Istana Topkapi yang terletak berhampiran dengan selat Bosphorus telah menyaksikan peristiwa-peristiwa gemilang dan juga duka yang dilalui oleh Empayar Uthmaniyah. Pada hari ini, istana tersebut merupakan sebuah muzium walaupun sebelum kurang dari 100 tahun yang lepas, ia adalah rumah kepada para sultan, harem-nya dan para pelayannya.

Istana ini dibina oleh Sultan Muhammad II atau Al-Fateh di Istanbul pada suatu tempoh masa di antara tahun 1466 hingga 1478M. Selepas kota tersebut ditakluk pada tahun 1453M, Sultan Muhammad II memerlukan sebuah istana baru untuk menjadi tempat kediamannya di samping berfungsi sebagai pusat pemerintahan empayar. Topkapi dibina di atas runtuhan purba dari zaman Maharaja-Maharaja Byzantine. 

Hal ini mungkin membawa simbolik bahawa Uthmaniyah tidak hanya mahu dilihat sebagai pencipta kegemilangan yang baru, tetapi juga sebagai penerus legasi kegemilangan dari zaman terdahulu. Pada hujung kurun ke-15M, istana tersebut menjadi kediaman utama para sultan.

Istana Topkapi, Istanbul

Dalam Bahasa Turki, “Topkapi” bermaksud “Gerbang Meriam”. Nama istana ini diilhami daripada laras-laras meriam besar yang berada di luar pintu gerbangnya. Meriam-meriam berkenaan digunakan semasa Sultan Muhammad II menakluk kota Istanbul (Konstantinopel).

Pada tanggal 3 April 1924, Istana Topkapi secara rasmi diubah menjadi muzium – muzium pertama Republik Turki. Lokasinya terus menjadi tumpuan di kota, terletak berhampiran dengan masjid-masjid masyhur seperti Masjid Sulaiman dan Masjid Biru. Kebanyakan binaan-binaan kayu yang lama telah digantikan dengan binaan yang baru, namun ciri seni bina utama istana ini masih lagi dikekalkan.

Masjid Sulaiman merupaka masjid diraja Uthmaniyah yang terletak di Bukit Ketiga Istanbul, Turki

TIGA BUAH KEDIAMAN SULTAN

Pada asalnya, hanya terdapat sekitar 700-800 orang penghuni sahaja di istana tersebut. Namun seiring peredaran masa, angkat tersebut meningkat menjadi 5000 orang. Istana ini memiliki tiga bahagian utama; Istana Lama, Istana Baru dan Istana Yildiz. Bahagian yang dikenali sebagai Topkapi adalah Istana Baru.

Istana Lama merupakan bahagian binaan pertama yang dihasilkan semasa kota itu baru sahaja ditawan. Ia pernah mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku pada tahun 1514M. Selepas kejadian itu, kebanyakan penghuninya berpindah ke Istana Baru. Istana Lama kemudiannya dibaik-pulih namun kebakaran yang terjadi sekali lagi merosakkan binaan itu buat kali keduanya pada masa pemerintahan Sultan Abdulaziz (memerintah 1861-1876M).

Sebahagian pemandangan Puncak Seraglio berserta Istana Topkapi dan Incirli Kiosk, 1559

Pembinaan Istana Baru dimulakan oleh Sultan Muhammad II dan seni binanya tampil lebih mewah. Halaman istana ini dipenuhi dengan landskap yang indah dan mengandungi bangunan-bangunan kerajaan, pavilion-pavilion yang menenangkan, tempat-tempat mandi, bengkel, dapur, kuarters penghuni dll. 

Seluruh kehidupan peribadi dan politik sultan berpusat di sini. Pertemuan di antara sultan dengan para penasihatnya juga berlaku di sini. Begitu juga dengan upacara keraian menyambut kemenangan perang dan perbincangan taktikal perang. Merentas masa, ia menjadi pusat kebudayaan dan kehidupan berkeluarga sultan.

Sultan Muhammad II mengarahkan pembinaan awal sekitar tahun 1460an

Pada abad ke-18M, sebuah istana baru dibina di Besiktas, Istanbul. Ia merupakan istana musim panas buat Sultan Selim III (1789-1807M). Sultan Mahmud II (1808-1839M) juga banyak meluangkan masanya di istana ini. Istana Yildiz bagaikan oasis bagi sultan; tempat beristirehat tanpa perlu meninggalkan ibu kota. Namun, idea terhadap kefungsian Istana Yildiz ini berubah di zaman Sultan Abdulhamid II yang memindahkan seluruh isi istananya ke sana.

KEDIAMAN HAREM

Harem merupakan rumah bagi ratusan wanita dan anak-anak mereka. Ia juga merupakan tempat tinggal para putera sehingga usia mereka mencecah 16 tahun. Wanita-wanita yang menetap di dalam harem Uthmaniyah menerima pendidikan terbaik dan bekerja untuk menyumbang pada kewangan istana.

Gambaran pemandangan di dalam harem sultan

Nama “Harem” bermaksud “ditegah” (haram) di dalam Bahasa Arab. Kebanyakan lelaki tidak dibenarkan memasuki ruangan ini. Pada asalnya, binaan harem bahkan terpisah daripada istana sultan. Situasi sebegitu berubah apabila seorang wanita jelita lagi bijaksana mencuri hati Sultan Sulaiman Agung. 

Wanita tersebut dilahirkan di wilayah Kerajaan Poland. Namanya adalah Alexandra, namun sultan memanggilnya sebagai Hurrem – wanita periang. Hurrem merupakan seorang wanita Kristian dan berhasrat untuk benar-benar berada dekat dengan sultan. Untuk tujuan itu, beliau memerlukan takdir menyebelahinya, sebagaimana yang disebutkan oleh Andrew Colt di dalam bukunya:

“Apabila kebakaran yang terjadi menghasilkan kerosakan besar pada Old Seraglio (Istana Lama), Roxelane (Hurrem) menggunakan peluang tersebut untuk mengutarakan permintaan kepada sultan agar membenarkannya menetap di Istana Baru – dikenali oleh kita sebagai Topkapi – istana yang menjadi pusat politik dan kediaman sultan. Roxelane turut membawa bersama hamba-hamba berkulit putih dan hitam, para pelayan dan dayang-dayang dan kekal menetap di sana. Sejak itu, urusan harem dan urusan negara tidak lagi terpisah. Kesan susulan bagi hal ini amatlah buruk.”

Pusat kuasa di harem tertumpu di kediaman Valide Sultan. Valide adalah Ibu Suri dan wanita nombor satu di dalam Harem Diraja Uthmaniyah. Wanita yang memerintah harem boleh sahaja merupakan ibunda atau permaisuri kepada sultan. Valide terulung yang pertama adalah Hurrem Sultan, namun penting juga untuk menyebutkan nama-nama seperti Nurbanu Sultan, isteri kepada Sultan Selim II dan Kosem Sultan, isteri kepada Sultan Ahmed I. Kesemua wanita ini amat berkuasa dan memiliki kemahiran yang membenarkan mereka untuk melipatgandakan pendapatan yang dihasilkan oleh harem.

Potret ibunda Sultan. Di sebelah kanan itu adalah kepala seorang sida berkulit hitam di harem

Sebahagian perhiasan yang masih berada di dalam harem Topkapi boleh dikaittkan dengan wanita-wanita yang memerintah tempat tersebut pada abad ke-16M. Namun, kebanyakan barangan yang ada di situ datangnya dari abad ke-19 dan permulaan abad ke-20M.

PERMULAAN BARU BUAT ISTANA TOPKAPI

Istana Topkapi memiliki sebuah perpustakaan dan arkib yang mengagumkan, menyimpan kira-kira 300 000 buah dokumen. Kebun-kebun di istana itu juga dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan seperti pokok bunga kemeling, ros, tulip dll… dan masih mengekalkan ciri tradisi Uthmaniyah.

Apabila Istana Topkapi dijadikan sebagai sebuah muzium, itulah kali pertama dalam sejarah ia dibuka kepada orang awam. Muzium tersebut mengandungi pelbagai khazanah yang ditinggalkan oleh penghuni-penghuninya sejak 400 tahun dahulu.

Selain lukisan potret, barang kemas dan barangan peribadi milik sultan dan keluarganya, muzium ini turut mempamerkan Relik-Relik Suci – termasuklah artifak yang terkait dengan Nabi Muhammad.
Istana Topkapi kini mengalu-alukan kunjungan orang awam pada sepanjang tahun. Ia menjadi tempat utama yang menyimpan pengetahuan tentang Empayar Uthmaniyah di samping lokasi yang menenangkan buat orang-orang yang mahu mengenangkan suasana kehidupan para penghuni istana agung ini.

Ruangan dalam harem di Istana Topkapi

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.