ANDAI kita merujuk kepada kamus bahasa Malaysia standard, “dayang” itu merujuk kepada si gadis perawan atau nama timang-timangan bagi anak-anak perempuan atau gadis-gadis pelayan di istana. Di Sarawak dan Brunei misalnya bukanlah kesemua gadis atau wanita boleh menggunakan gelaran nama sebegitu rupa kerana ia adalah salah satu marga nama keluarga di dalam komuniti Melayu Sarawak mahupun Brunei. Misalnya untuk Melayu Sarawak, pangkal nama “Dayang” itu diwarisi sekiranya disebelah ayahnya adalah mempunyai marga nama keluarga “Awang”, “Abang” dan “Pengiran”.
Dan sudah pasti bila berbicara dari aspek dinasti Keluarga Brooke yang pernah memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun, mungkin agak pelik jika seseorang berbangsa Inggeris menggunakan nama “Dayang” yang merujuk kepada keluarga aristokrat Melayu Sarawak untuk anak-anak perempuan mereka. Sebenarnya untuk setiap dinasti Brooke di Sarawak, mana-mana anak perempuan yang lahir dari Tuan Rajah dan Ranee (isteri) diberikan nama “dayang” bagi menunjukkan “pangkat” mereka di dalam hirarki pemerintah di Sarawak. Ini kerana difahamkan penggunaan nama ini adalah untuk memastikan bahawa keluarga Brooke dikenali sebagai keluarga kelas atasan di dalam hirarki masyarakat Sarawak yakni keluarga Melayu Perabangan Sarawak.
Di dalam hirarki keluarga Brooke hanya terdapat empat wanita yang mempunyai perkaitan secara terus dengan tuan rajah Sarawak yakni Dayang Ghita Brooke, anak kepada Sir Charles Brooke yang lahir pada tahun 1870 dan kemudiannya meninggal dunia ketika di dalam perjalanan pulang ke England pada tahun 1873. Dan tiga lagi anak perempuan adalah puteri-puteri kepada Sir Charles Vyner Brooke yang dikenali dengan nama Dayang Leonora Margaret Brooke, Dayang Elizabeth Brooke dan Dayang Nancy Valerie Brooke.
Dan dek kerana Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia hanya mempunyai tiga orang puteri maka kerana itulah hirarki untuk menjadi tuan rajah yang seterusnya diberikan kepada Tuan Muda Anthony Darryle Brooke yakni adik kepada Sir Charles Vyner Brooke itu sendiri. Tidak seperti Sir CV Brooke yang mewarisi takhta daripada ayahnya Sir Charles Brooke kerana di dalam keluarganya mempunyai beberapa orang anak lelaki.
Undang-undang tubuh Sarawak di zaman Brooke telah menetapkan bahawa hanya anak lelaki sahaja yang boleh diangkat sebagai pemerintah Sarawak pada masa itu. Dalam pada itu ada cerita di istana Sarawak yang mana pernah ada usaha oleh Ranee Sylvia untuk cuba menukar undang-undang tubuh tersebut yakni mengangkat anak perempuan sebagai pewaris pemerintah Sarawak namun ianya langsung tidak dipersetujui oleh Council Negeri Sarawak suatu waktu dahulu.
Berbicara dari aspek itu mungkin ahli-ahli Council Negeri Sarawak bukanlah sengaja untuk tidak mahu menukar perlembagaan Sarawak kerana segalanya dilakukan bersebab. Ini memandangkan jika diamati sesiapa yang mampu diangkat menjadi pemerintah Sarawak walau berdarah Brooke sekalipun seharusnya adalah seseorang yang benar-benar mampu menjalankan tugasnya. Namun perwatakan ketiga-tiga “dayang” kesayangan Sir Charles Brooke pula digambarkan sebagai puteri-puteri dari golongan berada yang hidup di dalam penuh kebebasan, bersosial dan berperangai pelik.
- Dayang Leonora Margaret Brooke
Merupakan anak sulung kepada Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia Brooke. Dinamakan Leonora berdasarkan kepada nama asal ibunya yakni Sylvia Leonora Brett. Dikatakan sewaktu berita kelahirannya diumumkan di Sarawak sebanyak tujuh das tembakan meriam dilakukan oleh Sarawak Rangers pada masa itu di Astana Sarawak. Banyak masanya dihabiskan di luar Sarawak dan digambarkan sebagai seorang yang suka bersosial dan menghadiri parti-parti mewah anjuran golongan aristokrat Eropah.
Perkahwinan pertama kalinya adalah dengan Kenneth Mackay, 2nd Earl of Inchcape iaitu puteri kepada 1st Earl of Inchcape James Lyle Mackay pada 1 Jun 1933. Majlis perkahwinannya dikatakan adalah satu majlis perkahwinan yang mewah malah turut mendapat hebahan di England. Namun walau semewah mana perkahwinan tersebut masih tidak dapat menyelamatkan perkahwinan beliau yang akhirnya mereka bercerai setelah hidup bersama selama beberapa tahun.
Solo untuk seketika sahaja dan perkahwinan kedua adalah dengan seorang anggota tentera berpangkat Kolonel dari Amerika Syarikat yang bernama Kolonel Francis Parker Tompkins pada 22 Mach 1946. Menerusi perkahwinan pertama, Leonora mendapat gelaran “Countess” yang menyebabkan beliau dikelilingi dengan protokol golongan aristokrat Inggeris dan seringkali digambarkan Leonora masih bermegah bahawa beliau adalah dari puteri pemerintah Sarawak. Untuk perkahwinan kedua, Leonora lebih memilih untuk menjadi seorang yang biasa-biasa sahaja dan tidak mahu dikaitkan langsung dengan keluarga Brooke. Difahamkan beliau hanya mahu dipanggil dengan Puan Tompkins.
- Dayang Elizabeth Brooke
Puteri kedua kepada Sir CV Brooke dinamakan Elizabeth dan seperti Leonora turut dimanjakan dengan segala kemewahan yang ada. Minatnya lebih kepada dunia nyanyian sehingga bertemu jodoh dengan seorang ketua kugiran yang bernama Harry Boy pada tanggal 6 Ogos 1935. Pada tahun 1947, dengan alasan tidak tertahan dengan sikap panas baran Harry Boy, Elizabeth sendiri memohon perkahwinan mereka dibatalkan.
Menurut khabar angin mengatakan bahawa Elizabeth dengan sengaja menjadikan alasan sikap buruk suaminya Harry Boy sebagai punca penceraian mereka sedangkan hakikatnya ada cerita di luar pentas nyanyian yang tidak diketahui ramai. Difahamkan Elizabeth sedang asyik bercinta dengan Richards Vidmer, seorang pemuda yang amat terkenal di dalam golongan aristokrat di Amerika Syarikat. Mereka berkahwin pada tahun 1947 dan kemudian bercerai tidak lama kemudian. Mungkin masih menyayangi antara satu sama lain, mereka berkahwin buat kali kedua tidak lama kemudian.
Di dalam dunia seni di luar negara menyatakan perkahwinan kedua kali Elizabeth bersama-sama Richards Vidmer adalah semata-mata untuk memastikan bahawa karier nyanyian dan lakonannya terus berkembang kerana pengaruh yang ada pada Vidmer di dalam dunia lakonan.
- Dayang Nancy Valerie Brooke
Anak bongsu seringkali didodoikan sebagai seorang yang manja dan degil maka begitulah cerita yang mewarnai penghidupan Nancy. Malah dari pandangan umum menyatakan bahawa Nancy merupakan anak Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia yang paling gila dan liar. Sentiasa tampil bergaya dan mewah tambahan beliau yang tercantik di dalam puteri Sir CV Brooke menjadikan beliau dambaan lelaki di Eropah pada masa itu. Beliau lebih gemar memperkenalkan dirinya sebagai Valerie iaitu nama keduanya.
Atas kegilaannya itu beliau berkahwin buat pertama kali dengan Robert Gregory seorang ahli gusti kelahiran Amerika pada 22 November 1937. Semasa berkahwin dengan Gregory inilah, Nancy membuat perakuan kepada media bahawasanya mereka akan membeli sebuah pulau yang dinamakan “Babaland”. Di pulau ini nanti akan setiap lelaki adalah raja dan amalan demokrasi akan dilaksanakan. Namun sehingga sekarang tidak diketahui apakah benar wujud sebuah pulau yang diimpikan oleh Nancy itu.
Lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1943, Nancy bercerai dengan Gregory. Dan selang sebulan selepas itu, beliau berkahwin pula dengan Basilio Antonio Cabarro Tornero pada tanggal 13 Mei 1943. Basilio adalah seorang ahli perniagaan berbangsa Sepanyol yang mempunyai banyak ladang-ladang ternak yang besar-besar. Biar hidup di dalam serba kemewahan ianya masih belum boleh menentukan kebahagian Nancy dan mereka berpisah pada tahun 1947 setelah berkahwin hampir 4 tahun.
Pada tahun 1948, Nancy berkahwin dengan Andrew Aitken Macnair yang berbangsa Scottish. Satu lagi alam rumahtangga yang akhirnya tidak kesampaian untuk Nancy yang mana menyaksikan perkahwinan ketiganya turut terputus di tengah jalan. Mungkin kecewa akhirnya perkahwinan kali keempat Nancy hanya memilih seorang pemuda yang tidak diketahui sesiapa bernama Memery Wyatt.
Begitulah ceritanya mengenai tiga “dayang” kesayangan Sir Charles Vyner Brooke dan Ranee Sylvia Brett yakni tuan rajah yang ketiga dan terakhir di Sarawak. Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, hirarki pemerintahan Brooke selama 100 tahun berakhir di Sarawak dan seterusnya Sarawak menjadi tanah jajahan yang dikenali dengan nama Koloni Mahkota Sarawak British.
-HB-
#kameksayangSarawakbah!
RUJUKAN:
- The Girl Who Would Be Queen. https://www.telegraph.co.uk/culture/3665583/The-girl-who-would-be-queen.html
- http://www.thepeerage.com/p24156.htm
- https://www.royalark.net/Malaysia/sarawak5.htm
- Borneo Oracle – Sir Charles Vyner Brooke, Tuan Rajah Ketiga Sarawak
- Borneo Oracle – Ranee Sylvia Brett Brooke
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih