Selepas 5 tahun bermaharajalela, ISIS atau Da’ish (ad-Daulah al-Islamiyah fi al-Iraq wa ash-Sham) kini berada dalam hari-hari terakhirnya.

Sejak 9 Februari, perkampungan ISIS yang terakhir di Baghuz, Syria telah dikepung dan diserbu oleh Syrian Democratic Forces (SDF) bersama-sama tentera pakatan US. Pada 17 Februari, Donald Trump menerusi Twitter-nya mengisytiharkan bahawa “The Caliphate is ready to fall”.

Kalau pernah tengok cerita Downfall (cerita yang ada babak Hitler mengamuk tu), bolehlah nak bayangkan suasana suram dan desperate pejuang ISIS untuk mempertahankan wilayah terakhir mereka.

Cuma Abu Bakar al-Baghdadi, ketua ISIS yang menggelar diri sebagai “khalifah amirul mukminin” tak ada mengamuk macam Hitler. Entah ke mana hilang “khalifah”, yang tinggal ialah macai-macai yang bersedia menjadi korban.

Semasa kemuncak kuasanya, ISIS pernah menguasai 1/2 Syria dan 1/3 Iraq. Sekarang kawasan yang berada di bawah kawalan ISIS hanya sebesar “2 square miles”. 1 square mile = 2.6 kilometer persegi. Jadi 2 square miles tu 5.2 kilometer persegi. Lebih kurang Seksyen 7 Shah Alam. Itu je yang ISIS tinggal.

Dianggotai oleh ekstremis dari kumpulan Al-Qaeda cawangan Iraq dan juga bekas anggota Parti Baath (loyalis Saddam Hussein) yang memusuhi kerajaan Iraq yang didominasi oleh Syiah dan Kurdi, ISIS muncul sekitar Jun 2014 dengan mengambil kesempatan ke atas kerajaan Iraq yang lemah dan juga keadaan Syria yang kucar-kacir akibat perang saudara sejak tahun 2011.

Tidak seperti Al-Qaeda yang merancang untuk menguasai satu per satu negara sebelum mengisytiharkan khilafah, ISIS mendirikan khilafah terus di Syria dan Iraq dan memperluaskan wilayahnya dari situ. Mereka mendirikan ibu kota di Raqqa dan memerintah secara kejam demi merealisasi model negara “Daulah Islamiyah” yang mereka idamkan.

Kekejaman ISIS mencetuskan kemarahan komuniti dunia, dan kuasa-kuasa besar diseru untuk menamatkan krisis kemanusiaan tersebut. Mula-mula US macam acu tak acu menyerang ISIS, tapi selepas Rusia bercampur tangan pada September 2015 untuk membantu kerajaan Syria, US jadi bersungguh-sungguh dalam membantu militia Kurdi seperti SDF untuk melawan ISIS. Itu pun sebab US nak jadikan Kurdi sebagai bidak caturnya dalam percaturan kuasa serantau.

ISIS kena bantai teruk. Selepas kejatuhan Raqqa pada Oktober 2017 ke tangan SDF, ISIS dah kira gone case. Serangan SDF di Baghuz sekarang ialah last kopek peperangan terhadap ISIS.

Tapi persoalan timbul tentang apa yang patut dibuat dengan pejuang ISIS dan juga isteri anak mereka. Trump minta UK, Jerman dan Perancis “ambil balik” 800 pejuang ISIS yang ditahan oleh SDF dan US. Maksud Trump, pandai-pandailah korang settle, tugas aku dah selesai.

Kebanyakan pejuang ISIS adalah berasal dari Eropah, termasuk 3 negara tersebut. Tapi negara-negara tersebut mengalami dilema antara kemanusiaan dan keselamatan dalam membawa balik warganegara mereka.

Dalam 2-3 hari yang lepas, nama Shamima Begum memenuhi headline akhbar dan media sosial di UK. Shamima ialah warga UK yang telah menyertai ISIS pada tahun 2015 bersama-sama kawan satu sekolah, Amira Abase dan Kadiza Sultana.

Waktu tu Shamima baru berumur 15 tahun. Tapi dia dan kawan-kawan memilih untuk pergi ke Syria. Sebab menurut propaganda ISIS, berkahwin dengan pejuang ISIS itu satu bentuk jihad.

Shamima ditemui oleh wartawan The Times pada 13 Februari dalam kem pelarian Syria. Waktu tu dia tengah mengandung. Suaminya seorang pejuang ISIS yang dah kena tangkap. Kadiza dah mati dalam letupan. Amira hilang tanpa khabar berita.

Shamima telah melahirkan anaknya pada 16 Februari dan berhasrat untuk kembali ke UK. Tapi kerajaan UK cepat-cepat melucut kewarganegaraan Shamima. Negara asal ibu Shamima iaitu Bangladesh juga tidak menerima Shamima. Jadi sekarang dia dan anaknya menjadi “stateless person”.

Di US pun ada kes yang sama. Seorang warga US bernama Hoda Muthana telah ditemui di kem pelarian. Hoda pergi ke Syria selepas tamat pengajian sekolah menengah pada umur 20. Kini dia berumur 24 tahun dan mempunyai seorang anak yang berusia 18 bulan. 3 kali dia berkahwin dengan pejuang ISIS, ketiga-tiga sudah mati. Tapi sebaik saja tahu pasal berita Hoda, Trump dan Mike Pompeo telah melucutkan kewarganegaraannya.

Muslimah-muslimah muda ini ialah sebahagian daripada kaum Muslim Barat yang tertarik dengan ideologi ISIS. Sebagai golongan minoriti, mereka bukan saja rasa terasing dengan masyarakat mainstream malah mengalami kekosongan jiwa dan krisis identiti. Kesuburan Islam sebenarnya sangat bergantung kepada “community” dan “spirituality”. Kalau buat “public sphere” “private sphere” macam Eropah, maka itulah jadinya.

Ramai di kalangan pejuang ISIS ni juga terdiri daripada golongan mualaf atau “born-again Muslim”. Suami Shamima sendiri, Yago Riedjik ialah mualaf Belanda. Pejuang ISIS bernama Abu Talha al-Almani tu asalnya rapper Jerman bernama Deso Dogg. Umm Hussain al-Britani tu bekas penyanyi punk bernama Sally Jones. Born-again Muslim pula macam bekas pemain gitar kumpulan Ukays. Mereka lahir Muslim, tapi kesedaran tentang agama datang pada fasa hidup lebih lewat. Perkataan popular ialah “berhijrah”.

Kemunculan ISIS memberi mereka “sense of purpose”, mengisi kedahagaan mereka untuk “menebus dosa silam” dengan berjihad fi-sabillah. Tapi kekurangan ilmu membuat mereka tergelincir dari jalan yang benar. Mereka terpedaya dengan dakyah ISIS bahawa merekalah pasukan panji hitam yang muncul di akhir zaman, seperti yang diriwayatkan dalam hadis.

Berbanding Al-Qaeda, fitnah yang ditimbulkan oleh ISIS lebih damaging. Media dan akademia Barat memberi Al-Qaeda macam-macam label: terrorist, Islamist, jihadist, neo-Khawarij, tapi ini semua istilah kontemporari. ISIS pula membuat nama-nama seperti “Caliphate” dan “Islamic State” dipandang serong. Panji hitam Ar-Rayah yang mengandungi kalimah syahadah disamakan dengan simbol keganasan, sedangkan kalimah syahadah itu lambang akidah Islam.

Sekarang, para bekas pejuang ISIS perlu menghadapi realiti dan nasib sebagai stateless person. Ada yang melihat mereka tidak patut dihukum sampai begitu sekali, mereka pun mangsa keadaan, sekurang-kurangnya bagilah anak kecil mereka pulang. Ada yang berpendapat bahawa hukuman itu setimpal dengan kesalahan mereka sebagai pensubahat, dan kebanyakan mereka ini pun bukannya insaf tentang kesilapan mereka.

Tapi apa yang lebih merisaukan ialah samada pengakhiran ISIS ini akan mengulangi sejarah Afghanistan 30 tahun yang lalu.

Semasa pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan dari tahun 1979-1989, Muslim dari seluruh pelusuk dunia juga menyahut seruan jihad untuk menentang penceroboh Soviet. Selepas Soviet meninggalkan Afghanistan pada Februari 1989, para bekas “mujahidin” ini kembali ke negara asal mereka dan meneruskan “perjuangan” mereka. Antara mereka ialah Osama bin Laden yang menubuhkan Al-Qaeda.

Dengan kejatuhan ISIS, ramai anggota ISIS telah kembali ke negara asal atau berpindah ke negara lain tanpa dikesan. Dan mereka ini berpotensi untuk melancarkan serangan, menghidupkan kembali ISIS, atau kembali ke pangkuan Al-Qaeda. Kalau di Asia Tenggara, mereka mungkin akan menyertai Abu Sayyaf atau Jemaah Islamiah, atau menubuhkan kumpulan baru.

Memetik kata-kata Winston Churchill: this is not the end, not the beginning of an end, but it’s just the end of a beginning.

The “end” of ISIS, mungkin akan menjadi “the beginning” kepada sebuah ancaman yang lebih besar dan lebih dahsyat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.