“Setiap hari yang dilalui adalah cantik dan mempesonakan. Walaupun kamu mungkin sedang bergelut pada saat ini, namun setiap orang yang masih hidup berhak untuk menikmati setiap hari yang dilalui. Walaupun satu hari yang biasa diikuti dengan hari-hari biasa yang lain, hidup ini masih tetap bernilai. Jangan bazirkan hari ini dengan menyesali masa lalu, dan bimbang tentang masa depan. Hiduplah hari ini dengan penuh bermakna. Kamu berhak untuk menikmatinya..”
Tiada satu episod pun yang tidak mengundang hujan airmata. Mungkin itu adalah penjelasan tepat bagi menggambarkan emosi ketika menonton 12 episod siri drama Korea ini, yang ditayangkan di saluran JTBC pada sekitar Februari hingga Mac tahun lalu. Pendokong utama dalam siri ini ialah pelakon veteran hebat, Kim Hye-Ja serta Han Jimin yang kedua-duanya memegang watak sebagai Kim Hye-Ja. Siri drama ini mungkin tidak mempunyai episod yang panjang seperti kebiasaan drama Korea yang lain, namun pengisian kisah dalam setiap episod begitu padat dan cukup untuk membuatkan kita tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku seterusnya.
Kisah ini dimulakan dengan watak utamanya, iaitu Kim Hye-Ja (Han Jimin) melalui hari-hari biasa bersama abangnya, Kim Yeong Soo (Son Hojun) dan ibu bapanya di Pulau Ganghwa. Abang yang gemar mengusiknya dengan pelbagai perkara namun malas bekerja, bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi dan ibunya seorang pendandan rambut. Hye-Ja bercita-cita mahu menjadi seorang pembaca berita.
Suatu hari, ketika berjalan di pantai, Hye-Ja menemui seutas jam, yang telah lama dia cari-cari. Jam itu pernah ditemuinya ketika berusia lima tahun, dan jam itu boleh membawanya ke masa lalu apabila waktunya diputarkan ke belakang! Hye-Ja telah menggunakan jam itu untuk pelbagai kepentingannya sejak dari hari pertama dia menemuinya.
Tetapi, akibat terlalu kerap memutar waktu ke belakang (masa lalu), Hye-Ja menginjak dewasa terlalu cepat berbanding rakan-rakan yang lain. Disebabkan itu, dia akhirnya berhenti menggunakan jam tersebut dan membuangnya. Dan, apabila dewasa, Hye-Ja kembali menemui jam tersebut di pantai seperti mana dia menemuinya ketika kecil dahulu. Jam ini sebenarnya adalah kunci utama kepada kisah keseluruhan dalam drama ini. Jam yang membawa kepada kisah sebenar Kim Hye-Ja.
Dalam satu pertemuan alumni universiti, Hye-Ja berkenalan dengan Lee Joonha (Nam Joohyuk), seorang wartawan baru yang telah bekerja dengan sebuah saluran televisyen. Joonha telah menegurnya dan menasihatinya kerana menganggap Hye-Ja tidak begitu layak untuk menjadi seorang pembaca berita. Hye-Ja yang geram dan marah, bertemu lagi dengan Joonha selepas di kawasan rumahnya, kerana Joonha baru tinggal bersama neneknya di kawasan tersebut. Berlaku salah faham dan akhirnya Hye-Ja tahu akan niat sebenar Joonha menasihatinya.
Mereka bertemu lagi, dan Joonha menceritakan masalahnya kepada Hye-Ja, iaitu tentang ayahnya yang pemabuk, kaki pukul, kuat berhutang dan sering menyusahkan neneknya. Hye-Ja yang mabuk pada waktu itu menawarkan satu peluang kepada Joonha, iaitu peluang kembali ke masa lalu dengan jam yang ditemuinya. Namun ia tidak berhasil, dan Joonha membawanya pulang ke rumah.
Bapa Hye-Ja telah terlibat dalam kemalangan dan akhirnya meninggal dunia. Terlalu sedih dengan apa yang berlaku, Hye-Ja telah menggunakan jam itu untuk memutar waktu bagi menyelamatkan bapanya daripada kemalangan. Dia mencuba berkali-kali, sehinggalah akhirnya berjaya menghalang bapanya daripada kemalangan tersebut. Hye-Ja bangun pada suatu pagi dan mendapati bapanya telah tempang (sebenarnya kudung), dan dia sendiri telah menjadi tua!
Disebabkan dia berkali-kali memutar waktu, dan kesan yang dihadapinya adalah dewasa dengan cepat, maka Hye-Ja (Kim Hye-Ja) terpaksa menjadi tua sebelum usia. Di sinilah segalanya bermula. Hye-Ja mengharungi kehidupannya sebagai seorang gadis berusia 25 tahun, dalam badan seorang tua yang hampir berusia 80 tahun.
Joonha masih bergelut dengan kehidupannya dengan keadaan bapanya yang pemabuk sehingga membawa kepada suatu insiden sehingga menyebabkan neneknya meninggal dunia. Joonha yang tertekan, dan Hye-Ja juga semakin kusut memikirkan dirinya yang tidak mampu kembali muda seperti dahulu.
Pelbagai kisah berlaku, Hye-Ja cuba menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sebagai orang tua. Hye-Ja juga menyertai aktiviti harian di pusat komuniti khas bagi orang tua, di mana Joonha bekerja di situ selepas tidak lagi menjadi wartawan. Kepada Joonha, Hye-Ja memberitahu bahawa dia adalah nenek kepada Hye-Ja dan cuba untuk terus mendekati lelaki tersebut. Hye-Ja dikatakan berada di Jerman dan tidak akan pulang lagi. Dan Joonha semakin kecewa dengan semua yang berlaku. Joonha tidak mengenalinya lagi.
Persoalan bermula apabila seorang lelaki tua di pusat komuniti tersebut, memakai jam yang pernah ditemui oleh Hye-Ja. Malah, lelaki tua itu menunjukkan reaksi ketakutan setiap kali melihat Hye-Ja atau Joonha. Ini hanyalah permulaannya. Kisah ini terungkai pada episod 10, apabila Hye-Ja bersama sekumpulan orang tua menyelamatkan Joonha daripada dipukul dan dijadikan tebusan oleh ketuanya yang jahat, dan pergi ke pantai. Di sini kisah sebenar bagi drama ini bermula.
Kim Hye-Ja sebenarnya ialah isteri kepada Lee Joonha, iaitu seorang wartawan dan Hye-Ja telah kehilangan suaminya lebih 40 tahun yang lalu. Hye-Ja menghidapi alzheimer dan kesemua kisah mengenai dirinya yang muda menjadi tua serta pengalamannya berkenalan dengan Lee Joonha adalah serpihan setiap memorinya bersama suami dan anaknya.
Orang yang dipanggilnya bapa adalah anak lelakinya sendiri, ibu itu adalah menantunya, manakala abang itu merupakan cucu lelakinya. Hye-Ja mengutip setiap kepingan memori yang dimiliki mengenai suami kesayangannya dan mencipta sebuah kisah baru tentang dirinya yang berkenalan dengan Lee Joonha dan bagaimana dia telah menjadi tua meskipun Joonha masih lagi muda.
Setiap kisah baru yang diciptanya adalah perlambangan bagi serpihan kisah pilu hidupnya. Jam itu adalah hadiah Hye-Ja buat Joonha, yang dipakai oleh Joonha sehinggalah suaminya diheret ke penjara. Kisah kemalangan bapanya (yang sebenarnya adalah anaknya) adalah kisah anaknya yang menjadi kudung kerana kemalangan sewaktu kecil. Kisah Joonha dipukul juga adalah kisah suaminya yang dimasukkan ke penjara atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan dan diseksa dipenjara.
Hye-Ja mengalami simptom delirium akibat penyakit Alzheimer yang dialaminya, yang menyebabkan dirinya mengalami kekeliruan terhadap masa, tempat dan orang sekeliling. Malah dia juga mengalami halusinasi yang menjadikannya mencipta kembali memori lain hasil daripada cantuman memori yang dimilikinya.
Bagaimana pengakhiran kisah ini? Jujur, sebagai penonton, pada mulanya aku skeptikal kerana menyangkakan ia adalah sebuah kisah lain yang menggunakan tema pengembaraan masa (melalui jam) untuk kembali ke masa lalu. Sehinggalah plotnya berubah dan kisah sebenar dipaparkan.
Kisah ini adalah sebuah perjalanan memori seorang wanita tua, di hujung usianya. Hye-Ja kehilangan suaminya ketika masih muda dan terpaksa membesarkan anaknya dengan bekerja sebagai pendandan rambut. Daripada seorang wanita yang ceria, Hye-Ja berubah watak menjadi seorang ibu yang tegas dan hanya mementingkan pekerjaannya.
Dia dilihat seperti tidak peduli kepada anaknya, meskipun budak itu tempang akibat kemalangan sewaktu kecil. Sikapnya itu hanyalah kerana dia tidak ingin anaknya terlalu bergantung harap kepada dirinya, dan ingin anaknya berdikari. Dan disebabkan itulah, anak lelakinya sentiasa menyimpan rasa marah terhadap Hye-Ja.
Setiap babak pada awal episod drama ini sebenarnya adalah perlambangan rasa Hye-Ja terhadap kehidupan silamnya. Babak di mana Hye-Ja meminta maaf kepada ‘ayahnya’ (iaitu anaknya) apabila mengetahui bahawa lelaki tersebut kudung kakinya adalah Hye-Ja yang meminta maaf kepada anaknya kerana rasa tidak peduli selama anak itu membesar.
Kemalangan yang dialami oleh ‘ayahnya’ itu adalah memori kemalangan anaknya ketika kecil. Dan, babak di mana Hye-Ja bersama sekumpulan orang tua yang cuba menyelamatkan Joonha juga adalah perlambangan Hye-Ja yang terlalu ingin menyelamatkan Joonha ketika dia dipenjarakan lebih 40 tahun lalu.
Banyak momen serta babak yang membuatkan kita melihat kembali situasi berkenaan di dalam kehidupan kita. Aku paling suka pada babak imbasan memori Hye-Ja, iaitu ketika dia dan Joonha baru sahaja menerima kehadiran anak lelaki dalam kehidupan mereka.
Joonha tidak begitu peduli dan takut untuk bermesra dengan bayinya kerana katanya dia tidak pernah dipedulikan oleh ayahnya sendiri dan dia takut jika dia melakukan perkara yang sama untuk anaknya. Ia sangat mengesankan apabila Hye-Ja menyatakan bahawa itu juga adalah pengalaman kali pertamanya menjadi ibu, dan mereka harus melakukannya bersama sebagai sebuah keluarga
Hye-Ja mencipta memori baru kerana rasa rindu terhadap suami yang telah lama meninggalkannya. Dalam memorinya, Joonha sentiasa muda dan kerana itulah terdapat babak awal di mana Hye-Ja memberitahu Joonha bahawa dia telah menjadi tua walaupun Joonha masih lagi muda seperti pertama kali mereka bertemu. Pada Hye-Ja, masih terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi bersama suaminya, dan kerana itulah, bersama Alzheimer, dia mencipta kenangan baru hasil rasa yang disimpannya selama suaminya meninggal dunia.
Melodrama ini secara peribadinya wajar diletakkan sebaris bersama melodrama lagenda yang lain seperti I’m Sorry I Love You dan The Most Beautiful Goodbye. Ia bukanlah melodrama biasa mengenai kisah cinta, tetapi sebuah kisah mengenai perjalanan memori seorang wanita tua dalam mengenang kembali hidupnya dan melihat kembali bagaimana dia bertahan demi sebuah kehidupan.
Apa yang boleh dipelajari daripada kisah ini adalah untuk menghargai setiap memori yang dicipta setiap hari bersama orang tersayang. Mungkin hari-hari yang dianggap biasa itu adalah hari terakhir kita bersama mereka yang kita sayangi.
RUJUKAN
D’Onofrio, G., Panza, F., Sancarlo, D., Paris, F. F., Cascavilla, L., Mangiacotti, A., … Greco, A. (2016). Delusions in patients with Alzheimer’s disease: A multidimensional approach. Journal of Alzheimer’s Disease, 51(2), 427–437.
Fick, D. M., Kolanowski, A., Beattie, E., & McCrow, J. (2009). Delirium in early-stage Alzheimer’s disease. J Gerontol Nurs, 35(3), 1–14.
The Light In Your Eyes. http://asianwiki.com/The_Light_in_Your_Eyes
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih