Di dalam siri manga Naruto, tiga orang legenda Sannin iaitu Orochimaru, Jiraiya dan Tsunade dikenali di dunia ninja sebagai ninja yang paling terkuat yang menguasai pelbagai ninjutsu dan taijutsu lalu ianya menjadikan mereka sebagai sosok yang tangguh dalam pelbagai pertempuran. Kisah mereka ini bukan sahaja melegenda di dalam dunia ninja ciptaan Masashi Kishimoto, bahkan kisah mereka turut terkandung di dalam mitologi kebudayaan Jepun.

1. Orochimaru:

Nama lain adalah Yashagoro. Menjadi pemimpin klan Tsukikage (dalam versi Kabuki) dan musuh utama kepada Jiraiya dan Tsunade. Menguasai ilmu mistik mengubah diri menjadi seekor ular berbisa.

2. Jiraiya:

Nama lain adalah Ogata Hiroyuki. Pemimpin klan Ogata di daerah Kyushu. Suami kepada Tsunade dan abang kandung kepada Ayame. Menguasai ilmu mistik mengubah diri menjadi seekor katak. 

3. Tsunade: 

Nama lain adalah Tsunate. Pemimpin klan Matsuura dan isteri kepada Jiraiya. Menguasai ilmu mistik mengubah diri menjadi seekor lintah.

Kisah mitologi ini berkait rapat di dalam agama Shinto. Di dalam agama Shinto, ada lima haiwan yang dianggap suci iaitu katak, ular, burung, siput dan labah-labah.

Versi Orochimaru, Tsunade Dan Jiraiya Di Dalam Anime Naruto

Dalam manga/anime sekuel Naruto dan Naruto Shippuden, Masashi Kishimoto menciptakan tiga watak ninja legenda yang pernah terkenal di Zaman Perang Dunia Ninja Kedua iaitu Orochimaru, Tsunade Senju dan Jiraiya.

Untuk pembaca yang tidak tahu sosok ketiga orang ini, dari kiri Orochimaru berambut hitam panjang, Tsunade berambut kuning dan Jiraiya berambut putih panjang seperti gambar di atas. Di dalam komik Naruto ciptaan Masashi Kishimoto, mereka digambarkan sebagai Tiga Orang Ninja Terkuat dan kisah ini saya akan menuliskan dengan ringkas untuk kita mengenali mereka bertiga.

Ketika waktu kecil, ketiga orang ninja ini pernah dilatih oleh Hokage Ketiga iaitu Sarutobi Hiruzen dan mereka berjaya menamatkan Akademi Ninja Konoha ketika masih belia. 

Apabila dunia ninja menghadapi Perang Dunia Ninja Kedua, para ninja dari pelbagai desa berperang sesama sendiri. Turut terlibat dalam kancah perang ini adalah penduduk dari Desa Konoha (Konohagakure) termasuk Orochimaru, Tsunade dan Jiraiya.

Tiga orang ninja ini mendapat gelaran Sannin ketikamana mereka bersama-sama bertempur melawan Hanzo dari Desa Ama (Amagakure) dan kalah. Walaupun Hanzo menggunakan serangan mematikan, tetapi atas kecerdikan mereka bertiga untuk mengelakkan serangan ini mereka digelar oleh Hanzo sebagai Sannin. Lalu gelaran ini melekat sehinggalah berakhir perang dunia.

Selain terkenal dengan kekuatan dan kecerdikan ketika menghadapi pertempuran, mereka bertiga ini juga masing-masing memiliki haiwan seruan (Kuchiyose) terkuat iaitu Orochimaru pemilik ular gergasi dari Gua Ryuchi, Tsunade pemilik lintah gergasi dari Hutan Shikkotsu dan Jiraiya pemilik katak dari Gunung Myoboku (gambar seperti ilustrasi di atas).

Perpisahan ketiga orang ninja legenda ini terjadi ketikamana mereka berada di Desa Ama apabila Orochimaru dan Jiraiya tidak sefahaman dalam soal melindungi tiga orang kanak-kanak di Desa Ama. Orochimaru berkeras untuk membunuh kanak-kanak ini melainkan Jiraiya menolak kekerasan Orochimaru. Kesalahfahaman ini berakhir apabila Jiraiya mengambil keputusan untuk meninggalkan Orochimaru dan Tsunade lalu menetap di Desa Ama untuk menjaga dan mengajarkan ilmu-ilmu ninja kepada tiga orang kanak-kanak tersebut.

Tiga orang kanak-kanak tersebut adalah Yahiko, Nagato dan Konan. Ketiga-tiga orang kanak-kanak ini bakal menjadi ninja terkuat yang memimpin Akatsuki (organisasi rahsia ninja terkuat). Orochimaru pula melakukan pelbagai eksperimen yang terlarang sehingga beliau diusir dari Desa Konoha dan Tsunade pula mengambil jalan lain untuk bermusafir sekeliling dunia.

Ketika dunia ninja sudah lama melangkaui fasa-fasa kedamaian, Jiraiya pulang semula ke Desa Konoha dan menemui Naruto. Di sinilah Jiraiya mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu-ilmunya kepada Naruto Uzumaki sebagaimana sebelum ini dia pernah menjadi guru kepada ayah Naruto, Minato Namikaze (Hokage Keempat). Tsunade pula menurunkan ilmu ninjanya kepada Sakura Haruno dan Orochimaru pula menurunkan ilmu ninjanya kepada Sasuke.

Kisah Orochimaru, Tsunade dan Jiraiya menyamai sepertimana kisah Naruto, Sakura dan Sasuke yang merupakan satu anggota kumpulan yang berpecah setelah peristiwa konflik antara Naruto dan Sasuke. Ketiga-tiga orang ini dipimpin oleh tiga legenda Sannin dan juga masing-masing memiliki haiwan seruan yang sama.

Dalam anime/manga, watak Jiraiya dimatikan oleh Masashi Kishimoto dalam sekuel Naruto: Shippuden episod 133, ketikamana Jiraiya pergi ke Desa Ama untuk menyiasat pergerakan organisasi rahsia Akatsuki. Jiraiya terbunuh dalam pertempuran melawan The Six Path of Pain yang dikendalikan oleh bekas anak muridnya sendiri iaitu Yahako (Pain), Konan dan Nagato.

Tsunade dan Orochimaru masih kekal hidup di dalam manga/anime Naruto melalui sambungan sekuel terbaru, Boruto.

Pengenalan kepada watak fiksyen daripada Masashi Kishimoto bukanlah hal baharu bahkan beliau sendiri mengambil tiga watak ninja Sannin ini daripada kisah dongeng yang pernah menghiasi sejarah kebudayaan tanah Jepun pada suatu ketika dahulu iaitu berlatarbelakangkan zaman pemerintahan Edo (Tokugawa). Konsep kisah dongeng ini adalah ‘kanzen chōaku’ iaitu mempromosikan kebaikan dan menghukum kejahatan.

Kisah dongeng tersebut dikenali sebagai ‘Jiraiya Goketsu Monogatari’ atau ‘Kisah Keberanian Jiraiya’ pertama kali direkodkan pada tahun 1806. Kisah ini diterbitkan buat pertama kali dalam novel pada tahun 1839.

Novel ini dilengkapkan oleh empat orang penulis yang berbeza sehinggalah tamat kesemuanya iaitu mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Salah seorang penulis ini adalah Utagawa Kunisada (1786-1865). Setelah kisah ini disiapkan, maka sebahagian daripada kisah ini diambil oleh orang Jepun untuk persembahan di dalam teater Kabuki pada tahun 1852 oleh Kawatake Mokuami.

Jalan cerita di dalam kisah ini berbeza jauh dengan kisah ninja legenda Sannin, tetapi masih mengekalkan nama, sifat dan kekuatan mereka.

Di dalam novel ‘Jiraiya Goketsu Monogatari’, dikisahkan pada zaman dahulu, wujudnya seekor syaitan ular yang sering memangsa manusia berkeinginan untuk menguasai tanah Edo (Jepun). Untuk melaksanakan rancangan jahatnya ini, ular syaitan tersebut menyerang Penguasa Tsukikage Miyukinosuke, pemimpin klan Tsukikage iaitu salah seorang penguasa yang berpengaruh menguasai daerah Echigo.

Ular syaitan yang licik tahu apabila ia menyerang tanah Edo secara membuta tuli maka hasilnya akan nihil kerana bukan ia akan menghadapi klan Tsukikage sahaja, bahkan ia turut akan menghadapi tantangan klan Ogata dan Matsuura.

Maka ia mengambil risiko untuk merebut pengaruh secara perlahan-lahan dengan mengambil alih pengaruh klan Tsukikage. Suatu hari, ular syaitan tersebut menyerang Tsukikage Miyukinosuke tetapi serangan ini tidak berhasil. Entah dari mana, tiba-tiba muncul seorang budak yang bernama Orochimaru datang dan menolong Tsukikage mengalahkan ular syaitan tersebut. Atas jasa Orochimaru yang menyelamatkan nyawa Tsukikage, maka penguasa tersebut berasa terhutang budi lalu mengambil Orochimaru sebagai anak angkatnya.

Sebenarnya, ular syaitan tersebut telah melakukan ilusi dan pada waktu yang sama merasuk tubuh badan Orochimaru untuk turun tangan menolong Tsukikage. Dari sini, Orochimaru berfungsi sebagai boneka atau inangnya untuk melaksanakan rancangan menakluk tanah Edo.

Pada peringkat permulaan, Orochimaru menghasut Tsukikage untuk membunuh anak-anaknya yang masih kecil dengan pelbagai sumpahan. Apabila Orochimaru berjaya menyingkirkan anak-anak kandung Tsukikage, maka terbukalah jalan baginya untuk menguasai takhta klan Tsukikage.

Peringkat seterusnya yang dilakukan Orochimaru tidak lain tidak bukan adalah untuk menguasai pengaruh dua klan lain iaitu, Ogata dan Matsuura. Dengan penguasaan ke atas dua klan berpengaruh ini, maka cita-citanya akan makin tercapai untuk menguasai tanah Edo.

Kedua buah klan ini masing-masing memegang dua buah jata (seal) atau dokumen rasmi yang diiktiraf oleh Shogun (pemimpin utama Jepun) yang mana jata ini berkuasa untuk mengerahkan angkatan tentera darat dan laut milik Shogun ke medan perang. Apabila kedua buah jata ini ditunjukkan, maka kesemua angkatan pasukan tentera wajib mematuhi segala perintah dari si pemiliknya.

Orochimaru berhasrat untuk memiliki kedua buah jata ini kerana dengan jata ini, cita-citanya akan tercapai dengan mudah untuk menggulingkan Shogun. Beliau pun memulakan langkah keduanya dengan menghasut Tsukikage untuk melaporkan kepadanya tentang berita pengkhiatan klan Ogata dan Matsuura yang bersekongkol untuk menjatuhkan Shogun. Tsukikage yang menelan semua laporan Orochimaru secara bulat-bulat terus melaporkan kepada Shogun.

Kemurkaan Shogun sampai ke pengetahuan pemimpin klan Ogata dan Matsuura lalu Orochimaru mengambil peluang keemasan ini untuk mencetuskan pengkhiatanan yang sebenar dari kedua buah klan tersebut. Orochimaru meyakinkan kepada mereka untuk menyerahkan kedua buah jata rasmi tersebut untuk menunjukkan kesetiaan kepada Shogun. Apabila dua buah jata tersebut sudah sampai ke tangan Orochimaru, maka beliau tanpa basa-basi mengerahkan angkatan pasukan yang besar memburu dan memusnahkan klan Ogata dan Matsuura.

Atas dasar kepercayaan kepada Orochimaru, maka maruah dan nyawa keselamatan klan Ogata dan Matsuura terancam. Angkatan pasukan gabungan klan Ogata dan Matsuura dikalahkan oleh angkatan pasukan Shogun pimpinan Orochimaru di tepi sebuah tebing yang tinggi. Selain untuk menghancurkan kedua buah klan ini, Orochimaru juga berhasrat untuk melenyapkan pewaris takhta kedua klan tersebut. Kedua-dua pewaris klan ini turut terhumban ke dalam tebing tersebut bersama angkatan pasukan bersekutu Ogata dan Matsuura.

Pewaris kekuasaan klan Ogata, Jiraiya dan pewaris kekuasaan klan Matsuura, Tsunade diselamatkan oleh seorang petapa yang bernama Senso Dojin. Mereka dibesarkan dan dilatih oleh Senso Dojin untuk menguasai pelbagai ilmu mistik untuk membalas dendam terhadap klan Tsukikage pimpinan Orochimaru. Jiraiya diajarkan ilmu mistik menjadi katak dan Tsunade pula diajarkan ilmu mistik menjadi lintah. Tetapi ilmu mistik ini ada kelemahannya apabila ianya ada kaitan dengan konsep ‘Three Deadlock’.

Ilmu mistik ular milik Orochimaru mampu mengalahkan ilmu mistik katak milik Jiraiya dan ilmu mistik Jiraiya mampu mengalahkan ilmu mistik lintah milik Tsunade walhal ilmu mistik lintah milik Tsunade mampu mengalahkan ilmu mistik ular milik Orochimaru. Tetapi ilmu mistik lintah milik Tsunade tidak sesuai untuk pertempuran berbanding ilmu mistik Orochimaru yang terkenal dengan kehebatannya dalam sesuatu pertempuran. 

Tetapi hanya ada satu cara sahaja untuk mengalahkan Orochimaru iaitu dengan membunuhnya menggunakan pedang Nakirimaru. Di dalam anime Naruto, pedang ini dimiliki oleh Orochimaru dan ianya digunakan oleh Orochimaru untuk membunuh Hokage Ketiga, Hiruzen Sarutobi.

Pertempuran Jiraiya Menentang Orochimaru

Jiraiya yang terlalu marah dengan Orochimaru terus menghadap Orochimaru untuk bertarung dengannya tanpa menggunakan pedang Nakirimaru. Pertempuran pertama kali antara Jiraiya dan Orochimaru berlangsung dengan kekalahan di pihak Jiraiya.

Di dalam pertempuran ini, Orochimaru berjaya melukakan Jiraiya sehingga luka ini melumpuhkan fizikal Jiraiya. Untunglah pada waktu itu Tsunade tiba pada waktu yang tepat dan berjaya membawa lari Jiraiya dari medan pertarungan.

Racun ular Orochimaru yang hinggap pada badan Jiraiya menyebabkan beliau lumpuh dan menghampiri kematian. Tsunade menemui ubat atau antidot untuk menyingkirkan racun ular tersebut dari badan Jiraiya. Ubat tersebut adalah darah seorang anak dara yang lahir pada tahun, hari dan waktu ular (Hebi) mengikut kalendar Zodiak Jepun (Juunishi).

Dalam pencarian menemui pedang Nakirimaru dan ubat untuk Jiraiya, Tsunade membawa Jiraiya ke sebuah kampung di daerah Echigo iaitu daerah kekuasaan klan Tsukikage.

Ketika berada di daerah Echigo, Tsunade dan Jiraiya bertemu dengan Ayame, seorang gadis yang menjadi anak angkat klan Tsukikage. Tsunade pun meluahkan kepada Ayame kisahnya dan apa yang terjadi sehingga menyebabkan Jiraiya luka parah. Setelah mendengarkan kisah tersebut, Ayame pun mengisahkan ceritanya pula bagaimana boleh menjadi anak angkat kepada klan Tsukikage.

Sebenarnya Ayame adalah adik perempuan kandung kepada Jiraiya yang terpisah ketika berlakunya tragedi pembantaian ke atas klan Otaga dan Matsuura. Ayame diambil lalu dijadikan anak angkat oleh bangsawan klan Tsukikage. Setelah mengetahui hubungannya dengan Jiraiya dan kondisi nazak abangnya itu, Ayame pun mengorbankan dirinya dengan menusuk sebilah belati ke perutnya untuk mengeluarkan darah yang mampu menjadi ubat kepada Jiraiya. Sebelum menutup mata, Ayame mengingatkan kepada Jiraiya dan Tsunade untuk membalas dendam kepada Orochimaru dan menyatukan kembali klan Otaga dan Matsuura. Setelah mengambil darah Ayame, Jiraiya kembali pulih seperti sediakala dan kekuatannya terisi semula.

Zaman pun berlalu…

Akhirnya Tsunade dan Jiraiya menemui pedang Nakirimaru setelah bertahun-tahun lamanya pencarian. Mereka menemui pedang tersebut di Lembah Neraka (Hell Valley). Setelah pedang tersebut berada di tangan mereka, tanpa membuang masa, mereka pun menuju ke Echigo untuk memburu Orochimaru. Sesampainya di sana, terjadinya pertempuran diantara Orochimaru, Tsunade dan Jiraiya. 

Pertempuran ini berakhir setelah Jiraiya berjaya menusuk ular syaitan yang bersarang di dalam badan Orochimaru dan menghancurkan ia buat selama-lamanya. Kemenangan Jiraiya mengalahkan ular syaitan tersebut menyebabkan Orochimaru tersedar semula setelah sekian lama dirasuki oleh ular syaitan.

Orochimaru diampunkan oleh Shogun atas pembelaan dari Jiraiya, kerana tindakan jenayahnya bukan didasari dengan tindakan yang sengaja, malahan beliau berada dalam kondisi dikawal/dirasuk. Klan Otaga dan Matsuura disatukan semula, nama mereka dibersihkan kembali dalam pentadbiran Edo. Jiraiya pun menikahi dengan Tsunade dan klan Tsukikage yang dipimpin oleh Orochimaru bersekutu semula dengan kedua klan tersebut seperti semula.

Gambar:

1. Pertempuran diantara Jiraiya dan Orochimaru. Jiraiya menusuk pedang Nakirimaru jelmaan ular syaitan.

2. Jiraiya menunggangi katak di dalam novel illustrasi Giraiya Gōketsu Monogatari.

Dalam versi dongeng lain, Orochimaru dikatakan bekas anak murid kepada Jiraiya. Versi dongeng ini boleh dibaca di dalam catatan oleh William Elliot Griffis, ketika beliau diundang oleh Matsudaira Shungaku pada tahun 1870 untuk menjadi tenaga pengajar di Jepun. Selain menjadi guru, William juga menulis beberapa sejarah kebudayaan Jepun. Beliau meninggal dunia di Florida, USA pada tahun 1928.

Di dalam versi William ini, Jiraiya digambarkan sebagai pemimpin sekumpulan perompak (bandit). Jiraiya mulai belajar menguasai ilmu mistik setelah beliau gagal merompak Senso Dojin. Senso Dojin merupakan jelmaan dari katak gergasi dan menawarkan dirinya untuk mengajarkan kepada Jiraiya ilmu mistik. Setelah menguasai ilmu ini, Jiraiya mengorbannya hidupnya untuk membanteras kejahatan dan menolong orang yang susah. Versi ini diakhiri dengan kemenangan Jiraiya dan Tsunade mengalahkan ketua perompak yang menguasai ilmu mistik ular, Orochimaru.

Kesimpulannya, kita boleh melihat bagaimana Masashi Kishimoto mempromosikan kebudayaan Jepun yang telah lama atau hampir tidak dikenali dunia melalui karya terlarisnya, Naruto. Kisah mitologi yang sarat dengan konflik pembunuhan dan keganasan ini digubahnya menjadi sebuah jalan cerita yang lebih mesra pembaca.

Walaupun versi yang dibawa oleh Kishimoto berbeza jauh dengan versi yang asal, beliau tetap mengekalkan nama, kekuatan dan hubungan karakter mitos di dalam sebuah dunia ninja yang turut tidak terlepas dari sentuhan seni kebudayaan Jepun. Jadi, bagaimana kita, sebagai bangsa Melayu, ingin mempromosikan dan mengembangkan budaya bangsa Melayu di dalam skop sebegini?
___________________________________

Artikel lain yang berkaitan.

1. Aang The Last Airbender: https://thepatriots.asia/gerakan-kung-fu-dalam-animasi-avatar/

2. Death Note: https://thepatriots.asia/shinigami-mitos-dewa-maut-masyarakat-jepun/

3. One Piece: https://thepatriots.asia/sejarah-lanun-dan-anime-one-piece/

RUJUKAN:

1. Evanescence and Form: An Introduction to Japanese Culture oleh C. Inouye.

2. Fairy Tales of Old Japan oleh William Elliot Griffis.

3. The Complete Idiot’s Guide to World Mythology oleh Evans Lansing Smith, Ph.D. dan Nathan Robert Brown.

– TAMAT –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.