Aku rasa ada tiga elemen penting dalam plot twist yang berkesan. Selain filem, tiga elemen ini juga boleh digunakan untuk tulis plot twist dalam novel atau cerpen thriller dan misteri.
Pertama foreshadowing, kedua reaksi watak VS reaksi penonton dan ketiga, kesan juga akibat. Supaya mudah faham, aku nak bandingkan plot twist dalam dua filem ini – Captain America : The Winter Soldier dan Wonder Woman.
Plot twist dalam Captain America ialah The Winter Soldier sebenarnya Bucky Barnes, sahabat baik Steve Rogers yang disangka sudah meninggal dunia. Plot twist dalam Wonder Woman pula ialah diri Diana itu sendiri sebenarnya Pedang Zeus, bukan pedang sakti berbentuk fizikal yang disangka dapat membunuh Ares.
Bagi aku, plot twist dalam The Winter Soldier lebih berkesan, sementara plot twist dalam Wonder Woman pula agak hambar dan kurang menarik.
1. SETUP FORESHADOWING
Teknik foreshadow atau meletakkan klu kena guna berhati-hati. Terlalu banyak foreshadow akan merosakkan kesan plot twist. Tapi kalau zero foreshadow atau foreshadow lemah pula akan menyebabkan penonton rasa tertipu ketika plot twist muncul tanpa punca yang jelas. Kuncinya ialah menetapkan konteks supaya plot twist nanti boleh diterima akal.
Dalam Captain America, kemunculan semula Bucky tidak pernah dipaparkan secara jelas sebelum ia berlaku. Ketika Steve melawat muzium Smithsonian dan menonton video lamanya bersama Bucky, kita tahu Steve rindukan Bucky yang sudah terkorban. Tujuan setup ini sebenarnya nak ingatkan penonton betapa hubungan Steve dan Bucky sangat akrab. Jadi tiada klu yang cuba menjentik misteri identiti The Winter Soldier yang sebenar. Dibantu pula dengan sudut pandang watak yang hanya terhad kepada Steve, ini menyebabkan penonton hanya mengetahui apa yang Steve tahu, tidak lebih daripada itu.
Berbeza dengan Wonder Woman. Ada beberapa momen melibatkan watak Hippolyta yang nampak try hard meletakkan foreshadow untuk plot twist. Hippolyta telah menuturkan beberapa dialog dan monolog luaran tentang kemungkinan Diana itu sendiri adalah pedang Zeus.
Dalam satu babak di mana Hippolyta bercakap dengan diri sendiri, monolog luarannya kedengaran terlalu obvious diucapkan semata-mata untuk faedah penonton. Menyebut bahawa Diana kelak akan menjadi sesuatu yang hebat telah menghantar isyarat kepada penonton supaya jangan bulat-bulat mempercayai identiti sebenar Diana di awal cerita.
Bila sesebuah filem terlalu mahukan penonton meneka-neka plot twist, ia sebenarnya telah menghapuskan elemen kejutan saat plot twist itu berlaku nanti. Semakin banyak build up dalam foreshadowing, semakin cenderung plot twist gagal berkesan kerana penonton sudah dapat menduganya. Satu lagi cara yang hambar ialah bila watak yang sudah mengetahui plot twist cuba bermain teka-teki dengan penonton dengan memberikan foreshadow berkali-kali di skrin. *Lainlah kalau kau Deadpool.*
2. REAKSI PENONTON VS REAKSI WATAK
Ketika menulis plot twist, tetapkan awal-awal kepada siapa babak plot twist itu ditujukan. Kalau nak tujukan kepada penonton, harus diingat plot twist itu hanya berkesan untuk penonton yang menonton buat kali pertama. Perasaan terkejut adalah jentikan emosi yang bersifat sementara berbanding perasaan katarsis dan perasaan puas. Jadi bila kita menulis plot twist, cuba fokus pada kesan emosi yang akan menimpa watak saat plot twist itu berlaku.
Captain Amerika dalam bab ini memang cemerlang. Majoriti penonton sebenarnya bukanlah langsung tak dapat teka Bucky adalah The Winter Soldier, dan benda ini disedari oleh pembikin filem ini sendiri. Jadi mereka tak terlalu try hard nak dedahkan identiti Bucky sebab fokus utamanya ialah pada reaksi Steve Rogers bila plot twist itu muncul di skrin. Dengan memberikan tumpuan kepada reaksi Steve, para penonton akan turut merasai dilema emosi yang menimpa Steve seterusnya menjadikan plot twist itu lebih berkesan.
Cara ni selain berkesan, akan menarik minat penonton untuk kembali menonton The Winter Soldier berulang kali. Sebab apa? Sebab fokus dalam plot twist bukan lagi pada kejutan siapakah identiti The Winter Soldier, tetapi pada konflik emosi yang melanda jiwa Steve Rogers setelah mengetahui penjahat yang cuba membunuhnya adalah sahabat baiknya sendiri.
Untuk Wonder Woman…aduh nak kena tulis ke? Tak payahlah. Babak akhir melibatkan Diana dengan Ares tu nampak agak serabut dan kurang menghiburkan.
3. KESAN & AKIBAT
Kalau ikut definisi omputih, plot twist bermaksud “Something meant to drastically change the story and how we as the audience perceive it.” Daripada definisi ini, kita boleh keluarkan satu soalan. Kalau plot twist itu tidak memberikan kesan kepada kesimpulan jalan cerita dan perkembangan watak, maka apa gunanya plot twist tu berlaku?
Sebaik sahaja Steve tahu Bucky adalah The Winter Soldier, motivasi Steve dan tindakannya telah berubah untuk sepanjang filem. Matlamat utamanya adalah untuk menyelamatkan Bucky dan bukan untuk semata-mata menewaskan musuh. Emosi Steve berubah drastik sebaik sahaja dia mengetahui Bucky masih hidup dan ini telah meninggalkan kesan yang amat besar dalam diri Steve sehingga dia sanggup mengorbankan diri.
Berbeza dengan plot twist dalam filem Wonder Woman. Tak ada perubahan besar selepas Diana tahu dia sebenarnya pedang Zeus. Dia dah memang dalam misi nak bunuh Ares menggunakan pedang sejak permulaan cerita lagi. Kalau pedang Zeus tu memang betul-betul pedang fizikal sekali pun, Diana tetap boleh membunuh Ares. Jadi plot twist itu tak mengubah apa-apa jalan cerita dan perkembangan watak.
KESIMPULAN
Ketiga-tiga elemen in saling berkait. Terlalu banyak foreshadow akan menjejaskan reaksi watak daripada reaksi penonton. Jika reaksi watak kepada plot twist biasa-biasa maka kesan plot twist kepada penonton juga akan biasa-biasa. Maka kesimpulannya adalah, plot twist perlu terhasil daripada rangkaian plot yang meraikan perkembangan watak dalam dunia yang mereka lalui, bukan semata-mata daripada jalan cerita yang disusun dengan matlamat nak membuatkan penonton salah sangka.
Bagaimana pula dengan pendapat anda? Apakah babak plot twist dalam filem atau drama TV kegemaran anda? Kongsikan kepada kami menerusi ruang komen di bawah.
Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri dari Ipoh Perak. Selain penulisan artikel, beliau turut menulis kisah-kisah fiksyen bertemakan thriller dan misteri. Karya nukilannya boleh dibaca secara percuma menerusi page Haikal Fansuri
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih