Kata Pat William di dalam ‘How to be Like Walt’, “Buku seumpama makanan buat otak dan manisan buat jiwa. Ia juga wadah senaman minda buat manusia. Jika badan memerlukan 30 minit senaman sehari, maka begitu jugalah akal fikiran.”

Dan persis pemakanan, selera pembacaan setiap individu juga berlainan. Ada yang mengambil fiksi sebagai ruji sambil bukan-fiksi jadi lauk tepi. Namun, ada pula sebaliknya. Bagi sesetengah, perkara sebegini pun boleh jadi polemik panjang – yakni, mana yang lebih baik; fiksi atau bukan-fiksi?

Untuk menambah nilai diri, umum memilih bukan-fiksi. Fiksi pula sekadar hobi dan pengisi masa senggang. Tapi, benarkah fiksi sekadar itu? Jawapannya tidak, dan justeru artikel ingin berkongsi tiga sebab mengapa fiksi harus ada dalam diet pembacaan bersama bahan-bahan lain.

Perbezaan dan persamaan antara fiksi dan bukan-fiksi

Memupuk Empati

Empati ialah keupayaan untuk memahami perasaan orang lain, melihat sesuatu menerusi pandangan alam mereka, dan membayangkan diri berada dalam tempat mereka. Justeru, empati sering dibahagikan kepada tiga; kognitif (memahami perspektif), emosi (memahami perasaan), dan belas kasihan (memahami bebanan – menghulurkan bantuan).

Karya fiksi, menerusi segala komponen di dalamnya – watak-perwatakan, latar dan naratif, dialog-monolog, dan metafora – amat menggalakkan pemupukan empati, yang pertama-tama memerlukan kefungsian otak yang aktif khususnya kefungsian berkait imaginatif. Ini dibuktikan menerusi sejumlah kajian.

Misalnya dalam kajian tahun 2006 yang disiarkan dalam jurnal NeuroImage, penyelidik dari Sepanyol meminta responden membaca sejumlah perkataan yang sinonim dengan elemen bau yang kuat. Ia kemudian disusuli oleh perkataan bersifat neutral. Sambil bacaan dibuat, otak mereka diimbas oleh fMRI (functional magnetic resonance imaging).

Penelitian mendapati ketika peserta membaca perkataan seperti ‘kayu manis’, ‘bawang putih’, dan ‘bunga melur’, bahagian olfaktori (berkait deria bau) pada otak mereka menyala (González, et al., 2006). Apabila disuakan dengan perkataan bersifat neutral seperti ‘kerusi’, ‘kunci’, dan ‘pintu’ pula, ia tidak menyala. Erti kata lain, bahagian olfaktori pada otak dapat dirangsang setiap kali kita membaca perkataan berkait bau.

Kajian dari Emory University (U.S) pula mendapati perkara ini tidak hanya terhad pada perkataan berkait bau sahaja. Tetapi juga frasa-frasa metafora (Telis, 2012). Menggunakan kaedah sama, ahli neurologi bernama Krish Sathian meminta responden membaca dua jenis frasa – satu frasa metafora dan satu lagi frasa neutral yang mengandungi makna sama – sambil otak mereka diimbas.

Krish mendapati memang ketika kedua-dua jenis frasa itu dibaca, bahagian otak yang memproses bahasa (bahagian Wernicke) menyala. Tetapi, ketika responden membaca frasa metafora seperti ‘dia baru setahun jagung’ atau ‘keadaannya sekarang bagai telur di hujung tanduk’, ada satu bahagian lain yang menyala – iaitu, bahagian parietal operculum yakni bahagian sensori (deria sentuh).

Bahagian tersebut tidak menyala ketika frasa neutral yang mengandungi makna sama dibaca, seperti ‘dia masih belum matang’ atau ‘keadaannya sekarang amat tersepit’. Hal ini justeru mengisyaratkan betapa karya fiksyen – yang kaya dengan pelbagai perincian dan kiasan – amat merangsang bahagian otak yang pelbagai.

Membaca fiksyen dapat mengasah kemampuan untuk berteori tentang fikiran dan perasaan orang lain (Teori Minda)

Rangsangan-rangsangan sebegini bukan sekadar memupuk daya imaginasi dan kreativiti, tetapi juga memangkin nilai empati dalam diri. Lebih-lebih lagi, karya fiksyen menawarkan ruang untuk bersimulasi tentang realiti kehidupan (Paul, 2012).

Di mana, pembaca diajak untuk menyelami watak-watak yang ditampilkan. Yakni, cuba memahami, berinteraksi, dan menerka perasaan, fikiran, kelakuan, pengalaman, pergaulan, permasalahan, dan penyelesaian yang dilakukan oleh satu-satu watak terhadap segala dog.ma yang wujud dalam fiksyen berkenaan – lalu, mengandaikan jika ia dihadapi dalam dunia realiti.

Ini justeru mengasah kemampuan pembaca untuk berteori tentang fikiran (kecerdasan sosial) dan perasaan (kecerdasan emosional) orang lain; satu kapasiti yang disebut sebagai Teori Minda (Theory of Mind). Keupayaan ini signifikan dalam meningkatkan kecekapan kita berkomunikasi, menjaga sensi.ti.viti, dan mensejahterakan komuniti (Mohyedin, 2021).

Membasmi Prejudis

Nilai empati lazimnya membenihkan sifat keterbukaan, penerimaan, dan kesediaan untuk memahami – walau kepada mereka yang tidak dikenali. Justeru, fiksyen juga dianggap efisien dalam menangani sikap ra.sis dan prejudis.

Anggapan ini dipegangi oleh New York State Office of Mental Health (OMH) pada tahun 2018, ketika ia meluluskan geran bernilai $5,000 kepada Oceanside Middle School untuk menjalankan satu program (Rogers & Zirogiannis, 2019).

Iaitu, program pembacaan novel The Science of Breakable Things (oleh Tae Keller) secara beramai-ramai dalam kalangan pelajar sebagai usaha membasmi stigma negatif terhadap kesihatan mental. Sememangnya, novel tersebut berkisar tentang Natalie, remaja yang saban hari membantu ibunya yang mengalami de.presi.

Justeru, hasil pada akhir program mendapati pelajar dan staf di sekolah berkenaan semakin terbuka untuk berbicara tentang masalah kesihatan mental – sama ada yang dihadapi oleh mereka sendiri atau oleh rakan-rakan di sisi.

Ini satu teladan yang wajar diikuti. Tambahan, terdapat beberapa kajian yang turut menyokong perkara tersebut.

Misalnya, kajian yang dijalankan oleh Loris Vezzali dari University of Modena and Reggio Emilia (Itali). Dalam kajian tersebut, seramai 34 orang pelajar di sebuah sekolah disuruh mengisi borang kaji selidik berkaitan pandangan awal mereka terhadap golongan imigran.

Kemudian, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Masing-masing disuruh membaca dan berbincang tentang beberapa perenggan dalam fiksyen Harry Potter. Kumpulan pertama diajak berbincang tentang hal-hal yang menyentuh secara langsung tentang tema dis.kri.minasi dan prejudis manakala kumpulan kedua berbincang tentang tema lain yang tidak penting.

Setelah selesai enam minggu, mereka disuruh menjawab semula borang kaji selidik tentang pandangan mereka terhadap imigran.

Hasilnya, kumpulan pertama menunjukkan sikap yang lebih positif terhadap imigran – walaupun respon ini hanya jika imigran tadi ada persamaan dengan watak-watak yang ada dalam fiksyen berkenaan (Jacobs, 2014); misalnya, perkaitan antara dis.kri.minasi terhadap watak elf-goblin (dalam Harry Potter) dengan dasar apar.theid di Afrika Selatan; atau, doktrin ‘ahli sihir berdarah tulen’ yang dipegangi Voldemort dengan doktrin ‘keulungan bangsa Aryan’ oleh Jerman.

Dalam kajian lain pula, seorang ahli psikologi bernama Dan Johnson melakukan dua eksperimen. Bahan yang digunakannya ialah novel berjudul Saffron Dreams (karya Shaila Abdullah). Dalam eksperimen pertama, Dan membahagikan responden kepada dua kumpulan.

Novel Saffron Dreams

Masing-masing sama ada diberikan petikan penuh tentang babak seorang wanita Muslim berpendidikan sedang dise.rang di sebuah stesen keretapi di New York City – lengkap bersama monolog yang menggambarkan kekuatan watak itu, berserta serba-serbi pendedahan tentang budaya Muslim – atau sinopsis babak sama tanpa sebarang monolog, dialog, dan naratif terperinci.

Mereka kemudian diberikan sejumlah gambar wajah individu yang tidak jelas apa bangsanya. Lalu, mereka disuruh meletakkan label; (1) untuk bangsa Arab, (2) untuk kacukan yang lebih ke-Araban berbanding Kaukasian, (3) untuk kacukan yang lebih Kaukasian berbanding ke-Araban, dan (4) untuk bangsa Kaukasus. Dan mendapati, kumpulan yang membaca naratif terperinci lebih cenderung memilih nilaian (2) dan (3); menunjukkan pelabelan mereka terhadap bangsa seseorang lebih longgar dan terbuka (Jacobs, 2014).

Dalam eksperimen kedua, Dan melakukan hal sama. Cuma, responden diberikan 12 keping gambar wajah seorang Arab-Kaukasus dengan mimik marah (bengis) yang berbeza. Hasilnya, Dan mendapati mimik marah yang ketara mendorong responden dari kumpulan kedua untuk melabelnya sebagai bangsa Arab (yakni, bangsa yang sinonim bagi warga Amerika sebagai bangsa yang ga.nas).

Eksperimen-eksperimen seperti ini menunjukkan betapa fiksyen juga boleh berperanan mengurangkan stigma negatif terhadap sesebuah isu atau bangsa, sekali gus mewujudkan masyarakat yang lebih terbuka dan berbelas kasihan.

Merehatkan Diri

Di samping memupuk nilai-nilai yang membangunkan masyarakat, fiksyen juga berkesan dalam memperbaiki kehidupan sendiri. Kajian dari University of Sussex mendapati membaca – apapun bahan bacaan – jauh lebih berkesan dalam meredhakan tekanan berbanding mendengar muzik.

Kajian ini dijalankan oleh Dr. David Lewis ke atas sekumpulan sukarelawan. Mereka disuruh bersenam untuk meningkatkan kadar degupan jantung, keregangan otot, dan tekanan perasaan, sebelum diminta berehat dengan pelbagai kaedah; membaca buku, mendengar muzik, minum teh atau kopi, ambil angin, dan bermain permaian video.

Hasil penelitian mendapati, membaca buku (selama 6 minit) sudah memadai (Chiles, 2009). Ia merupakan kaedah paling pantas dalam mengurangkan tekanan, iaitu sebanyak 68% berbanding mendengar muzik (61%), minum kopi/teh (54%), berjalan ambil angin (42%) dan bermain permainan video (21% dan degupan jantung lebih tinggi berbanding sebelum diuji).

Membaca selama enam minit dapat meredakan tekanan jauh lebih berkesan berbanding mendengar muzik

Ini disebabkan dengan membaca, fikiran dapat dilarikan dari masalah dan kerisauan harian. Lebih-lebih lagi, jika ia bacaan fiksyen. Penceritaan yang baik dapat menenggelamkan kita ke alam lain, sekali gus menjadi sarana eskapisme yang efisien dalam merehatkan otot dan memperlahankan degup jantung.

Lantaran itu, kata Dr. Lewis, “Tenggelam dalam pembacaan adalah sebenar-benar kerehatan.”

Justeru, tidak hairan jika bahan bacaan sastera dominan di negara kita dengan dianggarkan 76% dari pembelian buku keseluruhan adalah membabitkan genre tersebut – 53% fiksyen dan 36% bukan-fiksyen berteraskan sastera (Ahmad, 2020).

Jadi, kami nak mengajak anda semua membaca karya fiksyen terbaru terbitan The Patriots dalam mencari variasi karya fiksyen unik dan menarik. Ayuh ke Shopee kami Shopee : bit.ly/MK-The-Insect (TI) dan bit.ly/MK-Azrahel (ASPK).

RUJUKAN:

Ahmad, Zainal Rashid. (2020, 3 July). KLWBC 2020: Malaysia malas atau rajin membaca? Astro Awani.

Chiles, Andy. (2009, 30 March). Reading can help reduce stress, according to University of Sussex research. The Argus.

González, Julio, et al. (2006). Reading cinnamon activates olfactory brain regions. NeuroImage.

Jacobs, Tom. (2014, 29 July). Harry Potter and the Battle Against Bigotry. Pacific Standard.

Jacobs, Tom. (2014, 10 March). Reading Literary Fiction Can Make You Less Racist. Pacific Standard.

Paul, Annie Murphy. (2012, 17 March). Your Brain on Fiction. The New York Times.

Telis, Gisela. (2012, 7 February). Metaphors Make Brains Touchy Feely. Science.

Mohyedin, Zamir. (2021, 1 September). Teori Minda: Apa Yang Membezakan Manusia dan Haiwan. The Patriots.

Rogers, Allison Glickman & Zirogiannis, Beth. (2019, 25 September). Sending a Powerful Message: How Oe Middle School Used Literature to Break Down the Stigma Associated with Mental Illness. Literacy Worldwide.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.