The Great Battle merupakan sebuah filem terbitan Next Entertainment World merupakan salah satu filem Korea pecah panggung (box-office) yang bersaing dengan filem tempatan lainnya seperti Fengshui. Filem yang diarahkan oleh Kim Kwang Sik ini berjaya menaikkan semangat jatidiri perjuangan bangsa Korea untuk mengenang kembali pengorbanan para leluhur mereka yang bermatian-matian mempertahankan tanah tercinta, bumi Goguryeo daripada serangan penaklukan Kaisar China dari Dinasti Tang.
Kisah yang diangkat kembali daripada sejarah sebenar yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu boleh dikatakan salah satu rakaman kejayaan sejarah bangsa Goguryeo menghalau kuasa penjajah dari dunia luar yang berusaha untuk menghapuskan kedaulatan mereka sepertimana kejayaan laksamana Yi Sun-Shin yang memimpin armada Joseon menghalau armada besar dari Jepun. Kisah laksamana Yi Sun-Shin diangkat pula sebelum ini di dalam sebuah filem yang bertajuk The Admiral: Roaring Currents, yang mana filem ini mencatatkan dalam sejarah Korea moden sebagai filem yang tertinggi kutipannya di negara tersebut.
Artikel berkenaan pertempuran Myeongyang pimpinan laksamana Yi Sun-Shin:
Pada penulisan sebelum ini, kita sudah membedah dan menerangkan tentang siapakah sosok pemimpin Yi Sun-Shin ini, kejayaannya dan lain-lain lagi, jadi bagaimanakah pada kali ini kita membedah serba sedikit tentang sejarah panglima Yang Manchun dalam mempertahankan benteng Ansi dalam filem The Great Battle ini? Mari kita mulakan…
Kisah bersejarah ini dicatatkan di dalam Samsuk Sagi (sumber sejarah Korea paling lama) oleh penulis sejarah Kim Pusik.
Konflik peperangan antara dua buah negara besar ini bermula apabila pada tahun 642 M, Raja Yeongnu (salah seorang raja daripada tiga kerajaan di Goguryeo) ingin menyingkirkan posisi Yeon Gaesomun (Gabenor Utara Goguryeo yang berpengaruh) kerana baginda menganggap Yeon sebagai pengkhianat pada dirinya. Ahli politik dan bangsawan yang bersekutu dalam komplotan baginda untuk menyingkirkan Yeon diundang ke kediaman Yeon, lalu mereka semua dibunuh tanpa belas ihsan (dilaporkan seramai 180 orang bangsawan dibunuh dalam tragedi ini).
Rancangan baginda terbongkar, lalu Yeon mengambil kesempatannya ini mempimpin pasukan besar menyerang istana Raja Yeongnu yang berpusat di kota Pyongyang. Setelah raja dibunuh, maka Yeon mengangkat anak saudara baginda, Raja Bojang untuk menaiki takhta. Yeon hanya menggunakan Raja Bojang sebagai bonekanya sahaja, raja yang bertakhta tanpa kekuasaan dan beliau memakai gelaran Mangnichi. Keseluruhan tanah Goguryeo yang dibawah jajahan Raja Bojang dipegang secara langsung oleh panglima Yeon kecuali satu daerah yang dipimpin oleh panglima Yang Manchun, daerah Ansi. Yang Manchun menolak pertabalan Raja Bojang dan beliau tahu yang memegang tampuk pemerintahan yang sebenarnya adalah panglima Yeon. Akibat penolakan Yang Manchun mengiktiraf pemerintahan Raja Bajong dan kekuasaan de facto Yeon, maka Yang Manchun dianggap pengkhianat kepada negara.
Konflik dalaman yang tidak diselesaikan ini ditambah pula dengan konflik daripada luaran apabila Kaisar Dinasti Tang, Taizong memimpin angkatan perang yang besar untuk menakluk kerajaan Goguryeo yang mempunyai tanah jajahan yang luas daripada dua buah kerajaan yang lain (Baekje dan Silla).
Untuk pengetahuan tambahan pembaca, Kaisar Taizong merupakan bakal suami kepada Permaisuri Wu Zetian. Pada waktu ini, posisi Wu Zetian hanyalah sebagai gundik diraja.
