Ramai yang post “10 Buku Kegemaran Saya” dengan tagar #MalaysiaMembaca. Tahun lepas den dah pernah post begitu, tapi lepas tu baru den rasa menyesal (heck, perlu ke den bagitau orang den membaca?) kemudian delete.

Tapi sementara benda ni trending, den nak berkongsi senarai “10 Buku Wajib Bagi Seseorang Yang Ingin Mendalami Politik Antarabangsa”. Kalau tak pernah baca buku-buku ini, jangan gebang macam faham politik antarabangsa dan geopolitik. Tapi kalau siapa rajin baca, dia punya sembang memang level think tank:

1. “The Twenty Years’ Crisis” oleh E. H. Carr (1939)

Buku yang merevolusikan kajian politik antarabangsa dengan memperkenalkan dichotomy “Idealism vs. Realpolitik” yang masih dipakai sehingga hari ini. Carr menyiapkan buku ini pada 2 bulan sebelum WW2 meletus, untuk mengecam intelektual dan pembuat dasar sezamannya yang terlalu idealistik dan naif dalam hal-hal politik antarabangsa. “Twenty Years” yang dimaksudkan oleh Carr ialah tahun 1919-1939 iaitu tempoh di antara WW1 dan WW2 di mana golongan idealis telah memanjakan fasis seperti Hitler dan Mussolini, memberi mereka peluang untuk menggugat keamanan dunia. Nasi dah jadi bubur, tapi sebagai solusi Carr mencadangkan supaya idealisme (tesis) dan realpolitik (antitesis) disintesiskan. Nampak tak impak buku ini terhadap den?

2. “Politics Among Nations: The Struggle for Power and Peace” oleh Hans Morgenthau (1948)

Sesiapa yang klaim diri sebagai pakar politik antarabangsa tapi tak kenal Morgenthau, sila terjun ke dalam Sungai Gombak. Buku inilah kitab utama pelajar politik antarabangsa. Di dunia pasca WW2, Morgenthau cuba membangunkan teori realisme yang lebih realistik berbanding idealisme. Antara poin penting yang Morgenthau tekankan ialah negara harus bertindak atas kepentingan negara (“national interest”), dan “interest is defined in terms of power”. Dan Morgenthau mengajar negara cara-cara untuk mendapatkan “power” yang optima.

3. “The Anarchical Society” oleh Hedley Bull (1977)

Bull merupakan sarjana English School yang mengambil jalan tengah antara idealisme dan realisme. Bull tak menolak kepentingan power dalam politik antarabangsa, tapi pada masa yang sama Bull menyifatkan hubungan antara negara ini umpama sebuah masyarakat (“international society”), kalau ada masyarakat maksudnya ada “norms” dan “rules” yang kena dipatuhi. Negara yang hanya kejar kuasa semata-mata tak akan dapat menjadi pemimpin malah akan dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa. English School ini suatu ketika dahulu mencorak pemikiran diplomat di Wisma Putra pada era Ghazalie Shafie.

4. “Theory of International Politics” oleh Kenneth Waltz (1979)

Buku yang melahirkan teori “neo-realism”. Waltz merupakan seorang realis seperti Morgenthau, cuma dia nak memudahkan teori realisme jadi teori yang lebih saintifik. Waltz menyifatkan keadaan politik antarabangsa sebagai “anarki” kerana tak wujud sebuah kerajaan dunia yang boleh mengawal tindak tanduk negara, semua negara bebas untuk bertindak. Anarki ini menimbulkan ketakutan negara, maka negara-negara akan membentuk pakatan untuk mewujudkan “balance of power” di kalangan negara demi memastikan keselamatan dan kelangsungan hidup negara.

5. “War and Change in World Politics” oleh Robert Gilpin (1981)

Kalau Waltz melihat dunia sebagai anarki, maka Gilpin melihat dunia dalam bentuk hierarki, negara hegemon duduk di paling atas. Berdasarkan pemerhatian sejarah dari konflik Athens-Sparta, konflik Rom-Carthage, Perang Napoleon hingga ke WW1 dan WW2, Gilpin merumuskan bahawa perang besar akan berlaku apabila hegemon rasa terancam. Buku ini walaupun dah lama, tapi masih relevan untuk memahami konflik US-China dengan melihat China sebagai pencabar kedudukan hegemon US.

6. “Ways of War and Peace” oleh Michael Doyle (1996)

Buku intro terbaik kepada teori-teori klasik IR. Doyle mengupas asal usul 3 teori utama dalam IR (realisme, liberalisme dan sosialisme) menerusi karya-karya Thucydides, Machiavelli, Kant dan Lenin. Doyle sendiri cenderung kepada teori liberalisme atau “Kantianism” yang diambil daripada falsafah Immanuel Kant. Lepas baca baru korang faham kenapa orang yang beriya-iya nak menyebarkan demokrasi dan kapitalisme bagai tu tak semestinya “penjajah”, cuma mereka percaya sistem politik demokrasi dan sistem ekonomi kapitalis akan membentuk dunia yang lebih aman, at least di peringkat teori.

7. “Diplomacy” oleh Henry Kissinger (1994)

Buku yang menceritakan sejarah politik antarabangsa dari zaman Richelieu (1648) hingga ke penamatan Perang Dingin (1989). Kissinger ialah orang akademik yang terjun ke dalam dunia politik, menjadi penasihat kepada Presiden Nixon, jadi cara dia menulis tak belit-belit macam orang akademik. Cara Kissinger berfikir pun senang je: dunia ini adalah pasal power (cara fikir realis), kau nak pastikan negara survive, sila menolak tepi ideologi dan bekerjasama dengan sesiapa termasuk orang yang kau benci. Tapi dalam buku ini Kissinger agak over mengipas Nixon. Dia puji ex-boss dia tak memaksakan ideologi demokrasi liberal ke atas negara-negara lain, dan sikap Nixon itu membolehkan kerjasama antara US dan negara-negara komunis (Soviet dan China) menjadi kenyataan.

8. “The Grand Chessboard” oleh Zbigniew Brzezinski (1997)

Kalau sebut pasal Kissinger, kena sebut sekali seterunya Zbigniew Brzezinski. Sama seperti Kissinger, Brzezinski juga seorang profesor yang terjun ke dalam dunia politik. Tapi berbeza dengan Kissinger, dia cenderung untuk promote demokrasi dan dia cukup anti dengan Rusia. Tidak seperti Kissinger yang berfikir secara “balance of power”, Brzezinski berfikir secara geopolitik. Dia guna teori “heartland” untuk menunjukkan bahayanya kalau membiarkan Rusia menguasai kawasan Eropah Timur dan Asia Tengah. Menerusi buku ini korang boleh faham kenapa US nak serang Afghanistan, memperluaskan NATO, bercampur tangan di Ukraine dan sebagainya.

9. “Social Theory of International Politics” oleh Alexander Wendt (1999)

Dikatakan buku IR yang paling susah untuk difahami. Profesor IR pun kekadang tak faham. Dalam buku ini Wendt nak membangunkan teori “constructivism” untuk meruntuhkan dominasi teori neo-realism sejak 1980-an. Bagi Wendt, makna (“meaning”) kepada konsep-konsep seperti “ancaman”, “anarki”, “kepentingan” dalam politik antarabangsa tidak ditentukan secara “material” tetapi secara “social”. Tak faham kan? Itulah dia.

10. “The Tragedy of Great Power Politics” oleh John Mearsheimer (2001)

Mearsheimer merupakan antara nama besar yang masih aktif dalam dunia kajian IR. Dia cuba mensintesiskan idea Morgenthau dan Waltz, maka lahirlah teori “offensive realism”. Mearsheimer menyanggah idea Waltz bahawa negara membentuk pakatan untuk tujuan keselamatan dan “balance of power”. Bagi Mearsheimer, semua negara mahu menjadi hegemon, itu sebabnya walaupun US dah cukup kuat dan cukup selamat, dia masih nak mengimbangi China untuk memastikan tiada orang boleh mencabar kedudukannya. Mearsheimer pun tak percaya China boleh berbangkit secara aman kerana China pun nak jadi hegemon. Jadi politik antarabangsa bagi Mearsheimer ialah sebuah “tragedi” di mana negara masing-masing mengejar kuasa tanpa kesudahan.

Buku-buku lain yang tercicir daripada senarai:
“The Rise and Fall of the Great Powers” oleh Paul Kennedy,
“Man, the State, and War” oleh Kenneth Waltz,
“Arms and Influence” dan “The Strategy of Conflict” oleh Thomas Schelling,
“After Hegemony” oleh Robert Keohane,
“Just and Unjust Wars” oleh Michael Walzer,
“The Origins of Alliance” oleh Stephen Walt,
“The Clash of Civilizations” oleh Samuel Huntington,
“Soft Power” oleh Joseph Nye,
“Global Political Economy” oleh Robert Gilpin,
“The Peace of Illusions” oleh Christopher Layne,
“From Wealth to Power” oleh Fareed Zakaria,
“Useful Adversaries” oleh Thomas Christensen,
“The Revenge of Geography” oleh Robert Kaplan,
“World Order” oleh Henry Kissinger,

… dan banyak lagi. Tapi 10 buku yang tersenarai itu adalah paling power dari segi teori.

Nak jadi well-rounded macam den, buku-buku macam itu saja tak cukup. Kena baca juga klasik-klasik seperti “The History of the Peloponnesian War”, “The Art of War”, “The Prince”, “On War”. Kena baca buku-buku sains politik oleh Francis Fukuyama, Charles Tilly, Arendt Lijphart. Nak specialize dalam geopolitik kena baca Saul Cohen, Colin Gray, Simon Dalby, Jakub Grygiel. Nak specialize dalam dasar luar dan hubungan antarabangsa Jepun kena cari buku-buku Kenneth Pyle (“Japan Rising”), Richard Samuels (“Rich Nation, Strong Army”), Michael Green (“Japan’s Reluctant Realism”). Nak mendalami bidang yang niche seperti sistem warisan takhta di Arab Saudi, kena baca buku Anthony Billingsley (“Political Succession in the Arab World”) dan Joseph Kechichian (“Power and Succession in Arab Monarchies”). Kena tahu baca buku selain dalam Bahasa Inggeris untuk dapatkan perspektif baharu. Bidang-bidang di luar IR samada ekonomi, psikologi, linguistik atau kajian budaya semua membantu untuk memahami politik antarabangsa.

Tapi di samping baca buku-buku ilmiah yang berat ini, baca jugalah buku-buku yang rilek sikit. Buku-buku seperti “He Just Not That Into You”, “Eat, Pray, Love”, “Crazy Rich Asians”, “7 Hari Mencintaiku” sebenarnya penting untuk memastikan otak kita tak overheat dan jadi mereng.

Selamat membaca.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.