Awan mendung berkepul-kepul, mengekang sinar terang mentari petang. Di kawasan terbiar yang dilingkungi kesuraman, terjadilah perang antara dua kerajaan singa.
Singa-singa betina dari tanah kerajaan mengaum; begitu jugalah singa-singa betina dari tanah larangan. Singa betina dari tanah larangan itu puak yang terusir dari oleh Simba, raja singa yang mentadbir The Pride Lands kerana kesalahan Scar, adik Mendiang Raja Mufasa. Kemudian, kedua-dua pihak berjalan ke arah masing-masing tanpa keragu-raguan lagi. Perang ini mesti dicetuskan demi kemenangan mutlak; demi melangsaikan dendam hayat lepas. Kemenangan mesti ditentukan pada hari ini supaya puak terusir itu memperoleh gemala maruahnya kembali untuk membuktikan bahawa mereka bukan puak yang dihina zaman-berzaman dan dihukum dengan pengusiran oleh Simba. Siapakah Simba untuk mengusir kami? Kami juga bangsa singa!
Zira, ketua puak yang terusir dari tanah kerajaan mesti membalas dendam untuk mendiang suaminya, Scar manakala Simba pula mesti mempertahankan tanah kerajaannya supaya The Pride Lands tidak dijajah oleh puak gelap Zira. Apabila Zira menganjurkan langkah ke arah perang, Simba turut.
Langkah mereka semakin pantas malah bertukar kepada langkah berlari. Apabila sampai di muka masing-masing, puak kerajaan dan puak terusir saling mencakar. Muka mereka tercalar; tekuk mereka ditolak, dicakar dan ditekan. Aum kesakitan, aum yang membara dengan dendam, aum yang padat dengan keperkasaan telah bergema dalam penentuan yang megah ini.
Tiba-tiba, majulah Kiara, puteri Simba dan Kovu, anak lelaki Zira dan Mendiang Scar ke tanah perang. Kiara menghalang ayahnya, Simba manakala Kovu menghalang ibunya, Zira. Mereka hendak memperhentikan perang yang melibatkan kesalahan hayat lepas.
“Ayah, seorang raja yang mulia pernah memberi tahu saya. Kita kesatuan. Lihatlah mereka (singa-singa betina puak terusir). Adakah mereka berbeda daripada kita?” Kiara berkata kepada ayahnya, Simba.
Simba seakan-akan tersentak daripada perkataan puterinya. Baginda meneliti muka demi muka singa betina yang bercelak matanya. Singa-singa betina dari tanah larangan itu turut kaget, merenung wajah mulia raja mereka. Wajah bengis mereka melembut; bertukar kepada kekagetan lalu kepada keinsafan, seolah-olah baru sedar daripada mimpi ngeri yang panjang; seolah-olahlah kegelapan baru disuluhi keterangan.
Simba mengenang bahawa bahawa baginda pernah memimpin puterinya, Kiara meneliti beda antara zirafah, badak, monyet, rumput, bukit, matahari dan seluruh alam ini. “Alam ini kesatuan,” demikianlah yang diberitahukan Simba kepada Kiara. Sementara tersergam megah di hujung tunggul ranting, Simba meninjau alam kebesaran Allah sambil bernyanyi: “Inilah maruah kita yang mesti kita pertahankan. Kita kesatuan.”
Adakah dendam hayat lepas harus dilepaskan? Adakah Simba dapat melupai kejahatan pak cik saudaranya, Scar dan adakah Zira dapat melupai dendam terhadap Simba yang telah membunuh Scar?
Dulu, semasa Mufasa kerajaan, adik Mufasa, Scar memang menyimpan cita-cita besar ingin meragut kerajaan Mufasa. Scar berasa terancam akan kelahiran Simba yang telah menghalang peluangnya menjadi raja seterusnya setelah Mufasa mangkat. Simbalah bakal raja. Oleh tidak tahan akan nasibnya yang tidak adil, Scar merancang pengubahan nasib dengan kudrat sendiri.
Scar membawa anak saudaranya, Simba yang masih kecil ke sebuah tanah pasir lapang dan menyuruh Simba menunggunya di tempat asal. Dimaklumkan oleh Scar bahawa Mufasa hendak memberikan kejutan kepada puteranya. Selepas itu, Scar pun hilang daripada pelihatan. Namun demikian, yang melanda pelihatan Simba hanya bencana sekawan seladang yang sedang mara laju.
Tanah pasir itu gempar. Batu-batu kecil menari gelisah. Hentakan beribu-ribu ekor seladang yang mara mengisyaratkan kedatangan maut yang dahsyat. Simba yang tercengang-cengang pada mulanya segera berlari sepantas-pantasnya untuk mengelakkan diri dipijak mati oleh seladang-seladang itu. Mufasa diberitahu oleh Zazu, burung utus baginda bahawa puteranya berada di tengah maut. Mufasa pun bergegas ke tempat kejadian. Apabila mendapati bahawa puteranya menggigil dalam ketakutan di tengah rempuhan seladang, Mufasa segera melompat dalam kelompok seladang yang ganas memijak tanah itu. Sebenarnya, seladang-seladang itu sedang lari daripada pengejaran dubuk. Dubuk-dubuk itu tentera Scar. Scar memerintah dubuk-dubuk itu mengejar seladang untuk mencetuskan kegemparan ini.
Akhirnya, Mufasa dapat menghembuskan nafas lega apabila berjaya membawa puteranya, Simba ke atas sebuah tebing bukit yang selamat. Namun begitu, badannya yang berpaut pada lereng bukit tidak dapat menetapkan diri. Tergelincirlah Mufasa semakin ke bawah bukit. Di bawah, terpampanglah dunia sekumpulan seladang yang mengamuk di atas muka bumi.
Scar tersenyum licik di atas bukit, meninjau abangnya yang nyawanya di hujung tanduk. “Scar, adikku, tolong!” Mufasa meminta pertolongan. Itulah kali pertama bahawa Scar menyaksikan betapa tidak bermayanya seekor raja singa apabila baginda berada di ambang maut. Itulah kali pertama bahawa Scar menyaksikan pandangan abangnya yang begitu sayu mendahagai bantuan. Bukankah abangnya memandang hinanya, tidak memerlukan pertolongannya untuk memerintah The Pride Lands, tanah singa itu? Sekarang?
Scar mencengkam tangan Mufasa. Raja besar itu mengaum kerana sakit. Sambil menyelamkan pandangan bengisnya ke dalam pandangan sayu Mufasa, Scar melaungkan: “Dirgahayu…rajaku!” Cengkamannya terhadap Mufasa dilepaskan. Mufasa jatuh dalam gelombang seladang dengan laungan yang semakin susut. Tulangnya patah dipijak-pijak seladang yang tidak pernah berhenti berlari.
Scar berjaya juga menjadi raja. Menjadi lapanglah dada Scar yang sempit oleh himpitan tekanan yang dibawa oleh Mufasa. Sejak kerajaan Scar, bermulalah era pendudukan dubuk yang diharamkan pendudukannya oleh Mufasa. Semenjak dubuk dibenarkan menetap di The Pride Lands, langit tidak pernah ditembusi barang cahaya. Tanah semakin tandus; makanan semakin berkurangan, diragut sebanyak-banyaknya oleh dubuk dan singa-singa betina semakin kurus dan lemah. Yang berselerak hanya tulang-temulang.
Setelah bertahun-tahun membesar dengan Pumbaa dan Timon, Simba kembali ke tanah yang menyimpan nostalgia yang melarakannya itu lalu menentang Scar, menolak Scar ke dalam laut lahar yang menggelegak lapar. Pemandangan itu seperti pemandangan pembunuhan Scar terhadap ayahnya, Mufasa…
Sesudah Simba membunuh Scar, baginda mengusir keluarga dan bawahan-bawahan Scar, iaitu singa-singa betina Scar dan dubuk-dubuk dari The Pride Lands, tanah pemerintahannya ke sebuah tanah terbiar yang tidak dicecah sinar mentari. Tanah itu diwartakan sebagai tanah larangan yang tidak boleh dijejak tanpa arahan Simba. Sejak hari itu, terbahagilah dua puak singa: singa baik di tanah terang dan singa terusir di tanah gelap…
“Ayah, cuba lihatlah mereka. Adakah mereka berbeda daripada kita?” terngiang-ngiang kembali perkataan Kiara di tepi telinga Simba.
Singa-singa betina yang bercelak pada mata dari tanah larangan itu tersentak. Celak yang menjahatkan rupanya mereka itu telah menjadi tidak begitu garang apabila muka mereka yang tegang oleh kebencian itu mengendur. Singa-singa betina daripada puak Simba turut terpinga-pinga. Mereka seakan-akan baru sedar daripada mimpi berdarah yang panjang; bangun daripada malam pekat yang berlarutan.
“Apa? Kenapakah kalian masih tercegat di sini? Serang!” Zira memerintah mereka dengan hati yang sudah diracuni teruk oleh dendam hayat lepas. Dia bermula syak bahawa tentera-tenteranya sudah bermula goyah pendiriannya!
“Zira, perkataan mereka betul. Apakah beda antara kita? Kita satu bangsa singa. Berhenti berperanglah, Zira,” beransur-ansurlah singa-singa betina terusir itu membelakangi Zira, memasuki barisan Simba.
“Kenapa kalian…segerombolan pengkhianat tidak berguna!” Zira terlalu berang akan khianat singa-singanya. Aku bersendirian sekarang. Apakah nilai perpaduan? Cis…berhenti berperang? Simba telah mengusir bangsaku; kalian menyuruh aku berhenti berperang! Sejak pengusiran itu, makna perpaduan sudah lenyap—sudah dilenyapkan oleh raja singa, Simba yang bongkak dan tidak mengenang jasa itu! Sekarang, asalkan aku dapat membalas dendam untuk Scar, nyawaku rela kugadaikan!
Scar, aku mesti memulangkan ketinggian martabat abang! Abang sudah diludahi berkali-kali oleh Mufasa dan Sima semasa hidup; sekarang, sudah sampailah masa untuk isterimu ini menghapuskan Simba yang angkuh itu; memulangkan keadilan kepada abang!
Zira menerpa Simba. Dia sudah tidak peduli lagi. Namun begitu, Kiara menyekatnya, menerpa Zira sehingga Zira jauh terbaring ke atas tanah. Tanah yang curam menggulingkan kedua-dua ekor singa itu ke tebing sungai yang amat tinggi dan sangat curam. Di bawah tebing itu, bergoleklah kayu-kayu balak di sungai yang mampu mematahkan tulang seekor singa.
Zira sedang tergantung di tengah udara. Badannya berjuntaian, terhuyung-hayang. Nasibnya bagai telur di hujung tanduk. Zira berusaha mencakar dan mencengkam tanah curam, merebut peluang hidupnya yang terakhir. Kiara pula masih di atas tebing, risau akan keadaan Zira.
Matilah aku sekarang! Kiara yang berpura-pura baik itu tentu tidak akan menyelamatkan daku! Pemberontakan untuk abang tidak dapat Zira laksanakan! Aku mesti menyelamatkan diri; aku mesti! Aku belum merebut maruah bangsaku kembali!
“Hulurkan tangan, Zira! Zira!” Kiara berteriak kepadanya. Namun begitu, Zira menepis tangannya. Biar putih tulang, jangan putih mata! Zira masih ada maruah; tidak mengemis simpati musuh!
Malangnya, nasib tetap menghukum orang yang bersalah. Balas dihantar-Nya berpaksikan keadilan. Tangan Zira yang mencengkam lereng tebing semakin lemah dan longgar. Zira gugur ke dalam sungai dengan jerit hampa, hanyut bersama kayu-kayu balak yang bergolek. Keadaan ini seakan-akan menayangkan kejatuhan Mufasa ke bawah bukit semula.
Maka berakhirlah sejarah yang berdarah antara Mufasa dengan Scar yang telah berlarutan ke zaman Simba dan Zirah. Kovu hanya mampu mengeluh tentang nasib ibunya. Air matanya tidak bercucuran kerana Kovu terlalu letih mengenang kehidupannya dengan ibu yang berlumuran dengan dendam setiap hari. Kovu sudah letih mendukung kebencian. Kovu sudah letih menolak cahaya dan kebaikan semata-mata demi berpura-pura bengis dan jahat untuk menjalankan rancangan pemberontakan ibunya. Ia lebih rela kembali ke Pride Land, tanah asal yang diperintah oleh raja singa kerana menyedari bahawa dia sebangsa dengan Kiara dan Simba.
Benarlah lagu Love Will Find A Way. Kecintaan akan mencari penyelesai; kecintaan akan mencari arah yang betul. Kecintaan mampu mencairkan ketul dendam yang bernyala. Kecintaan mampu menghilangkan sempadan beda yang sengaja dilukis oleh dua orang yang bertentangan paham. Percintaan tulus antara Kovu dengan Kiara telah menamatkan perang antara puak singa kerajaan dengan puak singa Zira yang terusir dari The Pride Lands. Puak singa Simba dan puak singa Zira rela menyimpan taring untuk bersatu atas dasar kecintaan!
Kovu tidak perlu menjauhi Kiara lagi; tidak perlu terpaksa berkasar terhadap Kiara, mengusir Kiara sebelum kesetanan menguasai Kovu, memaksa Kovu menghapuskan Kiara. Akhirnya, percintaan Kovu dan Kiara dapat disiram dengan persaksian matahari pagi secara terang-terangan!
Dendam telah memaksa seseorang yang baik berlaku jahat. Dendam telah membunuh percintaan sejati yang tidak mengambil kira latar belakang! Kerana dendam, Kovu terpaksa mengeraskan kelembutan hatinya terhadap Kiara yang dicintainya kerana mengendong kebencian yang diamanahkan oleh Zira.
“Ayah, seorang raja yang mulia pernah memberi tahu saya. Kita kesatuan. Lihatlah mereka (singa-singa betina puak terusir). Adakah mereka berbeda daripada kita?”
Saya memang tersentuh oleh perkataan Kiara. Kita kesatuan daripada bapa dan ibu yang mula—Adam dan Eve. Adam dan Eve pula pasangan pertama yang dicipta oleh Allah. Kita hamba ciptaan yang bernaung bawah rahmat Allah/God/Shen(aksara Cina:神)—Tuhan yang satu! Meski kita berbeda warna kulit dan adat, kunang-kunang dalam hati kita tetap nekad memburu kedamaian dan kecintaan sesama manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana fitrah kita tidak memandang bangsa, agama, warna kulit dan negara tetapi permata peribadi yang berkilau di pusat hati manusia!
Benar, We Are One! Kita memang satu bangsa manusia yang bernaung bawah sinar cinta yang dikurniakan oleh-Nya. Lagu We Are One dalam The Lion King 2 sememangnya telah mengusik tangkai air mata yang sudah lama diam, memekarkan bunga harap, menyerapi sanubari, beransur-ansur membina tembok kebanggaan dalam sanubari—kebanggaan bahawa saya warganegara Malaysia yang hidup dalam kalangan berbilang bangsa dan setiap bangsa memunyai keistimewaan yang berpeluang saya teroka dan saya raih dengan hati yang cinta!
“Kita kesatuan,” Simba pernah berkata.
* Lagu-lagu berikut memang merdu dan mesti dihayati!
Love Will Find A Way-https://www.youtube.com/watch?v=5XhufW7-c_k&t=76s
We Are One-https://www.youtube.com/watch?v=glDGAo9SIqs
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih