain yang hanya menawarkan 3 pound dan seliter arak.

Kebebasan dan kerelaan sebegini bagaimana pun tidak mengurangkan sama sekali pandangan negatif terhadap amalan sedemikian. Ia bahkan menjadi bahan cemuhan dan kritikan, dengan Perancis kerapkali mengutuk England disebabkan sejarah jelek ini.

Apapun, amalan tersebut mengalami penyusutan drastik berikutan pindaan Matrimonial Causes Act 1857. Menerusi akta tersebut, orang awam tidak lagi menghadapi kesukaran untuk memfailkan perceraian. Tambahan pada 1869, mahkamah menetapkan hukuman penjara enam bulan ke atas mana-mana lelaki yang menjual atau membeli isteri. (Rue, 2021)

RUJUKAN

Blazeski, Goran. (20 November 2016). The Strange English Custom of Wife-Selling. The Vintage News.

Extra, History. (4 May 2012). Wife for Sale.

Hayward, Sandra J. (n.d). The Cost of Living in London in Europe in 18th Century. History 1700s.

Hiskey, Daven. (30 June 2019). That Surprisingly Recent Time British Husbands Sold Their Wives at Market. Today I Found Out.

Rue, Lioness. (1 May 2021). The Disturbing Practice Where British Husband Sold Their Wives. Medium.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.