Sabtu, 17 Oktober 202617 Okt 2026
Tiga “Dayang” Kesayangan Sir Charles Vyner Brooke
Alam Melayu

Tiga “Dayang” Kesayangan Sir Charles Vyner Brooke

ANDAI kita merujuk kepada kamus bahasa Malaysia standard, “dayang” itu merujuk kepada si gadis perawan atau nama timang-timangan bagi anak-anak perempuan atau gadis-gadis pelayan di istana.  Di Sarawak dan Brunei misalnya bukanlah kesemua gadis atau wanita boleh menggunakan gelaran nama sebegitu rupa kerana ia adalah salah satu marga nama keluarga di dalam komuniti Melayu Sarawak mahupun Brunei.  Misalnya untuk Melayu Sarawak, pangkal nama “Dayang” itu diwarisi sekiranya disebelah ayahnya adalah mempunyai marga nama keluarga “Awang”, “Abang” dan “Pengiran”. 

Dan
sudah pasti bila berbicara dari aspek dinasti Keluarga Brooke yang pernah
memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun, mungkin agak pelik jika
seseorang berbangsa Inggeris menggunakan nama “Dayang” yang merujuk kepada
keluarga aristokrat Melayu Sarawak untuk anak-anak perempuan mereka.  Sebenarnya untuk setiap dinasti Brooke di
Sarawak, mana-mana anak perempuan yang lahir dari Tuan Rajah dan Ranee (isteri)
diberikan nama “dayang” bagi menunjukkan “pangkat” mereka di dalam hirarki
pemerintah di Sarawak.  Ini kerana
difahamkan penggunaan nama ini adalah untuk memastikan bahawa keluarga Brooke
dikenali sebagai keluarga kelas atasan di dalam hirarki masyarakat Sarawak
yakni keluarga Melayu Perabangan Sarawak.

Di
dalam hirarki keluarga Brooke hanya terdapat empat wanita yang mempunyai
perkaitan secara terus dengan tuan rajah Sarawak yakni Dayang Ghita Brooke,
anak kepada Sir Charles Brooke yang lahir pada tahun 1870 dan kemudiannya
meninggal dunia ketika di dalam perjalanan pulang ke England pada tahun
1873.  Dan tiga lagi anak perempuan
adalah puteri-puteri kepada Sir Charles Vyner Brooke yang dikenali dengan nama
Dayang Leonora Margaret Brooke, Dayang Elizabeth Brooke dan Dayang Nancy
Valerie Brooke. 

Dan dek kerana Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia hanya mempunyai tiga orang puteri maka kerana itulah hirarki untuk menjadi tuan rajah yang seterusnya diberikan kepada Tuan Muda Anthony Darryle Brooke yakni adik kepada Sir Charles Vyner Brooke itu sendiri.  Tidak seperti Sir CV Brooke yang mewarisi takhta daripada ayahnya Sir Charles Brooke kerana di dalam keluarganya mempunyai beberapa orang anak lelaki. 

Undang-undang tubuh Sarawak di zaman Brooke telah menetapkan bahawa hanya anak lelaki sahaja yang boleh diangkat sebagai pemerintah Sarawak pada masa itu.  Dalam pada itu ada cerita di istana Sarawak yang mana pernah ada usaha oleh Ranee Sylvia untuk cuba menukar undang-undang tubuh tersebut yakni mengangkat anak perempuan sebagai pewaris pemerintah Sarawak namun ianya langsung tidak dipersetujui oleh Council Negeri Sarawak suatu waktu dahulu. 

Berbicara
dari aspek itu mungkin ahli-ahli Council Negeri Sarawak bukanlah sengaja untuk
tidak mahu menukar perlembagaan Sarawak kerana segalanya dilakukan
bersebab.  Ini memandangkan jika diamati
sesiapa yang mampu diangkat menjadi pemerintah Sarawak walau berdarah Brooke
sekalipun seharusnya adalah seseorang yang benar-benar mampu menjalankan
tugasnya.  Namun perwatakan ketiga-tiga
“dayang” kesayangan Sir Charles Brooke pula digambarkan sebagai puteri-puteri
dari golongan berada yang hidup di dalam penuh kebebasan, bersosial dan
berperangai pelik. 

  •  Dayang Leonora Margaret Brooke

Merupakan
anak sulung kepada Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia Brooke.  Dinamakan Leonora berdasarkan kepada nama
asal ibunya yakni Sylvia Leonora Brett. 
Dikatakan sewaktu berita kelahirannya diumumkan di Sarawak sebanyak
tujuh das tembakan meriam dilakukan oleh Sarawak Rangers pada masa itu di
Astana Sarawak. Banyak masanya dihabiskan di luar Sarawak dan digambarkan
sebagai seorang yang suka bersosial dan menghadiri parti-parti mewah anjuran
golongan aristokrat Eropah. 

Perkahwinan
pertama kalinya adalah dengan Kenneth Mackay, 2nd Earl of Inchcape
iaitu puteri kepada 1st Earl of Inchcape James Lyle Mackay pada 1
Jun 1933.  Majlis perkahwinannya
dikatakan adalah satu majlis perkahwinan yang mewah malah turut mendapat
hebahan di England.  Namun walau semewah
mana perkahwinan tersebut masih tidak dapat menyelamatkan perkahwinan beliau
yang akhirnya mereka bercerai setelah hidup bersama selama beberapa tahun. 

Solo
untuk seketika sahaja dan perkahwinan kedua adalah dengan seorang anggota
tentera berpangkat Kolonel dari Amerika Syarikat yang bernama Kolonel Francis
Parker Tompkins pada 22 Mach 1946. 
Menerusi perkahwinan pertama, Leonora mendapat gelaran “Countess” yang
menyebabkan beliau dikelilingi dengan protokol golongan aristokrat Inggeris dan
seringkali digambarkan Leonora masih bermegah bahawa beliau adalah dari puteri
pemerintah Sarawak. Untuk perkahwinan kedua, Leonora lebih memilih untuk
menjadi seorang yang biasa-biasa sahaja dan tidak mahu dikaitkan langsung
dengan keluarga Brooke.  Difahamkan
beliau hanya mahu dipanggil dengan Puan Tompkins.

  •  Dayang Elizabeth Brooke

Puteri
kedua kepada Sir CV Brooke dinamakan Elizabeth dan seperti Leonora turut
dimanjakan dengan segala kemewahan yang ada. 
Minatnya lebih kepada dunia nyanyian sehingga bertemu jodoh dengan
seorang ketua kugiran yang bernama Harry Boy pada tanggal 6 Ogos 1935.  Pada tahun 1947, dengan alasan tidak tertahan
dengan sikap panas baran Harry Boy, Elizabeth sendiri memohon perkahwinan
mereka dibatalkan. 

Menurut
khabar angin mengatakan bahawa Elizabeth dengan sengaja menjadikan alasan sikap
buruk suaminya Harry Boy sebagai punca penceraian mereka sedangkan hakikatnya
ada cerita di luar pentas nyanyian yang tidak diketahui ramai.  Difahamkan Elizabeth sedang asyik bercinta
dengan Richards Vidmer, seorang pemuda yang amat terkenal di dalam golongan
aristokrat di Amerika Syarikat.  Mereka
berkahwin pada tahun 1947 dan kemudian bercerai tidak lama kemudian.  Mungkin masih menyayangi antara satu sama
lain, mereka berkahwin buat kali kedua tidak lama kemudian.

Di
dalam dunia seni di luar negara menyatakan perkahwinan kedua kali Elizabeth
bersama-sama Richards Vidmer adalah semata-mata untuk memastikan bahawa karier
nyanyian dan lakonannya terus berkembang kerana pengaruh yang ada pada Vidmer
di dalam dunia lakonan.  

  • Dayang
    Nancy Valerie Brooke

Anak
bongsu seringkali didodoikan sebagai seorang yang manja dan degil maka
begitulah cerita yang mewarnai penghidupan Nancy.  Malah dari pandangan umum menyatakan bahawa
Nancy merupakan anak Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia yang paling gila
dan liar.  Sentiasa tampil bergaya dan
mewah tambahan beliau yang tercantik di dalam puteri Sir CV Brooke menjadikan
beliau dambaan lelaki di Eropah pada masa itu. Beliau lebih gemar memperkenalkan
dirinya sebagai Valerie iaitu nama keduanya. 

Atas
kegilaannya itu beliau berkahwin buat pertama kali dengan Robert Gregory
seorang ahli gusti kelahiran Amerika pada 22 November 1937.  Semasa berkahwin dengan Gregory inilah, Nancy
membuat perakuan kepada media bahawasanya mereka akan membeli sebuah pulau yang
dinamakan “Babaland”.  Di pulau ini nanti
akan setiap lelaki adalah raja dan amalan demokrasi akan dilaksanakan.  Namun sehingga sekarang tidak diketahui apakah
benar wujud sebuah pulau yang diimpikan oleh Nancy itu. 

Lima
tahun kemudian iaitu pada tahun 1943, Nancy bercerai dengan Gregory. Dan  selang sebulan selepas itu, beliau berkahwin
pula dengan Basilio Antonio Cabarro Tornero pada tanggal 13 Mei 1943.  Basilio adalah seorang ahli perniagaan
berbangsa Sepanyol yang mempunyai banyak ladang-ladang ternak yang
besar-besar.    Biar hidup di dalam serba
kemewahan ianya masih belum boleh menentukan kebahagian Nancy dan mereka
berpisah pada tahun 1947 setelah berkahwin hampir 4 tahun. 

Pada
tahun 1948, Nancy berkahwin dengan Andrew Aitken Macnair yang berbangsa
Scottish.  Satu lagi alam rumahtangga
yang akhirnya tidak kesampaian untuk Nancy yang mana menyaksikan perkahwinan
ketiganya turut terputus di tengah jalan.   
Mungkin kecewa akhirnya perkahwinan kali keempat Nancy hanya memilih
seorang pemuda yang tidak diketahui sesiapa bernama Memery Wyatt. 

Begitulah
ceritanya mengenai tiga “dayang” kesayangan Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee
Sylvia Brett yakni tuan rajah yang ketiga dan terakhir di Sarawak.  Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua,
hirarki pemerintahan Brooke selama 100 tahun berakhir di Sarawak dan seterusnya
Sarawak menjadi tanah jajahan yang dikenali dengan nama Koloni Mahkota Sarawak
British. 

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

RUJUKAN:

  1. The Girl Who Would Be Queen. https://www.telegraph.co.uk/culture/3665583/The-girl-who-would-be-queen.html
  2. http://www.thepeerage.com/p24156.htm
  3. https://www.royalark.net/Malaysia/sarawak5.htm
  4. Borneo
    Oracle – Sir Charles Vyner Brooke, Tuan Rajah Ketiga Sarawak
  5. Borneo
    Oracle – Ranee Sylvia Brett Brooke

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet