Saya yakin sekiranya ditanya pendapat rakan-rakan berkenaan filem The Magnificent Seven arahan Antoine Fuqua, pasti ada yang mengatakan ia satu lagi cubaan Hollywood menghasilkan semula versi mereka bagi filem Seven Samurai arahan pengarah legenda, Akira Kurosawa. Namun jika dilihat lebih dekat, filem ini sebenarnya dilihat versi Barat paling hampir kepada Seven Samurai. Mengapa saya berpandangan sedemikian? Ini kerana tema dalam kedua-dua filem ini hampir sama dan ada di antaranya masih relevan dalam dunia kita ketika ini.

  1. TIRANI

Kezaliman dan tirani bukanlah satu perkara baru dalam kehidupan manusia kerana ia sudah wujud sejak sekian lama. Dan antara bentuk kezaliman yang kita biasa lihat atau dengar ialah tindakan satu pihak tertentu merampas atau menafikan hak kelompok yang ditindas atas alasan-alasan tertentu. Sekiranya ada yang cuba menentang,  bersiap sedialah menerima padahnya sama ada ditahan atau dihukum dengan hukuman yang bersifat sadis. Maka dari situlah akan wujud penentangan dari kelompok yang tertindas. Ini kerana kelompok sebegini pasti mahukan hak mereka dikembalikan dan kelompok penindas ini dihalau keluar. Dan ada yang terdesak sehingga ke tahap sanggup berkolaborasi dengan pihak asing semata-mata untuk merdeka. Ini banyak dinyatakan berdasarkan rekod sejarah seperti kisah Thomas Edward Lawrence (T.E Lawrence) yang dihantar pihak Britain untuk membantu negeri-negeri Arab yang mahu merdeka dari empayar Turki Uthmaniyyah.

Dan tema ini muncul dalam Magnificent Seven dan Seven Samurai. Kedua-duanya menyaksikan penduduk petani yang miskin dinafikan hak mereka. Dalam Seven Samurai, penduduk kampung sentiasa merasa ketakutan kerana kumpulan penyamun yang menyerang kampung mereka bukan saja merampas hasil tanaman tetapi juga menculik wanita dari kampung tersebut untuk dijadikan gundik. Sementara dalam filem Magnificent Seven pula, antagonis utama Bartholomew Bogue (Peter Sarsgard) mengawal pekan Rose Creek dan memaksa sebahagian populasinya menjadi buruh paksa di lombong emasnya. Sesiapa yang menentang akan dibunuh termasuklah suami kepada Emma Cullen (Haley Bennett), Matthew Cullen (Matt Bomer). Kekejaman yang ditampilkan antagonis dalam kedua-dua filem ini mendorong mereka mencari sesiapa yang dapat mengembalikan semula keamanan kampung/pekan mereka dan menghapuskan antagonis yang menjadi duri dalam daging kepada mereka.

  1. MARUAH & KEHORMATAN

Maruah dan kehormatan dilihat sinonim dalam kedua-dua filem ini. Namun dalam konteks dunia hari ini, ianya dilihat semakin dilupakan dengan nilai individualisme dan materialisme dilihat menjadi nilai utama dunia hari ini. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tetapi ini satu hakikat yang melanda dunia kita hari ini. Sikap sesetengah daripada kita yang bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing jelas kelihatan. Tak percaya, tanyalah diri sendiri beberapa soalan ini:

  1. a) Pernah tak kita letak kenderaan sampai halang kenderaan orang lain?
  2. b) Pernah tak kita buang sampah merata-rata?
  3. c) Pernah tak kita pam tandas selepas selesai gunakan terutama dalam tandas awam?
  4. d) Pernah tak kita berkira berkenaan soal derma atau sumbangan amal?
  5. e) Pernah tak kita beri tempat pada orang yang lebih memerlukan dalam kenderaan awam?

Benda-benda sebegini nampak remeh pada mata kasar tetapi hakikatnya ia salah satu daripada butiran-butiran yang mencerminkan keperibadian kita. Saya pasti ramai mengatakan benda ini senang atau kacang tetapi bila diminta melakukannya, pasti ada yang teragak-agak untuk melakukannya. Tidak salah memelihara soal diri terlebih dahulu tetapi ada ketikanya, apa salahnya korbankan kepentingan diri sendiri demi menjadikan sesuatu suasana atau tempat menjadi bertambah baik. Dan itu menjadikan orang-orang sebegini sebagai terhormat dan mulia dari segi keperibadian mereka.

Motif ini dilihat amat kuat dalam The Magnificent Seven dan Seven Samurai. Dalam filem Seven Samurai, pada mulanya kumpulan samurai yang diketuai Kambei Shimada (Takashi Shimura) bertarung agar mereka diberi makan oleh penduduk kampung. Namun pada akhirnya, mereka bertarung untuk mengembalikan semula maruah mereka sebagai samurai dan keamanan kampung tersebut terutama selepas mengetahui kisah penduduk kampung ditindas kelompok samurai tidak lama dahulu. Selepas pertempuran berakhir dan keamanan kampung tersebut berjaya dikembalikan, Kambei merasakan mereka berjaya menebus maruah mereka sebagai samurai dan orang sebenar yang berjaya ialah penduduk kampung. Baginya, beliau dan rakan-rakan seperjuangan hanyalah alat untuk membantu mereka keluar dari penindasan kumpulan penyamun yang sering menyerang kampung tersebut.

Dalam The Magnificent Seven pula, upah yang diberi kepada semua koboi di bawah pimpinan Sam Chisolm (Denzel Washington) dilihat tidak seberapa pun. Namun, selepas mereka menghabiskan masa dengan penduduk pekan dan melihat apa sebenarnya yang diperjuangkan mereka, mereka memutuskan untuk kekal dan bertarung sehingga ke akhirnya. Ada di antara mereka mengorbankan diri masing-masing semata-mata untuk membantu penduduk kampung melarikan diri atau menghapuskan ancaman kepada pekan tersebut. Contohnya, Joshua Faraday (Chris Pratt), watak yang diinspirasikan dari watak Vin Tanner (Steve McQueen) dari filem asal Magnificent Seven (1960), meletupkan dirinya dengan dinamit bagi menghapuskan ancaman mesingan yang dibawa kumpulan Bogue.

  1. DENDAM & KEADILAN

Jika saya bertanya apa beza dendam dan keadilan, pasti ada sesetengah mengatakan ianya sama saja. Namun ada beza bagi kedua-duanya. Adil di sini ialah meletakkan sesuatu kembali pada tempat yang betul atau mengembalikan hak kepada yang berhak. Sementara dendam pula lebih menjurus kepada soal mendapat kepuasan diri sendiri tanpa mengira sama ada hak yang diperjuangkan sudah dikembalikan atau siapa yang terluka akibat tindakan tersebut. Selalunya, tindakan yang bersifat dendam ini bukan saja membawa kepada kemusnahan diri sendiri tetapi juga kemusnahan pada orang lain.

Tak percaya, mari kita singkap kisah rejim Nazi Jerman pada tahun-tahun Perang Dunia Kedua (WWII). Rejim di bawah pimpinan Adolf Hitler ini mengambil kesempatan daripada kemarahan rakyat Jerman yang masih dihantui kekalahan Perang Dunia Pertama (WWI) dan sentimen ini dipergunakan sepenuhnya untuk menjayakan agenda dendam mereka terhadap kuasa-kuasa Eropah pada tahun-tahun awal WWII. Tetapi bila perang sudah tidak menyebelahi mereka lagi, maka Jerman dan rakyatnya yang tidak berdosa menjadi mangsa dan kehilangan segala-galanya pada akhir perang tersebut.

Dan ini satu elemen yang kelihatan dalam The Magnificent Seven. Apabila Chisolm ditawarkan tugas ini oleh Emma Cullen, pada mulanya beliau menolak. Namun selepas mendapat tahu pembabitan Bogue di Rose Creek, barulah Chisolm bersetuju dengan tawaran Cullen. Dan ini mengundang persoalan oleh rakannya yang juga bekas veteran Konfederasi dalam Perang Saudara Amerika, Goodnight Robicheaux (Ethan Hawke). Robicheaux tertanya-tanya apakah Chisolm benar-benar mahu membantu penduduk Rose Creek atau mahu melunaskan dendam terhadap Bogue. Telahan Robicheaux benar apabila Chisolm mencekik Bogue dalam gereja selepas semua tentera upahannya dibunuh Magnificent Seven. Tatkala itulah beliau mendedahkan kisah sebenar: ibu dan adik perempuannya dibunuh sementara Chisolm digantung di ladang keluarganya di Kansas oleh orang-orang Bogue. Tujuan mereka berbuat demikian ialah untuk menghalau keluar pemilik-pemilik ladang dari tanah mereka bagi membolehkan Bogue merampas tanah tersebut. Tatkala beliau mencekik Bogue sambil menyuruhnya bertaubat, Bogue hampir-hampir membunuh Chisolm kalau tidak kerana tembakan Emma ke atas Bogue. Dan itu menyedarkan Chisolm bahawa sikapnya itu hampir memakan diri sendiri.

Begitu juga dalam Seven Samurai. Walaupun Kambei mengalami kehilangan rakan-rakan seperjuangannya dalam mempertahankan kampung tersebut, beliau tidak semberono menyerang balas kedudukan penyamun yang menyerang. Sebaliknya, beliau bersama samurai-samurai yang masih hidup mengumpan mereka masuk ke kampung dan membunuh kesemuanya. Jika kita dalam kedudukan Kambei, pasti keinginan membalas dendam itu ada lebih-lebih lagi bila melihat rakan-rakan seperjuangan mati di tangan musuh. Namun, beliau mendahulukan kepentingan orang kampung melebihi keinginan tersebut kerana sedar jika tersalah langkah, ramai lagi penduduk tidak berdosa mati dibunuh. Atas sebab itulah kenapa Kambei berang dengan Kikuchiyo (Toshiro Mifune) kerana meninggalkan pos kawalannya demi mendapatkan tanegashima atau terakol (matchlock pistol) sehingga mengakibatkan beberapa penduduk kampung mati. Bagi Kambei, matlamat utama di sini ialah membunuh kumpulan penyamun dan menjaga keselamatan kampung, bukan terikut-ikut perasaan. Kikuchiyo yang sedar akan kesilapannya kemudian menebus kesalahannya dengan membunuh ketua kumpulan penyamun tersebut yang membawa kepada kematiannya. Baginya, kematiannya itu berbaloi kerana beliau berjaya menamatkan riwayat kumpulan kejam yang bermaharajalela di kampung tersebut selama ini. Ini sekaligus membawa kepada keamanan yang dirindui penduduk selama ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply