Selama bertahun-tahun, komuniti saintifik berpandangan Lembangan Amazon tidak mampu menanggung populasi yang ramai. Jika ada sekalipun, mustahil ia mencapai populasi tinggi seperti disaksikan oleh Tamadun Maya dan Aztec. Tetapi imbasan lidar yang dibuat sekumpulan saintis di Bolivia baru-baru ini membuktikan ia bukan omong kosong.
Dapatan mereka mendapati orang Casarabe yang pernah menghuni kawasan hutan-savana Llanos de Mojos di Bolivia dari 500 hingga 1400 Masihi berjaya membangunkan sebuah peradaban sambil beradaptasi dengan persekitaran mereka. Dapatan kajian mereka diterbitkan dalam jurnal Nature baru-baru ini.
Menerusi lidar atau laser dari langit itu, ia mendedahkan kewujudan ratusan struktur lama yang dibangunkan orang Casarabe yang dilitupi kanopi tumbuhan. Antara struktur yang didedahkan dalam imbasan lidar ialah terusan-terusan, rumah kediaman, kawasan takungan air dan jalan-jalan. Kesemua struktur ini tertumpu pada dua petempatan besar Casarabe iaitu Cotica dan Landivar.
Wilayah Llanos de Mojos merupakan sebuah kawasan savana tropika tanah rendah yang terletak di sebelah barat daya Lembangan Amazon. Ia mempunyai musim kering dan hujan yang unik. Semasa musim kering, hujan tidak akan turun selama beberapa bulan. Tetapi apabila musim hujan melanda dari November hingga April, kebanyakan kawasan Llanos de Mojos akan dilanda banjir selama berbulan-bulan.
Sebelum ini, komuniti saintifik menolak idea Lembangan Amazon pernah dihuni oleh manusia dan masih terjaga persekitarannya. Tetapi imbasan lidar menunjukkan urbanisme peringkat awal dibangunkan dan diuruskan oleh orang Casarabe selama ribuan tahun. Lebih menarik, elemen pembangunan Casarabe diadaptasi dengan persekitarannya – sama sekali berbeza dengan pembangunan moden yang enggan beradaptasi dengan alam.
Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang orang Casarabe. Tetapi imbasan lidar menunjukkan kepercayaan mereka terhadap dewa-dewi tertentu dengan orientasi arah piramid-piramid dan platform-platform pemujaan menunjukkan arah barat daya. Orientasi arah ini sama dengan orientasi arah kubur-kubur Casarabe yang ditemui pengkaji arkeologi sebelum ini di Llanos de Mojos.
Satu ciri unik petempatan Casarabe ialah petempatan-petempatan ini dibina dalam kawasan struktur pengurusan air yang besar seperti terusan dan takungan air. Pengkaji arkeologi percaya sistem pengurusan air mereka digunakan untuk mengawal musim banjir di wilayah berkenaan sekaligus membolehkan aktiviti pertanian seperti jagung dapat dijalankan. Selain itu, takungan air juga turut digunakan sebagai kolam ternakan ikan bagi menjamin bekalan protein penduduk.
Jadi, apa punca petempatan-petempatan Casarabe ditinggalkan? Pakar arkeologi Heiko Prumers dari Institut Arkeologi Jerman percaya kota-kota ini ditinggalkan penduduk pada 1400 Masihi kerana sumber air yang terhad akibat perubahan iklim. Akibat isu kekurangan air yang dicetuskan oleh kemarau yang lama, sistem pengurusan air yang dilaksanakan selama ini tidak berfungsi dan mendorong penduduk berhijrah ke tempat lain.
Hal ini juga menjelaskan mengapa kisah orang Casarabe tidak diketahui oleh Conquistador yang tiba di Amerika Tengah dan Amerika Selatan pada abad ke-16. Sebaik kawasan ini berjaya diteroka oleh mubaligh-mubaligh Sepanyol, yang ditemui hanya kelompok penduduk yang tinggal secara terpencil di situ.
Tidak mustahil kumpulan penduduk ini merupakan generasi orang Casarabe yang membina kehidupan baru selepas kejatuhan kota-kota mereka seabad sebelumnya. Dan satu lagi hikmah kejatuhan peradaban ini ialah ia secara tidak langsung menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa pembantaian Conquistador. Sekiranya kota-kota Casarabe diketahui mereka dan masih wujud menjelang abad ke-16, sudah pasti mereka akan ditindas seperti yang disaksikan orang Aztec dan Inca.
RUJUKAN
Metcalfe, T. (2022, 25 Mei). Lasers reveal ‘lost’ pre-Hispanic civilization deep in the Amazon.
Sankaran, V. (2022, 28 Mei). Archaeologists find ‘mind-blowing’ network of lost cities hidden in Amazon. The Independent.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih