Sepanjang lipatan sejarah dunia, ada saja perkara yang menjadi bahan jenaka tentera tanpa mengira di mana mereka berada. Antara perkara yang menjadi bahan gurauan mereka ialah pakaian uniform yang dipakai takkan bertahan lama. Tetapi bagi tentera British pada awal abad ke-20, satu perkara yang melucukan tetapi memalukan bagi mereka ialah topi forage Brodrick.

Topi forage merujuk kepada mana-mana topi awam, kerja atau tentera dengan bentuknya berbeza-beza mengikut tempoh atau negara. Bagi tentera British, topi peaked berwarna yang selalu dipakai untuk mana-mana acara termasuk acara perarakan untuk hari-hari istimewa masih dikelaskan sebagai topi forage.

Mengikut sejarah, topi ini pada asalnya dipakai oleh tentera-tentera berkuda British pada abad ke-18 semasa melakukan tugasan tertentu seperti mencari makanan untuk kuda mereka. Tetapi sejak itu, definisi topi diubah kepada topi awam yang dipakai oleh mana-mana anggota tentera dari pelbagai cabang dan batalion sebagai ganti kepada topi uniform rasmi mereka.

Jadi, apa halnya dengan topi forage Brodrick sehingga tentera British rasa meluat nak pakai? Semasa ia diperkenalkan pada 1902, ia diharap dapat menyamakan pakaian uniform tentera British ketika itu. Ini kerana sesetengah anggota memakai topi shako dengan sesetengah yang lain memakai helmet.

William St John Brodrick, 1st Earl of Middleton

Nama topi forage Brodrick didakwa dinamakan sempena Setiausaha Perang kerajaan ketika itu, William St. John Brodrick, 1st Earl of Middleton. Bagaimanapun, sebaik mengetahui betapa marahnya tentera British terhadap reka bentuk topi itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya  dalam memilih topi baru untuk pihak tentera.

Lantaran itu, timbul khabar angin bahawa orang di sebalik pengenalan topi forage Brodrick ialah Raja Edward VII. Ini disebabkan reputasi baginda yang suka bergaya termasuk mempengaruhi jenis pakaian tertentu sebagai pakaian pilihan seperti tweed dan topi Hormburg. Tetapi khabar sebegini dianggap palsu kerana jika baginda melihatnya, sudah pasti Edward VII juga menolak sekeras-kerasnya pengenalan topi ini.

Pastinya Raja Edward VII murka jika disuruh memakai topi forage Brodrick. Oleh sebab itu, khabar angin baginda memperkenalkan topi tersebut sebagai tidak berasas.

Sejak ia diperkenalkan, ia membuatkan ramai anggota tentera British tanpa mengira pangkat dan cabang perkhidmatan mereka naik angin. Dengan rupa topi yang aneh dengan bahagian atasnya berbentuk rata, bukankah ia kelihatan seperti lempeng? Akibatnya, ia menjadi bahan jenaka di seluruh negara. Malah, topi forage Brodrick turut menjadi subjek kartun majalah satira Punch.

Disebabkan topi ini menjadi bahan jenaka orang ramai, ini menyukarkan usaha kerajaan merekrut tentera baru. Walaupun ditawarkan gaji lumayan dan makanan yang baik, sesetengah orang enggan menyertai tentera atas alasan topi forage Brodrick terlalu memalukan untuk dipakai.

Tetapi satu perkara yang paling menyedihkan akibat pengenalan topi forage Brodrick ialah tindakan seorang veteran Perang Boer mengambil nyawanya sendiri. Semasa Perang Boer, si polan mengalami kecederaan pada bahagian muka sekaligus mencacatkan rupanya. Apabila dia mengenakan topi tersebut, ia secara tidak langsung memperlihatkan bahagian dirinya yang cacat. Tidak tahan dengan ejekan orang sekeliling, si polan memilih untuk membunuh diri.

Bagi anggota tentera British dari 1902 hingga 1905, memakai topi forage Brodrick ibarat satu azab buat moral mereka. Sumber: Society for Army Historical Research

Atas sebab itu, ramai tentera British menggunakan pelbagai alasan untuk tidak menggunakan topi forage Brodrick. Malah, jika ada yang perasan, kebanyakan gambar mereka dari 1902 hingga 1905 memperlihatkan wajah mereka yang muram setiap kali mengenakan ‘topi dari neraka’ itu.

Bagi Brodrick, pengenalan topi forage Brodrick merupakan satu bencana sejak dari awal lagi. Dengan khabar angin pembabitan Raja Edward VII dalam memperkenalkan topi berkenaan tersebar luas, tidak mustahil beliau ditekan oleh pihak istana dan Perdana Menteri Lord Arthur Balfour untuk menghentikan kegilaan ini.

Selepas 1905, tiada lagi tentera mahu mengenakan topi mengarut itu dengan perintah pemakaian ditarik balik dua tahun kemudian. Hanya anggota Royal Marines (pasukan komando khas tentera laut British) sahaja yang meneruskan pemakaian topi forage Brodrick tetapi itu juga hanya bertahan sehingga 1922. Ini disebabkan rupa topi diinspirasikan daripada tema laut – sesuai dengan kaitan mereka sebagai sebahagian daripada Royal Navy (tentera laut British).

RUJUKAN

Barthorp, M. (1982). British Infantry Uniforms Since 1660. Blandford Press.

Ballinger Fletcher, Z. (2022, 18 Jun) This British Military Cap Was So Ugly It Drove One Man to Suicide. HistoryNet.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply