Fenomena yang sedang melanda Malaysia ni dipanggil “government formation deadlock”.
“Deadlock” ni boleh berpunca daripada samada (1) “hung parliament” iaitu keadaan selepas PRU di mana tiada parti mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk (“form”) kerajaan dan pada masa yang sama tak nak bergabung, atau (2) “coalition breakdown” iaitu gabungan parti-parti yang telah membentuk kerajaan mengalami perpecahan dan parti-parti dalam proses perundingan semula untuk “re-form” kerajaan balik.
Keadaan pertama macam Israel sepanjang tahun lepas. Walaupun 2 kali PRU diadakan, kerajaan Israel masih tak dapat dibentuk sebab kedua-dua parti yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu dan Benny Gantz tak dapat majoriti. Tapi dua-dua nak jadi PM. So kenalah buat PRU kali ke-3 pada minggu depan. Netanyahu sekarang kira “caretaker PM” je.
Keadaan kedua macam Itali. Pada September tahun lepas, kerajaan gabungan parti “Liga Utara” (Lega Nord) dan “Gerakan Lima Bintang” (M5S) tumbang selepas setahun memerintah. Lega tu parti orang utagha, M5S parti orang selatan; ideologi pun tak sama (Lega right-wing populist, M5S left-wing populist). Tapi disebabkan dua parti ni je yang dapat undi paling banyak dan dua-dua pun anti parti pemerintah lama (Parti Demokratik) yang dapat undi ke-3 banyak, so terpaksalah mereka bergabung. Tapi akhirnya gabungan Lega-M5S ni berpecah juga, Lega kena tendang jadi pembangkang balik, dan M5S terpaksa ajak Parti Demokratik yang dicemuh selama ni untuk membentuk kerajaan.
Deadlock ni benda biasa je sebenarnya. Kat negara maju selalu berlaku, dan masalah deadlock mereka lagi lama: Sweden pada tahun 2018-2019 ambil masa selama 133 hari untuk diselesaikan, maksudnya 133 hari tak ada kerajaan. Belanda pada tahun 2017, 208 hari. Yang paling lama Belgium dari tahun 2010-2011, 541 hari. Kita baru 2 hari je, rileks.
Kita boleh rileks sebab walaupun dalam keadaan “deadlock” dan tidak mempunyai kerajaan, negara masih dapat berfungsi seperti biasa dengan adanya ketua negara (“head of state”) dan penjawat awam (“civil servant”). Kalau ada “twin pillars” ini, insya Allah, negara tak huru hara.
Kerajaan tak ada, negara masih mempunyai ada ketua. Kalau tak ada ketua, baru kita panggil keadaan “stateless” atau “anarchy” (an = tiada, archy = ketua). Bagi negara demokrasi berparlimen (“parliamentary democracy”) yang ada raja, raja lah ketua negara; yang tak ada raja, presiden lah ketua negara.
Negara yang ketua negaranya juga merupakan ketua kerajaan (seperti US, Turki, Indonesia dan Filipina), kita panggil sebagai demokrasi berpresiden (“presidential democracy”). Negara-negara ini tak ada PM. Yang macam Perancis, Rusia dan Korea Selatan pula, ada PM, tapi ketua kerajaan ialah presiden, kita panggil demokrasi separa-presiden (“semi-presidential democracy”).
Bagi demokrasi berparlimen yang tak ada raja seperti Israel, Itali dan Singapura, presiden mereka memainkan peranan ketua negara sama macam raja di negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan seperti UK, Sweden, Belgium, Belanda dan Malaysia.
Apabila berlaku “deadlock” pembentukan kerajaan, ketua negara akan bertindak sebagai penimbangtara (“mediator”) antara parti-parti yang berkonflik, berdasarkan kuasa yang diperuntukan oleh perlembagaan. Macam dalam krisis Israel dan Itali, presiden dari kedua-dua negara masing-masing panggil (“summon”) ketua parti yang berkonflik untuk mencari penyelesaian kepada masalah.
Tapi kalau dibandingkan antara presiden dan raja berperlembagaan, selalunya raja berperlembagaan dapat memainkan peranan penimbangtara dengan lebih baik. Selain “above politics”, raja juga mempunyai prestij untuk memerintahkan supaya parti-parti yang berkonflik dapat berkompromi.
Presiden yang dilantik dari kalangan orang awam kurang prestij tersebut, malah nak cari orang awam yang betul-betul neutral untuk dijadikan presiden pun bukan senang. Presiden kat Lubnan dan Iraq bukan saja gagal memainkan peranan penimbangtara, malah membuat keadaan bertambah haru.
Presiden Lubnan ialah seorang Kristian Maronite, so ahli politik Muslim dan Kristian Ortodoks mana nak dengar cakap dia. Kat Iraq kedua-dua Sunni dan Syiah tak nak layan presiden sebab presiden ialah seorang Kurd, dia pun ada politik dia sendiri, macam mana nak bertindak adil.
Kita kira bertuah sebab mengamalkan sistem raja berperlembagaan ala British. Bukan nak kata penjajah British tu bagus, tapi sistem yang mereka cipta tu mencapai keseimbangan antara “raja yang pasif” (raja yang tak ada peranan dalam politik macam maharaja Jepun) dan “raja yang aktif” (raja berkuasa mutlak macam Sultan Brunei). Sistem British mengehadkan kuasa raja, tapi pada masa yang sama memberi raja “hak” yang cukup kritikal untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada demokrasi. Hak tersebut dirumuskan oleh Walter Bagehot dalam “The English Constitution” (1867) sebagai “the right to be consulted, the right to encourage, the right to warn”.
Dan satu lagi sistem yang kita warisi daripada British ialah sistem perkhidmatan awam tetap (“permanent civil service”). Penjawat awam tetap ialah penjawat awam yang dilantik atas merit (menerusi peperiksaan dan saringan khas) oleh badan khas (seperti suruhanjaya perkhidmatan awam) bukannya atas perlantikan politik. Cuma kat Malaysia kekadang orang panggil lantikan politik sebagai penjawat awam juga, orang jadi keliru.
Ciri utama penjawat awam tetap ni ialah mereka kekal walaupun kerajaan bertukar, sebab tu dipanggil “permanent”. Kalau dalam Bahasa Inggeris, ketua setiausaha (ketua penjawat awam di setiap kementerian) dipanggil “permanent secretary”. Kat negara demokrasi berpresiden seperti US tak ada sistem macam tu. Tukar kerajaan, tukar semua staf (kecuali kerani dan diplomat). Dan uniknya sistem yang dicipta British ni ada satu ketua kepada penjawat awam iaitu “cabinet secretary” (ketua setiausaha negara di Malaysia).
Sistem perkhidmatan awam tetap ni dicipta oleh British pada pertengahan abad ke-19 selepas mereka perasan ketidakstabilan yang ada pada demokrasi berparlimen. Anytime kerajaan boleh tumbang, so kenalah ada sekumpulan orang yang akan menjalankan tugas pentadbiran sementara ahli-ahli politik berkelahi. Kerajaan bertukar ke, tak ada kerajaan ke, penjawat awam ni tetap akan mentadbir negara, cuma tak ada dasar baharu lah.
Dan untuk memastikan pentadbiran negara jalan dengan lancar, penjawat awam ada tatacara khas dia. Bagi orang yang tak faham konsep penjawat awam tetap ni, mereka akan kata penjawat awam ni “deep state” “kaki sabotaj” sebab tak nak mengubah tatacara mereka ikut kehendak semasa.
Dan kalau di UK, penjawat awam tetap ni dipanggil sebagai “His/Her Majesty’s Most Loyal Servant”, sebab peranan mereka adalah untuk melengkapi peranan raja berperlembagaan, dan kesetiaan mereka adalah kepada raja dan negara. Dulu pun ada frasa “saya yang menurut perintah”. Orang selalu ingat perintah tu bermaksud arahan, sebenarnya, “perintah” hanya boleh datang daripada ketua negara.
Demokrasi memang bersifat “chaotic” dan sentiasa “in flux”. Siapa game siapa, siapa khianat siapa, semua tu tak penting. Yang penting, walaupun negara berada dalam ketidaktentuan politik, negara kita masih berada dalam “safe hands” dua hero yang sedang memastikan negara berada di landasan betul: Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua negara, dan Yang Berbahagia Ketua Setiausa Negara selaku ketua penjawat awam. Temubual yang dikendalikan oleh YDPA dan disaksikan oleh KSN pada hari ini cukup simbolik dalam menggambarkan peranan “twin pillars” ini.
Di waktu-waktu krisis macam inilah baru terserlah peranan penstabil mereka yang selama ini dilepas pandang dan “take for granted”. Daulat Tuanku.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih