BOLEH dikatakan tempat ini mempunyai memori yang cukup indah bagi setiap warga Sarawak amnya dan Kuching khususnya malah tidak keterlaluan untuk mengatakan ianya juga mampu mengimbau “kenangan lalu mengusik jiwa” bagi anggota tentera dan polis dari Semenanjung Malaysia dan Sabah yang pernah berkhidmat di Sarawak suatu ketika dahulu. Disinilah suatu waktu dahulu titik pertemuan bagi setiap warganya kerana adanya sistem kemudahan hubungan darat iaitu bas dan teksi berhimpun ditambahlagi selain tempat untuk menjamu selera juga berdekatan dengan gedung membeli belah seperti Electra House dan Lebuh India.
“Open Air Market” atau dahulunya dikenali dengan nama Tower Market adalah antara mercu tanda bersejarah bagi Sarawak. Ia adalah antara warisan peninggalan pemerintahan 100 tahun dinasti keluarga Brooke di Sarawak yang masih wujud dan berfungsi sehingga ke hari ini.
Menyelusuri sejarah Open Air Market bermula pada tahun 1917 iaitu apabila sebuah balai bomba dibina diatas satu tempat yang dinamakan Jalan Gartak. Nama Jalan Gartak itu diambil bersempena dengan nama satu sungai yang sudah tiada lagi di dalam peta Kuching iaitu Sungai Gartak yang ditimbus sekitar tahun 1907. Dinamakan Sungai Gartak pula kerana disitulah dahulu pernah ada satu gartak atau titian kayu di dalam dialek Melayu Sarawak. Dan Sungai Gartak ini suatu waktu dahulu amat penting untuk penduduk tempatan kerana disinilah mereka mengambil air bersih untuk kegunaan harian mereka.
Sekitar tahun 1910an, tuntutan untuk mempunyai sebuah balai bomba semakin mendesak dek kerana Kuching iaitu ibukota Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Tuan Rajah Charles Brooke telah membina banyak bangunan-bangunan moden bersenibina eropah pada waktu itu. Bagi memastikan bangunan-bangunan ini sentiasa dijaga keselamatannnya daripada kebakaran dan sebagainya maka Tuan Rajah Charles Brooke telah membeli sebuah kenderaan bomba berkuasa arang batu dari England sekitar tahun 1917. Dikatakan balai bomba lama di Jalan Gartak itu menabur baktinya sehingga tahun 1950an sebelum dirobohkan apabila Balai Bomba Jalan Padungan sudah siap.
Walaupun dirobohkan sekitar tahun 1950an namun satu binaan balai bomba lama sengaja ditinggalkan iaitu binaan tingginya atau “tower” dibiarkan bagi membuktikan kewujudan balai bomba pertama Sarawak suatu ketika dahulu oleh pihak kerajaan. Sejajar dengan waktu juga dek kerana menjadi tempat tumpuan rakyat maka dikawasan ini juga menjadi lokasi untuk penjaja membuka gerai makanan berniaga. Dari hanya menjadi satu kawasan gerai makanan yang terbuka akhirnya pada tahun 1970an telah dibina kawasan berbumbung bagi memudahkan pelanggan dan penjaja makanan dari terik mentari dan hujan. Walaupun sudah berbumbung sepenuhnya nama kawasan ini tetap malar segar dikenali sebagai “Open Air Market” sehingga ke hari ini.
Sekitar tahun 1950an, kenderaan awam seperti bas-bas telah mula muncul di Kuching bagi memenuhi permintaan rakyat ingin bergerak di seluruh Kuching dan di kawasan ini jugalah titik pertemuan bas-bas awam. Kemudian pengangkutan awam seperti teksi-teksi juga tertumpu disini sehingga menjadikan kawasan ini adalah antara kawasan yang paling sibuk di Kuching suatu waktu dahulu. Sekitar tahun 2010, ianya tidaklah sesibuk dahulu dek kerana bas dan teksi sudahpun dipindahkan ke kawasan terminalnya tersendiri.
Open Air Market biarpun tidak sesibuk dahulukala tetapi tetap menjadi tumpuan bagi warga Kuching sehingga sekarang kerana gerai-gerai makanan “legend” yang cukup popular seperti menu ais kacang, rojak sotong dan sebagainya sentiasa mengamit warga Kuching bertandang. Malah kawasan ini juga antara kawasan “wajib pergi” bagi pelancong-pelancong yang berkunjung ke Kuching, Sarawak.
Tower Market @ Open Air Market sehingga ke hari ini adalah antara saksi bisu pembangunan Kuching dari empat era pemerintahan iaitu Brooke, pendudukan Jepun, Koloni Mahkota Sarawak British dan Sarawak, Malaysia.
Tidak kenal maka tidak cinta.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Reference:
- Kuching Heritage Trails
http://sarawakheritagesociety.com/wp-content/uploads/2015/01/kchheritagetrail.pdf
- Borneo Post, 27 May 2012
- The History of Open Air Market, Kuching
http://themaidensgiedd.blogspot.com/2015/07/the-history-of-open-air-market-kuching.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih