Dalam hampir semua kelompok masyarakat pada zaman dahulu, urusan-urusan yang kotor dan penuh berdarah seperti peperangan kebiasaannya didominasi oleh golongan lelaki. Namun, terdapat juga catatan yang memperlihatkan beberapa nama wanita yang berjaya menempa nama di celah-celah tubuh maskulin itu. Sosok-sosok wanita ini tidak hanya meraih kemasyhuran sebagai pahlawan yang digeruni, malah juga sebagai strategis yang licik dan pemimpin yang berwibawa.
Di medan perang, mereka juga setanding – kalau bukan lebih hebat – dengan pahlawan lelaki. Mereka ini termasuklah tokoh-tokoh wanita yang hebat dari tamadun purba seperti Artemisia si Ratu Halicarnassus, Boudica si Ratu Iceni dan Zenobia si Ratu Palmyra.
Seperti kebanyakan kelompok masyarakat yang lain, peperangan feudal di Jepun juga kebiasaannya hanya melibatkan kaum lelaki. Namun dalam kelompok ini juga, terdapat pahlawan-pahlawan wanita dan salah seorang yang paling masyhur di antara mereka ialah Tomoe Gozen.
Sebelum itu, penting juga untuk dikepilkan nota bahawa tidaklah aneh pada zaman itu untuk golongan wanita menerima latihan seni bela diri. Semasa tempoh di antara abad ke-12 hingga abad ke-19, golongan wanita berkelas samurai dilatih untuk menggunakan pedang, naginata (batang kayu yang di hujungnya terdapat bilah lengkung), dan busur panah.
Walau bagaimanapun, peranan pahlawan-pahlawan wanita tersebut (dipanggil sebagai onna bugeisha) cenderung kepada fungsi pertahanan berbanding serangan, memandangkan mereka lebih dituntut untuk mempertahankan diri sendiri dan rumah semasa berlakunya serangan musuh.
Apa yang membuatkan Tomoe berbeza dengan onna bugeisha lain adalah beliau diletakkan dalam barisan serangan; bertempur di medan perang.
Menariknya, sebutan nama Tomoe hanya terdapat dalam sebuah catatan epik tentang Perang Genpei yang berlangsung pada hujung abad ke-12. Catatan tersebut dikenali sebagai Hikayat Heike (Heike Monogatari). Selain karya ini, tidak ada catatan bertulis lain yang memerihalkan sosok wanita bernama Tomoe. Hal ini membuatkan sebahagian sejarawan mendakwa kononnya Tomoe hanyalah satu watak fiksyen hasilan penulis hikayat tersebut.
Apapun halnya, di dalam Heike Monogatari, Tomoe disebutkan seperti berikut:
“Tomoe mempunyai rambut berwarna hitam pekat yang panjang. Kulitnya putih dan mulus. Wajahnya pula sangat jelita. Tambahan lagi, beliau merupakan seorang pahlawan berkuda yang tidak mengenal erti gentar walaupun terhadap kuda yang paling liar atau rupa bumi yang paling mencabar. Betapa tangkasnya beliau bermain pedang dan panah sehingga kegagahannya setara dengan 1000 orang pahlawan lelaki. Malah, dipercayai bahawa kekuatannya itu membolehkannya berhadapan dengan dewa mahupun syaitan.
Beliau telah turun beberapa kali ke medan tempur dan meraih kemasyhuran hasil pertempurannya melawan pahlawan-pahlawan terkemuka, terutama dalam pertempuran terakhirnya (iaitu Pertempuran Awazu yang berlaku pada tahun 1184 M). Dalam pertempuran tersebut, kesemua rakan seperjuangannya terbunuh dan melarikan diri, kecuali 7 orang pahlawan, termasuklah Tomoe yang gagah menunggang kudanya.”
Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun mengetahui tarikh lahir dan kisah kehidupan awal Tomoe. Dalam kemunculannya di Heike Monogatari, Tomoe digambarkan sebagai seorang pahlawan yang berkhidmat untuk Minamoto Yoshinaka. Sebahagian sejarawan mengeluarkan pendapat kononnya hubungan antara Tomoe dan Yoshinaka lebih dari sekadar daimyo-samurai, sebaliknya Tomoe dipercayai merupakan isteri atau gundik Yoshinaka.
Seperti yang diceritakan dalam Heike Monogatari, Tomoe sudah pun dikenali sebagai seorang pahlawan terkemuka sejak sebelum berlakunya Pertempuran Awazu. Dalam pertempuran itu, Yoshinaka dipaksa memerangi salah seorang ahli dari puaknya sendiri, iaitu Minamoto Yoshitsune.
Beliau menghadapi situasi sukar apabila perlu berhadapan dengan pasukan Yoshitsune yang lebih besar. 300 orang tenteranya diasak dengan begitu hebat oleh 6000 orang tentera Yoshitsune. Teruknya situasi di pihak Yoshinaka hinggakan dari 300 orang tentera itu, hanya 5 orang sahaja berbaki, tidak termasuk Tomoe dan dirinya sendiri.
Di saat-saat getir sebegitu, Yoshinaka memberi arahan kepada Tomoe agar meninggalkan medan tempur. Menurutnya, beliau akan dicalit malu jika mati di sisi seorang wanita. Arahan tersebut dipatuhi dengan berat hati oleh Tomoe, yang terlebih dahulu berjaya memenggal kepala salah seorang pahlawan musuh. Sejak peristiwa hitam itu, nama Tomoe hilang dari sejarah dan nasib hidupnya menjadi tanda tanya ramai pihak.
Dalam Genpei Seisuiki, iaitu versi lanjutan bagi Heike Monogatari, diceritakan secara ringkas bahawa Tomoe telah mengalami kekalahan di tangan Wada Yoshimori dan dipaksa menjadi gundiknya.
Sementara dalam kisah lain pula, beliau dikatakan menjadi seorang rahib wanita.
Dalam versi kisah yang ketiga, Tomoe diceritakan telah membalas dendam bagi pihak Yoshinaka dengan membunuh musuhnya. Selepas selesai melunaskan dendam, beliau membawa kepala tuannya lalu terjun ke dalam laut sekaligus menamatkan riwayat hidupnya dalam keadaan melindungi kepala tuannya dari diapa-apakan musuh.
Merentas abad, Tomoe menjadi salah satu ikon besar dan pernah ditampilkan dalam sebuah permainan teater pada abad ke-15 yang berjudul “Tomoe”. Begitu juga dalam kabuki pada abad ke-18 yang berjudul “Onna Shibaraku”. Tambahan lagi, pelbagai lukisan yang menggambarkan keperwiraannya di medan tempur dihasilkan.
Bahkan sehingga ke hari ini, Tomoe masih terus diingati dan muncul dalam pelbagai media seperti anime, manga dan permainan video.
SUMBER:
DHWTY. (April 2015). Tomoe Gozen – A Fearsome Japanese Female Warrior of the 12th Century. Ancient Origins.
BACAAN LANJUT:
1. Margaret Everton. (Januari 2014). Lady of Legacy: Tomoe Gozen. Darling Magazine.
2. Chelsea Bernard. (Jun 2014). Tomoe Gozen: Badass Women In Japanese History. Tofugu.
3. Katespitzmiller. (2016). Tomoe Gozen: Female Samurai.
4. History of Fighting. (n.d.). Tomoe Gozen – Female Samurai Warrior.
5. Caroline Redmond. (November 2018). Tomoe Gozen and the Onna-Bugeisha. All That Interesting.
6. Kallie Szczepanski. (Disember 2017). A Long History of Japanese Women Warriors. ThoughtCo.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih