Sepanjang Zaman Pertengahan di Jepun, kuasa sebenar berada dalam genggaman shogun. Satu-satunya pangkat yang mengatasi shogun ialah maharaja. Mencapai kedudukan shogun bagaimanapun bukanlah suatu hal yang mudah.
Kisah hidup Tokugawa Ieyasu menampilkan contoh terbaik bagi menggambarkan kesabaran, ketahanan, dan kelicikan yang diperlukan bagi menjadi seorang shogun. Hal ini kerana beliau mendaki tangga sosial sebagai seorang tawa.nan dan mengakhirinya sebagai lelaki paling berkuasa yang bertanggungjawab menyatukan negara.
Kejayaan Tokugawa Ieyasu dalam hayatnya cukup besar dan sesuai dijadikan sumber inspirasi bagi membuktikan betapa kesabaran mampu meraihkan kita banyak perkara. Tahun 1543 Masehi, Tokugawa Ieyasu dilahirkan sebagai putera seorang daimyō yang bernama Matsudaira Hirotada.
Hirotada merupakan ketua klan Matsudaira, sebuah klan samurai yang mendakwa memiliki kaitan susur galur dengan klan Minamoto. Sebagai makluman, nama sebenar Tokugawa Ieyasu ialah Matsudaira Takechiyo.
Tempoh kelahirannya menyaksikan klan Matsudaira menempuh situasi yang amat genting, hinggakan beliau sendiri dijadikan sebagai tahanan oleh daimyo yang berseteru dengan ayahnya. Pada usia enam tahun, Tokugawa kehilangan Hirotada yang dibu.nuh oleh orang bawahannya sendiri.
Sepemergian Hirotada, tanah milik klan Matsudaira jatuh ke tangan lawan mereka. Tahun berganti tahun. Tokugawa mendewasa sebagai seorang yang tinggi cita-citanya. Memasuki tahun 1560, beliau berjaya membebaskan diri daripada pengaruh klan Imagawa yang telah lama menahannya.
Ieyasu juga lama menyedari ketokohan Oda Nobunaga dan kelebihan jika memihakkan diri kepadanya. Justeru sesudah berakhir Pertem.pu.ran Okehazama yang melibatkan Nobunaga dan Imagawa Yoshimoto, Ieyasu segera menumpahkan kesetiaannya kepada Nobunaga.
Usianya ketika itu baru mencecah 15 tahun, namun keterampilannya sebagai pemimpin sudah cukup matang. Tambahan, beliau berpeluang hidup sezaman dengan ramai tokoh besar Jepun, seperti Hattori Hanzō, Oda Nobunaga, Toyotomi Hideyoshi, dan lain-lain lagi.
Sikit demi sedikit, keberadaan Ieyasu di sisi Nobunaga membantu beliau mere.but semula wilayah lama milik keluarganya. Begitu juga kedudukannya sebagai seorang daimyo.
Pemerintahan Ieyasu menyaksikan berlaku banyak kempen keten.tera.an. Antara lain, beliau bersekutu dengan Shingen Takeda untuk mengha.puskan klan Imagawa dan menyerap seluruh wilayah mereka.
Menjelang tahun 1567, Ieyasu berdiri sebagai penguasa Wilayah Mikawa yang memang selama ini berada dalam genggaman klan keluarganya. Nama Ieyasu kian digeruni. Beliau juga berhasrat menubuhkan klan tersendiri, yang diberi nama Tokugawa. Hasratnya itu menerima restu maharaja dan beliau pun ditabalkan sebagai ketua klan Tokugawa yang pertama.
Tahun-tahun berikutnya, Ieyasu mengekalkan kedudukannya sebagai bawahan Oda Nobunaga. Pertem.puran demi pertem.puran disertai beliau, termasuklah kempen mene.waskan klan Takeda. Kon.flik dengan klan Takeda ini dicatatkan berlangsung selama hampir sedekad. Dalam sedekad itu juga, ketokohan Ieyasu semakin terpahat.
Sejarah bergulir dengan pantas. Sejurus selepas klan Takeda tum.pas, tepatnya pada tahun 1582, Oda Nobunaga pula menggemparkan negara. Beliau dikhia.nati dan dibu.nuh oleh pengawal peribadinya sendiri di Kyoto.
Ieyasu kekal setia di sisi klan Oda. Namun, ketiadaan tampuk kepimpinan yang mantap membuatkan segalanya run.tuh. Kerusi kuasa yang ditinggalkan Oda diisi oleh seorang daimyo lain yang cukup berpengaruh, iaitu Toyotomi Hideyoshi. Bagi Ieyasu, keadaan ini boleh membenihkan bibit percakaran antara dirinya dan Hideyoshi.
Namun, Ieyasu memilih untuk berada di bawah perintah Hideyoshi dan sekali lagi meletakkan dirinya di dalam naungan seorang tokoh unggul negara – pertama bagi menjamin keselamatannya dan kedua, untuk menjadi batu loncatannya.
Memasuki tahun 1590, Hideyoshi dan rakan-rakan sekutunya berjaya menum.paskan mu.suh utama mereka, iaitu klan Hōjō. Kemenangan ini disusuli perintah yang bakal mengubah sepenuhnya ranah kehidupan Ieyasu.
Beliau diarahkan supaya memindahkan pusat kekuasaannya ke dataran Kantō. Perintah ini berpotensi merugikan dan merisikokan kedudukan Ieyasu. Pertama, kerana beliau terpaksa melepaskan wilayah lama yang diperoleh dengan susah-payah. Kedua, beliau terpaksa bergantung kepada samurai-samurai Hōjō yang baru sahaja ditundukkan.
Ieyasu bagaimanapun tidak ingkar. Kekuasaannya kali ini berpangkalan di kampung nelayan Edo. Istana dibangunkan. Edo kemudian berkembang menjadi Tokyo, ibu negara Jepun moden.
Pemindahan pusat kuasa nyatanya menguntungkan Ieyasu. Kesetiaan samurai-samurai Hōjō berjaya diperoleh. Infrastruktur di rantau Kantō dibaik-pulih. Wilayah naungannya pula berkembang luas. Hanya dalam tahun-tahun singkat, Ieyasu menempa nama sebagai antara manusia paling kaya di Jepun. Ketokohannya hanya dapat didahului oleh Hideyoshi.
Sejurus selepas Toyotomi Hideyoshi mang.kat pada 1598, Jepun didominasi oleh Ieyasu. Namun ketika itu, beliau masih berada di bawah pengaruh Hideyoshi, yang digantikan oleh puteranya yang berusia lima tahun.
Kesempatan tidak dilepaskan. Ieyasu segera mengisytiharkan kebebasan. Rakan-rakan sekutu yang dahulunya memu.suhi Toyotomi Hideyoshi dihubungi. Pengaruh Ieyasu kian berkembang, sekali gus mengundang permu.suhan Ishida Mitsunari (penasihat tertinggi Hideyoshi) dan Mōri Terumoto. Kedua-duanya menghimpunkan bala ten.tera bagi menyekat Ieyasu.
Medan Sekigahara dijadikan sebagai saksi pertem.puran yang bakal menentukan untung nasib antara dua pihak. Sejarah mengenangnya sebagai salah sebuah pertem.puran paling penting dalam tamadun Jepun. Pada tarikh keramat 21 Oktober 1600 Masehi, lebih 200,000 orang ten.tera berlaga sen.jata dengan takdir menetapkan pakatan Mitsunari-Terumoto tum.pas.
Kemenangan ini secara langsung mengangkat Ieyasu sebagai penguasa paling berpengaruh di negara matahari terbit. Tiga tahun berlalu. Ieyasu dikurniakan gelaran shogun oleh maharaja pada usia 60 tahun. Era keshogunan beliau, yang turut dikenali sebagai Zaman Edo, berpanjangan sehingga 260 lamanya (tumbang 1867).
Pemerintahannya menyaksikan Edo berkembang pesat. Bermula sebagai kampung nelayan, Edo membangun menjadi sebuah bandar yang dihuni oleh puluhan ribu manusia. Hari ini, ia unggul sebagai antara bandar metropolitan paling maju, sesak, dan sibuk di dunia.
Ieyasu bagaimanapun mengundurkan diri daripada kerusi shogun setelah berkuasa selama dua tahun. Tempatnya digantikan oleh putera beliau yang bernama Tokugawa Hidetada. Pun begitu, Ieyasu masih mengepalai klan Tokugawa dan menangani mu.suh-mu.suh beliau seperti Toyotomi Hideyori yang berpangkalan di Istana Osaka.
Istana tersebut dike.pung oleh Ieyasu sebanyak dua kali, mengakibatkan kesemua ten.tera di dalamnya terbu.nuh termasuklah kerabat terakhir Toyotomi. Hideyori sendiri membu.nuh diri sekali gus mengakhiri jurai keluarga Toytomi.
Pada tahun berikutnya, Ieyasu menggubal beberapa undang-undang penting bagi meneguhkan pemerintahannya dan mengawal pengaruh raja-raja wilayah. Antaranya termasuklah mengehadkan mereka supaya memiliki sebuah istana sahaja di wilayah masing-masing.
Di samping itu, Ieyasu juga melebarkan pengaruhnya dalam istana maharaja. Secara bertahap tetapi pasti, autoriti maharaja dan sidang istananya di Kyoto dihakis sepenuhnya.
Hubungan antarabangsa turut mengalami penambahbaikan sewaktu pemerintahan Ieyasu. Hal ini terbukti menerusi hubungan diplomatik yang dijalinkan dengan Portugal, England, dan Belanda. Secara langsung, perdagangan dua hala sebegini memacu ekonomi Jepun ke peringkat yang lebih tinggi.
Tahun 1616, Ieyasu jatuh gering. Kesihatannya menyusut sejurus kembali daripada berbu.ru. Sebahagian sejarahwan berpendapat beliau jatuh sa.kit akibat makan tempura ikan kuku (sea bream tempura). Ada pula yang menyatakan ia berpunca daripada sifilis atau kanser perut. Apa yang pasti, ia mengakibatkan kema.tiannya di usia 73 tahun, pada tarikh 1 Jun 1616.
Jasad Ieyasu dise.madikan di Kuil Kunōzan, Wilayah Shizuoka. Ma.kamnya kemudian dipindahkan ke Kuil Nikkō Tōshōgū pada tahun 1617, disebabkan lahir kultus yang memujanya sebagai Tōshō Daigongen (Cahaya Timur). Pada hari ini, kuil tersebut menjadi antara destinasi pelancongan yang tersohor di Jepun.
Tidak disangkal, kesohorannya berkait rapat dengan ketokohan seorang Tokugawa Ieyasu – insan yang bermula sebagai tawa.nan yang tersepit dalam percakaran antara dua klan. Berbekalkan bakat dan tekad, beliau muncul sebagai antara lelaki paling berkuasa di Jepun pada zamannya – lelaki yang dikenang sebagai salah seorang dari tiga penyatu negara matahari terbit.
Sebagai penutup, artikel ini kami akhiri dengan pesanan Ieyasu sendiri: “Orang yang kuat di dalam hidup adalah orang yang memahami makna sabar. Sabar bermaksud menahan diri daripada kemahuan. Dalam diri manusia, ada tujuh perasaan yang sentiasa mencengkam; gembira, marah, resah, suka, duka, takut, dan benci.
Orang yang sabar adalah orang yang tidak kalah (terbawa-bawa) dek kesemua perasaan ini. Kalau diikutkan, aku ini bukanlah kuat mana. Cuma, aku memang dikenali sebagai seorang yang sentiasa cuba mengambil sikap sabar. Jadi, kalau anak cucu aku mahu jadi seperti aku, pertama-tama mereka mestilah mengamalkan sabar.”
TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (16 Mac 2021). Tokugawa Ieyasu: Most Powerful Shogun and Great Unifier of Japan. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih