Kali pertama aku mendengar nama Socrates sebenarnya bukanlah nama ahli falsafah Greek, tetapi seorang pemain bolasepak Brazil. Semasa aku berusia 6 tahun ketika Piala Dunia Italia 90, namanya disebut walaupun dia sudah bersara pada Piala Dunia sebelum itu di Mexico.
Aku mengenal Socrates, si ahli falsafah pula, ketika satu hari aku sibuk berjalan-jalan di Perpustakaan Daerah Hulu Langat pada cuti hujung minggu semasa aku darjah tiga.
Aku terlihat gambar ini dan aku tak faham apa maksudnya. Kenapa si baju merah seperti keadaan pilu, kenapa si baju putih dalam keadaan marah dan mahu menegakkan pendapat, kenapa orang tua berbaju kelabu itu duduk seperti meratapi kematian.
Nama lukisan ini ialah The Death of Socrates, dilukis oleh Jacques Louis-David, pada 1787, dua tahun sebelum sebelum kebangkitan rakyat Perancis dalam merusuh di Bastille, seterusnya mencetuskan Revolusi.
Dalam lukisan ini, aku difahamkan bahawa si baju merah sedang menghulurkan racun hemlock kepada si baju putih, iaitu Socrates. Dari sini aku memahami bahawa Socrates dihukum bunuh dengan meminum racun hemlock.
Socrates merupakan ahli falsafah Greek yang menerangkan konsep moral. Socrates juga adalah skeptik pertama terhadap demokrasi.
“There is good, knowledge, and there is evil, ignorance,” kata Socrates mengenai demokrasi.
Demokrasi, baginya adalah pandangan orang ramai terhadap sesuatu yang mereka sendiri tidak memahaminya. Dalam erti kata lain, sebagai contoh, jika ada seorang doktor yang menasihatkan orang awam supaya memakan makanan yang sihat, dengan seorang penjual gula-gula mahu jual makanan yang tidak sihat bertanding dalam pilihan raya, sudah tentu penjual gula-gula yang akan menang, menurut dalam tulisan Plato dalam karyanya, The Apology.
Orang ramai mudah terpengaruh dengan janji populis. Janji mansuhkan tol, mansuhkan pembayaran tabung pinjaman pendidikan tinggi, harga minyak diturunkan, dan macam-macam lagi janji gula-gula yang ditaburkan.
Socrates mengkritik demokrasi sebagai sistem yang pada akhirnya menjurus ke arah tirani. Beberapa contoh seperti Hitler di Jerman, Lenin di menerusi pemberontakan rakyat di Rusia, dan seperti yang dikatakan Machiavelli “the whims of the people, who follows false tendencies to entertain themselves, swindle their own reserves, and do not deal with potential threats until it’s too late.”
Dalam lukisan ini, jika ia dibaca dari kanan ke kiri, kita akan dapat melihat ratapan dan tangisan pengikut Socrates apabila dihukum bunuh, dengan pengikutnya paling setia, Crito, sedang meratapi Socrates sehingga memegang lututnya. Nampak emosi Crito begitu erat dengan Socrates di situ.
Di tengah ialah center of the topic, Socrates yang menunjukkan gestura badan bertegas akan menerima hukuman mati ini sebagai tanda menunjukkan pendiriannya. Dan si baju merah pula, menghulurkan racun hemlock tanpa rela, menunjukkan bahawa pada masa itu hukuman itu sebagai “tidak adil”.
Socrates dihukum bunuh atas dakwaan cuba merosakkan pemikiran orang muda dengan menentang demokrasi. Dan hukuman tersebut dijatuhkan atas undian.
Hari ini, di media sosial, ramai akaunnya didelete atau diban apabila bersuara menentang arus. Dengan alasan mahu mengekang fasisme dan ideologi far-right, ia seperti menggemakan semula apa yang berlaku kepada Socrates.
Socrates dibunuh atas alasan dia menentang demokrasi, tetapi fundemental demokrasi adalah hak bersuara. Jika hak bersuara Socrates dibunuh kerana demokrasi, kematian Socrates mencetus satu paradoks.
Demokrasi adalah hak bersuara, tetapi jika hak bersuara itu jika menentang arus majoriti, ia perlu dihalang agar hak bersuara akan terus ada.
Lalu, hak bersuara siapa yang dibenarkan, dan hak bersuara siapa yang harus dihalang? Siapa pula yang pegang kuasa untuk menentukan yang mana boleh dan yang mana harus dihalang?
Lelaki tua di hadapan, duduk dengan menghadap ke depan dan duduk menunduk itu adalah Plato, yang mengarang kisah hidup Socrates dalam karyanya seperti The Apology dan The Republic. Dia dalam usia yang muda semasa Socrates dihukum bunuh, tetapi dilukis tua – dan duduk membelakangi Socrates seolah-olah dalam memorinya.
Di bawah kerusi Plato pula ada kertas seolah-olah dia sedang mengarang peristiwa kematian Socrates.
Dalam lirik lagu kumpulan punk rock, NoFX – The Idiots Are Taking Over, “there’s no point of democracy when ignorance are celebrated” menggemakan kisah Socrates ini.
Orang seperti Socrates sering dilihat kerek dan anti pendapat umum. Unpopular opinion bak kata budak Twitter. Mungkin pandangan orang seperti Socrates dianggap “annoyance” pada orang ramai, tetapi, apakah dia wajar dihukum bunuh?
Socrates mati kerana menyuarakan pandangannya terhadap kelemahan demokrasi, dan dia dihukum, kerana demokrasi enggan mendengar suaranya.
Apa pandangan korang terhadap demokrasi?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih