Setelah kita berjaya menamatkan pelajaran di institut pengajian tinggi, perkara pertama yang kita akan fikir ialah kerja. Bila kita ada pekerjaan, maka kita ada pendapatan dan saat sebegini merupakan saat yang dinanti kerana kita dapat duit daripada hasil titik peluh kita sendiri. Tetapi sebelum berpeluang mendapat sesuatu kerja, kena lalui proses temu duga terlebih dahulu. Dan ini proses yang cukup teliti kerana majikan pasti mahukan calon terbaik yang boleh menyumbang kepada produktiviti dan keuntungan syarikat. Sesetengah daripada kita sangat takut dengan proses ini kerana menganggap ia menyusahkan dan mengambil masa lama. Buang mentaliti itu ke luar, saya ada beberapa tips sesuai untuk membantu anda semasa proses temu duga kerja.
1. Tunjukkan sifat profesional dengan memakai pakaian yang bersesuaian untuk proses tersebut terutama sekiranya temuduga diadakan di syarikat-syarikat besar. Pilih sut atau pakaian formal yang kemas, bersih dan selesa. Jika polisi syarikat berkenaan pakaian tidak ketat sekalipun, apa salahnya memakai pakaian formal. Sekurang-kurangnya, ini menunjukkan anda bersikap profesional dan tahu menghormati suasana persekitaran anda.
2. Jangan pakai pakaian berwarna cerah, seksi atau mendedahkan. Sebaliknya pilih pakaian yang bersifat konservatif dan sesuai dengan tona warna kulit anda. Ini kerana dalam beberapa kes, sesetengah penemuduga merasa kurang senang dengan jenis pakaian atau warna pakaian yang dipakai calon temu duga.
3. Kaum Hawa yang gemar memakai aksesori dan barang kemas, kurangkan aksesori dan barang kemas yang dipakai. Ini kerana aksesori dan barang kemas yang bernilai dan berkilat boleh saja mengganggu fokus si penemuduga semasa proses temu duga berlangsung.
4. Bagi yang suka memakai mekap tebal, nasihat saya, kurangkan. Cukup sekadar untuk menyerlahkan keayuan wajah anda agar nampak semulajadi. Jaga penampilan anda terutama kuku kerana bila anda berbuat demikian, si penemuduga beranggapan anda bersifat teliti dalam soal penampilan diri.
5. Saya tahu ada yang mengelak mandi pada waktu pagi sebab nak mengejar masa. Buanglah sikap sebegini kerana bila kita mandi, ia sebenarnya membantu menyegarkan badan kita. Pakai deodoran dan minyak wangi bagi menambah seri bau anda. Tapi elakkan pakai minyak wangi yang terlalu kuat sehingga mengganggu tumpuan si penemuduga.
6. Sesetengah penemuduga selalu mengadu menghidu bau busuk setiap kali sesetengah calon temuduga bercakap. Saya tahu ada bersikap malas dalam soal penjagaan mulut tapi apa salahnya gosok gigi dan berkumur guna pembersih mulut. Selain membantu gigi anda kekal kuat dan cantik, ia juga dapat memberi tanggapan yang baik kepada si penemuduga. Bagi yang suka makan atau merokok, elakkan kedua-duanya sebelum temuduga dijalankan.
7. Rambut biarlah kemas dan tersisir rapi. Bagi wanita pula, pilih gaya rambut konservatif agar bersesuaian dengan pakaian temu duga yang kemas, bersih dan selesa. Sebabnya, saya nak anda kelihatan profesional di mata si penemuduga.
8. Sebelum masuk ke bilik temuduga, regangkan sedikit badan dan tunjuk ‘power pose’. Menurut pakar psikologi di Universiti Harvard, Amy Cuddy, bila kita buat gaya sebegini selama dua minit, ia bantu kita untuk ambil risiko dan meredakan tekanan dalam diri sendiri. Dan selain membuatkan kita nampak bersedia, ia turut mengubah tahap kimia badan kita dengan tahap hormon testoteron meningkat kepada 20% sekaligus menjadikan kita kelihatan yakin untuk menghadapi sesi temuduga kerja.
9. Semasa menuju ke tempat temu duga, ambil sedikit masa dengan bernafas secara perlahan-lahan. Bila kita dapat kawal cara pernafasan kita, ia sekaligus mengurangkan lagi tekanan dan membantu kita fokus.
10. Anda mungkin akan gelak tetapi semasa menanti giliran atau berjalan ke bilik temuduga, gunakan masa tersebut dengan menyebut perkataan-perkataan yang susah disebut. Ada sains di sebalik kegilaan ini. Bila kita menyebut perkataan-perkataan yang susah disebut, ia sebenarnya membantu melancarkan percakapan kita.
11. Bila si penemuduga berjabat tangan dengan anda, genggam dan goyangkan sedikit tangan semasa berjabat tangan. Nampak macam pelik tapi satu kajian dari Universiti Iowa menunjukkan jabat tangan sama penting dengan temu duga kerja itu sendiri. Bila kita berjabat tangan, ia menunjukkan individu tersebut stabil dari segi emosi selain mewujudkan unsur keintiman, kepercayaan dan positif antara calon temuduga dengan si penemuduga.
12. Jaga bahasa badan. Semasa berhadapan dengan penemuduga, duduk dalam keadaan tegak dan tunjuk ekspresi muka yang beri perhatian akan apa yang diperkatakan si penemuduga. Dan pastikan bila anda duduk, pastikan ia seiring dengan kedudukan si penemuduga.
13. Perhati dan nantikan peluang yang sesuai untuk kongsi pengalaman anda. Kalau boleh, pastikan ianya bersesuaian dengan temu duga kerja anda. Selain mewujudkan kemesraan antara anda dengan penemuduga, ia juga menunjukkan anda ada pengalaman untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.
14. Sekiranya si penemuduga selesai mengemukakan soalan, jangan bazirkan peluang dengan mengangguk dan beredar kerana menganggap sesi temuduga selesai. Sebaliknya, gunakan masa tersebut untuk tanya soalan bersifat penting dan relevan dengan kerja, contohnya apakah sebab syarikat tidak mahu mengambil anda? Bila anda tanya soalan sebegini, mudah bagi anda memberi jawapan yang menghilangkan kerisauan mereka sekiranya mahukan anda bekerja di situ.
Sumber:
- Brushwood, Brian. (2015). Hacking The System. National Geographic Channel.
- Dressing for Interviews. Michigan State University. http://careernetwork.msu.edu/jobs-internships/appearance-and-attire/dressing-for-interviews.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
saja test comment