Untuk artikel berkenaan Wu Zetian, pembaca boleh membacanya di: https://www.google.co.id/
Sebab utama Kaisar Taizong ingin menyerang Goguryeo adalah kerana baginda ingin menghukum para pengkhianat seperti Yeon Gaesomun yang bertindak berani menggulingkan dan membunuh Raja Yeongnu. Atas sebab kekuasaan seluruh kerajaan Goguryeo dipegang di dalam tangan panglima Yeon, Kaisar Taizong ingin menyelesaikan konflik ini dengan cara berdiplomasi dahulu. Tetapi politik diplomasi yang ingin dijalankan oleh Kaisar Taizong ditolak mentah-mentah oleh panglima Yeon, barulah baginda menyusun pasukan tenteranya untuk menggulingkan pemerintahan Yeon.
Pada tahun 644 musim gugur, Kaisar Taizong mempersiapkan angkatan tentera besarnya untuk melakukan penaklukan besar-besaran ke atas kerajaan Goguryeo.
Pada peringkat awal penyerangan, musim panas April 645 M, kaisar Taizong menghantar angkatan perang pertama yang dipimpin oleh Jeneral Li-Shinji membawa 60,000 tentera Tang, 3,000 tentera sukarelawan dari wilayah Changan dan Luoyang, 40,000 tentera upahan, belayar bersama 500 kapal perang dari Yincheng (Chaoyang) dan selamat sampai ke kawasan jajahan Goguryeo pada tanggal 1 Mei.
Perang Tang-Goguryeo bermula pada tanggal 16 Mei apabila Jeneral Li-Shinji menyerang lalu menawan benteng Gaimou (Kaemo). Setelah 11 hari pengepungan dan penyerangan tanpa henti, maka benteng pertama kerajaan Goguryeo, Gaimou jatuh ke tangan Dinasti Tang. Seramai 20,000 tawanan perang dan 6 juta liter gandum dirampas dalam penaklukan pertama ini. Berita kejayaan Jeneral Li-Shinji menaikkan semangat pasukan Tang untuk menuju ke benteng seterusnya.
Pasukan penakluk ini pun meneruskan perjalanan mereka ke benteng Liaodong (Ryotong). Setelah panglima Yeon mendengar khabar buruk tentang kejatuhan benteng Gaimou ke tangan pasukan Tang, maka beliau pun menghantar pasukan bantuan seramai 40,000 orang untuk mempertahankan benteng Liaodong. Tetapi pada tanggal 7 Jun 645 M, pasukan bantuan Goguryeo ini berjaya dikalahkan oleh Jenerel Li-Shinji, tetapi benteng Liaodong belum berhasil ditaklukkan lagi.
Berita kemenangan kedua kalinya pasukan Tang mengalahkan pasukan Goguryeo menaikkan semangat Kaisar Taizong untuk turut sama terjun ke medan perang ini. Maka setelah beberapa hari kemudian, pasukan utama kaisar yang dianggotai oleh pasukan berkuda dan pasukan elit diraja tiba ke Goguryeo lalu bergabung dengan pasukan Jeneral Li-Shinji dalam kempen penaklukan benteng Liaodong
Pada tanggal 16 Jun, benteng Liaodong secara rasminya ditaklukkan oleh Kaisar Taizong dengan bantuan kelengkapan perang benteng yang berfungsi untuk menghancurkan dan memanjat benteng Liaodong. Kemenangan kedua dalam menawan benteng penting kerajaan Goguryeo melemahkan semangat pasukan Goguryeo lainnya yang sedang berada di benteng Baiyan (Paekam).
Dua benteng kuat yang jatuh dengan mudah ke tangan pasukan Tang menyebabkan panglima yang menguasai benteng Baiyan menyerahkan kota tersebut kepada Kaisar Taizong tanpa sebarang tentangan dengan syarat harta benda tidak dijarah dan penduduknya tidak dibunuh. Maka pada tanggal 27 Jun, kunci kota Baiyan diserahkan kepada Kaisar Taizong, lalu baginda pun mengotakan janjinya untuk tidak menjarah ataupun membunuh penduduknya.
Setelah kejatuhan tiga benteng utama iaitu Gaimou, Liaodong dan Baiyan, maka Kaisar Taizong meneruskan perjalanan bersama pasukannya menuju ke ibukota kerajaan Goguryeo, Pyongyang.
Tetapi sebelum menuju ke ibukota tersebut, pasukan Tang harus menawan satu lagi benteng penting Goguryeo iaitu benteng Ansisong (Anshiceng). Benteng Ansi merupakan benteng terpenting kerana ianya merupakan jalur utama bantuan untuk ibukota Pyongyang. Para penasihat Kaisar Taizong mengingatkan baginda bahawasanya penaklukan Ansi merupakan ‘sine qua non’ dan dengan jatuhnya benteng Ansi, maka segala pertahanan juga bantuan ke ibukota Pyongyang dihapuskan keseluruhannya.
Panglima Yeon yang menyedari betapa pentingnya benteng Ansi kepada pertahanan ibukota Pyongyang segera menghantar pasukan bantuannya ke sana.
Dituduh Derhaka Bertukar Penyelamat Bangsa
Pada tanggal 18 Julai 645 M, pasukan Tang pimpinan Kaisar Taizong tiba di ke Ansi dan berkhemah di luar benteng tersebut.
Pasukan bantuan seramai 150,000 orang dari Goguryeo yang dihantar oleh panglima Yeon dalam perjalanan ke benteng Ansi diserang oleh pasukan Tang pimpinan Jeneral Li-Shinji seramai 15,000 orang dalam pertempuran Chup’il Hill (Chup’ilsan). Pada 20 Jun, kesemua pasukan Goguryeo dikalahkan olah pasukan Tang dan ini membuatkan benteng Ansi hanya dipertahankan oleh pasukan tentera sedia ada yang terlalu sedikit.
Kekuatan pasukan penyerang Dinasti Tang pada ketika ini adalah seramai 250,000 orang dilengkapi senjata penuh berbanding pasukan pertahanan Ansi yang seramai 30,000 orang sahaja, bahkan kekurangan kelengkapan bersenjata.
Tatkala benteng lain yang lebih lengkap bersenjata ditawan ataupun diserahkan kepada Kaisar Taizong, tetapi panglima Yang Manchun tetap dengan pendiriannya tidak akan melarikan diri mahupun menyerahkan benteng Ansi dengan begitu sahaja. Beliau mula mengatur langkah dengan memperkuatkan benteng Ansi, mengetatkan setiap pintu keluar masuk kota Ansi dan mempersiapkan pelbagai perangkap di atas benteng.
Kekebalan benteng Ansi dan kecerdikan panglima Yang Manchun dalam menghalang pasukan Tang mengambil alih benteng tersebut membuatkan Kaisar Taizong mengerahkan pasukannya untuk menyerang benteng tersebut sebanyak enam hingga tujuh kali sehari.
Penyerangan pasukan Tang menggunakan senjata pelontar batu Hudun Pao (catapult), menara benteng, mangonel dan senjata pemecah benteng (battering ram), menjadikan peperangan ini lebih menguntungkan di pihak pasukan Tang. Tetapi setiap kali serangan yang dilancarkan oleh Kaisar Taizong tetap dipatahkan secara tenang oleh Yang Manchun.
Perseteruan diantara Kaisar Taizong dan Yang Manchun makin sampai ke kemuncak apabila Kaisar Taizong mengatur strategi berikutnya, iaitu membina sebuah benteng bukit yang ditimbun menggunakan tanah, tepat menghadap ke jantung benteng Ansi dan dari atas benteng ini, pasukan tentera Dinasti Tang dapat melihat perkampungan Ansi daripada sebalik benteng.
Pembinaan benteng tanah Kaisar Taizong yang dicadangkan oleh Li Daizong ini mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan.
Sebelum penyerangan besar-besaran berlaku ke atas benteng Ansi, Kaisar Taizong meletakkan pasukan tentera pimpinan panglima Fu Fuai di atas benteng tanah tersebut. Tatkala pasukan Fu Fuai ingin menyerang, secara tiba-tiba benteng tanah tersebut runtuh menyembah bumi dan membunuh ramai pasukan tentera Tang yang sedang bersiap sedia di atas benteng tanah terbabit.
Panglima Fu Fuai yang cemas melarikan diri daripada kawasan tersebut lalu membuatkan benteng tanah yang runtuh tersebut dihuni oleh sisa pasukan tentera Tang yang terselamat daripada ditimpa runtuhan tanah. Yang Manchu mengambil peluang keemasan ini untuk menyerang sisa pasukan Tang yang masih terpinga-pinga di atas benteng tanah tersebut, lalu menawannya dengan mudah tanpa tentangan.
Sumber mengisahkan yang panglima Fu Fuai dihukum bunuh oleh Kaisar Taizong kerana mengabaikan dan meninggalkan tenteranya tanpa pucuk pimpinan lalu Li Daozong pula diampunkan oleh Kaisar Taizong setelah beliau merayu-rayu meminta keampunan daripada baginda.
Runtuhnya benteng tanah ini, memberikan keuntungan kepada pihak pasukan Ansi untuk menguasai kawasan runtuhan tersebut dan menguasai medan pertempuran. Dengan jatuhnya benteng tanah tersebut ke dalam tangan pasukan pimpinan Yang Manchu, maka Kaisar Taizong yang sangat murka mengerahkan serangan skala besar-besaran ke atas pertahanan pasukan Ansi selama 3 hari 3 malam tanpa henti.
Serangan bertalu-talu dan tanpa rehat tersebut menyebabkan kedua buah pasukan lelah. Pertahanan Ansi yang semakin lemah ditambah pula kehabisan bekalan senjata seperti anak panah dan tentera menyebabkan Yang Manchun semakin berputus asa. Tetapi atas dasar sebagai pemimpin dan melindungi rakyat Ansi, beliau tidak berehat dan turut sama berperang selama tempoh tersebut.
Yang Manchun: Inspirasi Seorang Pemimpin
Semakin hari, kondisi tentera Tang semakin melemah. Segala taktik penyerangan mahupun serbuan dilakukan dengan palbagai senjata masih tidak mampu menawan benteng Ansi. Keadaan semakin parah apabila musim sejuk semakin menghampiri dan i menandakan berita buruk buat Kaisar Taizong. Baginda tahu jikalau dia masih berkeras ingin meneruskan kempen tersebut pasti ianya akan membawa kerugian senjata dan kehilangan ramai lagi pasukannya. Ada beberapa sebab lainnya terjadi pengunduran pasukan Dinasti Tang iaitu:
1. Mengikut sebuah sumber, mata Kaisar Taizong dibutakan dari anak panah yang dilepaskan oleh Yang Manchun pada hari terakhir pertempuran Ansi. Babak ini diambil daripada sumber puisi Chŏnggwan oleh Yi Saek.
2. Dalam sebuah sumber lainnya, dikisahkan setelah pasukan Tang menyerah kalah, panglima Yang Manchun menunduk hormat di hadapan Kaisar Taizong dari atas runtuhan benteng tanah tersebut. Atas dasar hormat dan keberanian panglima Yang Manchu dalam mempertahankan benteng Ansi, maka baginda menghadiahkan kepadanya 100 helai kain sutera sebelum baginda berangkat pulang ke ibukota.
3. Pasukan bantuan pimpinan Jeneral Yeon datang ketika mana pasukan Ansi berperang dengan pasukan Tang selama 3 hari 3 malam tanpa henti.
Maka pada tanggal 13 Oktober 645 M, Kaisar Taizong mengeluarkan perintahnya untuk segera berundur dari medan pertempuran dan kembali ke ibukota Changan, China. Dengan berundurnya pasukan Kaisar Taizong dari Ansi, maka kempen penaklukan Goguryeo tergendala sebentar sementara menunggu berlalunya musim sejuk. Pasukan Dinasti Tang kehilangan seramai 20,000 orang tentera iaitu jumlah yang sangat besar berbanding di pihak pasukan Ansi yang kehilangan hampir 2,000 orang sahaja. Dicatatkan dalam perjalanan pulang, sebahagian pasukan Tang diserang penyakit yang disebabkan musim sejuk dan salji yang tebal untuk ditempuh. Hanya sebahagian pasukan yang selamat tiba di ibukota termasuk Kaisar Taizong.
Kesimpulannya, kemenangan yang diperolehi pasukan Goguryeo pimpinan panglima derhaka Yang Manchun menyelamatkan benteng Ansi dan kedaulatan bangsa Goguryeo pada tahun tersebut. Kisah perjuangan Yang Manchun dan para tenteranya dalam mempertahankan benteng Ansi diingati oleh generasi Korea sehingga ke hari ini sepertimana kisah laksamana Yi Sun-Shin mempertahankan negara daripada armada laut Jepun.
Tambahan, jika anda seorang peminat filem bergenre sejarah, perang dan aksi jangan melepaskan peluang menonton filem The Great Battle (2018) ini. Dari mula sampai akhir penonton akan disajikan dengan babak peperangan demi peperangan juga diselitkan pelbagai bentuk strategi pertempuran pasca Perang Tang-Goguryeo 645 M.
Sumber rujukan:
1. The Great Battle (2018).
2. Historical Memories of Koguryŏ in Koryŏ and Chosŏn Korea.
3. Siege Weapons of the Far East (1): AD 612–1300
oleh Stephen Turnbull.
4. Tang Taizong In Korea: The Siege Of Ansi oleh Tineke D’Haeseleer.
5. Medieval Chinese Warfare oleh David Graff.
6. The Poetics of Sovereignty: On Emperor Taizong of the Tang Dynasty oleh Jack Wei Chen.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih