Terusan Wan Mat Saman merupakan satu projek pengairan yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Kedah pada abad ke 19. Ia dibina menggunakan 100 peratus kudrat manusia sekaligus menjadikannya terusan buatan manusia terpanjang di Malaysia.
Kesan pembinaan terusan ini telah menggalakkan petani membuka tanah-tanah baru untuk tujuan pertanian dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Tetapi sayang, ia kini terabai berikutan tiada perhatian dari pihak berkuasa. Tetapi sebelum kita menelusuri ke masa sekarang, kita perlu lihat bagaimana ia bermula.
Sebelum pembinaan Terusan Wan Mat Saman, sejarah pembinaan terusan di Kedah sudah bermula lebih awal daripada itu. Terusan pertama yang dibina ialah pada tahun 1627 bermula dari Kayang (kini Kangar, Perlis) hingga ke Anak Bukit disusuli sebuah lagi terusan yang dikenali sebagai Sungai Baharu Gunung yang dibina dari Alor Janggus ke Sungai Gunung. Ini ditambah satu lagi terusan dibina dari Mergong ke Pumpong. Kesemua terusan ini dibina semasa pemerintahan Sultan Rijaluddin Mohammed Shah yang memerintah dari 1625 hingga 1651.
Seterusnya, dua terusan lagi dibina pada abad ke-18 dengan sebuah terusan dikenali sebagai Sungai Kecil Anak Bukit (1735) disusuli oleh Sungai Baru Kubang Rotan (1771). Pada awal abad ke-19, Wan Ismail (bapa kepada Wan Muhammad Saman) terlibat dalam usaha pengorekan Sungai Korok (dari Senara/Kampung Padang Kerbau yang terletak di Mukim Rambai ke Kampung Dan di Mukim Padang Kerbau).
Beliau juga bertanggungjawab mengusahakan pengorekan terusan Sungai Terus antara Sungai Simpor dan Sungai Muda pada tahun 1818. Kesemua terusan ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah (Sultan Ahmad Tajuddin II) (1797-1843). Kesemua terusan ini dibina dengan tujuan membekalkan air ke kawasan sawah padi, dusun dan perhubungan air dari satu tempat ke tempat yang lain.
Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah oleh Sultan Ahmad Tajuddin III pada tahun 1870, Wan Muhammad Saman berusaha mencari pelbagai idea baru dalam memajukan negeri Kedah termasuk melihat aktiviti pembangunan yang rancak berlangsung di Siam. Dalam salah satu lawatannya ke Negara Gajah Putih itu, beliau amat tertarik dengan terusan-terusan yang wujud di Bangkok. Selain berperanan menyalurkan air, terusan-terusan ini juga menjadi jalan perhubungan dan pengangkutan penduduk di situ.
Sekembalinya Wan Muhammad Saman dari Bangkok, beliau mendapat aduan daripada penduduk sekitar yang mengadu tanaman padi mereka tidak menjadi dan sedikit sahaja padi yang dihasilkan. Justeru, sebuah terusan baru perlu dibina atas banyak sebab seperti:
i. Sawah di kawasan berkenaan hanya mengharapkan air hujan semata-mata dan tiada cara lain untuk petani mendapatkan sumber bekalan air.
ii. Kemungkinan berlaku banjir sekiranya hujan turun terlalu lebat.
iii. Terusan boleh digunakan sebagai laluan yang menghubungkan antara satu tempat dengan tempat yang lain, iaitu pada ketika itu penduduk hanya menggunakan sungai sebagai laluan perhubungan.
iv. Sekiranya sesuatu kawasan kekurangan air, terusan digunakan untuk menyalurkan air dari sungai besar. Jika sesuatu kawasan itu mengalami lebihan air, terusan berperanan untuk menyalurkan air ke kawasan sawah lain yang memerlukan air.
Sebelum memulakan projek terusan ini, Wan Muhammad Saman menghadapi pelbagai masalah dari aspek teknikal hinggalah isu tenaga buruh. Terusan yang akan dibina ini perlu melalui pelbagai jenis hutan termasuk hutan paya yang mengandungi pokok bakau dan nipah. Selain itu, wujud juga masalah menentukan saiz terusan yang hendak dibina wujud disebabkan tiadanya garis panduan tertentu seperti keluasan, kelebaran dan jarak yang terlibat.
Bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan, beliau telah menjemput seorang tukang pelan untuk membuat peta terusan yang bernama Encik Embi dan dua orang juruukur yang bernama Haji Kechik dan Fakhruddin serta dua orang pegawai dari Siam untuk memberi nasihat teknikal. Peta terusan yang dilukis penting bagi memastikan terusan tersebut dibina secara lurus.
Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh, Wan Muhammad Saman menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan tenaga buruh dan menggunakan budi bicara untuk mengarahkan orang Melayu bekerja secara percuma. Beliau memperkenalkan sistem kerah untuk menjalankan projek menggali terusan.
Pembinaan terusan dimulakan pada tanggal 10 Syawal 1303 Hijrah (13 Ogos 1885) melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama bermula di Lubuk Katong (bertentangan dengan Masjid Tandop kira-kira 3 kilometer dari Alor Setar) sehingga ke Kota Sarang Semut. Kini, Lubuk Katong dikenali sebagai Tandop kerana di sinilah dibina sebuah kunci air yang berfungsi mengawal aliran dan paras air semasa musim tengkujuh dan musim kemarau.
Apabila fasa pertama siap, fasa kedua pula bermula dari kaki Gunung Jerai (Gurun) sehingga ke Kota Sarang Semut. Fasa ketiga pula bermula dari Lubuk Katong sehingga ke Tanjung Chali yang terletak di tebing Sungai Kedah. Terusan ini telah mewujudkan sistem pengairan yang sistematik untuk kemudahan petani mengairi sawah di samping mengalirkan air keluar apabila tidak diperlukan.
Berdasarkan rekod sejarah, kerja-kerja mengorek dibuat dengan menggunakan alatan tradisional seperti cangkul, parang, raga, cam dan cop. Oleh sebab itulah, Terusan Wan Mat Saman turut dikenali sebagai Sungai Korok yang bermaksud ‘Sungai Yang Digali’. Bagi memastikan rakyat tidak menghadapi sebarang kesulitan, Wan Muhammad Saman telah mengarahkan penghulu membuat jadual giliran untuk anak buahnya supaya tidak timbul masalah sawah terbiar semasa projek pembinaan terusan ini berjalan. Penghulu pula melantik seorang mandur (dikenali sebagai Kweng dalam Bahasa Thai) dengan tujuan melicinkan peraturan berkerja. Pekerja ini perlu patuh kepada arahan ‘Tok Kweng’ dalam melaksanakan pekerjaan yang diberikan.
Sistem kerahan yang digunakan Wan Muhammad Saman menyebabkan setiap orang wajib menyumbang tenaga terhadap projek terusan itu. Bagi orang tua atau uzur, mereka ditugaskan membekalkan makanan kepada para pekerja. Sekiranya ada yang ponteng tanpa sebab munasabah, maka mereka akan dihukum dengan hukuman keras seperti rotan.
Tetapi itu tidak menghalang ramai pekerja melarikan diri ke Pulau Pinang. Hal ini berlaku kerana mereka tidak sanggup berkerja berikutan tiada upah, sakit dan meninggal dunia akibat demam malaria sehingga dikatakan tali kelambu yang digantung pada waktu malam putus disebabkan hurungan nyamuk. Malah, nyawa Wan Muhammad Saman diancam beberapa kali apabila diserang beberapa pekerja yang tertekan.
Buruh Cina pula digunakan bagi menyiapkan fasa ketiga terusan yang bermula dari Lubok Katong hingga ke Tanjung Chali. Upah yang dibayar antara $2.00 hingga $3.00 sehari untuk mengorek di kawasan yang orang Melayu tidak sanggup dilakukan terutama di kawasan paya dan ramai pekerja telah m4ti semasa fasa ketiga berjalan. Pembinaan terusan ini melibatkan kos yang besar dan Wan Muhammad Saman terpaksa mengeluarkan wang simpanannya sendiri untuk menjayakan projek ini.
Pada satu ketika, beliau sudah kehabisan wang untuk membayar upah dan terpaksa melengahkan pembayaran upah kepada pekerja Cina. Akibat kelewatan itu, sesetengah dalam kalangan mereka mula berasa tidak puas hati dan marah sehingga merancang untuk membvnvh Wan Muhammad Saman. Namun, rancangan tersebut terbantut apabila Perdana Menteri Kedah itu berjaya melunaskan bayaran upah mereka dengan menjual harta bendanya sendiri.
Bagi mengelakkan musim hujan dan musim menuai padi, pembinaan terusan ini dilakukan pada waktu siang dan malam tanpa henti. Bagi memastikan terusan yang digali dalam keadaan lurus, pekerja-pekerja menggunakan jamung (obor) dan unggun api yang dipasang pada waktu malam mengikut peta yang dilukis oleh Encik Embi. Api yang dilihat dijadikan panduan untuk mengorek terusan supaya tidak kelihatan bengkang-bengkok dan pengaliran air tidak tersekat apabila siap nanti.
Akhirnya pada 12 Julai 1895, terusan sepanjang 22 batu (35 kilometer) dengan lebar 24 kaki (8 meter) dan kedalaman 5 kaki (1.8 meter), melibatkan kos $35,000 atau $35 serelung akhirnya siap dengan tempoh pembinaan selama 10 tahun. Sebagai menghargai jasa Wan Muhammad Saman, Sultan Abdul Hamid Halim Shah berkenan menamakan terusan itu sempena nama Perdana Menteri Kedah itu dan mengurniakan ‘Ampun Kurnia’ berupa 40 relung tanah, 20 relung sebelah kanan dan 20 relung sebelah kiri jalan kepada beliau. Beliau juga diberi izin menjual tanah itu pada kadar $3 serelung kepada peneroka atau menyewakan kepada mereka pada kadar sewa tahunan 50 sen serelung.
Kejayaan pembinaan Terusan Wan Muhammad Saman telah membawa banyak perubahan kepada pembangunan negeri Kedah. Tanah yang dahulunya terbiar dan berpaya berubah menjadi kawasan tanaman padi yang akhirnya menggalakkan penglibatan penduduk setempat dalam bidang pertanian. Kejayaan pembinaan terusan tersebut turut mendorong Wan Muhammad Saman membina sebuah terusan lain yang menyambungkan Sungai Pendang dengan Sungai Kangkung.
Pembinaan terusan ini telah berjaya meningkatkan keluasan tanah yang ada untuk tanaman padi. Pada tahun 1909, Negeri Kedah membekalkan lebih daripada sejuta busyel beras ke Pulau Pinang setiap tahun. Ganjaran ‘Ampun Kurnia’ yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Hamid terhadap Wan Muhammad Saman turut mencetuskan minat beberapa orang pembesar, kerabat diraja dan kakitangan kanan negeri untuk membina terusan kecil yang disambung ke Terusan Wan Mat Saman:
i. Wan Yunus / Wan Yusof (Bekas Majistret Daerah Kota Setar) telah mengorek terusan Sungai Daun, Sungai Limau dan Sungai Sedaka.
ii. Tun Minah telah mengorek Sungai Dulang.
iii. Tuan Syed Othman telah mengorek Sungai Yan Kechil.
iv. Tunku Yaakob telah mengorek Sungai Alor Changlih pada tahun 1890 (terusan dari Jitra ke Kuala Jerlun).
v. Haji Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Pegawai Daerah Kubang Pasu) telah mengorek Sungai Korok Wan Yahya (dari Kodiang ke Kuala Sanglang)
Selepas itu, beberapa terusan lagi telah dikorek bagi menghubungkan Tanah Merah, Pendang ke Sungai Kangkung yang dikenali sebagai Terusan Tokai Tanah Merah dan terusan kecil lain yang masih digunakan hingga kini seperti Sungai Kota Sarang Semut dan Sungai Simpang Empat. Selepas tahun 1909 atau lebih tepat pemeteraian Perjanjian Bangkok 1909, pentadbiran British tidak membina terusan baharu.
Sebaliknya, mereka hanya membersihkan dan meluaskan terusan sedia ada yang dibangunkan oleh orang-orang Melayu. Pembinaan Terusan Wan Mat Saman merupakan asas kepada perkembangan penanaman padi di Kedah sehingga mendapat jolokan sebagai ‘Negeri Jelapang Padi’. Bagi memastikan terusan ini dijaga, kerajaan negeri turut menggubal satu undang-undang berkenaan terusan di mana penduduk yang menetap di sekitar kawasan terusan dikehendaki menjaga kebersihan terusan, tidak membuang sampah dan tidak dibenarkan membina titi merentasi terusan.
Kesan daripada pembinaan terusan ini menyaksikan lebih banyak tanah dibuka untuk penanaman padi yang menyumbang kepada pembinaan lebih banyak terusan di sekitarnya. Terusan yang masih digunakan sehingga hari ini ialah Sungai Simpang Empat, Sungai Kota Sarang Semut, Sungai Limau dan Sungai Guar Cempedak. Selain itu, kesan pembinaan terusan ini turut menggalakkan ramai penduduk membuka perkampungan baharu.
Keadaan ini menyebabkan wujudnya petempatan berjajar di sepanjang terusan tersebut. Ini membawa kepada kewujudan beberapa pekan kecil di sepanjang terusan ini seperti Tandop, Simpang Empat (lebih dikenali sebagai Simpang Empat Kangkung oleh penduduk tempatan), Kota Sarang Semut, Guar Cempedak dan Gurun.
Pekan ini telah berkembang kesan daripada kemajuan pertanian di sekitarnya dan turut memainkan peranan sebagai pencetus kepada perubahan pemikiran masyarakat. Terusan ini juga dijadikan asas kepada pembinaan jalan raya utama yang dibina di atas longgokan tanah di tebing terusan. Jalan raya itu masih kekal sehingga kini yang menghubungkan Alor Setar – Sungai Petani serta tempat lain di selatan (Laluan Persekutuan 1).
Tetapi sayang seribu kali sayang. Terusan Wan Mat Saman yang berusia 134 tahun sepatutnya menjadi antara warisan sejarah Kedah, kini didapati semakin terbiar, sepi dan dipenuhi sampah akibat kurang penyelenggaraan oleh pihak berkuasa. Pada bahagian tertentu terusan, sampah yang hanyut tersangkut pada rumput panjang di tebing sehingga mengakibatkan aliran air tersekat terutama semasa musim kemarau.
Antara bahagian terusan yang dikesan menjadi tempat longgokan sampah dan dipenuhi rumput ialah sekitar Tandop, Simpang Empat, Kota Sarang Semut, Sungai Limau dan Guar Chempedak. Akibatnya, air di dalam terusan bertukar menjadi hitam sehingga menyakitkan pandangan terutamanya pengguna jalan raya dan pelancong yang berkunjung ke Kedah. Lebih menyedihkan, struktur fizikal yang dibina sebelum ini seperti kunci air juga tidak lagi diselenggara menyebabkan ia tidak lagi berfungsi dan dibiarkan rosak begitu saja.
Aneh, suatu ketika dahulu atau lebih tepat tahun 2017, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab menguruskan terusan berkenaan pernah menerima Anugerah Warisan sempena Kongres Antarabangsa Persatuan Penyelidikan dan Kejuruteraan Hidro Alam Sekitar (IAHR). Dengan anugerah sebegitu, ia seharusnya memberi motivasi kepada pihak berkuasa untuk memelihara dan memulihara khazanah sejarah negeri yang berharga. Tetapi difahamkan, terusan itu memerlukan kira-kira RM1.8 juta setahun untuk kos penyelenggaraan, pengindahan dan mengekalkan fungsinya sebagai terusan.
Dengan kos sebegitu, tidak hairanlah mengapa kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi alasan kekangan kewangan sebagai halangan untuk memulihkan semula Terusan Wan Mat Saman. Sambil mengakui Kedah mempunyai banyak peninggalan sejarah yang boleh dibangunkan sebagai tempat tarikan pelancong, Datuk Seri Mukhriz turut menyatakan kesemua tapak berkenaan sudah sedia untuk dinilai.
Tambahnya lagi, “Kita ada senarai lokasi bersejarah di Kedah, malah diakui nilai sejarah sangat tinggi termasuk terusan itu. Kalau boleh kita mahu buat sesuatu untuk bangunkan beberapa kawasan untuk pelancongan yang pastinya menarik ramai pelancong. Jika kita tidak menghadapi kekangan kewangan, sudah tentu semua tempat bersejarah termasuk terusan akan dimajukan.”
RUJUKAN:
1. Ibrahim, Johan Afendi, Ahmad, Mohamed Zaki dan Abdul Razak, Norhanim. (2015). Terusan Wan Muhammad Saman (1895-2015): Tinggalan Sejarah dan Potensinya Sebagai Sebuah Produk Pelancongan. Jurnal Perspektif Jil. 9 Bil. 1(1-15) ISSN 1985-496X /eISSN 2462-2435. Universiti Utara Malaysia. http://ir.upsi.edu.my/3628/1/Terusan%20Wan%20Muhammad%20Saman_1895_2015_tinggalan%20sejarah%20dan%20potensi%20sebagai%20sebuah%20produk%20pelancongan.pdf
2. Iskandar, Petah Wazzan. (2019). EKSKLUSIF: Terusan Wan Mat Saman kotor, jadi parit terbiar. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/532516/eksklusif-terusan-wan-mat-saman-kotor-jadi-parit-terbiar
3. Iskandar, Petah Wazzan. (2019). Kekangan kewangan punca terusan tidak dipulihara. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/533843/kekangan-kewangan-punca-terusan-tidak-dipulihara
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih